Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Selasa, 27 Ogos 2013

Natrah Fantasia: Bab 1




NATRAH FANTASIA (DISSA AZMIN)
BAB 1 SEMANIS-MANIS GULA

Udara pagi yang segar memenuhi ruang tamu flat di tingkat lima ini. Natrah, Nurul dan Nabil kini bersedia dengan beg di bahu masing-masing. Mak tersenyum sambil menghulurkan wang saku buat anak-anak kesayangannya. Nurul dan Nabil segera menuju ke muka pintu untuk mengenakan kasut sekolah. Sementara Natrah masih di sisi mak, di sofa berbentuk L.



Mak mengusap lembut wajah anak bongsunya ini. “Adik guna duit ini baik-baik, ya. Beli makanan yang kurang manis. Ingat, gigi adik masih sakit.”

Natrah tersenyum manja. Hatinya berbunga riang kerana kini dia sudah mempunyai duit belanja sendiri, biarpun hanya sekeping wang kertas berwarna biru. Mak turut tersenyum.

Natrah mengangguk patuh. “Baik, mak.”

Mereka tiga beradik, mula menapak ke sekolah yang jaraknya lebih kurang lima belas minit perjalanan dari rumah mereka. Wajah girang Natrah seindah suria pagi. Dia sudah mula berkira-kira sendiri wang baki membeli makanan di kantin yang akan dia simpan untuk membeli makanan kegemarannya, sepulang dari sekolah tengah hari nanti.

Nurul tersenyum sendiri melihat wajah si adik. “Jangan hendak berangan. Ingat pesan mak, faham? Ada makhluk asing yang sedang membuat sarang di dalam gigi adik yang sakit itu. Faham!” Kata-kata tegas Nurul mematikan reaksi ceria Natrah sebentar tadi.

Teduh wajah Natrah ditutupi awan mendung. Dia meletakkan telapak tangannya pada pipi kanannya. Terasa panas. Gusinya berdenyut-denyut semula. Makhluk asing? Benarkah? Akhirnya, Natrah tersenyum pendek. Ada-ada saja kakaknya ini.

Pipi Natrah terasa kebas, sebaik tiba di kelasnya. Sesi pembelajaran sudah bermula. Denyutan ngilu di dalam giginya itu, sekejap membesar dan sekejap mengecil. Sekejap ada. Sekejap menghilang. Kepalanya mula terasa pening. Apakah ini? Oh! Tidak!

“Natrah, kamu jawab soalan yang ini pula,” kata guru kelasnya yang bercermin mata itu sambil memandang tepat ke wajah Natrah.

Natrah bangun dengan perlahan. Reaksinya seperti pesalah yang bakal menerima hukuman yang berat sekali.

“Saya … saya ... tidak faham, cikgu.” Sebaris ayat itu terasa begitu panjang bagi Natrah kerana gigi Natrah bagaikan sudah mahu tercabut. Dia juga berasa mahu muntah.

Guru perempuan itu menghela panjang. “Bahagian mana yang kamu tidak faham? Cikgu hanya mahu kamu menyusun ayat ini menjadi ayat yang betul. Masih tidak faham?”

Natrah tidak berkelip memandang papan hijau yang tertera ayat yang salah susunannya. Natrah cuba memahami semuanya, biarpun segalanya bagaikan sudah berpusing-pusing. Gigi Natrah pula kian terasa seperti dicucuk-cucuk benda tajam.

Guru itu menjeling tajam. “Sudahlah! Berdiri di situ sampai tamat kelas saya.”

Natrah menunduk wajah. Air matanya hampir jatuh di pipi. Kesan sampingan sakit gigi ini memang buruk sekali. Hilang tumpuan. Hilang ilmu yang sepatutnya dia perolehi. Akhirnya, dia dihukum bagi kesalahan yang remeh.

Wajah muram Natrah tidak lagi kelihatan setelah loceng terakhir berbunyi. Natrah seiringan dengan teman sekelasnya yang berbadan agak gempal itu, menuju ke pintu pagar sekolah. Di hadapan sekolah ini, terdapat deretan gerai yang menjual pelbagai jenis makanan ringan, gula-gula dan coklat. Terdapat juga gerai yang menjual kuih-muih dan pisang goreng.

            “Saya mahu gula-gula. Mimi pula bagaimana?” kata Natrah seraya berpaling ke arah Mimi yang masih kelihatan berfikir-fikir sebelum membuat pilihan.

            Mimi yang berkulit putih dan gebu itu tersenyum kecil. “Saya mahu coklat. Saya suka coklat.” Senyuman Mimi mengecil apabila teringatkan sesuatu. “Eh! Gigi awak sudah tidak sakit lagi, ya?”

Natrah mengangguk sambil tersenyum riang. “Semuanya sudah baik. Awak janganlah risau.”

Mimi tersenyum lagi. “Wah, cepatnya baik! Baguslah begitu. Bolehlah kita makan coklat banyak-banyak.”

Kata-kata Mimi membuatkan Natrah tertawa kecil. Natrah menyambung laju, “Saya pun suka coklat juga. Ayuh! Cepatlah! Beberapa minit lagi, loceng untuk murid tahun empat, lima dan enam akan berbunyi. Jika Kak Nuyun dan Anchik nampak kita di sini, nahaslah kita.”

Wajah serius Nabil dan Nurul terbayang di mata mereka. Mimi dan Natrah segera mencapai kepingan coklat yang berharga dua puluh sen itu sebanyak dua keping seorang. Setelah itu, mereka kembali ke tempat duduk di ruangan menunggu di dalam pagar sekolah. Mujurlah Nabil dan Nurul masih belum kelihatan.

Natrah tersenyum lega. “Sedapkan?”

Mimi mengangguk laju sambil menikmati kepingan coklat tersebut dengan begitu berselera sekali. Biarpun coklat itu bukan jenama terkenal, ia tetap enak dimakan. Natrah berasa gembira dapat berkongsi kegemaran yang sama dengan teman baiknya ini. Natrah membuka balutan kepingan coklat di tangannya itu.

“Adik masih makan coklat? Berapa kali hendak kami ingatkan? Kamu pun tidak mahu mendengar kata juga ya, Mimi?” Suara Nabil jelas kedengaran di telinga Natrah.

Natrah dan Mimi serentak mendongak. Nabil dan Nurul sudah pun berdiri di hadapan mereka. Jelas sekali, wajah mereka lebih serius berbanding hari-hari sebelumnya.

Natrah menunduk wajah. Tidak sampai hati mahu membuang coklat yang sudah bersedia untuk diratah itu. Natrah mendongak dan berkata, “Lain kali, kami akan lebih beringat. Adik janji. Lagipun gigi adik sudah tidak sakit lagi.”

Huh! Ikutkan hati marah si abang, mahu sahaja dia merampas kepingan coklat itu dari tangan si adik yang belajar di tahun satu ini. “Rasanya, lebih baik adik simpan dahulu coklat itu. Adik boleh makan coklat itu semula apabila gigi adik sudah pulih sepenuhnya.”

Natrah tidak menyahut. Berat sekali untuk akur pada permintaan si abang. Direnung lama kepingan coklat di tangannya itu. Makin tidak sampai hati!

            Nurul menggeleng. “Apabila berjanji, mestilah dipatuhi. Selalu sahaja buat-buat lupa. Kamu pun sama juga, Mimi,” ujar Nurul pula penuh kesal di atas tindakan Natrah dan Mimi yang selalu menganggap nasihatnya dan nasihat Nabil, perkara kecil.

            Mimi tersipu-sipu ditegur Nabil dan Nurul sekali lagi. Mimi membalas perlahan, “Mimi tidak akan buat lagi.”

            Nabil dan Nurul merenung Mimi dengan lama sekali. Mimi menunduk wajah sambil menghabiskan baki coklat di tangannya itu. Kecut perutnya direnung begitu.

Nurul mengalih renungannya ke arah Natrah pula. Nurul berkata perlahan, “Allah lebih mengasihi mereka yang mendengar kata ibu bapa. Bukankah mak sudah pesan, gunakan duit itu untuk membeli makanan berkhasiat?”

            Huh! Natrah menjeling Nurul. Tidak puas hati dengan nasihat Nurul yang seolah-olah menghalangnya daripada menggunakan wang saku yang mak berikan. “Ini duit poket adik. Suka hati adiklah!” balas Natrah spontan dan bersahaja.

            Nurul menjegilkan bola matanya. “Oh? Maksudnya, apabila gigi adik sudah tidak sakit lagi, adik boleh buat sesuka hatilah! Begitu?”

Jika diturutkan hati Nurul yang sedang baran ini, mahu sahaja dia mengheret Natrah pulang. Namun, apabila terpandang wajah mulus Natrah, tidak tergamak pula rasanya untuk buat begitu.

Nabil menghela lesu. “Dengarlah nasihat kami. Ini untuk kebaikan adik juga.”

Natrah tidak menyahut. Dia tetap tenang memakan kepingan coklat yang masih berbaki di tangannya itu. Kata-kata Nabil dibiarkan begitu sahaja.

Nurul menyambung, “Betul kata Anchik itu. Asyik makan makanan begini tidak baik untuk kesihatan gigi. Jika sakit gigi lagi, adik juga yang merana.”

Natrah tersenyum lucu apabila mendengar kata-kata si kakak. “Wah, Kak Nuyun ini seperti doktor gigilah! Ada gaya! Apabila dewasa nanti, tidak usahlah menjadi penulis tersohor, jadi doktor gigi saja.”

Mendengar kata-kata itu, Nurul dan Nabil tersenyum-senyum sendiri. Natrah dan Mimi pula tertawa kecil. Natrah berharap, suasana begini akan berpanjangan. Biar hidupnya aman dan tenteram. Benarkah sebegitu tenang?

***

SAKIT GIGI NATRAH kembali menyerang. Nampak gayanya, si makhluk asing yang bermaharajalela di dalam gigi Natrah tidak mahu berundur, biarpun dia telah memberus giginya berkali-kali. Rasa ngilunya tetap tidak berubah.

“Bubur nasi lagi?” kata Natrah sambil memandang lesu bubur nasi yang mak masak khas untuknya berperisa ikan bilis. Mahu tidak mahu, Natrah terpaksa menelannya bagi mengisi perutnya yang kosong. Hatinya pedih melihat gulai ayam masak lemak cili api dan lauk kegemarannya yang terhidang di atas meja makan ini.

“Wah, ayam goreng ini sedaplah!” kata Nabil sambil tersenyum lebar. Nabil mencapai paha ayam goreng tersebut dan mengunyahnya dengan bersungguh-sungguh sambil menjeling Natrah yang menjeruk rasa. Hampir jatuh air liurnya melihat Nabil meratah ayam goreng bersama nasi putih.

Nurul tersenyum-senyum sendiri melihat reaksi Nabil yang sengaja menunjuk-nunjuk itu. “Air sirap ini pun sedap juga. Rasanya lebih manis dari biasalah.”

Nurul meneguk perlahan air sirap yang mak sediakan sewaktu makan tengah hari ini. Natrah menelan liur. Terasa sejuknya air sirap yang Nurul minum itu di kerongkongnya. Natrah mengalih pandangan layunya ke arah air kosong yang terisi di dalam gelas. Namun, Natrah tidak mahu menyuramkan harinya yang dipenuhi dengan peristiwa yang kurang menggembirakan ini.

Natrah berkata perlahan dan mendatar bunyinya, “Bubur nasi yang mak masak ini pun sedap juga. Mak masak dengan penuh kasih sayang.”

Nabil dan Nurul saling tersenyum. Mereka sudah habiskan makanan masing-masing dan menutup lauk- pauk itu dengan tudung saji.

Setelah Nabil mencuci tangannya di sinki, dia berkata, “Sedapkah makan bubur nasi setiap hari? Tidak seperti ayam goreng yang enak itu. Semakin hari dimakan, semakin dekat di hati. Bukankah begitu, Nuyun?”

Nurul mengangguk sambil tersenyum lebar. Dia mengemas ruang dapur itu agar kekal bersih. “Betul Anchik! Nuyun sokong sangat. Rasa manis air sirap tadi terlekat di tekak Nuyun.”

Natrah mencerlung tajam. Natrah tersinggung mendengar kata-kata si kakak dan si abang. Rasanya, mereka berdua sengaja mahu menyakiti hati Natrah yang sedang membengkak itu. Natrah bingkas bangun. Mak yang baru keluar dari dalam bilik setelah solat Zuhur terlihat reaksi Natrah itu.

“Mengapa tinggalkan makanan begitu sahaja? Itu rezekilah, adik,” tegur mak sambil memandang wajah masam si bongsunya itu.

“Mak tengoklah Anchik dan Kak Nuyun itu, asyik sakitkan hati adik sahaja. Sengaja menyeksa pemandangan mata dan perut adik,” kata Natrah sambil menunding jari telunjuknya ke arah Nabil dan Nurul.

Renungan lembut mak beralih ke arah Nabil dan Nurul yang berpura-pura tidak mendengar aduan Natrah mengenai mereka.

Mak menggeleng. Mak menyambung lagi, “Tidak baik buat begitu. Jagalah sedikit hati orang yang sedang kesakitan.”

Nabil berpaling. Dia memandang wajah teduh mak. Tidak sampai hati untuk membantah. Namun, Nabil lakukan semua ini bersebab. “Anchik mahu adik lebih beringat, dan lain kali jangan degil lagi.”

Natrah tidak dapat menerima dengan rela hati alasan Nabil yang dirasakan keterlaluan. “Semua orang tidak sayangkan adik! Kak Nuyun dan Anchik ini, memang suka buli adik. Jika Along ada, tentu dia akan sokong adik.”

Nabil dan Nurul tercengang mendengar tuduhan balas Natrah yang tidak benar sama sekali. Nabil mengerling seketika dengan ekor matanya ke arah Natrah. “Jangan libatkan Along dalam hal ini! Kami bukan seperti yang adik fikirkan!”

Natrah menjeling tajam. “Yalah! Memang betul, Along lebih sayangkan adik! Biarpun Along tinggal di asrama dan sibuk dengan latihan kereta kecil itu, dia tetap lebih mengasihi adik berbanding Kak Nuyun dan Anchik!”

Nabil menghela lesu. Nubhan bagaikan kubu pertahanan yang tidak dapat diruntuhkan oleh dia dan Nurul. Namun, Nabil tidak mahu Natrah beranggapan dia dan Nurul tidak menyayangi Natrah sepenuh hati.

“Teguran kami untuk kebaikan adik. Jangan sesekali fikir, kami tidak sayangkan adik,” balas Nurul pula dengan nada yang lebih lembut.

Huh! Natrah tidak mahu mengalah. “Apa-apalah!”

Nabil dan Nurul tercengang sendiri. Sikap Natrah di luar jangkaan mereka. Amarah Natrah semakin menyala pula.

“Cukup!” kata mak dengan tegas. Mak menggeleng. Kesal air mukanya, jelas kelihatan dek sikap kurang matang anak-anaknya. Mak merenung lembut wajah kelat Natrah. Biar Natrah mengerti, pengalaman ini adalah suatu pengajaran buat dirinya.

Nabil dan Nurul saling berpandangan lalu menundukkan wajah. Mereka tahu kesalahan diri. Cuma berharap, si adik lebih memahami. Huh! Natrah tetap berdengus tidak senang!

Mak mengukir senyuman sekelumit. “Orang sakit gigi memang begini. Selalu cepat marah dan hilang kawalan diri. Sering menganggap kesalahan kecil itu amat besar dan perlu dihukum. Mak tidak sokong perbuatan Anchik atau Kak Nuyun. Mak cuma lebih gembira jika adik cepat sembuh dan mendengar nasihat. Boleh adik lakukan begitu?”

Natrah terkaku tanpa suara. Benarkah dia bersikap seperti itu? Natrah tertunduk kesal. Kata-kata mak benar belaka. Malah kata-kata itu melenyapkan sedikit demi sedikit rasa marah yang menguasai dirinya sepanjang tempoh ini. Kini, Natrah berasa sudah penat kerana asyik membuat kesalahan yang tidak sepatutnya dibuat. Marahkan Nabil. Marahkan Nurul. Padahal dirinya sendiri yang bersalah. Lebih bersalah kerana Natrah gagal mematuhi pesanan dan nasihat mak. Wahai gigi, cepatlah baik. Adik mahu makan ayam goreng. Adik mahu minum air sirap yang manis itu!

***

KESAKITAN SEMALAM SUDAH berakhir. Natrah tersenyum menyambut hari baharu. Suasana pagi di hujung minggu terasa indah sekali. Lebih-lebih lagi esok, Nubhan akan pulang bercuti. Natrah duduk senang di sofa sambil menonton televisyen. Hatinya gembira menghitung detik demi detik sambil mengunyah gula-gula berperisa strawberi.

“Makan gula-gula lagi? Tidak ingat, sakit gigi kelmarin? Adik memang tidak pernah belajar daripada pengalaman yang lepas. Jika makhluk asing yang bersarang dalam gigi adik itu bertukar menjadi gergasi, baru padan muka adik!” tegur Nurul dari arah meja belajar sambil meletakkan buku-buku latihannya di atas meja tersebut.

Natrah yang tergamam kini berasa agak kecut perut juga, apabila Nurul sudah berdiri tegap di hadapannya ketika ini. Natrah menatap lama beberapa biji gula-gula yang masih berbaki di dalam genggamannya. “Adik sudah beli gula-gula ini, takkan mahu membuangnya pula? Membazirlah nanti. Membazir itu amalan syaitan.”

Nurul menghulur tangannya sambil merenung Natrah dengan tajam. “Beri pada Kak Nuyun. Biar Kak Nuyun simpan sehingga kesihatan gigi adik betul-betul terjamin.”

Natrah tersengih kecil. Kurang percaya akan kata-kata si kakak yang dianggap mempunyai muslihat. “Oh! Ya? Terima kasih sahaja. Adik boleh simpan sendiri.”

Nurul berlabuh di sisi adiknya yang comel itu. “Degil, ya? Jika sakit gigi lagi, siapa yang tidak dapat makan ayam goreng? Beri pada Kak Nuyun!” Nurul bertegas.

Natrah menggenggam erat gula-gula tersebut sambil pantas menyorokkan tangan kanannya itu di belakangnya, biarpun ayam goreng dijadikan umpan. “Tidak mahu! Adik punya!”

Nurul cuba merampas gula-gula itu daripada tangan Natrah. Natrah tidak mahu mengalah. Natrah bingkas bangun. “Tidak! Ini adik punya!”

Natrah berlari laju meninggalkan ruang tamu itu. Nurul pantas mengekori Natrah.

“Adik! Adik! Adik!” Panggilan Nurul tidak diendahkan Natrah.

Natrah segera menutup pintu bilik. Huh! Nurul mengetap bibir di luar pintu. Nurul menghela panjang. Dia hanya ingin membantu. Dia berasa kasihan apabila melihat Natrah sakit gigi. Dia berharap Natrah mengerti niat baiknya ini.

Tirai malam mula berlabuh. Mak lincah menghidangkan menu makan malam. Dia dibantu oleh Nurul dan Nabil. Mak mengeluh penuh bimbang, apabila melihat Natrah yang masih menahan kesakitan sejak petang tadi lagi.

Mak mendapatkan Natrah yang sedang baring di sofa L itu. “Masih sakit? Sudah gosok gigi? Hendak berkumur dengan air garam?”

Natrah mengangguk lesu. “Tidak mahulah, mak. Gusi adik makin berdenyut dibuatnya. Gigi adik sakitlah, mak. Sakit sangat,” kata Natrah perlahan. Matanya mula berkaca. Ada air mata yang ingin tumpah.

Kasihan! Kasihan sungguh mak melihatnya. Sakit gigi Natrah sekali ini, benar-benar memerlukan rawatan. Mak memandang ke wajah tenang ayah yang menemani Natrah seusai solat Maghrib tadi.

Ayah tersenyum tenang. “Jika begitu, ayah bawa adik berjumpa doktor gigi. Rasanya, makhluk asing yang bersarang di dalam gigi adik itu semakin membesar. Tengok, pipi adik pun sudah bengkak.”

Oh! Ayah pun berkata begitu juga. Habislah sekali ini! Namun, Natrah tidak mahu berjumpa doktor gigi. Khabarnya, peralatan di klinik pergigian sungguh berbeza dengan klinik kesihatan. Peralatannya yang bercangkuk di hujung benar-benar menggerunkan. Paling menakutkan ialah peralatannya yang berwayar panjang itu, berfungsi untuk membuang karang gigi. Aduh! Tentu rasanya sangat sakit!

Natrah menggeleng lesu sambil menyeka air matanya yang mula berlinangan. “Tidak mengapalah. Biar adik berehat dahulu. Mungkin, sakit gigi adik ini akan cepat baik seperti selalu.”

Natrah ingin tidur. Dia mahu kesakitan ini segera bertemu titik noktah. Air mata Natrah menitis laju. Rasanya, pipinya ini seperti sudah mahu terpisah dari wajahnya. Giginya pula terasa seperti sedang digerudi dengan laju. Oh! Natrah tidak sanggup lagi menahannya.

Ketika mak, ayah, Nurul dan Nabil enak menikmati makan malam, Natrah pula lena dalam kesakitan. Dia berharap sakit giginya akan pulih selepas bangkit dari tidur. Mungkinkah begitu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan