Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Isnin, 1 Julai 2013

Lima Bintang untuk Novel Konstantinopel


Ada apa dengan novel sejarah setebal 885 muka surat ini? Saya bukan seorang yang gemar membaca buku-buku tebal sehabis zaman sekolah dan kolej, tetapi adalah sesuatu yang amat rugi jika tidak memiliki dan membaca buku ini. Merupakan buah tangan Tuan Web Sutera yang kedua saya perolehi dan yang pertama saya baca. Maaf jika reviu ini tidak sempurna.

Syabas penulis kerana telah menghasilkan karya sebegini dan memberi peluang pada kami untuk sama-sama mengembara dalam buku tuan ini. Novel sejarah yang sarat dengan ilmu dan pengajaran di dalamnya. Justeru banyak pengalaman dan ilmu-ilmu baharu yang saya perolehi.

KONSTANTINOPEL (nama asalnya Bizantium), sebuah kota bersejarah yang menjadi rebutan, dibina semula daripada puing-puing tinggalan koloni Greek yang membinanya pada abad ke-7 Sebelum Masihi. Kemegahan kota dicemburui pelbagai pihak (Rom, Itali, dan suku kaum yang memerintah kerajaan-kerajaan Eropah). Betapa pentingnya Konstantinopel dalam sejarah Islam dan Kristian hinggakan disebut oleh Rasululullah (SAW) semasa Perang Khandak, mafhumnya, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawahnya ialah sebaik-baik pasukan.” (Riwayat Ahmad bin Hambal)

Ia juga memperlihatkan tanda-tanda kenabian Rasulullah (SAW) yang sering menceritakan kejadian yang akan terjadi pada masa hadapan. Bermula semasa Perang Khandak, hingga percubaan Sahabat-sahabat Nabi, maka akhirnya percubaan Sultan Muhamad Al-Fateh yang ketika itu baru berusia 21 tahun seterusnya merealisasikan kata-kata Rasulullah (SAW) serta impian umat Islam khususnya. Tentera-tentera Islam mendapat rintangan dan dugaan maha hebat demi sebuah Kota Idaman.

Ia juga menceritakan pentingnya jasa dan peranan Muawiyah bin Abu Sufiyan bersama-sama dengan seorang lagi Sahabat Rasulullah bernama Abu Ayub Al-Ansari yang digelar ‘orang suci’ oleh orang-orang Rom dan warga Konstantinopel. Abu Ayub juga berpesan apabila dia meninggal dunia dia mahu disemadikan di hadapan pintu gerbang kota tersebut supaya dia boleh mendengar derapan kaki kuda tentera Islam menawan ibu kota Bizantin itu.

Subhanallah. Lailllahaillallah. Allahu Akbar! Tersentuh hati dan rasa insaf apabila diberitahu bahawa tentera-tentera Islam pada waktu itu adalah daripada kalangan orang-orang yang tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak akil baligh lagi. Termasuk Sultan Muhammad Al-Fateh, pejuang yang agung, yang tidak pernah meninggalkan solat dan rajin bertahajud dan rawatib. Di sini terlihat elemen 'kebergantungan kepada Allah SWT' yang sangat jelas selain daripada semangat jihad yang tinggi, tidak mengaku kalah, tidak takut mati kerana Allah, serta strategi perang yang digunakan adalah sangat luar biasa membuatkan mereka berjaya akhirnya setelah beratus tahun wafatnya Rasulullah (SAW).

Cerita ini diteruskan lagi dengan watak-watak seperti Mohamad Nabil di Kuala Lumpur (masa sekarang), Grisham Gale , Sarah dan Mavi Mirza (di Turki, Istanbul sekitar tahun 1908), serta watak-watak yang paling menyentuh hati saya iatu Abdul Kudus dan anaknya Sutan Gunung (kaum jin) yang banyak menyentuh tentang perjuangan tentera Islam, khususnya Al-Fateh.

Maafkan saya jika reviu ini terlalu panjang. Ya, kerana buku ini terlalu banyak untuk diceritakan. Dan kerana itu jugalah buku saya ini bertukar menjadi ‘coloring book’ disebabkan begitu banyak isi penting yang saya highlight dan ingin kongsikan dengan rakan-rakan dan teman saya. Maka adalah disarankan supaya rakan semua dapatkanlah buku ini dan bacalah. TIDAK RUGI.

Sumber: http://www.goodreads.com/review/show/652279749

Tiada ulasan:

Catat Ulasan