Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Isnin, 2 September 2013

Diari Aneesa 2: Bab 1



Diari Aneesa 2 (Norehan M. Nooh)

BAB 1 SUKARNYA MENJADI KETUA

Petang itu, Dewan Bestari dipenuhi warga Sekolah Menengah Kebangsaan Kejora. Dewan yang sarat dengan pelajar-pelajar tingkatan satu dan dua berserta guru-guru sesi petang itu bergema dengan suara lantang seorang guru lelaki berusia 40-an yang memegang mikrofon di bahagian kanan pentas. Mereka khusyuk mendengar ucapan guru lelaki yang sedikit beruban itu.



Sesekali Cikgu Azhar, guru disiplin sekolah yang sedang berucap itu berhenti seketika untuk menarik nafas, atau mungkin bagi menahan sebak yang mula bersarang di hatinya. Riak wajah Cikgu Azhar sugul. Begitu juga rakan-rakan seperjuangan yang duduk sebaris di bahagian hadapan pentas dewan itu.

“Pelajar-pelajar sekalian, kamu jangan fikir apabila saya sudah tiada di sini kamu boleh berbuat sesuka hati kamu. Jangan pula kamu mengambil kesempatan melanggar peraturan sekolah. Guru-guru lain dan pengawas-pengawas sesi petang tetap ada di sini bagi memastikan kamu berdisiplin dan mematuhi semua peraturan sekolah,” tegas Cikgu Azhar.

Seorang pengawas yang memakai tanda nama “Aneesa” dan beberapa lagi pengawas yang bertugas di bahagian belakang dewan, turut mendengar pesanan terakhir Cikgu Azhar. Ada antara mereka yang mula bergenang air mata.

“Siapa yang akan ganti Cikgu Azhar nanti?” Atiqah, rakan karib Aneesa berbisik perlahan.

Aneesa hanya menjungkitkan bahunya. Kemudian dia berpaling ke arah sekumpulan pelajar lelaki di barisan belakang yang asyik tersenyum-senyum. Wajah mereka langsung tidak menampakkan kesedihan. Sesekali mereka berbual-bual sesama sendiri. Suara mereka sayup-sayup kedengaran di telinga Aneesa. Semakin lama, suara mereka semakin kuat.

Aneesa bergerak ke arah kumpulan pelajar lelaki itu. “Tolong senyap!” Aneesa memberi peringatan. Jari telunjuknya dirapatkan ke bibir.

“Wahai kawan-kawan!” tiba-tiba seorang pelajar lelaki bersuara.

Aneesa menoleh ke arah pelajar lelaki itu.

“Jangan bising sangat. Hormatlah pada Cikgu Azhar. Hari ini, hari terakhir dia di sini,” sambung pelajar lelaki berkulit cerah dan bermata sepet itu. Penampilannya yang kemas dengan beg sekolah dan kasut sekolah berjenama, menjadikan dia lebih menonjol berbanding pelajar lain. Itulah Danial Johan, pelajar yang cukup terkenal di sekolah itu. Semua warga sekolah termasuk tukang kebun kenal akan Danial. Siapa yang tidak kenal Danial? Anak orang kaya yang paling kemas dan sentiasa bergaya di sekolah itu. Namun Danial dikenali bukan kerana dia anak orang kaya, sebaliknya kerana kenakalannya.

“Betul kata Danial,” Aneesa mengiakan.

“Memang betul!” sampuk Danial dengan mendabik dada.

Danial tersenyum sambil mengangkat kening. Pelajar-pelajar yang ada di situ membalas senyumannya. Dalam pada itu, mata Danial melirik ke arah Aneesa seolah-olah ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

Aneesa yang berasa tidak selesa dengan keadaan itu terus meninggalkan kumpulan pelajar tersebut. Semasa berjalan meninggalkan kumpulan itu, Aneesa mendengar mereka berbisik-bisik mengata dirinya.

Biarkan mereka. Janji saya sudah menjalankan tugas saya. Demikian bisik hati Aneesa.

***

15 Julai

CIKGU AZHAR BERPINDAH

Aneesa rasa begitu sedih. Cikgu Azhar bertukar ke sekolah lain. Cikgu Azhar dinaikkan pangkat menjadi penolong kanan petang di sebuah sekolah menengah di bandar. Sebenarnya Aneesa sudah tahu perkara ini lebih awal.

Cikgu Azhar mengadakan mesyuarat dengan semua pengawas minggu lepas. Kata cikgu, walaupun dia sudah tiada di sekolah, pengawas-pengawas perlu menjalankan tugas seperti biasa. Pengawas mesti bantu guru-guru menangani masalah disiplin pelajar. Lagipun, cikgu kata, perpisahan itu perkara biasa. Kita hidup di dunia ini pun tidak kekal selamanya. Kata Cikgu Azhar lagi, selepas dia pergi pasti ada cikgu lain yang akan dilantik sebagai ketua guru disiplin.

Aneesa masih sedih. Cikgu Azhar baik. Walaupun garang, dia ambil berat hal-hal berkaitan pelajar. Semasa perhimpunan petang tadi, cikgu masih lagi berpesan kepada semua pelajar supaya rajin belajar demi kejayaan pada masa hadapan.

Aneesa akan ingat semua pesanan cikgu sampai bila-bila. Patah tumbuh hilang berganti. Namun yang mengganti pasti tidak sama dengan yang diganti.

****

DI PINTU MASUK KEDUA yang terletak di belakang makmal komputer, dua orang pengawas sedang mencatat nama beberapa orang pelajar yang lewat tiba. Pancaran matahari yang terik tidak mengganggu mereka menjalankan tugas.

“Siapa nama awak? Dari kelas mana?”

Apabila pelajar itu memberitahu namanya, pantas Aneesa mencatatnya ke dalam buku nota kecil yang ada di tangannya.

Selepas mencatat nama semua pelajar yang datang lewat, Aneesa melangkah ke luar pagar. Dia mahu melihat kalau-kalau masih ada pelajar yang dalam perjalanan. Atiqah yang kepenatan hanya bersandar pada tembok batu setinggi satu meter yang mengelilingi kawasan sekolah. Tembok batu yang memisahkan pelajar-pelajar sekolah dengan dunia luar itu diberi gelaran “Tembok Besar China”. Ia mencatat seribu kenangan berkaitan masalah disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Kejora.

“Sudah tidak ada lagi pelajar. Lagipun sekarang sudah pukul satu setengah,” kata Aneesa. Dia mengambil mangga kunci yang tersangkut pada pagar itu dan mengunci selak pagar.

“Apa? Sudah pukul satu setengah?” Atiqah hampir berteriak kerana terkejut.

“Ya. Kenapa, Atiqah?” Hairan Aneesa melihat tingkah laku sahabat karibnya itu yang tiba-tiba kalut.

“Cikgu Iffah hendak berjumpa saya sebelum pukul satu setengah,” jawab Atiqah. Dia mencapai beg sekolahnya dan terburu-buru menuju ke bilik guru.

Jalan ke pintu masuk kedua itu agak terpencil sedikit. Ia terletak bersebelahan dengan kebun buah. Walaupun terpencil, jalan itu sering menjadi pilihan pelajar kerana kedudukannya yang lebih dekat dengan jalan besar berbanding pintu utama.

Aneesa segera menyandang beg sekolahnya. Dia perlu segera masuk ke kelas supaya tidak tertinggal subjek yang sedang diajar di kelasnya pada masa itu.

Tiba-tiba Aneesa mendengar bunyi yang aneh di belakangnya. Langkah Aneesa terhenti.

Bunyi apa itu? Aneesa berbisik sendirian. Meskipun dia semakin berani sekarang, keadaan yang sepi di situ membuat dadanya berdebar. Beg sekolah di bahunya ditarik ke hadapan dan dipeluk erat.

Hendak pusing ke belakang atau lari? Naluri ingin tahunya yang membuak-buak menyebabkan Aneesa nekad menoleh ke belakang.

“Apa!” Aneesa mengetap bibir, geram. Dia melihat Danial dan Kamarul dengan selamba memanjat tembok dan melompat masuk ke kawasan sekolah. Mereka tersengih-sengih memandangnya.

“Jangan marah, nanti cepat tua,” kata Danial. Nampaknya dia sengaja mahu menyakiti hati Aneesa.

“Relakslah ... awak bukannya guru disiplin,” kata Danial lagi.

“Saya ditugaskan mencatat nama pelajar yang datang lewat, jadi saya terpaksa mencatat nama awak,” tegas Aneesa.

“Eleh! Baru pegang jawatan ketua pengawas tidak sampai setahun, perangai mengalahkan guru disiplin!” Suara Danial mulai meninggi.

“Bukankah Cikgu Azhar sudah pindah? Siapa nak denda kami?” soal Kamarul pula.

“Setuju. Siapa yang hendak denda kami?” Danial tersenyum lebar menampakkan giginya yang memakai pendakap gigi.

Aneesa menarik nafas panjang mendengar kata-kata Danial dan Kamarul. Tidak guna dia melayan mereka.

“Cikgu Azhar sudah berpindah, tetapi undang-undang sekolah tidak ikut berpindah,” kata Aneesa sambil membuka buku catatan kecilnya.

“Hari ini awak berdua melakukan dua kesalahan,” kata Aneesa sambil mencatat nama mereka berdua ke dalam buku catatan itu.

“Hah, dua kesalahan? Kenapa pula dua?” Danial tidak puas hati. Dahinya berkerut.

Aneesa berasa geram mendengar pertanyaan mereka. Gaya mereka bertanya seperti sengaja mahu membuatnya marah. Aneesa segera mengingati pesanan Ustazah Rifqah supaya berusaha menahan marah. Kata Ustazah Rifqah, syaitan berusaha mencetuskan kemarahan dan sentiasa mengapi-apikan perbalahan. Aneesa menarik nafas sedalam-dalamnya. Aneesa beristighfar dalam hati, cuba mencari ketenangan.

Danial menghampiri Aneesa yang sedang menulis sesuatu di dalam buku catatannya. Tanpa disangka, dia merampas buku catatan itu dari tangan Aneesa. Serentak dengan itu dia berteriak, “Lari!”

Aneesa hanya mampu melihat Danial dan Kamarul lari mencicit seperti lipas kudung. Dalam masa yang singkat bayangan mereka hilang daripada pandangannya.

****

ANEESA BERGERAK PANTAS menuju ke kelasnya yang terletak di Blok A. Dia tidak mahu terlepas subjek Matematik yang menjadi subjek kegemarannya. Langkah kakinya tidak teratur, menggambarkan fikirannya yang berkecamuk ketika itu.

“Tumpang lalu! Tumpang lalu!” Tiba-tiba dua orang pelajar perempuan memintas Aneesa.

Aneesa memberhentikan langkah. “Awak berdua hendak ke mana?” tanya Aneesa.

“Kami nak ke tandas, Kak Aneesa,” jawab seorang daripadanya.

“Kak Aneesa tengok kain awak berdua senteng. Mengapa?” soal Aneesa sambil memandang kain pelajar perempuan itu yang singkat sehingga nampak stoking yang dipakai. Warna stoking mereka pula berbelang hitam putih.

“Kak Aneesa, kita perlu ikut trend semasa. Sekarang ini ramai pelajar yang berkain senteng begini.” Sinis jawapan yang diterima Aneesa.

“Kak Aneesa memang tidak mengikuti trend semasa. Dia pengawas, manalah ikut trend,” sambung rakannya sambil menjeling Aneesa.

“Tolong betulkan kain tu,” Aneesa memberi arahan.

“Ya, ya. Kami pergi betulkan kain,” jawab pelajar perempuan itu acuh tak acuh. Mereka meneruskan langkah dengan muka yang masam mencuka.

“Macam bagus. Macam guru disiplin.” Telinga Aneesa menangkap kata-kata yang dikeluarkan oleh salah seorang daripada pelajar tersebut ketika mereka berlalu pergi. Sungguh sinis kata-kata mereka.

Aneesa menghela nafas panjang. Perasaannya semakin tertekan. Selalunya dia bersemangat menjalankan tugas sebagai pengawas sekolah. Namun peristiwa demi peristiwa yang dilaluinya hari ini cukup meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.

****

ANEESA MELETAKKAN PINGGAN berisi bihun goreng yang baru dibelinya di atas meja. Suasana hingar-bingar di kantin membuatkan fikiran Aneesa semakin berserabut. Fikirannya yang berserabut itu jelas terpancar pada wajahnya.

“Eh, Aneesa. Panjangnya muncung awak. Ada masalahkah?” tanya pelajar perempuan tinggi lampai yang duduk bersetentang dengannya.

“Kenapa dengan awak, Aneesa?” tanya seorang lagi pelajar perempuan yang duduk di meja yang sama.

“Tak ada apa-apa Ejah, Ika,” jawab Aneesa.

Siti Khadijah, kawan Aneesa yang tinggi lampai itu mencebik. “Yakah? Muncung panjang begitu pun tak ada masalah awak kata?”

“Ceritalah pada kami. Mungkin kami dapat tolong,” pujuk Zulaika yang duduk di sebelah Aneesa.

“Masalah biasa, masalah pengawas,” sampuk Atiqah tiba-tiba.

“Oh, rupa-rupanya Atiqah ada bersama kita. Saya fikir dia tak ada tadi,” sindir Siti Khadijah. Sebelum itu Atiqah hanya mendiamkan diri, seolah-olah dia tidak wujud di situ.

“Helo, saya ada di sini,” kata Atiqah. Gumpalan tisu di tangannya dibaling ke arah Siti Khadijah.

Siti Khadijah mengelak. Gumpalan tisu itu terkena seorang pelajar lelaki yang sedang lalu di belakangnya.

Pelajar itu berhenti dan menoleh memandang Atiqah. “Mengapa baling ke arah saya?” soalnya sambil mencekak pinggang.

Pelajar yang terkena balingan gumpalan tisu itu ialah Hanafi. Hanafi sama kelas dengan Aneesa, Atiqah, Siti Khadijah dan Zulaika. Tingkah lakunya itu, sekali pandang seperti Laksamana Hang Tuah, dua kali pandang seperti Pak Pandir. Di sebalik kenakalan dan kemalasan membuat kerja sekolah, Hanafi bijak dalam Matematik. Oleh kerana itulah dia disayangi Cikgu Maisarah, guru kelas Tingkatan Dua Mawar yang juga guru matemarik mereka.

“Ops, maafkan saya, Hanafi. Saya tak sengaja.” Cepat-cepat Atiqah memohon maaf.

“Awak fikir senang-senang saya hendak maafkan awak?” balas Hanafi garang.

“Maafkan saya, maafkan saya,” ulangi Atiqah. Dia menggaru-garu dahinya seperti lagak orang bersalah.

“Sudahlah, jangan risau. Saya sudah maafkan awak. Tetapi lain kali, jangan baling-baling tisu seperti tadi. Hanya Aneesa yang boleh baling tisu ke arah saya,” ujar Hanafi. Dia menuding jari ke arah Aneesa. Selepas itu, dia mengutip gumpalan kertas tisu itu lalu membuangnya ke dalam tong sampah tidak jauh dari situ.

“Apa awak cakap, Hanafi? Tak kuasa saya hendak membaling tisu pada awak,” jawab Aneesa spontan. Besar anak matanya memandang Hanafi.

Hanafi menghadiahkan senyuman kepada Aneesa. Nampaknya dia gembira dapat menarik perhatian Aneesa.

Melihat reaksi Hanafi itu, Aneesa jadi malu sendiri.

“Hanafi tu macam suka pada Aneesa saja,” kata Zulaika.

“Yalah, macam ada apa-apa pula. Hmm, entah-entah kita yang tak tahu,” balas Siti Khadijah.

“Jangan-jangan, dia sukakan Aneesa tak?” Zulaika membuat andaian.

Kata-kata Siti Khadijah membuat wajah Aneesa berubah.

“Mungkin juga,” kata Atiqah. “Masih ingat kad misteri yang Aneesa dapat dulu?”

Siti Khadijah mengangguk-angguk. “Siapa pengirim kad misteri itu?”

Masing-masing angkat bahu. Aneesa pula hanya membiarkan dirinya menjadi topik perbahasan kawan-kawannya.          

“Aneesa, siapa yang kirim kad misteri itu? Hanafi, ya?” tanya Siti Khadijah. Dia menoleh memandang Aneesa.

Malangnya Aneesa sudah tidak ada lagi di situ. Dia sudah pun beredar kerana malas hendak melayan kerenah kawan-kawannya.

***

16 JULAI

DIA BUAT HAL LAGI

Geram! Patutkah dia kata sikap Aneesa mengalahkan guru disiplin?

Danial, jiran baharu Aneesa tu, memang selalu menyusahkan Aneesa. Hari ini dia datang ke sekolah selepas Aneesa kunci pintu pagar. Oleh kerana tak dapat masuk melalui pintu pagar, dia panjat tembok dan melompat masuk.

Aneesa tidak akan biarkan Danial berbuat sesuka hatinya. Aneesa mesti bertegas dengannya. Memang Aneesa bukan guru disiplin, tapi Aneesa bertanggungjawab memastikan pelajar-pelajar mematuhi disiplin sekolah. Walaupun Cikgu Azhar sudah berpindah, undang-undang sekolah tidak ikut berpindah.

Selepas Aneesa mencatat namanya ke dalam buku kecil, tiba-tiba dia rampas buku itu dari tangan Aneesa. Aneesa terkejut dan hanya mampu melihat dia memecut lari meninggalkan Aneesa.

Aneesa rasa seperti mahu menitiskan air mata. Syukurlah Aneesa masih mampu mengawal emosi. Ya Allah, berilah kekuatan kepada Aneesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan