Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 9 Mei 2013

Tip Penulis- Besarkan Jenama Diri Anda

Ustaz Hasrizal penulis bestseller 'Aku Terima Nikahnya'.
Sebagai bakal penulis anda perlu berfikir bagaimana untuk branding atau jenamakan diri anda sebagai sebuah entiti yang kuat.

Sebagai contoh, Ain Maisarah dilihat sebagai penulis yang mempunyai jenama di mata pelajar sekolah, ibu bapa dan sebagainya.

Mengapa? Ada dua faktor yang saya mahu jelaskan.

1. Memahami genre atau pasaran 

Sebagai penulis Ain Maisarah bijak menjenamakan diri beliau sebagai penulis yang memasuki genre atau pasaran remaja. Semua buku top atau bestseller beliau adalah berkenaan remaja.

Ini bermakna beliau benar-benar faham apakah itu genre remaja dan apakah yang dimahukan remaja dalam setiap karya yang mereka beli. Remaja mahukan cerita santai, sensasi, humor, ceria dan menyentuh emosi mereka sesuai dengan jiwa mereka yang segar, ceria dan gembira.

Jadi sebagai bakal penulis bestseller dan mempunyai jenama diri yang besar anda perlu benar-benar menguasai genre yang anda mahu tulis. Katakanlah anda mahu brandingkan diri anda sebagai penulis motivasi ketuhanan, jadi anda perlu faham apakah itu genre motivasi ketuhanan? Apakah yang dimahukan pembaca dalam genre itu?

2. Tulis secara bersiri

Sebagai pembaca, mereka kenal penulis apabila penulis banyak menghasilkan buku. Sebagai contoh, Ramlee Awang Murshid dikenali pembaca kerana beliau fokus pada genre triler. Beliau dikenali sebagai penulis pakar triler kerana kesemua buku atau novel beliau berkisar tentang itu. Malah setiap bulan ada sahaja buku terbaharu beliau di pasaran.

Jadi untuk menjadi penulis yang dikenali, fokus kepada genre yang anda minati. Jika anda suka tulis berkaitan cerita kanak-kanak maka jelmakan jenama anda sebagai penulis pakar kanak-kanak dan seterusnya.

Apa yang terjadi kepada kebanyakan penulis mereka terperangkap dalam situasi kepelbagaian genre. Semua genre mahu ditulis kerana faktor itu dirasakan mampu menaikkan jenama mereka sebagai penulis serba boleh. Jika sindrom ini ada dalam diri anda sila buang jauh-jauh.

Untuk lebih menyenangkan nama anda dikenali penulis, lebih baik menulis buku secara bersiri. Tulis buku secara siri bagus kerana pembaca mudah mengenali diri anda. Katakanlah anda menulis siri Geng Amir: Balik Kampung. Kemudian pada bulan seterusnya anda boleh pula menghasilkan Geng Amir: Memancing Ikan di Sawah dan seterusnya.

Cukup sampai di sini dahulu. Ada masa kita jumpa lagi. Jangan lupa teruskan membaca untuk menghasilkan buku anda sendiri suatu masa nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan