Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Jumaat, 21 Jun 2013

Bagaimana Editor Memilih Judul?

Setiap orang ada nama, setiap objek ada istilah. Begitu juga dengan buku, perlu ada judul. Bagaimana editor memilih judul? Antara faktor yang boleh diambil kira adalah seperti berikut:

1. Penulis
Orang yang paling layak memilih judul ialah penulis kerana melalui penulis, buku itu siap dihasilkan manuskripnya. Idea buku juga sebetulnya ialah ilham penulis, melainkan diminta oleh penerbit untuk dituliskan buku sekian-sekian. Cadangan judul diberi oleh penulis, keputusan akhir untuk memilih judul sesuatu buku tetap daripada penerbit.

2. Kategori / Isi buku
Akademik atau konvensional? Motivasi atau novel? Seram atau lucu? Juga lain-lain lagi.

3. Pembaca
Siapa pembaca sasaran? Judul yang baik perlu melibatkan mereka, sama ada secara langsung atau berkias. Contoh judul motivasi yang melibatkan pembaca sasaran secara langsung: Rahsia Menjadi Suami Mithali. Bagi judul yang melibatkan pembaca secara berkias pula, judul boleh jadi diambil dalam bentuk dialog yang sering orang sekitar mereka gunakan. Contoh judul novel dewasa: Saya Sayang Awak.

4. Nilai tarbiah
Nilai tambah dalam memilih judul buku-buku Islami, judulnya perlu mengajak atau melambangkan kebaikan. Melalui judul pembaca sudah mendapat aura positif yang cuba disampaikan isi buku yang dikarang penulis. Tidak pada tajuk utama, boleh jadi mesej itu diwakili oleh sub tajuk atau kata-kata ringkas pada kulit buku. Contohnya judul novel Eee ... Sayur! Sub tajuk novel ini ialah Tidak Mahu Tetapi Perlu. Contoh judul motivasi: Di Mana Bumi Dipijak. Kata-kata ringkasnya cukup bernilai tarbiah iaitu, 'Panjangnya langkah adalah pada banyaknya iktibar yang dapat dikutip.' Ringkas tetapi signifikan.

Tip buat penulis buku-buku Islami, memang benar niat kita besar. Kita mahu menjadi 'pintu' agar orang lain mendapat hidayat untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Namun harus diambil perhatian, bukan semua pembaca buku-buku Islami terdiri daripada mereka yang sudah tersedia imannya dengan istilah Islami yang kadang-kadang jarang-jarang diguna pakai. Mahu tidak mahu, kita perlu letak diri kita sebagai orang yang bakal (atau yang kita mahu dia) lihat, pegang, beli dan baca buku-buku kita.

Elakkan diri kita daripada menjadi 'pintu' hidayat bertukar menjadi 'dinding' hidayat. Mudahkan, jangan susahkan. Antara buku Islami yang bestseller, motivasi, judulnya: Senyumlah, manakala novel, judulnya: Friends Forever.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan