Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 17 Januari 2013

Hak Cipta dan Carta

(Blog Muhd Kamil Ibrahim)

Semalam Ida dan suami membawa sekotak bungkusan kiriman Galeri Ilmu. Terkandung di dalamnya 10 naskah buku Bersyukur Saat Diuji, 10 naskah buku Bukan Sekadar Resepi, majalah ANIS dan 4 salinan perjanjian penerbitan buku. Paling seronok saya melihat fasa 1 yang menyebut secara jelas yang pengarang memegang hak cipta yang sah dan memberi lesen yang sah kepada penerbit untuk menerbitkan buku tersebut dengan BERTEMPOH. Ia dinyatakan secara jelas yang tempoh pemberian lesen tersebut bermula 2hb April 2012 sehingga 1hb April 2015. Dengan memberi notis 14 hari dari tarikh lupus perjanjian, penulis boleh mengambil kembali hak penerbitan tersebut. Jika tidak ia akan bersambung secara automatis untuk selama tiga tahun berikutnya.

Saya fikir ia perjanjian yang sangat adil. Penerbit yang menjaga kebajikan penulis-penulisnya – termasuk kebajikan hati dan perasaan – tidak akan berasa gusar dengan perjanjian seumpama ini walaupun ia hasil karya yang laku keras dan terdedah kepada pelbagai kemungkinan.
Penulis bukan penerbit. Masing-masing mempunyai peranan dan kepakaran tertentu. Jarang benar seorang penulis mahu menerbit dan mengedar sendiri buku-buku mereka. Hubungan profesional antara penulis dengan penerbit merupakan salah satu faktor keseronokan menulis dan menerbitkan hasil tulisan tersebut dari sudut seorang penulis. Saya tidak terkecuali.

Sehingga saat ini, saya berterima kasih kepada Galeri Ilmu kerana memberi ruang untuk kami menulis dan tidak perlu memikirkan perkara remeh-temeh untuk menjadikan hasil tulisan itu diterbitkan. 

Carta

Pasca Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Minggu lepas, Bersyukur Saat Diuji menduduki tangga ke 12 carta buku popular MPH. Bukan Sekadar Resepi tidak termasuk dalam carta. Seminggu kemudian, BSD sudah naik enam anak tangga, menduduki tangga ke 6. BSR pula berada di tangga ke 12.

Saya membacanya apabila google kedua-dua tajuk untuk melihat komen-komen pembaca. Walaupun ia tidak membawa gambaran sebenar suasana keseluruhan pasaran, saya bersyukur kepada semua khalayak yang telah memilih untuk membeli kedua-dua buku tersebut.

Terima kasih kepada semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan