Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Selasa, 23 Oktober 2012

Contoh Sinopsis dan Maklum Balas Editor

Sinopsis Keseluruhan
ANDAINYA AKU AFFRINA
Nor Hayati Sapii

Alia  merupakan murid  Tingkatan  Dua di Sekolah Menengah Seri Permai yang terletak di kawasan perumahan mewah Seri Permai di pinggir Bandar KB. Alia bagaimanapun bukanlah terdiri daripada kalangan mereka yang berada, malah kehidupan keluarganya serba kekurangan. Rumah kayu pusaka datuknya yang enggan dijual oleh keluarganya menyebabkan dia tinggal di kawasan yang dikelilingi oleh kawasan perumahan mewah  yang sedang giat dimajukan.

Walaupun hidup dalam kemiskinan, ikatan kekeluargaan dalam keluarga Alia yang terdiri daripada ibu, bapa, seorang kakak dan abang serta dua orang adiknya amat mesra. Bapanya seorang yang kuat bekerja dan ingin melihat anak-anaknya berjaya.  Ibunya pula  seorang yang berhemah dan bijak mengatur urusan rumah tangga walaupun dalam keadaan keluarganya yang susah. Kedua-dua ibu bapanya, walaupun tegas dalam hal-hal tertentu, amat memahami dan penyayang. Kakak dan abangnya  tidak mendatangkan masalah, malah masing-masing cuba dengan cara sendiri membantu keluarga. Adik-adiknya yang ‘suka makan’ sesekali menimbulkan kelucuan. Satu-satunya masalah besar dalam keluarga Alia hanyalah wang. Sesekali Alia terpaksa menahan malu dengan bayaran yuran yang lewat dan kadangkala tertunggak.

Alia merupakan pelajar pintar di sekolah, satu-satunya kelebihan yang telah meredakan perasan rendah dirinya dalam kalangan kawan-kawan sekolah. ‘Angah’, Noreen, dan pasangan kembar Lina dan Lisa merupakan kawan-kawan rapatnya di sekolah. Semua mereka adalah daripada golongan keluarga berada yang tinggal di kawasan perumahan Seri Permai. Secara keseluruhan, pencapaian akademik Alia lebih baik daripada mereka, malah Alia selalu di tempat teratas di kelasnya. Sokongan moral daripada kawan-kawan terutamanya Angah membuatkan Alia mampu bertahan di sekolah itu. Alia sentiasa bersemangat dan rajin dalam pelajaran. Tambahan pula, ibu bapa, kakak dan guru-guru juga banyak memberi dorongan kepadanya. Alia sedar, dengan ilmu pengetahuan sahaja kehidupannya boleh berubah.

Kehadiran murid baharu, Affrina, di kelasnya  bagaimanapun telah menjejas emosi dan kehidupan persekolahan Alia. Affrina bukan sahaja daripada keluarga ternama dan berada malah cantik dan bijak. Affrina juga lemah lembut dan berbudi bahasa. Affrina pandai bergaul dengan sesiapa sahaja. Perhatian rakan-rakan sekelas serta guru-guru terhadap Affrina menimbulkan rasa ‘cemburu’ di hati Alia. Apatah lagi apabila ternyata Affrina lebih bijak daripada dirinya. Affrina memiliki segala-galanya! Hidup ini tidak adil! Itulah bisikan hati yang seringkali mengganggu Alia. Perasaan kecewa dan rendah diri kembali bertamu di jiwa Alia. Walhal perasaan itu telah lama berjaya disingkirkannya setelah dia berjaya mendapat tempat nombor satu dalam peperiksaan pertamanya semasa di tingkatan  satu dulu.

Kini keadaannya agak sukar bagi Alia. Kakaknya yang sedikit sebanyak mengetahui hal itu sudah banyak menasihati Alia. Ibunya yang mula mengesyaki sesuatu tidak kena pada diri Alia juga tidak putus-putus memberi kata semangat. Namun semuanya tidak berbekas di hati Alia. Keadaannya kini berbeza. Affrina lebih daripadanya dalam segala hal. Alia selalu membayangkan betapa indahnya andai dirinya di tempat Affrina. Setiap kali berdepan dengan kesusahan dan masalah, Alia akan teringatkan Affrina. Betapa semua hal akan selesai dan tidak menjadi masalah seandainya dirinya di tempat Affrina. Alia betul-betul cemburu dengan  Affrina!

Kehadiran Affrina benar-benar membuatkan hidup Alia tidak keruan. Lebih memeningkan kepala Alia lagi apabila Affrina sangat baik terhadap dirinya malah mengaku dirinya (Alia) sebagai kawan baik. Affrina juga sering memberinya hadiah. Walau apa pun, yang pastinya jiwa dan perasaan Alia tidak setenang dulu. Kemerosotan pencapaian akademiknya dalam peperiksaan pertengahan tahun membuatkan Alia benar-benar hilang punca dan tercabar!

Menjelang cuti sekolah pada bulan Ogos, kawan-kawan  Alia merancang mengadakan aktiviti ‘Bersama Rakan’. Setiap orang akan mendapat peluang tinggal di rumah kawannya  selama  dua hari  secara bergilir. Pada mulanya Alia enggan ikut serta, namun desakan kawan-kawan dan takut dirinya dipulaukan, menyebabkan Alia terpaksa mengalah. Setelah undian dijalankan, Alia terpaksa bergandingan dengan Affrina! Affrina akan bertamu ke rumahnya dan selepas itu Alia pula akan berkunjung ke vila Affrina!

Rancangan ‘Bersama Rakan’ itu telah mengubah segalanya. Apa yang diandai Alia mengenai keindahan hidup seorang Affrina banyak yang meleset. Alia hanya menyedari nasihat kakak dan ibunya adalah benar apabila dia sendiri berpeluang tinggal bersama Affrina. Satu demi satu kekurangan dalam hidup Affrina yang tidak pernah difikirkan Alia telah terbongkar. Keadaan menjadi sebaliknya apabila Alia bukan sahaja tidak mahu malah tidak sanggup lagi membayangkan dirinya di tempat Affrina. Alia malah simpati dan kagum dengan ketabahan Affrina. Affrina telah mengajar Alia tentang hakikat kehidupan! Kini Alia bersyukur menjadi dirinya sendiri.

Akhirnya Alia memperolehi semula ‘semangat’ dan keazamannya yang hampir lenyap. Malah kali ini semangat dan azamnya untuk berjaya dalam pelajaran lebih kental dan berkobar-kobar. Benarlah Tuhan itu tidak pernah berlaku tidak adil pada hamba-Nya. Mulai sekarang, Alia bertekad, apa jua dugaan yang mendatang tidak akan melemahkan dirinya lagi!


MAKLUM BALAS SAYA (kredit buat Haji Zakaria Sungib, pada masa artikel ini disunting beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd.)

Selepas menerima sinopsis keseluruhan di atas, saya memberikan maklum balas berikut kepada penulis:

Assalamualaikum wr. wb.

Puan Nor Hayati,
Terima kasih kerana mengajukan sinopsis novel remaja ANDAINYA AKU AFFRINA.

Novel ini ada kekuatan tersendiri. Dari sinopsisnya, jelas apa yang hendak disampaikan dan jelas puan dapat memahami jiwa remaja. Melalui olahan yang baik, saya yakin novel ini dapat membawa pembaca kepada perlunya syukur menjadi diri sendiri dan yakin dengan kekuatan diri yang Allah kurniakan kepada setiap orang.

Novel ini mengingatkan saya kepada novel remaja Ophie Out of Oz karya Kathleen O'Dell, mengenai watak Ophie yang tiba-tiba mendapati dirinya tidak lagi popular apabila berpindah ke sekolah baharu, kerana disaingi oleh watak dua TV girls yang cukup glamor. Sampai ke satu tahap, Ophie cuba
menggabungkan dirinya dengan TV girls itu dengan menipu hakikat tentang dirinya, sebelum akhirnya dia dapat kekuatan dengan kekal menjadi diri sendiri.

Novel puan dapat mengajak anak remaja menyedari keadilan Tuhan dalam memberi kelebihan dan kekurangan kepada setiap orang, dan perlunya remaja menjadikan 'kekurangan' diri sebagai platform untuk bina kekuatan.

Melalui rancangan 'bersama kawan' juga secara tidak langsung boleh diselitkan konsep bertamu dan meraikan tetamu, di sampung konsep menjaga aurat di dalam rumah yang ada orang bukan mahram.

Novel ini juga boleh diselitkan unsur humor di banyak tempat, seperti melalui interaksi Alia dengan kawan-kawan rapatnya terutama si kembar Lina dan Lisa, dan adik-adiknya yang suka makan. Unsur humor juga boleh diselitkan melalui konflik dalaman Alia yang rasa dirinya kurang, lalu cuba menutupi 'kekurangan' itu dengan cara yang tidak munasabah - misalnya, sanggup ikat perut untuk cukupkan duit untuk balas pemberian hadiah Affrina.

Bersama e-mel ini saya sertakan contoh sinopsis yang puan boleh 'study' untuk mengembangkan novel puan dan memecahkannya kepada bab-bab.

Apa kata puan ambil keberkatan bulan Syaaban ini untuk merangka sinopsis bab ke bab novel ini. Selepas itu puan cuba pula tulis dua bab contoh (mana-mana bab) untuk kami nilai.

Seperti saya sebut kelmarin, kami biasanya memberi ruang masa 3 bulan kepada penulis untuk menyiapkan manuskrip lengkap setelah kami meluluskan sinopsis dan bab-bab contoh yang diajukan. Puan mungkin boleh cuba sasarkan untuk siapkan sinopsis bab ke bab dan bab contoh pada akhir bulan
Syaaban ini. Seterusnya, selepas kami luluskan, puan boleh sasarkan menyiapkan manuskrip lengkap dalam masa 3 bulan berikutnya (Ramadan, Syawal dan Zulkaedah).

Sila berhubung melalui e-mel atau telefon jika puan ada kemusykilan. Selamat menulis dan selamat datang ke dunia penulisan novel remaja Islam bersama Galeri Ilmu Sdn Bhd.

"BUKU KITA HARTA KITA"

Wassalam
ZAKARIA SUNGIB
03-61421614
RM18.00

Tiada ulasan:

Catat Ulasan