Penulis dan bakal penulis mohon ambil perhatian.
Menggunakan perkataan mujurlah, syukurlah dan bukannya perkataan nasib baik [percaya kepada qada dan qadar (takdir), bukan nasib].
Menggunakan perkataan jika, andai, sekiranya, apabila dan bukannya perkataan kalau (kurangkan penggunaan kalau).
Sebagaimana yang anda maklum, novel Islami amat mementingkan nilai tarbiah di dalamnya. Pemilihan kata yang kurang sesuai juga memainkan peranan yang penting kepada pemahaman sesuatu ayat yang dibuat.
Contoh kesilapan: Andai sahaja mereka berasal daripada orang berada, Mutharah pasti lagi di sisi.
* Penggunaan perkataan pasti membawa maksud bahawa sekiranya mereka mempunyai banyak duit, pasti Mutharah masih lagi hidup, seolah-olah membawa maksud bahawa duit mempunyai kuasa untuk menyelamatkan nyawa seseorang.
Sepatutnya: Andai sahaja mereka berasal daripada orang berada, Mutharah mungkin lagi di sisi.
* Perkataan mungkin dicadangkan kerana perkataan ini lebih sesuai untuk memberitahu pembaca bahawa duit merupakan perantara semata-mata yang tidak menentukan hidup mati seseorang.
Penggunaan istilah tiba-tiba diharapkan dapat dikurangkan (jika boleh). Walaupun penggunaannya untuk mewujudkan perasaan cemas atau kejutan kepada pembaca, penulis boleh menggantikannya dengan frasa seperti tidak semena-semena, tanpa diduga, dengan mengejut, secara mendadak, entah dari mana atau sebagainya. Ini kerana, istilah tiba-tiba seolah-olah menunjukkan sesuatu kejadian itu berlaku dengan sendirinya. Maksudnya di sini, istilah ini memberi makna tanpa kiasan. Walau apa pun, kita semua tahu bahawa setiap kejadian itu berlaku melainkan yang telah ditetapkan-Nya. Itulah dia, tiada satu perkara yang berlaku dengan tiba-tiba. Jadi, frasa yang saya beri sebagai contoh itu sebagai kiasan supaya pembaca tidak lupa akan hakikat sesuatu kejadian yang berlaku itu adalah sudah pun ditetapkan oleh-Nya.
Istilah solat lebih wajar digunakan sekiranya merujuk kepada ibadat orang Islam berbanding sembahyang. Perkataan sembahyang digunakan apabila merujuk kepada amalan orang bukan Islam.
Huruf besar digunakan sebagai huruf pertama dalam ungkapan yang berhubungan dengan kitab suci dan nama Allah, termasuk kata ganti untuk Allah. solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak; nama subjek seperti Matematik, Bahasa Melayu dll.
Contoh kesilapan: Seperti aku mencintaimu
Sepatutnya: Seperti aku mencintai-Mu
Contoh kesilapan: Jagalah amanah Tuhan dan tinggalkan larangannya.
Sepatutnya: Jagalah amanah Tuhan dan tinggalkanlah larangan-Nya.
* Tanda sempang digunakan untuk merangkaikan kata dengan kata ganti nama Allah
Bilangan ayat al-Quran ditulis begini
Contoh kesilapan: ‘Surah Yusuf ayat 92’
Sepatutnya: (Yusuf 12:92)
Contoh kesilapan: Surah al-Baqarah ayat 53
Sepatutnya: (Al-Baqarah 2:53)
Firman Allah SWT, “Janganlah kamu lemah dan jangan pula berduka cita, sedang kamu orang yang lebih tinggi jika kamu beriman.” (Ali Imran, 3:139)
Untuk hadis pula, ditulis begini- Sabda Rasulullah SAW, daripada Fadhalah bin Ubaid r.a., “Berbahagialah orang yang diberikan hidayat kepada Islam. Manakala kehidupannya pula sentiasa mencukupi dan berpada.” (Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW, “Dinikahi perempuan itu kerana hartanya dan keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama, nescaya kamu akan beroleh keuntungan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pemilihan nama yang Islami juga adalah dititikberatkan. Watak seperti Razak dan Rahim (nama-nama Allah) diharap dapat ditukarkan kepada nama lain yang tidak memerlukan panggilan Abdul atau nama penuh apabila ditulis. Jika masih ingin menggunakan nama-nama seperti ini juga, hendaklah ditulis penuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan