KUALA LUMPUR –
Novel menjadi antara pilihan bahan bacaan utama rakyat Malaysia terutama
generasi muda.
Menurut
Perpustakaan Negara Malaysia, pada tahun lepas subjek yang paling mendapat
perhatian pembaca di perpustakaan ialah novel/fiksyen yang mendominasi peratus
pinjaman tertinggi dengan 57.6 peratus atau 775,554 naskhah setahun.
Pakar Psikologi
Universiti Putra Malaysia Dr. Siti Irma Fadhilah Ismail berkata rata-rata golongan
muda di negara ini menjadikan novel sebagai bahan bacaan utama apabila kebosanan
dan ada antara mereka menjadikannya sebagai hobi.
Ini, katanya,
kerana isi kandungan novel yang santai, ditambah pula dengan pendekatan baharu
berkonsep ‘Fixi’, iaitu karya baharu yang bersifat urban dan masa kini, serta
tidak membebankan fikiran, membuatkan mereka memilih untuk membacanya.
“Individu yang
membaca novel dapat mencetuskan imaginasi yang tinggi dengan watak-watak yang
disediakan dalam novel,” katanya kepada Bernama.
Siti Irma
Fadhilah berkata otak memerlukan kepelbagaian bagi menyelesaikan masalah dan
dengan membaca novel, individu dapat berfikir di luar daripada kebiasaan untuk
membuat keputusan dan penyelesaian masalah.
“Keupayaan
membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berada di tahap yang tinggi pada
pembaca novel,” katanya.
Sementara itu,
pelajar jurusan Media Komunikasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah
Alam, Nur Sarah Ismail, 23, yang meminati novel ‘Fixi’ berkata novel itu
mempunyai pendekatan yang segar kerana gaya penulisannya yang menarik dan boleh
dikaitkan dengan kehidupan golongan muda.
“Novel Fixi ini
mengajak pembaca turut sama menjelajah dunia imaginasinya dan berfikir cara
penyelesaian misteri dalam novel tersebut,” katanya kepada Bernama.
Siswazah Kuala
Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) Nur Fareeda Ahmad, 20, berkata
beliau memperuntukkan untuk membeli dua buah novel dalam sebulan.
Nur Fareeda yang
mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan berkata membaca novel juga
dapat meningkatkan penguasaan bahasanya di samping menjadikan dirinya seorang
yang lebih matang dalam berfikir. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan