Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Rabu, 11 September 2013

Setiap Penulis Akan Mati, Tulisannya Kekal Abadi


Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki (tengah)

Hampir setiap hari saya menerima mesej dan pertanyaan dari sahabat-sahabat FB. Ramai yang mahu belajar ilmu penulisan daripada saya. Serius, saya bukan tidak mahu berkongsi, tetapi saya sendiri masih baharu dan bukanlah bagus mana. Tambahan pula saya juga sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita.

Seperti yang diceritakan sebelum ini, saya sebenarnya bukan seorang peminat novel, apatah lagi berangan-angan untuk menghasilkan sebuah novel. Saya memulakan penulisan novel ini tanpa mengikuti sebarang kursus penulisan dan tanpa sebarang novel di dalam simpanan untuk dijadikan rujukan. Jadi, saya tidak biasa dengan lenggok bahasa yang berbunga-bunga untuk menarik minat pembaca. Sungguh, dari mula mengarangnya, saya hanya tahu menterjemah ilham di kepala ke skrin monitor. 

Namun tentu sahaja ia tidak berlaku sekelip mata. Ada proses-prosesnya. Pertama, proses mengumpul bahan cerita. Alhamdulillah, pelbagai perkongsian kisah dan masalah daripada orang-orang di sekeliling menjadi bahan berguna buat saya. Kemudian saya terfikir betapa ruginya andai saya mati dan kisah-kisah seperti itu turut terkubur seiring dengan reputnya jasad saya nanti. Andai ditulis, mungkin banyak pihak yang boleh mendapat manfaat daripadanya. 

Namun, untuk mula menulis adalah satu masalah besar bagi saya. Sebenarnya, jangan katakan novel, menulis cerpen pun saya tidak pernah. Jadi, saya agak 'takut-takut' untuk bermula. Namun, entah bagaimana, pada suatu hari, saya dapat kekuatan untuk cuba mengarang satu bab cerita. Saya berikan kepada kawan baik saya untuk membacanya. Hanya suka-suka. 

Maklum balas yang saya terima daripada dia membuatkan saya begitu gembira. Katanya, saya mampu menggambarkan situasi dengan begitu terperinci. Sesuai sangat dengan penulisan novel yang boleh membantu pembaca menghayati sesebuah cerita. Dia juga kata tulisan saya santai dan seronok dibaca. Dalam menghayati cerita, ada ilmu yang boleh dikongsi. Lalu, sahabat tadi minta saya terus menulis lagi. 

Galakannya membuatkan saya tiba-tiba menjadi lebih serius untuk mula mereka-reka watak dan jalan cerita. Seperti ada satu desakan yang cukup kuat, saya mula mengarang lagi, dari satu muka surat kepada satu lagi muka surat. Sepanjang proses mengarang, sebenarnya saya telah membuat satu group di facebook dan menjemput beberapa orang sahabat yang kaki novel untuk membacanya. 

Setiap kali selesai satu bab, saya akan pos ke group tersebut. Selain mengharapkan komen mereka, saya juga pernah berpesan kepada mereka agar meneruskan karya novel ini andai sahaja saya meninggal dunia pada bila-bila masa. Tentulah sayang jika karya sudah separuh jalan tetapi terhenti di pertengahan. Sungguh, saya benar-benar mengharapkan pahala berterusan atas usaha yang sedang saya lakukan. 

Sebenarnya, idea dari satu bab ke satu bab muncul dari semasa ke semasa. Ada beberapa jalan cerita yang berubah seiring dengan idea-idea baharu yang saya terima. Walaupun sibuk dan agak penat dengan pelbagai komitmen, saya bersyukur kerana Allah beri ruang dan kekuatan untuk saya terus menulis pada setiap hari. Biasanya selepas Isyak saya sudah tidur dan terjaga semula untuk mula menghadap komputer pada jam 3.00 pagi. Apa pun, alhamdulillah, dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, saya selesai menyiapkan jalan ceritanya secara keseluruhan. 

Dalam masa yang sama, saya juga telah menghantar beberapa contoh bab novel melalui e-mel kepada Tuan Haji Zakaria Sungib, di syarikat penerbitan Galeri Ilmu. Kebetulan saya memang mengenali beliau kerana pernah berurusan untuk beberapa hal berkaitan penerbitan buku saya yang terdahulu. 

Maklum balas beliau semakin menaikkan semangat saya. Katanya, tulisan saya sangat sesuai untuk diterbitkan dan meminta saya membuat proposal jalan cerita untuk dikemukakan di dalam mesyuarat. Dipendekkan cerita, proposal tersebut diterima. Maka saya mula mengemas kini manuskrip novel setebal 640 muka surat ini untuk diserahkan kepada mereka. 

Dalam masa yang sama, saya juga melakukan proses tashih isi kandungan novel untuk memastikannya tidak bersalahan dengan ilmu agama. Cuma ada satu cabaran lagi, proses menerbitkan novel ini memang mengambil masa yang cukup lama. Oleh kerana saya pernah menerbitkan buku sebelum ini, saya juga hampir-hampir sahaja mengambil keputusan untuk menerbitkan novel ini sendiri. 

Walau bagaimanapun, Allah memujuk saya untuk bersabar dengan menemukan sebuah poster di Facebook yang berbunyi:
  
IF YOU WANT TO GO FAST, GO ALONE.
IF YOU WANT TO GO FAR, GO TOGETHER. 

Saat membaca kata-kata inspirasi ini, saya diberi hidayah untuk memahami keadaan dan menerima kebenarannya. Saya tahu sebuah syarikat penerbitan yang besar seperti Galeri Ilmu mempunyai pelbagai komitmen dan senarai karya yang masih berbaris menunggu untuk diuruskan. Jadi, saya memilih untuk terus bersabar. Saya memilih peluang kerja berjemaah untuk mendapatkan impak yang lebih besar. Syukur, kerjasama bersama mereka memang benar-benar berbaloi buat saya. Banyak yang dapat saya pelajari. Banyak jalinan ukhuwah yang terjalin akrab sesama kami. 

Akhirnya, penantian saya sampai ke hujung jalan. Manuskrip saya siap disunting, diikuti pula dengan selesainya proses pemilihan tajuk dan reka bentuk. Saya kemudiannya sudah boleh menarik nafas lega tatkala editor memaklumkan bahawa ia sedang melalui proses terakhir, iaitu tunggu selesai dicetak sahaja. Ketika menerima berita gembira daripadanya, saya cuma mampu tersenyum dan berkata, "Ya Allah, aku sudah selesai menggalas satu amanah." Allahu Akbar. Lega. Sungguh lega! 

Begitulah kisahnya. Kisah penghasilan novel tarbiah saya yang pertama. Sungguh, ianya tidaklah begitu terancang. Walaupun tidak berlaku sekelip mata, bagi saya its just happened! Jadi kepada para sahabat yang bertanya, maaf kerana tidak mampu menerangkan secara terperinci bagaimana saya merangka watak-watak dan plot cerita, aspek pemilihan bahasa, jadual penulisan saya secara berkala dan sebagainya.. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya. 

Kisah ini saya kongsikan demi menjawab pertanyaan rakan-rakan yang bertanya. Bagi saya, idea, ilham, ruang dan peluang untuk menulis semuanya daripada Allah. Untuk yang berbakat menulis, tulislah, kerana bakat adalah satu amanah. Untuk yang berhajat menulis, mintalah ilham dan idea daripada Allah. Hanya Dia yang berkuasa menunaikan segala permintaan kita sebagai hamba-Nya. 

Insya-Allah ... jika ada kelapangan, pada sesi perkongsian yang akan datang, saya akan kongsi bagaimana cara dan teknik menulis novel yang saya pelajari dalam beberapa kursus yang telah saya hadiri. Ilmu-ilmu ini hanya saya dapat setelah selesai menulis novel saya yang pertama saya ini.

Apa pun, tulislah sesuatu. Setiap penulis akan mati. Hanya tulisannya yang akan kekal abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan kita di akhirat nanti. Moga dipermudahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan