Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Isnin, 2 September 2013

Andalusia, Here We Come!: Bab 1


Andalusia, Here We Come! (Lisa Nurisha)
Bab 1: Sepanyol sebuah negara Islam?

KICAUAN BURUNG, PAGI Sabtu mengejutkan Alisa dari tidur. Penat bermain malam tadi bersama adiknya, Alya, membuatkan mereka tidur lewat. Dengan pantas, Alisa menuju ke bilik Alya untuk mengejutkan adiknya. Sebaik tiba di pintu bilik, fikirannya berubah nakal. Dengan penuh hati-hati, dia melangkah masuk ke bilik Alya. Ternyata, Alya masih lena dibuai mimpi. Kemudian, Alisa menarik nafas yang panjang.



            “Alya!” Jerit Alisa di telinga Alya. Alya yang terbangun dari tidur terus melompat. Dia memandang kiri dan kanan dalam kebingungan. Apabila ternampak sahaja kakaknya mengekek ketawa menahan perut, bantal di sisinya dicampakkan terus ke arah Alisa yang sudah bersedia untuk lari.

            Puan Nadira yang berada di dapur, kondominium tingkat tiga itu sudah dapat mengagak apa yang berlaku antara anak-anaknya itu. Dia yang sibuk menyediakan sarapan pagi hanya menggeleng. Tidak sewenang-wenangnya, Alisa meluru ke arah dapur sambil dikejar oleh Alya.

            “Tengoklah kakak ini. Dia kacau saya,” Alya mengadu kepada ibunya. Suaranya yang nyaring memecah kesunyian pagi. Puan Nadira yang kadang-kala bosan dengan telatah anak-anaknya, malas mahu melihat kekecohan ini berterusan. Dia segera menangkap tangan Alisa.

            “Mengapa kacau adik? Ibu sudah banyak kali berpesan, jika hendak kejutkan orang yang sedang tidur, kejutkan perlahan-lahan.” Puan Nadira memulakan leterannya. Alisa membisu.

            “Saya bergurau sahaja, ibu. Alya yang suka mengadu. Mahu bergurau sedikit pun tidak boleh,” Alisa mula menarik muncung.

            “Padan muka kakak!” Alya mengejek puas.

            “Cuba awak tengok anak-anak awak ini. Saya mahu sediakan sarapan,” adu Puan Nadira pada suaminya, Encik Emir yang duduk di ruang tamu tidak jauh dari dapur. Puan Nadira sering menyerahkan tugas, menasihati Alisa dan Alya kepada suaminya jika, kedua-dua gadis kecil itu menimbulkan masalah.

            Alisa dan Alya berpandangan sesama sendiri. Kemudian, mereka meluru ke sofa, di mana Encik Emir duduk membaca buku. Mereka berasa pelik kerana selalunya Encik Emir bekerja pada hari Sabtu. Tetapi berlainan pula dengan pagi ini.   

            “Ayah tidak kerja hari ini? Biasanya hari Sabtu ayah tiada di rumah,” tegur Alya.                         “Ayah sudah tidak kerja pada hujung minggu. Ayah hanya akan ke pejabat jika ada perkara penting sahaja.” Encik Emir membalas sambil tersenyum.

            “Bagusnya! Boleh kita pergi jalan-jalan hari ini?” tanya Alisa girang. Alya turut bersahut riang.

            Selepas pulang dari lawatan ke England beberapa bulan yang lalu, Puan Nadira dan Encik Emir merasakan yang mereka, tidak meluangkan masa yang cukup bersama-sama Alisa dan Alya. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk meluangkan masa hujung minggu bersama anak-anak mereka.

            Hari ini Puan Nadira memasak sarapan istimewa. Nasi lemak sambal udang dan kuih karipap. Alisa dan Alya pantas sahaja menyedok nasi lemak ke pinggan masing-masing, sejurus berada di meja makan. Mereka sekeluarga makan dengan berselera.

            “Alisa dan Alya, selepas cuci pinggan, duduk di ruang tamu ya. Ada perkara yang ingin ayah sampaikan,” maklum Encik Emir yang membuahkan tanda tanya kepada Alisa dan Alya. Seusai mencuci pinggan, Alisa bergerak ke arah Encik Emir. Alya mengekori kakaknya.

Alisa dan Alya kemudiannya, melaburkan punggung mereka di sofa empuk mengadap ibu bapa mereka.

            “Apa yang ingin ayah sampaikan? Ayah ingin belikan kami hadiahkah?” Alisa mula bersuara.

            “Apa yang kakak mengarut ini? Bukankah bulan lepas, hari jadi kakak. Hadiah apa lagi?”Alya membidas. Encik Emir menggeleng melihat keletah anak-anaknya itu.

            “Kamu berdua masih ingat yang ayah, pernah kata ayah perlu ke Sepanyol lagi? Ayah ada beritahu, sewaktu kita pulang dari lapangan terbang tempoh hari,” tanya Encik Emir.

 “Ingat. Saya fikirkan tidak jadi, sebab ayah dan ibu senyap sahaja selepas itu.” Alisa menjawab sambil menggaru kepala.

            “Kita akan ke Sepanyol, ayah? Betulkah ibu?” Alya tidak sabar.

            “Ya, kita akan ke sana,” jawab Puan Nadira. “Ayah perlu mengkaji seni bina bangunan bersejarah peninggalan Islam di sana. Ibu, Alisa dan Alya pula ke sana untuk melancong. Anggaplah perjalanan kita ke sana, sebagai hadiah kejayaan cemerlang Alya dalam peperiksaaan UPSR tempoh hari.”

            “Beruntungnya kamu! Kakak tidak pernah dapat hadiah sehebat ini.” Alisa bersuara seperti mengejek.

            “Sekiranya ayah tidak bekerja di sana, tentu kita tidak dapat pergi. Jadi, ibu akan gunakan peluang ini sebagai menggantikan hadiah. Sambil menyelam, sambil minum air. Bijak betul ibu,” ujar Alya yang pintar menduga.

            Alisa hanya tersengih seperti kerang busuk. Puan Nadira dan Encik Emir turut tersenyum melihat kerenah anak-anak mereka yang pelbagai.

            “Kita akan pergi pada 10 Disember nanti. Jadi, kita ada masa lebih kurang sebulan untuk membuat persiapan,” terang Encik Emir.

            “Kenapa kita perlu bersedia awal begini?”Alya bertanya.

            “Supaya kita tidak perlu kalut di saat akhir,” balas Puan Nadira.

            “Lagipun, kita perlu biasakan diri dengan bahasa mereka.” Puan Nadira menjawab. “Penduduk Sepanyol menggunakan bahasa Sepanyol. Mereka bangga dengan bahasa mereka. Bahasa Inggeris hampir tiada gunanya di sana. Kita perlu belajar bahasa Sepanyol sebaik mungkin.”

            “Biar betul ibu? Kami tidak tahu langsung bahasa Sepanyol. Saya cuma tahu satu perkataan sahaja iaitu hola, yang digunakan untuk menyapa orang lain,” balas Alisa.

            “Sebab itulah kita semua perlu belajar dari sekarang. Lagipun peperiksaan akhir tahun Alisa sudah selesai. Alisa tidak perlu pegang buku sekolah lagi. Ayah akan belikan kamu berdua buku untuk belajar bahasa Sepanyol,” tegas Encik Emir.

            “Baik ayah!” Alisa dan Alya menjawab serentak, sambil tangan diletak di dahi seperti memberi tabik tanda hormat. Nampaknya masa lapang mereka tidak akan terbuang begitu sahaja!

***

MULAI DARI SAAT ITU, Alisa dan Alya berazam untuk menguasai bahasa Sepanyol sebaik mungkin. Setiap hari, Alisa dan Alya cuba menghafal satu perkataan baru. Puan Nadira sudah membelikan dua buah buku belajar bahasa Sepanyol untuk kegunaan anak-anaknya. Pulang sahaja dari sekolah, Alisa dan Alya pasti akan meluangkan masa dua jam untuk membaca dan menghafal perkataan-perkataan mudah.

            Puan Nadira dan Encik Emir juga tidak ketinggalan. Di pejabat jika ada masa terluang sahaja, mereka akan membaca dan belajar bahasa itu. Belajar bahasa baru, bukanlah tugas yang mudah. Apatah lagi ada perkataan yang sebutannya, tidak sama dengan ejaan dalam Bahasa Melayu. Contohnya, sebuah tempat di Sepanyol iaitu Seville disebut “Ser-vi-ya”. Dua huruf “l” yang berturutan, perlu disebut seperti sebutan huruf “y”. Memeningkan kepala. Mujur, bahasa Sepanyol menggunakan huruf Latin seperti bahasa Melayu. Ini memudahkan proses belajar bahasa dan menyebut perkataan dalam bahasa Sepanyol.

            “Pada pendapat kakak, apa agaknya perkataan-perkataan penting yang perlu kita hafal?” Tanya Alya kepada Alisa. Dalam masa singkat ini, mereka harus bijak memilih perkataan yang paling sesuai untuk digunakan di sana nanti.

            “Pada pendapat kakak, kita perlu menghafal ayat-ayat yang akan kita gunakan dalam perbualan dengan penduduk tempatan,” balas Alisa.

            “Contohnya?” tanya Alya dengan dahi berkerut.

            “Begini. Kita tentu akan selalu ke kedai cenderahati, bukan? Jadi kita akan kerap bertanya, ‘berapakah harga barangan ini?’. Kita hafal ayat ini dan kita hafal nombor-nombor yang akan disebut oleh penjual nanti. Ada banyak lagi contoh lain,” terang Alisa panjang lebar.

            “Kakak memang bijak! Apa kata kita senaraikan semua perbualan yang kita fikirkan perlu? Kemudian kita hafal satu persatu,” Alya menambah cadangan. Alisa mengangguk. Dengan pantas mereka menyelongkar beg sekolah masing-masing, dan mengambil alat tulis dan buku.

            Alisa dan Alya menyelak dua buah buku itu dengan cermat. Jika ada yang mereka tidak faham, mereka terus melayari internet. Buku hanya boleh dibaca. Dengan menggunakan laman web yang sesuai, mereka boleh mendengar sebutan perkataan dengan jelas dan betul. Selepas dua jam mencari, siaplah senarai perbualan dan perkataan yang perlu mereka hafal.

Bagaimana hendak menyapa dalam Bahasa Sepanyol:
Hola. Muy bien, gracias.
(Hai. Saya sihat, terima kasih.)

Buenos noches.
(Selamat malam)


Yo soy la Alisa
(Nama saya Alisa)

            “Alisa dan Aliya, ayah akan ceritakan serba sedikit, tentang sejarah Sepanyol. Kamu berdua berminat untuk tahu dengan lebih lanjut?” Encik Emir bersuara memecah suasana sunyi di ruang tamu itu. Sudah lebih dua minggu, mereka sekeluarga meluangkan masa untuk belajar bahasa Sepanyol. Tinggal dua minggu lagi masa untuk berangkat ke sana. Jadi pada fikiran Encik Emir, eloklah jika anak-anaknya didedahkan secara ringkas, mengenai sejarah negara Sepanyol.

            “Tentulah ayah. Kami asyik belajar bahasa sahaja, sehingga lupa pula untuk membaca tentang negara Sepanyol. Sekiranya ayah mahu bercerita, lebih baik. Tidak perlu kami mencari maklumat tentang negara itu lagi. Bukan begitu, kakak?” Alya pantas bersuara.

            “Bagai pucuk dicita, ulam yang mendatang,” balas Alisa dengan senyuman lebar.

            “Baiklah, ayah akan ceritakan. Tutup televisyen dulu. Duduk di sini dengan ayah dan ibu,” arah Encik Emir. Dengan pantas, Alisa menutup televisyen dan mengambil bantal besar, duduk bersandar di sofa di hadapan ibu bapanya mereka. Alya pula mengambil tempat di sebelah Puan Nadira.

            “Seperti yang ayah beritahu tempoh hari, Sepanyol adalah sebuah negara Islam satu ketika dahulu. Bukan sekadar negara Islam sahaja, tetapi Sepanyol berpusat di Andalusia.

            “Andalusia,” ujar Alisa yang sebelum ini tidak pernah mendengar perkataan itu.

            “Andalusia ialah sebuah kerajaan Islam yang hebat dan digeruni di Eropah. Perkembangan dan penyebaran ilmu berlaku dengan pesat sekali pada zaman itu. Kerajaan Islam menjadi kerajaan yang disegani oleh barat,” jelas Encik Emir memulakan bicara.

            “Mengapa saya tidak pernah dengar pun, ayah? Sejarah kegemilangan Islam di Melaka, saya tahulah,” tanya Alya menggaru kepala.

            “Nanti kamu berdua akan belajar semua ini dalam subjek Sejarah,” tokok Puan Nadira.

            “Islam mula bertapak di Sepanyol, pada zaman kerajaan Bani Umayyah di bawah pemerintahan Khalifah Al-Walid. Kerajaan ini berpusat di Damaskus. Sebelum penaklukan Sepanyol, Islam telah pun menguasai Afrika Utara dan menjadikannya, salah satu daerah dalam kerajaan Bani Umayyah,” Encik Emir menambah lagi.      

            “Damaskus atau Damsyik dalam bahasa Melayu, ayah.” Sampuk Alisa.

            “Pandai anak ibu,” puji Puan Nadira. Alisa tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih bersih.    

            “Di Sepanyol nanti, kita akan ke Andalusia, sebuah negeri di bahagian selatan Sepanyol. Andalusia terkenal sebagai pusat pelancongan yang popular dikalangan pelancong seluruh dunia. Nama Andalusia diambil daripada bahasa Arab ‘Al-Andalus’. Hampir 30 juta pelancong ke sana setiap tahun.” Panjang penjelasan Encik Amir.

            “Banyaknya pelancong! Tahun ini, kita akan menambah lagi bilangan pelancong ke sana,” kata Alya bersemangat. Tidak sabar rasanya mahu menjejakkan kaki ke Sepanyol.

            “Apa lagi bandar pelancongan yang popular di Sepanyol, ibu?” soal Alisa ingin tahu.

            “Kamu berdua pernah dengar Barcelona dan Madrid? Madrid dan Barcelona ialah bandar pertama dan kedua terbesar di Sepanyol. Kedua-dua bandar ini ialah syurga bagi para arkitek di seluruh dunia. Terdapat pelbagai binaan yang terkenal di sana dan menggamit pelancong untuk melawat,” terang Puan Nadira. Seperti anak-anaknya, dia turut teruja untuk ke sana.

            “Memandangkan ayah pergi ke sana untuk mengkaji sejarah binaan Islam di Eropah, jadi Andalusia adalah tempat yang terbaik,” tambah Encik Emir. Alisa dan Alya sibuk bertanya itu dan ini kepada Puan Nadira dan Encik Emir. Banyak maklumat baru yang mereka perolehi hari ini.

            “Apa yang ada di Sepanyol, ayah? Saya fikir, jika mahu melihat binaan masjid yang cantik-cantik, kita sepatutnya pergi ke Timur Tengah atau negara Islam yang lain. Mengapa perlu ke Eropah pula?” Giliran Alya untuk bertanya.

            “Pemerintahan Islam di Sepanyol, bukan sekadar sebuah kerajaan biasa. Di sinilah pusat Islam di Eropah, di mana era keemasan Islam tersebar ke seluruh Barat. Kerajaan Islam menjadi kerajaan yang disegani. Masjid dan istana dibina dengan rekaan yang terbaik,” Encik Emir bercerita dengan bersemangat.

            “Mengapa pula sekarang ini, Sepanyol seolah- olah langsung tidak pernah menerima kedatangan agama Islam sebelum ini?” Alya menyampuk.           

            “Selepas Andalusia terpaksa diserahkan kepada Raja Ferdinand dan Ratu Isabela oleh pemerintah akhir kerajaan Andalusia, banyak masjid ditukar menjadi gereja. Ramai umat Islam dibunuh dan peninggalan Islam dilupuskan, seolah-olah Islam tidak pernah wujud di Sepanyol. Padahal Islam telah wujud di sana selama 800 tahun lamanya. Malah selepas 300 tahun kalah, Islam dan tinggalannya sudah terhakis daripada bumi Sepanyol,” jelas Puan Nadira yang turut meminati sejarah negara Sepanyol.

            “Jadi di sana nanti, kita akan melawat masjid yang sudah ditukarkan kepada gereja. Begitukah ayah?” Alisa ingin tahu.

            “Ya, benar. Kita juga akan ke Alhambra di Granada. Istana kerajaan yang menjadi tumpuan pelancong kerana binaannya. Di situ juga terdapat dua belas patung singa yang mengeluarkan air setiap kali masuk waktu solat,” Encik Emir tersenyum.

            “Bukankah patung singa itu sudah tiada di tempat asalnya, ayah?” Alya menyampuk. Setahu Alya, patung singa itu sudah tiada di Alhambra sejak beberapa tahun dahulu. Baru semalam, dia membacanya menerusi internet. Puan Nadira dan Encik Emir mengangguk serentak.

            “Luas juga pengetahuan anak ini,’ kata Puan Nadira dalam hati. Dia kagum seketika mengenangkan pengetahuan yang dimiliki Alya.

            “Ya, ia sudah dipindahkan daripada tempat asalnya untuk kerja-kerja penstrukturan semula kawasan itu,” balas Puan Nadira ringkas.

            “Kita akan ke empat buah daerah di Andalusia. Mula-mula sekali, kita akan ke Granada. Selepas itu kita bergerak ke Cordoba dan seterusnya ke Seville. Sebelum pulang ke Malaysia semula, kita akan menghabiskan masa kita di Malaga,” celah Encik Amir.

            Alisa dan Alya sudah tersenyum-senyum, memikirkan destinasi yang bakal mereka kunjungi nanti. Sungguh tidak sabar rasanya, mahu menjejakkan kaki ke Sepanyol.

            Selepas melancong ke England beberapa bulan yang lalu bersama Puan Nadira, Alisa benar-benar dapat memahami maksud pepatah ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’. Pelancongan kali ini lebih mencabar lagi, kerana mereka tidak ada kelebihan berbahasa Sepanyol. Walaupun sudah dua minggu belajar, masih sedikit sahaja yang mereka tahu.

            Sebelum masuk tidur malam itu, Alya masuk ke bilik kakaknya untuk berbual. Walaupun masih ada dua minggu lagi untuk mereka terbang ke Sepanyol, Alya sentiasa berasa teruja kerana ini kali pertama dia akan ke luar negara, dan juga kali pertama dia menaiki kapal terbang.

            “Saya tidak sabar hendak menunggu lagi dua minggu. Ini kali pertama saya akan ke luar negara. Kakak lainlah. Ini kali kedua buat kakak,” Alya memulakan bicara.

            “Kakak juga tidak sabar. Walaupun ini kali kedua kakak ke luar negara, kakak juga sentiasa teruja seperti kamu. Sewaktu ke England tempoh hari, keseronokkannya tidak sama. Kamu dan ayah tidak ada bersama kami,” balas Alisa lembut.

            “Saya ada cadangan. Kakak mahu dengar?” Alya bersuara. Tujuannya masuk ke bilik Alisa malam akan dibongkarkan, sedikit demi sedikit.

            “Apa kata kita buat kejutan untuk ayah dan ibu, apabila kita di sana nanti? Kita cari maklumat tentang tempat-tempat yang akan kita lawati. Kemudian kita beritahu ayah dan ibu apa yang kita tahu di sana nanti. Tentu mereka akan bangga ada anak-anak yang rajin macam kita.” Alya tersengih.

            “Adik ini, memang sentiasa mahu dipuji,” bisik Alisa dalam hati.

            “Boleh sahaja. Kakak tahu tujuan kamu. Mahu dapat pujian daripada ibu dan ayah, bukan?” Alisa meluahkan isi hatinya.

            “Tidak mengapalah. Siapa lagi mahu puji saya, jika bukan ibu dan ayah? Mahu harapkan kakak, memang tidaklah,” Alya mencebik.

            “Suka hati kamulah. Kakak ikut sahaja,” Alisa akhirnya mengalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan