Berikut
adalah enam kriteria karya fiksyen Islami atau fiksyen tarbiah yang GIMG mahukan:
1. Mesejnya
mendidik dengan nilai Islam, memberi kefahaman Islam & menyerlah keindahan
Islam
‘Intellectual discourse’ berorientasikan Islam.
Mesejnya jelas, tidak kabur dan tidak tergantung. Tidak membiarkan
pembaca terkial-kial mencari mesej. Penyudah cerita mungkin tergantung tetapi
mesej mesti jelas. Mesej tidak boleh tergantung dan diserahkan kepada pembaca
mencarinya atau mentafsirnya sendiri.
2. Dominasi
Watak Yang Mendidik (Watak Tarbawi)
Watak yang
diangkat menjadi watak utama di dalam karya Islami adalah watak yang dapat
menjadi ikutan. Watak yang secara fitrahnya disenangi oleh pembaca. Watak yang
ada ciri-ciri keperibadian yang para pembaca suka untuk salin pada diri mereka.
Watak yang menampilkan dakwah lisanul hal (melalui perbuatan) mahupun lisanul
maqal (melalui kata-kata). Pembaca akan ingat dan terkesan dengan ketinggian
peribadi watak ini.
Dalam banyak-banyak watak yang menghidupkan cerita, watak yang dijulang
ialah watak yang memiliki banyak ciri kesempurnaan atau berkembang ke arah itu.
Watak itu mungkin bukan watak protagonis utama, tetapi ia berfungsi sebagai
‘mentor’ kepada watak utama. Apabila satu-satu watak itu tersesat jalan dan
menjadi lemah, watak mentor ini tampil menguatkan.
Watak yang harus dijulang juga ialah watak yang ada daya tahan dengan ujian
daripada Allah, bukan watak yang lemah atau mudah putus asa daripada rahmat Allah.
Watak ini juga bukan watak yang ‘anti-shariah’, lebih-lebih lagi yang kaki
maksiat (seperti sesetengah watak hero dalam banyak karya Barat). Sebaliknya,
watak ini mengangkat tinggi syariat.
Karya Islami juga harus didominasi oleh watak yang faham Islam atau
berkembang ke arah itu. Sifat lapang dada dan pemaafnya lebih menonjol daripada
sifat irihati dan dendam. Dia didendami tetapi dia tidak berdendam. Apabila
datang rasa dendam, ada usaha watak ini untuk melawannya atau ada watak lain
membantu menguatkan jiwanya.
Dalam karya Islami tidak ada tempat istimewa untuk watak tipikal yang
perengus, baran, miang, pendendam, dan sebagainya yang tidak dapat dijadikan
contoh. Apabila ada watak begitu dalam karya Islami, ia diletak terpinggir,
tidak dominan dan kalah.
3. Dominasi
Dialog Yang Membina/Membangunkan Jiwa
Dialog
positif (sopan dan berakhlak) lebih dominan daripada dialog kasar dan biadab.
Jika ada sedikit dialog kasar atau biadab, ia mesti diletakkan kena pada
tempatnya dan mesti diiringi dengan banyak dialog lain yang sopan dan
berakhlak. Dengan kata lain, dialog negatif jika pun perlu dimasukkan, harus
disukat ‘dos’nya supaya pembaca lebih ingat dan terkesan dengan dialog-dialog
positif.
Misalnya dialog positif yang membawa kepada rasa bertuhan dan sifat hamba,
dialog yang mencerminkan sifat pemaaf, penyayang, belas kasihan, berlapang dada
dan sebagainya.
4. Babak Dan
Aksi Yang Selektif Lagi Terkawal
Babak dan
aksi positif lebih dominan. Akhlak dan adab Islam diselitkan di mana-mana
tempat yang sesuai. Perangai buruk atau perilaku jahat tidak ditonjolkan sangat
atau berlebih-lebihan.Babak yang mengheret watak kepada situasi ‘powerlessness’ (habis ikhtiar) harus dimanfaatkan untuk menyuntik nilai tauhid – penyerahan diri dan pergantungan pada Allah. Bukan sekadar menyedapkan cerita dengan elemen suspens.
5. Penceritaan
Latar Menjana Imaginasi Positif
Penceritaan
tentang latar tempat dan situasi dikawal supaya seimbang, supaya tidak
berlebih-lebihan dalam menceritakan yang negatif. Misalnya, penceritaan tentang
kelab malam (jika perlu) tidak berlebih-lebihan. Tidak ada gambaran suasana
tempat maksiat yang terlampau terang gambarannya. Begitu juga penceritaan
tentang perangai buruk sesuatu watak, tidak berlebih-lebihan.
Penceritaan tentang alam sentiasa dikaitkan dengan kebesaran dan
kebijaksanaan Tuhan.
Karya Islami harus dapat memberi pengalaman rohani yang mengesankan kepada
pembaca. Kesan itu harus dapat dirasai oleh hati, kerana hati ialah ‘suis’
kepada perubahan peribadi. Ia harus dapat membawa pembaca dari satu takah
kepada satu takah yang lebih baik. Misalnya:
- dari rasa
jauh kepada rasa dekat dengan Allah
- dari
‘meminggirkan’ Allah kepada membesarkan Allah.- dari memandang remeh syariat Allah kepada meninggikan syariat Allah.
- dari keluh-kesah dengan ujian kepada redha dan berlapang dada.
- dari menafikan nikmat kepada bersyukur dengan nikmat.
- dari kecewa dan berputus asa kepada menaruh harap kepada rahmat Allah.
- dari terbiasa melakukan larangan Allah kepada ghairah untuk taat.
- dari bersifat pendendam kepada bersifat pemaaf.
- dari tidak faham Islam kepada faham Islam.
- dari iri hati kepada berlapang dada.
- dari cinta dunia kepada cinta akhirat.
- dari harap makhluk kepada harap Kholiq.
![]() |
RM13.00 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan