Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 22 Ogos 2013

Ultimate Frisbee: Bab 1

 
Ultimate Frisbee (Shahkang)

Bab 1

MATAHARI belum pun sampai sejengkal tinggi. Sebuah kereta Proton Satria berwarna hitam metallic tiba di hadapan Jeti Kuala Perlis lalu memarkir di hadapan kaunter tiket. Fadhly muncul dari pintu belakang bersama beg galas dan bagasi tarik bersaiz sederhana. Seorang lelaki dan wanita 50-an juga muncul dari pintu hadapan. Fadhly bersalaman dengan kedua-duanya dan menguncup lembut tangan mereka, sebelum kedua-duamnya masuk semula ke dalam kenderaan dan berlalu meninggalkan jeti.



Fadhly membelek not berwarna merah di dalam dompet. Dia cuma memerlukan RM 15.00 untuk membayar tambang feri dengan harga pelajar.

“Fadhly!” Satu suara menempik. Fadhly kenal benar dengan pemilik suara jantan yang garau itu.

Syed Hadi, teman sekelas berlari-lari anak ke arahnya dari jauh.

“Awalnya nak balik ke maktab. Selalunya orang yang tinggal hanya di seberang laut ni balik waktu petang. Kau awal-awal pagi dah ada di sini.” Syed Hadi begitu teruja menemui Fadhly. Mereka saling berpelukan. Hampir dua minggu menghabiskan masa di rumah sempena cuti pertengahan tahun menguntumkan kelopak rindu di hati masing-masing. Lelah di minda Syed Hadi setelah berkelana semalaman menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Perlis hilang begitu sahaja.

“Balik awal senang sedikit. Petang nanti ramai orang. Esok dah nak mula sekolah dan kerja.”

“Betul juga.” Syed Hadi tidak berniat mempertikaikan fakta tersebut.

Mereka berdua membeli tiket secepat mungkin. Feri akan bertolak dalam masa lima minit. Jika terlepas, mereka terpaksa berkampung di jeti ini selama satu jam bagi menanti khidmat feri yang seterusnya ke Pulau Langkawi.

Syed Hadi menguap dengan mulut terlopong luas. Matanya mula berair.

“Ish, tutup mulut tu! Tak senonoh sungguh.”

“Haha maaflah. Aku memang betul-betul mengantuk.”

“Biar aku teka. Tengok bola semalam? Liverpool lawan apa?” Fadhly sedia maklum Syed Hadi sangat fanatik menyokong Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris dan Brazil kalau di peringkat Piala Dunia.

“Mana ada bola hari Jumaat, Fad.”

“Habis?”

“Aku siapkan latihan Matematik Tambahan lah. Cikgu Basil suruh buat latihan dari buku Pelangi – dari bab function sampai integration. Banyak sangat. Er, jangan cakap kau lupa?”

Fadhly dan Syed Hadi mendaratkan tubuh di kerusi bilik menunggu. Barisan untuk masuk ke dalam feri masih panjang.

“Oh yang itu!”

“Jadi kau tak buat langsung? Walau satu soalan?”

“Aku dah siapkan. Masa awal cuti.” Fadhly memang tidak suka menangguh kerja. Dia kerap menyiapkan tugasan pada awal waktu. Tambahan pada waktu cuti, dia banyak menghabiskan masa dengan abang saudaranya, Haziq di Kuala Lumpur.

Syed Hadi menghela nafas lega. Jika Fadhly terlupa, pastinya waktu kelas prep malam nanti akan kalut untuk menyiapkan berpuluh-puluh soalan mencabar minda itu. Lagipun kelas Cikgu Basil adalah yang pertama pada hari Ahad.

Suasana ruang menunggu bertambah sesak dengan penumpang. Kebanyakannya adalah warga Langkawi yang mahu pulang ke kediaman masing-masing. Disebabkan Langkawi berada dalam negeri Kedah, maka hari Ahad merupakan hari kerja dan persekolahan.

“Kenapa kembung semacam beg kau?” Syed Hadi perasan seperti ada sesuatu yang keras di dalam beg galas Fadhly. Disentuhnya dan ditekannya perlahan-lahan. Keras. “Tupperware? Bekas kuih raya?”

“Bukanlah.”

“Habis kalau dah keras macam ni?”

            “Penumpang feri 9.00 pagi boleh masuk sekarang!” Tempikan penjaga pintu jeti bergema dalam ruang menunggu yang semakin kosong itu. Kebanyakan penumpang telah masuk ke dalam perut feri. Mereka berdua lekas ke pintu pelepasan dan melintas papan kayu yang menghubungkan pintu feri dan tebing jeti. Seorang pengawal feri mengarahkan mereka ke bahagian hadapan feri setelah membaca nombor tempat duduk di tiket.

“Okay sekarang ceritakan, apa benda tu?”

Fadhly terkerising. Terasa kelakar melihat Syed Hadi yang begitu ingin mengetahui apa sebenarnya kandungan beg galasnya.

“Bekas CD? Ha aku tahu, baldi baru!” Syed Hadi semakin melalut meneka.

Enjin feri dihidupkan pemandu. Bila-bila masa sahaja perjalanan satu jam dari Kuala Perlis ke Kuah, Langkawi akan bermula.

Fadhly tak habis-habis menampakkan gigi. Kelakar amat dengan tekaan Syed Hadi yang begitu menyimpang.

“Kau memang kuat imaginasi. Takkanlah aku nak bawa baldi dalam beg?”

“Tak payah nak sembunyi sangat. Cepatlah cakap.”

Fadhly membuka zip beg galasnya perlahan-lahan. Dua keping piring plastik dikeluarkan. Satu berwarna putih dan satu lagi jingga terang. Di atas setiap satu ada lukisan singa, seperti lambang sesuatu kumpulan.

“Pinggan plastik kau bawa. Dewan Selera kan dah ada pinggan?” Syed Hadi menggaru kepala yang tidak gatal.

“Ini bukan pinggan plastiklah. Ini disc Ultimate Frisbee.”

Syed Hadi terus mengerutkan dahi. “Fris..Frisbee? Itu bukan jenama makanan kucing kah?”

Tawa Fadhly meletus lagi. Dikawalnya agar tidak terlalu kuat dan menganggu penumpang lain.

“Ultimate Frisbee. Suatu permainan yang popular di negara-negara seperti Amerika dan United Kingdom. Di Malaysia masih baru lagi.”

“Ooo. Macam mana mainnya? Yang aku tahu piring plastik orang buat main dengan anjing. Baling piring ni kemudian anjing kutip, gonggong dan bawa semula kepada kita. Macam kita tengok Mat Salleh main di Pantai Cenang semasa kem Sejarah tahun lepas.”

Tali feri yang diikat pada tiang jeti dilepaskan oleh anak kapal. Perlahan-lahan feri menjarakkan diri dari jeti sebelum menambah kelajuan enjin.

“Nantilah aku ajar kau. Takkan nak lempar disc dalam feri ni.” Fadhly tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan cara permainan tersebut sekarang.

Feri teroleng-oleng dek ombak kuat setelah sebuah feri jenis Katamaran dari arah Langkawi melalui di sebelah.

“Apa-apa sajalah. Mujur latihan Matematik Tambahan dah siap. Petang ni bolehlah kita cuba di padang maktab.” Syed Hadi menunjukkan minat. Dia menguap seluas-luasnya sambil telapak tangan cepat-cepat menutup mulut. Dia diserang kantuk yang amat.

“Aku tidur sekejap. Nanti gerakkan aku, okay?”

Fadhly mengangguk. Disc Ultimate Frisbee disimpan semula ke dalam beg dan dikeluarkan buku rujukan subjek Sejarah yang bersaiz setengah A4. Dibukanya pada bab awal tingkatan lima berkaitan nasionalisme di Asia Tenggara.

“Eh, sempat lagi kau study? Dalam feri macam ni?” Syed Hadi yang baru hendak melelapkan mata bangkit dari cubaan untuk lena.

            Fadhly membalas dengan senyum kecil. “Ada masa lebih kurang 45 minit lagi nak sampai. Daripada tak tahu nak buat apa, baik selak satu dua muka surat. Sekurang-kurangnya dapat juga habis topik nasionalisme ni.” Dia mengangkat halaman muka surat yang dibacanya lalu ditunjuk kepada Syed Hadi.

Syed Hadi tersentak. Dia menyedari peperiksaan percubaan SPM akan menjelang dalam masa dua bulan sahaja lagi. Dengan cepat dia menonyoh-nonyoh mata dengan jari telunjuk.

“Aik, kata nak tidur?”

“Tak jadilah.” Syed Hadi cekatan mengeluarkan sehelai kertas A4 berwarna jingga dengan judul ‘Cell Structure’ tercatat di tengah halaman. Dia tidak mahu ketinggalan untuk mengikut jejak langkah Fadhly sebagai pelajar tingkatan empat terbaik Maktab Sains Langkawi tahun lepas.

Dalam usaha memahami makna sistem Encomienda dan tugas-tugas Encomiendero, fikiran Fadhly menerawang. Kenangan dia mempelajari permainan Ultimate Frisbee bersama abang Haziq sepanjang cuti pertengahan tahun mengunjungi ingatan. Kata abang saudaranya itu, permainan ini sangat baru di Malaysia tambahan lagi di peringkat sekolah.

“Mampukah aku membawa usul untuk menubuhkan Kelab Ultimate Frisbee di Maktab Sains Langkawi? Adakah akan ada ahli yang mencukupi? Bagaimana penerimaan rakan-rakan dengan permainan baru ini?” Minda Fadhly bercampuk aduk dengan fakta sejarah dan mainan perasaan. Dia akui, cabaran besar sedang menantinya di maktab. Bukan mudah untuk memperkenalkan suatu permainan asing kepada warga maktab. Tambahan bagi seorang pelajar sepertinya yang sudah dilabel sebagai ‘ulat buku maktab’.

Apa pula kata Hazman dan kawan-kawannya? Fadhly teringatkan sikap Hazman yang tidak menyenangi sejak di tingkatan empat lagi. Dia segera lenyapkan segala kemungkinan. Matanya kembali tunak ke halaman buku teks - menghafal dan memahami sistem birokrasi barat yang diamalkan di Asia Tenggara semasa zaman penjajahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan