Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Isnin, 26 Ogos 2013

Mrs. Novelist: Bab 1

Mrs. Novelist (Dissa Azmin)
BAB 1 SURI DI HATI KAMI

Muiz yang memakai jersi bernombor sepuluh itu berlari laju. Penuh aksi bagaikan ahli sukan bertaraf antarabangsa, sambil membawa bola bujur berwarna coklat. Kemudian dia menyepaknya sekuat hati, sehingga melepasi tiang gol berbentuk H. Sepantas itu, sorakan bergema. Bendera sekolah dikibarkan dengan penuh rasa bangga.



“Syabas!” kata ayah sambil mengukir senyuman penuh kagum dan bersyukur dengan kemenangan ini.

Muiz melebarkan senyumannya. “Muiz berjaya sebab adanya sokongan ayah dan ibu.”

Adik bongsu yang turut menemani ayah itu, menarik-narik baju Muiz. Muiz segera berpaling ke arahnya. Si adik tersenyum kecil sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Ragbi pun perlukan sepakan juga, ya? Rugilah Muaz jika tidak tahu hal ini,” soal Muaz dengan wajah yang agak keliru dan ingin tahu.

Muiz tersenyum lebar. Rupa-rupanya itu yang berlegar di fikiran Muaz. Muiz segera membalas, “Inilah kelebihan ragbi. Selepas membuat try, secara automatik pemain boleh melakukan conversion pula. Jadi, sudah untungkah sekarang?”

Muaz terdiam sebentar. Seolah-olah cuba memahami penjelasan Muiz sebentar tadi. Muaz mengerutkan keningnya. Dalam hati tertanya-tanya lagi. Bagaimanakah mata atau jaringan gol bagi sukan ini dikira? Terasa aneh pula apabila dengan mudahnya, sesebuah pasukan ragbi mendapat pungutan mata yang lebih banyak berbanding bola sepak.

“Abang Muiz, senyum!” Sapaan itu membuatkan Muiz dan Muaz segera berpaling. Klik! Si manis dua belas tahun itu, menahan ketawa apabila meneliti semula gambar yang baru dirakamkan itu.

Muaz tersengih nakal. “Wah, untunglah Abang Muiz, comot-comot begini pun Kak Lili masih sudi hendak rakam gambar dia.”

Muiz tersenyum sendiri diusik begitu. Lili membetulkan kameranya dan merakamkan lagi foto Muiz dan Muaz pula. Gaya Lili bagaikan jurufoto terlatih pula.

“Kak Lili ambil gambar-gambar ini semua untuk ibu. Biar dia bangga, betapa hebatnya Abang Muiz kita ini,” kata Lili sambil terus merakamkan foto Muiz, ayah dan Muaz.

Kata-kata Lili menghilangkan sedikit demi sedikit senyuman Muiz. Redup menutupi suasana apabila nama ibu terucap di bibir. Kata-kata itu juga telah menyedarkan Muiz akan ketiadaan ibu di sini.

Muaz spontan membalas, “Oh … jika begitu, ibu lah yang rugi.”

Lili tercengang dan segera memandang tepat wajah Muaz. Lili menyoal pantas, “Kenapa pula? Bukankah Kak Lili sedang merakamkan semua peristiwa yang berlaku hari ini?”

Lili masih merenung wajah tenang Muaz. Muiz dan ayah turut sama memandang Muaz yang kelihatan bersahaja itu.

Muaz tersengih-sengih sendiri. “Kasihan ibu. Sudahlah kena rendam dan cuci jersi Abang Muiz. Selepas itu, perlu kemas gambar-gambar Kak Lili ini pula.”

“Oh … mengata Kak Lili, ya?” kata Lili lalu mengejar si adik yang mengusiknya itu.

Muaz segera berlari anak dengan riangnya. Kejar-mengejar yang menceriakan suasana ini membuatkan, Muiz dan ayah tertawa gembira. Sejurus itu, termengah-mengah Lili dan Muaz setelah kembali di sisi ayah dan Muiz.

Ayah melirik senyuman pendek dan berkata mendatar, “Rugi tenaga tidak mengapa. Asalkan balasannya pahala. Buat dengan ikhlas, lagi lah Allah sayang. Ibu sentiasa sayangkan kalian.”

            Penghujung kata-kata ayah menyedarkan Muiz, Lili dan Muaz. Biarpun ibu tiada di sisi, ibu tetap menyokong mereka. Jika begitu, mengapa masih ada kelam dalam hati?

“Ayah belanja makan hari ini. Namun, kita perlu tunggu ibu dahulu,” kata ayah lagi dengan wajah yang tenang dan cerah.

Tepukan gembira Lili dan Muaz menyambut kata-kata ayah. Sementara senyuman Muiz terus mendap dan tenggelam. Mata Muiz meliar di sekitar padang sekolah yang semakin lengang ini. Harap, ibu tidak terlewat lagi!

***

BAYU PETANG TERASA kaku. Ada kekosongan yang tidak mungkin terisi. Lebih terasa, apabila ayah menerima pesanan ringkas daripada ibu. Ayah meminta Muiz membacanya. Kemudian, wajah teduh Muiz segera menunduk bumi. Prappp! Hatinya patah berderai!

Ayah menyedari sikap Muiz yang membisu itu. Ayah cuba menghidupkan suasana. Ayah berkata tenang, “Kali ini, ibu menghadiri bengkel di Seremban. Ibu akan pulang lewat sedikit. Kita makan di luar dan bungkuskan makanan untuk ibu.”

Bersama helaan yang berat Muiz membalas, “Setiap hujung minggu, ibu mengikuti bengkel penulisan di sana-sini. Sudah agak lama juga ibu begini. Hasilnya tidak ada juga.”

Wajah ceria yang mengisi ruang seketika tadi, mula ditutupi awan suram. Tiada lagi senyuman yang terlakar meniti hari. Hanya saling berpandangan di antara satu sama lain.

“Ibu masih belajar. Lama-lama esok, ibu pandailah,” balas ayah dengan nada tenang. Namun amat berharap, Muiz dapat memahaminya.

Muiz terdiam tanpa suara. Penantian demi penantian. Rasanya sudah terlalu lama, ibu kosongkan tempat di tepi padang bagi menyaksikan perlawanan yang Muiz sertai.

Ayah dapat meneka, ada garis luka yang semakin memanjang di setiap hati anak-anaknya ini. Muiz pula tunduk membisu. Wajah Muiz sugul. Hati Muiz pedih sendiri. Ibu yang dahulunya adalah pengucap tahniah yang pertama, setiap kali Muiz memenangi perlawanan sebegini. Kini, sayang! Seribu kali sayang, saat-saat itu tidak mungkin melewati musim perlawanan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Wajah suram Muiz bagaikan menceritakan semua isi hatinya. Ayah memaut mesra bahu anak sulungnya ini. “Ibu sedang menimba ilmu. Jika bukan kita yang memberikan sokongan dan dorongan buat ibu, siapa lagi?”

Tiada sahutan. Muiz segera beredar meninggalkan padang sekolah menengah ini, dengan langkah yang laju. Lili dan Muaz saling berpandangan. Tanpa sepatah kata, Lili dan Muaz juga menyaingi langkah Muiz.

Ayah mengekori Muiz dan berjalan seiringan dengan si anak yang berwajah kian kelam itu. Ayah berkata, “Senyumlah sedikit. Ibu sedang usahakan perkara yang dia impikan. Penting sangat bagi ibu.”

Langkah Muiz terhenti dan anak matanya tepat merenung wajah tenang ayah. “Jadi kami tidak pentingkah?” Muiz mahu ayah tahu, betapa dalam luka yang terpahat ini.

Lili dan Muaz juga berkecil hati dengan sikap ibu. Rasanya, ibu lebih mementingkan mimpi-mimpi yang sedang ibu realitikan dengan kesungguhan. Rasanya, ibu juga bagaikan sudah terlupa untuk kembali ke alam nyata. Ibu seolah-olah tidak sedar lagi akan kewujudan mereka.

