Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Selasa, 16 Oktober 2012

Slot Mesra Bersama Anis


5 Januari 2012 / 11 Safar 1433H

Tuan Syafiq Zulakifli, Penerbit Rancangan Radio IKIM (kanan)
Amir Abd Hamid
Editor Novel, Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Bolehkah En. Amir ceritakan sedikit perkembangan terkini di Jabatan Buku, Galeri Ilmu Sdn Bhd terutamanya dalam seksyen novel?

1.      Alhamdulillah, untuk makluman semua, buat masa ini kami sedang giat membuat persiapan untuk menghadapi dua acara besar iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27/4/2012 hingga 6/5/2012 dan acara yang paling dekat ialah Ekspo Buku Islam yang bakal dijalankan pada 24/2 hingga 4/3/2012. Jika sebelum ini dibuat di STESEN SENTRAL KUALA LUMPUR, lokasi kali ini kemungkinan besar akan diadakan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, insya-Allah.
2.      Alhamdulillah, sejak 2008 sehingga tahun 2011, Galeri Ilmu telah berjaya menerbitkan sebanyak 49 buah judul novel kesemuanya yang terdiri daripada novel dewasa, remaja, awal remaja dan novel sirah. Novel terbaharu terbitan kami ialah novel Budak Komik, Friends Forever dan Geng Mengaji.
3.      Saya cerita secara ringkas di sini. Budak Komik merupakan novel remaja yang mengisahkan tentang seorang remaja lelaki yang suka membaca komik luar negara. Selain minat membaca komik, Anwar juga berbakat dalam melukis komik. Novel ini mengajak pembaca komik di luar sana untuk menyalurkan minat tersebut ke jalan yang dapat memberi manfaat insya-Allah.
4.      Seterusnya ialah novel Friends Forever. Novel ini menceritakan kisah seorang remaja perempuan yang bercanggah minat dan hajat bapanya dalam mencatur kehidupannya selepas tamat sekolah. Watak utama, Zakiah, sangat cintakan bahasa Arab dan ingin memenuhi impiannya bergelar seorang pejuang bahasa al-Quran. Ikuti juga kisah persahabatan antara Zakiah dan rakan-rakan seperjuangannya yang lain sepanjang di universiti.
5.      Novel yang paling bongsu setakat ini ialah Geng Mengaji. Menariknya novel ini, ianya ditulis berdasarkan pengalaman penulis yang merupakan seorang guru dari Semenanjung, yang ditugaskan mengajar di sebuah kampung di Sabah. Novel ini sangat sesuai dibaca oleh adik-adik kerana penulis bijak mengadun nilai tarbiah dengan aktiviti harian kanak-kanak kampung di sana. Penulis, Diq Danial merupakan pelajar lulusan Universiti Al-Azhar juga berjaya berkongsi peristiwa penting dalam kalendar Islam seperti awal Muharam, hari raya puasa, korban, dan lain-lain sepanjang perjalanan novel ini.
Ustaz Ahmad Sidqi
Galeri Ilmu dikenali sebagai salah sebuah penerbit yang menerbitkan buku-buku Islami. Jika dalam konteks novel, bolehkah En. Amir jelaskan novel Islami yang bagaimanakah yang menjadi sasaran Galeri Ilmu untuk diterbitkan?
1.      Sebelum saya mengulas secara ringkas berkenaan novel Islami, suka saya nyatakan di sini antara sebab orang membaca novel. Lumrah manusia perlukan hiburan. Justeru, novel asasnya bagi saya merupakan antara bacaan santai yang dapat memberi ruang minda seseorang pembaca untuk mendapat hiburan jiwa. 
2.      Apabila bercakap soal novel Islami, kami di Galeri Ilmu memilih frasa Novel Tarbiah sebagai label novel kami. Tarbiah membawa makna didikan, yang mana dalam konteks novel tarbiah Galeri Ilmu, kami berharap agar selain dapat memberi hiburan ringan kepada pembaca, novel kami juga dapat mendidik jiwa pembaca agar lebih mencintai agama. Ringkas cakap, novel tarbiah apabila dibaca mengingatkan kita akan hakikat hidup beragama, cinta Allah, lalu berlumba-lumba memperbanyak beramal untuk kehidupan akhirat.  
3.      Mungkin sekali dengar visinya agak besar dan berat namun bukanlah bererti isinya sukar difahami. Stigma atau perkara pertama yang sering terlintas dalam kalangan pembaca apabila bercakap tentang novel Islami, novel ini khusus untuk golongan ustaz, ustazah, alim, alimah, dan golongan yang sewaktu dengannya. Bukan begitu.
4.      Sebetulnya, novel tarbiah yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu sesuai untuk semua kategori pembaca, sama ada yang memang berjiwa da’i, atau mereka yang baru mula mendalami agama. Sebab itulah novel kami khususnya kanak-kanak dan remaja mengetengahkan isu sehari-hari seperti persahabatan, sukan, penyiasatan, pengembaraan, usahawan dan kesihatan. 
5.      Penulis novel Galeri Ilmu pula kebanyakannya terdiri daripada golongan guru, pelajar dan suri rumah. Sebagai contoh, Cikgu Wan Zayu Hisyam dan Cikgu Khairy merupakan antara guru yang aktif menulis novel bersama kami. 
6.      Bagi menarik minat ibu bapa terhadap novel Galeri Ilmu, kami mengamalkan penggunaan Bahasa Melayu yang standard diguna pakai oleh Dewan Bahasa. Maksudnya, ayat-ayat dalam novel kami insya-Allah secara tidak langsung dapat menjadi alat bantu mengajar kepada pelajar-pelajar sekolah kerana kami mahu mendidik pembaca dengan penggunaan Bahasa Melayu yang betul.


Mungkin ada yang berminat untuk menghantar karya mereka ke Galeri Ilmu. Apakah prosedur yang biasa diamalkan di Jabatan Buku di Galeri Ilmu?

1.      Soalan ini berkait rapat dengan perolehan manuskrip. Bercakap mengenai perkara ini, di peringkat awal penerbitan novel, hinggalah sekarang, kami mengadakan bengkel asas penulisan novel tarbiah untuk mencungkil bakat terpendam dalam kalangan pembaca bahan bacaan Islami. 
2.      Manuskrip atau proposal yang diterima sewaktu bengkel, jika sesuai, akan dikembangkan hingga terhasilnya novel tarbiah yang disasarkan. 
3.      Selain itu, kami juga mengiklankan kepada bakal novelis Galeri Ilmu di Majalah Anis. Juga dalam novel kami, jika dilihat pada kandungan muka surat kredit, di sebelah nama editor perolehan, ada disertakan alamat e-mel untuk para pembaca yang berminat menulis novel bersama kami. 
4.      Alamat e-mel yang boleh dihubungi ialah amir@galeriilmu.com.my  
5.      Apa yang perlu dihantar? Secara ringkas, kami perlukan tiga dokumen penting iaitu:
 i. sinopsis keseluruhan
 ii. sinopsis setiap bab
 iii. contoh 2 bab awal
Juga sertakan maklumat ringkas penulis berserta latar belakang yang berkaitan dengan penerbitan, contohnya, nyatakan karya yang pernah tersiar sebagai nilai tambah kepada proposal yang dihantar insya-Allah.



Penutup.
Terima kasih kepada IKIM dan semua pendengar dan pembaca produk Galeri Ilmu. Teruskan menyokong kami, dan bersama-samalah kita memeriahkan industri dengan produk yang membina masyarakat berjiwa da’i insya-Allah. Jazakallahukhair. 



Tuan Web Sutera, penulis novel Macedonia: Alexander Agung (tengah)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan