Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Rabu, 18 September 2013

'Mata Pena Itu Lebih Tajam Daripada Mata Pedang' - Bonda Nor

Pada satu ketika, ada seseorang pernah berkata kepada saya, "Awak memang ada bakat menulis. Insya-Allah, saya yakin awak akan jadi seorang penulis."

Waktu itu, umur saya masih belasan tahun. Apa pengetahuan yang saya ada tentang dunia seorang penulis? Tidak ada. Sebab itu, saya ketawa sahaja. Bagi saya ia hanya gurauan biasa. Apatah lagi, saya tahu saya memang tidak berbakat seperti yang dikatakannya. Seingat saya, sewaktu zaman persekolahan, saya bukanlah orangnya yang mudah mendapat markah yang tinggi dalam subjek penulisan. Untuk memastikan saya tetap skor A dalam subjek ini, saya terpaksa menghafal contoh-contoh karangan orang lain dan menyalinnya berkali-kali. Inilah caranya bagaimana saya belajar membiasakan diri dengan struktur ayat yang baik dan menarik.

Malah hingga ke saat ini pun, setiap kali mengajar anak-anak murid saya membuat karangan, cara ini jugalah yang saya lihat berguna buat mereka. Sungguh, tidak ramai yang berbakat menjadi penulis. Kalau dikira nisbahnya, mungkin 1 dalam seratus. Sebab itu, bagi orang seperti saya yang tidak punya bakat sendiri, perlu rajin 'meminjam dan meniru' bakat orang lain. Pendek kata, sebenarnya, semua orang mampu menjadi penulis berjaya kalau dia mahu berusaha.

Saya teringat pada satu ketika, sewaktu menuntut di IPT, saya menghadapi kesukaran untuk bergerak ke sana sini. Bilik kuliah dan kolej penginapan terlalu jauh jaraknya. Waktu itu pula asrama kami selalu menghadapi masalah ketiadaan air. Memang menyukarkan bagi saya. Waktu itu, cemburu pula melihat kawan-kawan yang ada motor dan kereta. Mudahnya mereka. Saya asyik terpaksa menebalkan muka menumpang orang sahaja.

Akhirnya terfikir pula untuk memiliki motor sendiri. Persoalannya, macam mana nak beritahu pada mak dan abah? Saya tahu harga sebuah motor bukannya murah. Tentu saya bakal kena marah. Aduhai, berdebar-debar rasanya.Waktu balik kampung, berkali-kali saya cuba bersuara.. tapi setiap kali memandang wajah mereka..kelu pula lidah untuk berkata-kata. Berhari-hari di rumah, hajat di hati masih tidak mampu diluah. Akhirnya, sebelum berangkat balik ke kolej, saya mencapai sehelai kertas dan pen. Laju tangan saya menulis sepucuk surat untuk mak dan abah bagi menyuarakan hasrat hati. Selesai menulis, saya letakkan di katil mereka secara sembunyi-sembunyi. Kemudian, saya bersalaman seperti biasa dengan mereka dan kembali ke kolej semula.

Rupa-rupanya, saya tidak perlu menunggu lama. Kalau tidak silap, malam itu juga mak menelefon saya. Mereka sudah baca surat saya dan akan cuba menunaikan apa yang saya minta. Sungguh, saya rasa macam tidak percaya. Eh, mudah sahaja rupanya! Barangkali kerana saya sudah menerangkan alasan dan rasional permintaan saya selengkapnya di surat itu, maka tidak perlu lagi bersoal jawab panjang lebar dan tidak perlu bertengkar. Wah, senangnya hati saya! Ketika itu, baru saya tahu kuasa pena. Rupa-rupanya, memang lebih mudah 'bersuara' dengan pena sahaja. Tanpa berdepan muka sama muka, kemungkinan bergaduh kerana ego bukan lagi satu risiko.

Sebenarnya, hingga ke saat ini, saya masih menggunakan penulisan sebagai suatu komunikasi yang cukup berkesan. Setiap kali terdesak untuk mendapat sesuatu yang saya inginkan, saya akan cuba meluahkannya menerusi kuasa pena. Zaman sekarang, mungkin bukan surat lagi yang menjadi perantaraan, tetapi SMS, email dan mesej di Facebook mungkin cukup berguna. Kalau bercakap depan sama depan, kita bimbang belum habis bercakap dan menerangkan alasan, sudah berlaku pertengkaran. Namun dengan kuasa penulisan, si pembaca boleh mengetahui seluruh isi hati kita dulu sebelum menilai dan membuat sebarang keputusan. Bukankah itu lebih menyenangkan?

Benar kata pepatah, mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Dengan tulisan, ada hati yang boleh tertawan, ada kesombongan yang boleh ditundukkan. Dengan tulisan, ada ilmu yang mampu disebarkan, ada ukhwah yang mampu dijalinkan. Namun, biar apa pun, menulislah kerana Allah. Menulislah dengan niat dakwah. 


Klik di sini


Paling kanan (Puan Bonda Nor)

Tiada ulasan:

Catat Komen