“Sudah tentulah kalian perkara yang paling penting. Berikan ibu sedikit ruang untuk diri sendiri. Gembiralah untuk ibu,” kata ayah lagi. Nadanya kedengaran penuh harapan.

Muiz, Muaz dan Lili saling berpandangan. Mereka sudah berikan ruangan itu buat ibu. Cuma kini, ruangan itu bagaikan sedang menjadi sempadan. Sempadan waktu yang mula merenggangkan perhubungan kekeluargaan di antara mereka. Gembira? Wajarkah mereka bergembira setelah ibu menjauh dan semakin menjauh?

Wajah Muiz lebih muram berbanding tadi. “Muiz lebih suka ibu yang dahulu,” sambut Muiz seraya melangkah semula.

Ayah terkaku. Tidak menyangka Muiz meluahkan kata-kata begitu. Impian, cita-cita dan harapan si ibu, sedang melukakan sebahagian kegembiraan anak-anak mereka.

“Kami pun,” kata Lili mewakili Muaz dengan wajah yang keruh.

Ayah tergamam. Lidahnya kelu. Terkunci segala kata-kata di lidahnya. Langkah Lili dan Muaz seiringan dengan Muiz yang menuju ke parkir kereta, di hadapan bangunan sekolah menengah ini. Ayah menghela lesu. Ayah tidak mahu menjadi pemusnah mimpi orang tercinta. Ayah juga tidak mahu menjadi perosak kebahagiaan milik anak-anaknya. Ayah mesti lakukan sesuatu, tetapi bagaimana?

***

KERETA AYAH BERGERAK perlahan meninggalkan pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Cahaya Sakti ini, sekembalinya Muiz dari bilik persalinan. Wajah ayah tenang. Hati ayah sedikit bergelora. Fikiran ayah ligat mencari jalan keluar terbaik, agar hati anak-anak tidak terluka lagi.

“Adalah lebih bagus, kita gunakan kebijaksanaan yang Allah beri, untuk menghasilkan perkara yang baik-baik. Bukan menghukum dan menilai sesuatu perkara yang kita tidak faham atau kurang tahu. Fikirlah jauh ke hadapan,” ayah berkata tenang sambil memandu penuh cermat.

Muiz tidak segera menjawab. Dia tahu, ayah cuba menjernihkan suasana yang sedang keruh ini. Bukan niat Muiz mahu mengungkit mengenai perkara ini. Namun, semua ini semakin hari semakin sukar buat Muiz dan adik-adik. Muiz berpaling ke arah Lili dan Muaz di tempat duduk belakang. Wajah kedua-dua adiknya itu juga suram. Redup mata mereka kian mendung. Bermaknakah lagi, ruang yang mereka beri untuk ibu lakarkan impian dan cita-cita itu?

Helaan Muiz tersusun rapi. Namun, tetap retak di hujungnya. “Muiz bukan menilai ibu. Perkara ini sudah teranglah, ayah,” balas Muiz perlahan.

Ayah tersenyum pendek. Luka di hati Muiz semakin berdarah. “Nampaknya, ayah yang kurang terang dengan maksud kamu,” kata ayah lagi.

Ayah tetap berusaha untuk memahami hati kecil anak-anak yang sudah terhiris itu. Muiz terdiam. Lili dan Muaz juga hanya membisu. Mungkin, diam mereka selama tempoh ini telah memberi satu tanggapan, yang segalanya berjalan dengan baik sejak ibu menduduki kelas penulisan.

Sekarang ini, kelas penulisan ibu bukan tertumpu di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Malah, ibu sanggup ke negeri atau bandar yang berhampiran demi menimba ilmu menulis novel ini. Pendek kata, ibu tidak mahu terlepas satu peluang pun!

“Ibu sudah berubah, ayah,” kata Lili perlahan sambil melepaskan pandangan suramnya ke luar jendela kereta ayah yang sedang bergerak cermat.

Tanggapan salah anak-anak semakin ketara. Ayah membalas pantas, “Sebab tidak dapat hadiri perlawanan ini?”

Mereka tiga beradik tidak segera menyahut. Lili dan Muiz saling berpandangan. Rasanya mereka tidak perlu menjawab pertanyaan ayah itu.

Kereta yang dipandu ayah berhenti di lampu isyarat merah. Ayah tenung wajah si anak satu persatu. Ayah mahukan penjelasan yang lebih lanjut. Ayah tidak mahu ada yang menyimpannya lagi dalam hati.

Muaz mewakili abang dan kakaknya berkata perlahan, “Kami sedang kerugian, ayah. Harap dapatlah untung di kemudian hari.”

Ayah tersenyum sendiri. Rasanya ayah perlu tambahkan harapan yang semakin susut. Ayah berkata penuh makna, “Ya, betul. Insya-Allah akan beruntung di kemudian hari. Bersakit-sakit dahulu. Bersenang-senang kemudian. Sabar, ya.”

Muaz, Muiz dan Lili saling membisu. Muiz mengangguk perlahan. Kebenaran kata-kata ayah tidak dinafikan. Namun, hati kecil Muiz tetap berasa bimbang.

“Sekarang ini, ibu hanya tidak hadir ke perlawanan ragbi Muiz. Sedikit waktu lagi, apa pula?” soal Muiz lagi.

Jelas sekali kebimbangan itu adalah suara hati yang paling dalam. Akhirnya, kereta yang dipandu ayah, selamat tiba di salah sebuah restoran makanan segera yang agak tersohor ini. Enjin dimatikan.

Ayah tersenyum penuh harapan. “Baiklah. Ayah akan pastikan, ibu tetap ibu yang paling baik buat kalian.”

Kata-kata ayah membuka pintu harapan buat Muaz. Namun, itu hanyalah harapan palsu bagi Lili dan Muiz.

 “Rasanya, kami tidak bertuah,” kata Lili sambil membuka pintu kereta.

Ayah terdiam lagi. Ayah dan Muaz keluar dari kereta. Senyuman ayah masih terlekat di bibir. Manis senyumannya mencari reaksi Lili yang kini bagaikan merajuk. Rela ayah pujuk! Asalkan Lili, Muaz dan Muiz masih meletakkan ibu di tempat tertinggi dalam hati mereka.

Ayah tersenyum lagi. “Ayah akan usahakan sesuatu, agar perkara sebegini tidak berlaku lagi.”

Lili segera berpaling. Senyuman bermakna ayah menusuk ke dalam hati. Ayah terbitkan kata-kata itu dengan penuh keikhlasan. Ayah mengangguk pasti.

Senyuman Lili mekar semula. “Ayah lah yang terbaik,” kata Lili sambil memeluk ayah. Matanya berair. Namun, wajahnya ceria. Cahaya kegembiraan mula menyuluh di jiwanya.

Muaz turut tersenyum. “Wah, beruntungnya kita. Muaz sayang ayah,” kata Muaz sambil memeluk ayah juga.

Gelak ketawa Lili dan Muaz mula kedengaran. Ada muzik riang. Ada lagu gembira.

Hanya hati Muiz ditikam selumbar. Muiz mencerlung tidak senang ke arah Lili dan Muaz. “Tidak perlulah gembira sangat. Perkara ini bukan semudah itulah!”

Ayah, Lili dan Muaz tersentak. Wajah Muiz diselubungi warna gelap. Kata hati, segalanya tidak mungkin akan kembali normal. Lili dan Muaz tidak berani bersuara. Adakah itu bermakna, ibu akan terus merentasi sempadan tanpa menoleh ke arah mereka lagi?

Ayah pula terdiam tanpa kata sambil menyorot langkah Muiz yang menuju ke dalam restoran itu, dengan wajah hampa. Mampukah ayah kembalikan suri di hati ketiga-tiga cintanya itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan