Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 25 Oktober 2012

Panduan Edit ‘Servis Imran’

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam mengedit novel ini:
1.      EDIT MAKRO
-        Adakah bab awal dapat menarik minat kanak-kanak untuk baca?
Saya sudah ‘test’ pada anak saya (11 tahun), dia suka bahagian awal novel ini iaitu cerita Imran dengan datuknya. Cuma, pastikan halaman-halaman awal itu memang boleh menarik minat.
-        Adakah watak-watak utama dapat dikembangkan dengan baik dan berfungsi menggerakkan cerita?
-        Adakah latar tempatnya jelas?
Saya perasan di tempat tertentu ada latar tempat yang tidak begitu jelas. Penulis belum ada kemahiran dalam menggambarkan latar tempat.  Tidak perlu gambaran ‘detail’, sekadar pembaca tahu di mana babak atau dialog berlaku.
-        Adakah latar masanya juga jelas?
-        Adakah penghujung setiap bab boleh menarik orang untuk pergi kepada bab seterusnya?
-        Adakah ada kesinambungan bab ke bab?
Dalam sinopsis bab ke bab, kesinambungan itu nampak jelas. Cuma perlu pastikan, kesinambungan ini dapat diperlihatkan dalam garapan setiap bab.
-        Adakah semua bahagian relevan atau ada yang boleh digugurkan?
-        Adakah nilai didikan berjaya diselitkan di tempat-tempat yang sesuai?
Novel ini boleh dikatakan sarat juga nilai didikan, cuma perlu dipastikan ia diletakkan di tempat yang sesuai dan tidak meleret-leret.
-        Adakah dialog-dialognya sopan dan tidak ada dialog kasar yang dominan?
Melihat sepintas lalu, rasanya dialog-dialog dalam novel ini terjaga. Cuma harus dipastikan tidak ada dialog kasar atau biadab yang terlepas, lebih-lebih lagi yang tidak sesuai dengan kanak-kanak.
-        Adakah dialog-dialog berperanan menggerakkan cerita?
Secara keseluruhan, dialog-dialog dalam novel ini membantu menggerakkan cerita. Cuma di tempat tertentu, ada yang tidak jelas siapa yang berkata. Ada juga dialog-dialog yang berakhir dengan koma tetapi tidak disebut penuturnya. Dialog begini perlukan ‘treatment’ iaitu dijelaskan siapa penuturnya dan ada gambaran aksi atau mimik muka sekadarnya.
-        Adakah nisbah dialog dan naratif sesuai dengan tahap pemahaman kanak-kanak?
Rasanya dialog dalam novel ini lebih banyak daripada naratif. Nisbah ini sesuai untuk pemahaman kanak-kanak. Banyaknya dialog akan menjadikan cerita bergerak cepat dan cerita lebih mudah difahami oleh kanak-kanak. Pastikan novel ini mempunyai nisbah 70% dialog, 30% naratif atau 60% dialog, 40% naratif. Mirip ciri-ciri Teknik Surah Yusuf. Jika di tempat tertentu ada naratif yang terlebih panjang, pastikan ia mudah difahami dan tidak meletihkan kanak-kanak membacanya.
-        Adakah penamat (ending) novel ini memuaskan dan terjawab persoalan yang timbul?
Penamat novel ini agak mendadak. Hanya ada dua perenggan yang menggambarkan ‘happy ending’. Tidak ada unsur dramatik di situ. Tidak digambarkan bagaimana Imran bermain dengan lebih baik untuk mengalahkan David Tan selepas menerima kata-kata semangat daripada ibunya.  Selepas muncul juara, sepatutnya ada sikit babak di mana Imran berkongsi kegembiraan dengan ibu bapanya dan datuknya. Sayangnya babak itu tiada.
Kemudian perlu ada dialog-dialog yang dapat menguatkan penutup cerita. Ayat ‘dia berjaya menjadikan Skuad Asy-Syabab sebagai pasukan yang disegani’ boleh dijadikan ayat dialog. Misalnya, dituturkan oleh Ustaz Zikry.
Untuk makluman, novel ini akan ada ‘sequel’nya. Elok di hujung bab penutup ditimbulkan tanda tanya. Supaya budak-budak rasa macam ada sambungan, rasa macam cerita belum betul-betul habis. Misalnya, dimunculkan lelaki misteri. Imran perasan ada seorang lelaki Cina yang agak berumur memerhatikan dia sambil senyum bangga. Kemudian, waktu Imran nak balik, sekali lagi lelaki itu senyum kepada Imran sambil memberi isyarat ‘bagus’. Siapakah lelaki itu?
2.      EDIT MIKRO 
-        ‘beliau’ tidak perlu digunakan dalam novel. Gunakan ‘dia’.
-        Untuk monolog, gunakan tanda ‘…’ (bukan “…”)
-        Banyakkan ayat aktif, kurangkan ayat pasif. Kanak-kanak lebih mudah memahami ayat aktif. Ayat aktif juga lebih dinamik.
Ayat pasif: Kelemahan taktikal dan pergerakan kaki pemain-pemain memang disedari oleh Ustaz Zikry.
Ayat aktif: Ustaz Zikry memang menyedari kelemahan taktikal dan pergerakan kaki pemain-pemain.
-        Penulis gemar menggunakan ayat yang mengandungi lebih daripada satu perkara (point). Banyak ayat berangkai ini yang boleh dipecahkan kepada dua ayat.
Sebelum: Ustaz Zikry masih belum berpuas hati dengan pencapaian Imran, Hijazi dan Ziyad yang merupakan pemain  utama yang akan bertanding dalam acara berpasukan.
Selepas: Ustaz Zikry masih belum berpuas hati dengan pencapaian Imran, Hijazi dan Ziyad. Ketiga-tiga mereka merupakan pemain  utama yang akan bertanding dalam acara berpasukan.

(Kredit kepada Hj. Zakaria Sungib)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan