Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Rabu, 28 Ogos 2013

Tuhan Lebih Saintifik: Prolog 1


Tuhan Lebih Saintifik (Dr. Farhan Hadi)

Prolog I  

Manusia Daripada Beruk?

“Jika manusia daripada beruk, siapa yang cipta beruk?”

            “Kamu fikir, siapa?”

            “Tentu sekali Tuhan.”

            “Jadi?”

            “Teori evolusi menyatakan manusia berasal daripada beruk. Kalau ia benar sekalipun, ia masih tidak dapat menyangkal kewujudan Tuhan. Bukankah beruk juga daripada Tuhan?” Zulkarnain  nampak begitu yakin. Semangat pemuda dalam dirinya menyala-nyala. 



            Dr. Donald tersenyum sinis. Hujung bibir kanannya lebih tinggi daripada sebelah kiri. Jawapan itu sudah cukup untuk menggambarkan sedalam mana ilmu pelajar di hadapannya. Pelajar itu bukanlah lawan yang sepadan untuknya. Pelajar itu tidak tahu apa-apa tentang teori evolusi. Dia hanya tahu teori ini menceritakan manusia dan beruk, tidak lebih daripada itu.

            Pengetahuan seperti itu hanya berlegar di mulut orang-orang kampung yang tidak ada pendidikan. Bagi mereka yang cetek ilmunya, itulah jawapan yang akan keluar dari mulut mereka. Sebut sahaja teori evolusi, mulut mereka hanya menyebut manusia daripada beruk dan beruk jadi manusia.

            “Apa yang awak tahu tentang teori evolusi?” Dr. Donald mendekatkan wajahnya dengan wajah Faiz. Dia menjegilkan sedikit matanya sambil merenung wajah pelajar perubatan tahun satu itu.

            “Teori ini mengatakan bahawa manusia berevolusi daripada beruk,” jawab Zulkarnain. Dia masih cuba bertahan dengan ayat yang sama. Dia mengulangi semula ayat yang disebutnya tadi, “Bukankah beruk juga daripada Tuhan?”

            “Itu sahaja! Lagi, boleh ceritakan sikit tentang teori evolusi?” pinta Dr. Donald.

            “Ia diasaskan oleh Charles Darwin dan … mmm … ,” Zulkarnain mula termenung. Otaknya ligat memerah idea.

            “Lagi!”

“Bagimana beruk boleh berubah menjadi manusia?” soal Dr. Donald lagi.

“Err ... melaui proses evolusi,” Zulkarnain menggaru kepalanya yang tidak gatal. Raut wajahnya yang pada awalnya begitu yakin mula berubah. Dia sememangnya tidak tahu. Dia hanya mengisar jawapan dalam ruang lingkup yang sama. Obor semangatnya yang menyala-nyala dalam dirinya tadi kian pudar. Ia seolah-olah pelita yang kehabisan minyak. Minyak tersebut ialah ilmu. Ilmu di dadanya tidak cukup untuk memastikan obor itu terus menyala.

“Evolusi, beruk dan manusia. Apa lagi yang kamu tahu?” Dr. Donald masih merenung wajah Zulkarnain. Dia mula memberi sedikit tekanan kepada pelajar itu. Dia ingin melihat sejauh manakah pelajar itu mampu bertahan.

“Evolusi ialah … emm,” Zulkarnain menggumam mulutnya. Dia mula mati akal.

“Ya … memanglah proses evolusi. Tapi bagaimana proses awalnya? Bagaimana ia bermula?” Dr. Donald menambahkan lagi sedikit tekanan.

Zulkarnain mula cemas dan gugup. Meskipun tidak tahu, sekurang-kurangnya dia masih boleh berfikir dan memberi sedikit idea. Namun apabila mendapat tekanan sebegitu, ia cukup untuk mematikan sisa-sia ideanya. Dia cuba menjawab, namun lidah mula terasa kelu. Suaranya hanya bergema di halkum, kemudian masuk semula ke kerongkongnya. Dia terlalu memandang rendah akan teori Barat itu.

Dia seharusnya sedar meskipun teori itu agak tidak masuk akal bagi orang yang beragama, ia dihasilkan oleh seorang intelek yang bijaksana. Tidak mungkin seorang intelek menghasilkan satu teori sedalam pengetahuan orang kampung yang tidak berpelajaran. Jika ia hanya sebuah teori yang dangkal, mana mungkin ia mampu memberi pengaruh kepada jutaan manusia di seluruh dunia khususnya golongan yang berpendidikan tinggi.

            “Adakah teori ini menyatakan seekor beruk tiba-tiba … pling!!! Ia berubah menjadi manusia di akhir hayatnya dengan sekelip mata? Atau seekor beruk mengalami satu proses perubahan yang panjang sehingga bertukar menjadi manusia?” Dr. Donald terus mengasak pelajar tahun satu itu.

“Err … teori itu menyebut ia berubah dalam satu tempoh yang panjang. Lama-lama ia menjadi manusia,” Zulkarnain hanya menjawab pilihan yang ada. “Tapi saya tak percaya teori itu.”

“Ok, baiklah. Soalan seterusnya, sebelum beruk, makhluk apa?” soal Dr. Donald lagi.

 Zulkarnain tidak dapat berfikir secara rasional lagi apabila ditekan dengan pelbagai soalan. Sukar untuk dia melontar idea atas sesuatu yang langsung tidak diketahuinya. Jika tersilap memberi jawapan pasti ia akan disusuli dengan soalan yang lebih hebat. Jika langsung tidak menjawab, lagi aib. Dia hanya menggeleng sedikit sebagai isyarat tidak tahu jawapan tersebut.

            “Teori evolusi bukan hanya menyatakan manusia berasal daripada beruk. Ia jauh lebih daripada itu. Charles Darwin dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species yang diterbitkan pada tahun 1859 memberi gambaran bagaimana proses perubahan satu sel menjadi satu makhluk awal yang kemudiannya berevolusi menjadi pelbagai cabang spesis termasuklah dari susur galur beruk dan manusia. Ada banyak proses-proses yang begitu kompleks dan penuh santifik sehingga terbentuknya manusia dan juga makhluk-makhluk lain,” jelas Dr. Donald secara padat dan ringkas. Zulkarnain kelihatan terpegun seketika. Tidak disangka teori ini agak rumit. Tidak hanya berkisar pada beruk dan manusia.  

            “Awak seorang bakal doktor. Awak ada asas kuat tentang ilmu sains dan biologi. Sekarang saya hendak awak fikir dan guna logik akal dengan bimbingan ilmu sains. Mana satukah yang lebih senang diterima akal tentang asal usul manusia, kisah dongeng tentang sepasang manusia diturunkan dari langit kerana sebiji buah, atau satu sel berevolusi menjadi menjadi spesis-spesis tertentu dengan penuh hujah saintifik?” ujar Dr. Donald. Dia mula menyuntik racun fahaman tidak percayakan 'Pencipta' kepada pelajarnya.

            “Kami orang Islam kami percaya manusia berasal daripada Nabi Adam yang diturunkan dari syurga,” Zulkarnain tegas mempertahankan akidahnya. Perbincangan ini bersangkaut paut dengan akidahnya. Tidak ada toleransi dalam soal akidah. Dia tidak akan membiarkan akidahnya dipermain-mainkan sesuka hati.

            “Bukankah itu seakan-akan kisah dongeng. Langsung tiada hujah santifik di sebaliknya. Ia tidak lebih daripada sebuah cerita yang mesti dipercayai kerana malas berfikir dan mengkaji,” balas Dr. Donald.

            Zulkarnain terdiam sejenak. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh mematahkan hujah Dr. Donald. Ilmu di dadanya kurang. Dia sedar dia langsung tidak berupaya untuk berhadapan dengan seseorang yang sarat dengan ilmu, meskipun orang itu di pihak yang salah.

            Dia kemudian memegang bahu pelajar itu seolah-olah ingin memujuknya setelah mengasak bertubi-tubi, “Saya hendak awak fikir betul-betul. Orang yang malas berfikir dan mengkaji akan membuat cerita manusia terbang dari langit lalu beranak pinak di bumi. Namun orang yang cerdik pandai akan cuba mengkaji dengan sedalam-dalamnya bagaimana manusia terbentuk secara saintifik. Awak berada di pihak mana?” Dr. Donald terus menambah dos racun dalam suntikannya.

Setelah diasak dengan beberapa soalan lagi dari Dr. Donald, Zulkarnanin mula meminta diri. Dia meninggalkan bilik pensyarahnya dengan perasaan yang agak kecewa. Kekecewaan itu bukan kerana tidak dapat menjawab soalan, tetapi kerana ilmunya sangat cetek. Bagaimana dia ingin berdepan dengan seorang pensyarah yang pandai berhujah dan pernah menerima pendidikan dari barat? Tidak lain dan tidak bukan dia perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan.

            Pada awalnya dia ke bilik pensyarah untuk menghantar tugasan menggantikan ketua kuliah. Tugasan itu selalunya dilakukan oleh rakannya, Faiz selaku ketua kuliah. Faiz meminta pertolongannya kerana dia ada hal yang mustahak. Faiz telah berpesan kepadanya agar berhati-hati dengan pensyarah anatomi yang baharu. Dia suka memberikan soalan-soalan yang berbentuk provokasi mengenai kewujudan Tuhan. Pensyarah keturunan India kacukan Portugis itu seolah-olah ingin menyebarkan pemikiran beracun agar fikiran manusia bebas dari belenggu agama.

            “Kalau dia tanya apa-apa pasal agama, kau cuma jawab nanti saya fikirkan jawapannya. Saya jawab kemudian,” pesan Faiz sebaik sebelum mereka berpisah tadi.

            “Ah, jangan risau! Senang saja untuk patahkan hujah orang-orang yang tidak percayakan Tuhan. Mereka disebut apa … ateis. Aku akan buatkan dia termenung panjang jika dia berani membuka mulut,” Zulkarnanin menggenggam tangan kanannya, seolah-olah pemain badminton yang berjaya mengutip satu mata penting. Dia nampak begitu yakin.

            “Bagaimana? Kau nak jawab apa nanti?” Faiz ragu-ragu dengan keupayaan Zulkarnain. Dia tidak mahu rakannya memandang rendah ilmu pengetahuan Dr. Donald. Dia juga tahu tabiat Zulkarnain yang suka bercakap besar meskipun kebolehannya hanya sejengkal kail.

            “Kita bagi soalan-soalan berantai, tentu sekali dia akan terlopong. Contohnya, jika manusia daripada beruk, beruk daripada apa? Kalau dia cakap beruk daripada kera, kera daripada apa? Tentu sekali jawapannya daripada Tuhan, bukankah begitu?” Matanya bersinar-sinar dengan keyakinannya. “Lama-kelamaan Tuhan juga jawapannya dan dia mesti percaya pada Tuhan.”

            Namun kini dia sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan. Dia terpukul oleh soalan-soalan yang biasa daripada Dr. Donald. Soalan-soalan itu hanya berstatus tadika bagi pensyarah anatomi itu, namun tinggi melangit bagi orang yang tiada ilmu. Dia yakin rakannya Faiz yang dilantik menjadi ketua kelas pastinya setelah diuji soalan-soalan begitu setiap kali berkunjung ke bilik pejabat pensyarah itu. Mereka yang tidak mempunyai keyakinan agama yang teguh pasti akan terpengaruh dengan virus-virus ateis yang disuntik oleh pensyarah itu.

            Kehadiran pensyarah anatomi yang baru sahaja tiga bulan bertugas mula menjadi buah mulut dalam kalangan pelajar, baik yang beragama Islam mahupun yang tidak beragama Islam. Kuliah-kuliahnya sering berencahkan fahaman yang menafikan kewujudan tuhan. Beberapa orang pelajar yang berkunjung ke bilik pejabatnya mendapat beberapa soalan yang menguji iman dan akal.

            Ada desas-desus yang mengatakan beberapa orang pelajar bukan Islam sudah mula terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dibawanya. Bahkan ada segelintir pensyarah juga turut menerima panah beracun yang sama. Hujah-hujah santifiknya agak mantap. Ia mampu mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh para pensyarah yang lain. Dia seolah-olah sudah dilatih dan dilengkapi dengan ilmu untuk berdebat dengan orang yang beragama bagi menolak kewujudan Tuhan.

Apabila Jiwa Kosong

            Ng Boon Seng melangkah longlai. Hatinya masih berbelah bahagi untuk memilih “hendak” atau “tidak.” Dia telah berfikir semahunya selama beberapa hari. Akhirnya dia nekad untuk memilih “hendak.” Langkahnya begitu bersemangat pada mulanya, namun mula longlai apabila tidak jauh dari destinasinya. Perasaan bersalah dan ragu-ragu mula menyelinap masuk ke dalam hatinya.

Semakin dekat, semakin longlai langkahnya. Apabila bilik Dr. Donald sudah kelihatan, dia berhenti seketika untuk melayan perasaan. Sekali lagi dia membuat pertimbangan.

Nak?

Tak nak?

Setelah berfikir seketika, dia mengetap bibirnya. Ayunan langkahnya dikuatkan ke destinasi. Kini tinggal selangkah sahaja untuk sampai ke tempat yang dituju. Hanya pintu di hadapannya menjadi pemisah. Di balik pintu itu tempat yang akan memberi impak perubahan besar kepadanya. Kali ini dia betul-betul berada di hadapan muka pintu. Perasaan berbelah bahagi itu muncul kembali.

‘Bukankah aku sudah fikir panjang? Bukankah aku telah buat keputusan? Kenapa aku masih ragu-ragu?’ hatinya menyuntik semangat.

Dia melipatkan jari telunjuk kanannya, lalu mengetuk pintu di hadapannya sebanyak tiga kali. Kemudian dia memasang telinga untuk mendengar sebarang respons dari dalam bilik. Tidak kedengaran apa-apa. Sekali lagi dia melipat jari telunjuk dan bersedia untuk mengetuk pintu itu dengan lebih kuat.

“Masuk!” kedengaran suara dari dalam bilik sebelum sempat pintu diketuk.

 “Dr., saya berminat dengan cara Dr. berfikir,” luah si pelajar.

“Saya bangga jika dapat mengajar kamu lebih dalam,” ujar Dr. Donald.

Hari itu menjadi sejarah penting buat pelajar Cina itu. Di situlah menjadi titik perubahan kepada tunjang kepercayaannya. Dia menyerahkan jiwanya untuk diproses oleh pensyarah yang tidak percayakan Tuhan. Keyakinannya mula goyah terhadap agama turun-temurun yang dianuti oleh keluarganya. Dia lebih tertarik kepada “agama sains.” Dia mengira pemahaman itu lebih sesuai pada zaman moden.

Ng Boon Seng keluar dengan jiwa baharu.

“Eh, kau buat apa di sini?” tanya Zulkarnain.

Mereka bertembung di luar bilik Dr. Donald.

“Aku sukakan pemikiran Dr. Donald,” jawab Ng Boon Seng.

“Kau dah tak percayakan Tuhan?” tanya Zulkarnain sambil melangkah menjauhi bilik itu.

“Sains lebih hebat daripada Tuhan,” kata Ng. Boon Seng. Tapaknya mengikut jejak Zulkarnain.

            “Aku rasa, bertahun jiwa kau kosong. Apa-apa sahaja fahaman pasti senang memenuhi jiwa kau tu,” kata Zulkarnain.

“Ya, aku serahkan jiwa yang kosong ni untuk diisi,” akui Ng. Boon Seng.

“Sesenang tu? Jika pak cik mana-mana mengaku sebagai maharaja langit sekalipun, kau mungkin mudah percaya. Kau umpama gelas kosong yang akan menerima apa sahaja yang dituang ke dalamnya, sekalipun raksa yang beracun,” sindir Zulkarnain.

“Hey, aku makhluk yang berfikir!” marah Ng. Boon Seng kemudian memisahkan langkahnya.

“Alamak, makin laju gerakan Dr. Donald ni,” keluh Zulkarnain. Tangan kanannya menampar dinding.

“Bukan dia yang laju, kita yang lembab,” sampuk suatu suara.

“Faiz!”

***

            Ng. Boon Seng mengadap wajah Dr. Donald. Ini pertemuan kedua. Pertemuan pertama minggu lalu telah melenyapkan sebahagian besar kepercayaannya kepada Tuhan. Dia telah mendengar hujah-hujah Dr. Donald yang menafikan kewujudan Tuhan. Pertemuan kali ini melantah luluhkan sisa-sisa kepercayaannya kepada Tuhan. Dia berazam untuk mempelajari sesuatu yang baharu, iaitu untuk memahami konsep ateis, golongan yang menolak kewujudan Tuhan.

            “Saya dilahirkan dalam keluarga Buddha. Namun, saya bukanlah seorang penganut Buddha yang baik. Saya tidak suka buat apa yang saya tidak faham,” cerita Ng. Boon Seng.

“Kamu cuba mendalaminya?” tanya Dr. Donald.

Ng. Boon Seng menggeleng.

“Saya pernah mendengar sesetengah orang menyebut bahawa agama Budha hanyalah agama falsafah untuk membentuk nilai-nilai moral manusia, bukan untuk konsep ketuhanan,” kata Dr. Donald.

“Sebahagian rakan saya telah pun beralih kepada agama lain khususnya Kristian. Ada juga yang bertukar kepada agama Islam, namun tidak ramai. Dua orang kakak saya telah memeluk agama Kristian semasa menuntut di kampus,” dedah Ng. Boon Seng.

“Pilihan kamu lebih bijak daripada mereka semua,” kata Dr. Donald.

            Setelah mendengar beberapa siri kuliah Dr. Donald yang menyelitkan kepercayaan ateis, dia mula tertarik dengan fahaman itu. Dia merasakan kekosongannya terisi. Kegersangan jiwanya diairi oleh arus-arus yang membawa dakyah ateis. Dakyah-dakyah itu menyimbah masuk ke dalam jiwanya untuk menyuburkan benih-benih kebencian kepada Tuhan.

“Fahaman ateis ialah satu fahaman yang tidak percayakan kewujudan Tuhan, dewa-dewi atau sebarang kuasa seumpamanya. Fahaman inilah yang lebih rasional dan logik pada masa sekarang,” ujar Dr. Donald. Ng Boon Seng mengangguk sekali setengah.

“Orang dahulu kala, mereka percayakan Tuhan kerana masa itu ilmu sains belum maju. Mereka tidak ada penjelasan untuk alam ini. Mereka juga tidak ada penjelasan untuk kewujudan manusia serta haiwan-haiwan. Sekarang sains telah menjelaskan segala-galanya. Kepercayaan kepada Tuhan mula boleh ditolak ke tepi. Orang yang berpendidikan lama kelamaan akan membebaskan pemikiran mereka dari belenggu agama,” hujah Dr. Donald.

            “Biasanya manusia akan mengikut agama ibu bapa mereka. Jika dilahirkan di dalam Islam, maka dia akan jadi Islam. Jika ibu bapa Kristian, maka dia juga akan menjadi seorang Kristian. Adalah tidak adil untuk melabelkan seseorang itu berdasarkan agama ibu bapa mereka. Anak itu suci, tidak patut pemikiran mereka dikotori dengan fahaman-fahaman agama yang tidak berasas,” ujar Dr. Donald.

Ng Boon Seng khusyuk. Mendengar dan mencatat.

            “Kami tidak mempercayai Tuhan kerana tidak ada satu teori pun yang dapat membuktikan kewujudan Tuhan. Untuk membuktikan kewujudan sesuatu mestilah ada kajian dan hipotesis. Kajian itu dilakukan untuk membuktikan hipotesis tersebut. Jadi, untuk membuktikan Tuhan itu ada, kajian apa yang boleh kita lakukan?” Dr. Donald terus memberi pengisian jiwa kepada pelajarnya.

            “Boleh saya tahu bagaimana doktor menjadi seorang ateis?” soal Ng Boon Seng setelah kira-kira setengah jam dia menyerahkan telinga untuk disumbat oleh apa saja hujah Dr. Donald.

            “Oh. Satu soalan yang baik. Kedua ibu bapa saya adalah Kristian, dan saya juga Kristian pada peringkat awal.” Dr. Donald menjeling bingkai wajah ibu bapanya di atas meja.

“Apabila usia saya meningkat, saya mula menggunakan akal untuk menilai agama yang saya anuti,” kata Dr. Donald lagi.

“Banyak kepincangan dan ketaksuban?” sampuk Ng. Boon Seng.

“Ya. Saya tidak suka percaya secara membuta tuli. Dengan akal dan ilmu sains yang saya pelajari, akhirnya saya merumuskan bahawa Tuhan itu tidak wujud. Kejadian alam dan semua spesis boleh dijelaskan mengikut teori sains tanpa memerlukan teori ketuhanan,” jawab Dr. Donald.

            “Terima kasih atas tunjuk ajar yang doktor berikan. Saya ada kuliah fisiologi selepas ini. Saya akan datang lagi untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada tuan,” ujar Ng Boon Seng.

            Mereka bersalaman.

“Oh, saya ada sesuatu untuk awak,” ujar Dr. Donald sambil membongkokkan badannya dan membuka laci mejanya. Selepas mencari sesuatu di dalam laci pertama, dia membelek-belek fail dan kertas yang bertimbun di sudut kanan mejanya.

            “Tadi baru ada di sini … ,” Dr. Donald mengeluh kecil sambil tangannya bagai lipas kudung membelek satu persatu fail yang bertimbun.

            “Doktor cari apa? Susahkan doktor pula. Nanti saya datang ambil bila ada kelapangan,” lirik mata Ng Boon Seng mengintai jam tangan yang dipakai. Dia mengagak kuliahnya akan bermula sekejap lagi.

            “Sekejap … sekejap … ,” Dr. Donald membuka semula laci mejanya. Tangannya sekali lagi membelek-belek helian kertas dan fail, namun kali ini dengan lebih teliti.

            “Oh … dekat sini rupanya,” Dr. Donald mengambil sebuah buku yang terselit di celahan timbunan kertas di dalam laci mejanya.

“Buku ini saya ingin pinjamkan kamu untuk kamu baca,” ujar Dr. Donald sambil menghulurkan sebuah buku berwarna hitam dan di tengahnya terdapat gambar seperti matahari dengan cahaya merah pekat.

Ng Boon Seng menyambut buku tersebut dan membaca tajuknya.     

            'THE GOD DELUSION, Richard Dawkins.'

            “Saya perolehi buku ini daripada England. Harap kamu jaga dengan baik kerana saya ada satu naskah sahaja. Saya sekarang dalam proses untuk menterjemahkan buku ini ke dalam bahasa Malaysia. Buku ini sangat bagus untuk membina asas yang kuat bagi membebaskan fikiran kamu,” ujar Dr. Donald.

            “Terima kasih doktor. Saya akan baca dan kaji buku ini dengan bersungguh-sungguh,” ucap Ng Boon Seng dengan nada teruja. Matanya bersinar-sinar kegembiraan.

            Dr. Donald tersenyum bangga. Dia sudah mula nampak sinar kejayaan dalam membina empayar fahaman tersebut. Setakat ini dia berjaya menarik hampir 10 orang untuk mengikut kepercayaannya.

            “Usaha dan terus berusaha,” azamnya.

Dia tahu sudah ada sebilangan rakyat di negara ini memiliki kefahaman tersebut. Namun ia masih baharu dan tersembunyi. Jumlahnya masih kecil, sebab itulah mereka tidak mendedahkan identiti mereka secara terbuka.

            Kebanyakan mereka ialah golongan profesional yang pernah mendapat pendidikan daripada Barat. Terdapat juga golongan yang masih tercari-cari fahaman sebenar akibat tidak yakin dengan agama yang mereka anuti. Golongan ini lebih ramai jumlahnya. Mereka ini mempunyai potensi yang besar dalam usahanya untuk membina empayar fahaman tersebut.

Dr. Donald berazam untuk meneruskan perjuangannya dan menjadikan fahaman tersebut sebagai satu perkara biasa yang boleh diterima di negara ini. Tidak ada cara lain melainkan dengan membina empayarnya sendiri. Apabila jumlah mereka sudah ramai, tentu sekali mereka ada kuasa untuk bersuara. Dia yakin pada zaman moden ini, manusia semakin berpendidikan tinggi. Mereka yang tidak berlatar belakang bidang bukan sains juga senang untuk memahami sains dengan perkembangan ilmu sekarang.

1 ulasan: