Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Jumaat, 23 Ogos 2013

Wow, Coklat Fondue Mia!: Geng Zuhal

Wow, Coklat Fondu Mia! (Nadya Nabila & Mazny M.R.)

BAB SATU: Geng Zuhal

“Aduhai!” Semangkuk mi rebus diletakkan di atas meja.

            “Bagaimana? Cikgu Saleha minta kita beri keputusan sebelum hari Jumaat!”

            Wajah Luna berkerut merenung mi rebus dalam pinggan. Mei Ling yang duduk di sebelah turut menggaru kepala sementara Yaya pula sedang asyik bermain-main dengan penyedut minuman dalam gelas di hadapannya.



            Keadaan kantin Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Tanjung hiruk-pikuk dengan para murid yang sedang sibuk membeli makanan. Luna memandang ke arah Mia. Nampaknya Mia seperti tidak mendengar apa yang sedang dia rungutkan. Mia menghembus bihun hailam yang disudunya sebelum disuapkan ke dalam mulut. Sekali-sekala, matanya terpejam tanda nikmat.

            “Mia!” Luna menolak lengan Mia yang sedang enak menikmati bihun hailam.

Siku Mia terjatuh dari sisi meja. Mujurlah wajahnya tidak turut tersembam ke dalam mangkuk bihun hailam. Segera Luna meminta maaf tetapi Yaya dan Mei Ling pula sudah terkekeh-kekeh ketawa.

            “Kalau betul pun awak risau, tidak perlulah sampai ke tahap hendak membunuh saya!” Mia menjeling tajam. Dia mengesat kaca matanya yang berkabus menggunakan tudung sekolah. Luna hanya tersengih. Dia tahu marah Mia tidak seteruk mana. Mereka berempat sudah menjadi begitu akrab sejak hari pertama didaftarkan di sekolah itu. Sudah tahu hati budi masing-masing.

            “Cikgu Saleha!” Luna seperti mengingatkan. Secara kebetulan, guru kelas mereka, Cikgu Saleha lalu betul-betul di hadapan mata.

            “Awak panggil saya, Luna?” tegur Cikgu Saleha. Luna kelihatan tersipu-sipu malu.

Hari ini, Cikgu Saleha nampak anggun dengan kebaya labuh warna merah hati dan kain batik corak dedaun. Dipadankan pula dengan kasut berwarna coklat muda, gaya Cikgu Saleha selalu sahaja menarik perhatian mereka berempat. Memang guru muda itu pandai bergaya malahan tidak lokek menguntum senyuman.

            Luna kembali tersengih dan cepat-cepat menggeleng. “Tidak, cikgu.”

            Cikgu Saleha hanya menjungkit keningnya.

            “Cikgu, sebenarnya kelas kami masih belum dapat memikirkan hendak menjual apa pada hari sukan sekolah,” Yaya segera menyampuk. Mereka yang lain terus mengambil kesempatan untuk mengiakan.

            “Ingatkan masalah besar apa yang kamu fikirkan tadi, seperti hendak runtuh dunia dibuatnya.” Mereka berempat tergelak kecil. Cikgu Saleha tersenyum memandang anak-anak muridnya dan menyambung bicara, “Juallah apa-apa yang kamu semua mahu. Asalkan ada yang datang membeli. Ingat, kita perlu kumpul duit untuk membuat lawatan akhir tahun nanti.”

            Saranan Cikgu Saleha itu mengingatkan mereka tentang cadangan lawatan sambil belajar ke Melaka. Rancangan ini telah pun dipersetujui oleh seluruh warga Kelas Enam Zuhal. Memandangkan ini adalah tahun terakhir mereka di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Tanjung, pengetua amat menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam pesta jualan hari sukan sekolah. Cikgu Saleha berpendapat, inilah peluang terbaik bagi Enam Zuhal untuk memenuhkan tabung lawatan kelas mereka.

            “Jual apa-apa pun boleh, cikgu?” soal Luna, ingin memastikan.

            “Apa-apa pun boleh Luna. Asalkan tidak salah di sisi undang-undang,” seloroh Cikgu Saleha.

            “Terima kasih, cikgu!” ujar Luna kegirangan.

            “Hah, sudah seronok nampaknya. Cikgu beredar dahulu ya.” Sebaik sahaja mereka mengangguk dan bersalaman dengan Cikgu Saleha, guru kelas mereka itu kemudiannya berlalu pergi.

            Luna kembali menghadap tiga orang sahabatnya. “Kawan-kawan, dengar? Apa-apa pun boleh, asalkan ada orang yang datang membeli,” dia mengulangi saranan Cikgu Saleha tadi.

            Mia kelihatan termenung. Ada sesuatu yang sedang bermain dalam kepalanya sejak semalam. Tidak pula dia suarakan kepada mereka bertiga. Melihat telatah Mia itu, tahulah Yaya, sahabatnya sedang ligat berfikir. Yaya menolak siku Mei Ling di sebelahnya dan memberikan isyarat jari menunjuk ke arah Mia. Mei Ling juga sedar dengan mimik muka Mia yang kelihatan serius. Yaya kemudiannya, bersuara, “Awak seperti ada cadangan sahaja, Mia?”

            Mia menoleh lalu tersengih. Tiga orang sahabat menahan nafas. Lain benar cara Mia memandang mereka. Macam ada apa-apa sahaja. Luna mula meletakkan tangan pada dahi Mia. “Eh, tidak demam pun!”

            “Macam-macamlah awak, Luna!” Mia pantas mengelak. Yaya dan Mei Ling tersenyum melihat gelagat mereka berdua.

            “Apalah yang awak fikirkan Mia? Cuba kongsikan dengan kami,” pinta Mei Ling. Tidak sabar-sabar, dia ingin tahu apa yang bermain dalam fikiran Mia.

            “Mesti awak sedang fikirkan idea untuk jual apa semasa pesta hari sukan,” teka Yaya pula. Mata Mia langsung nampak bercahaya. Tahulah mereka apa yang sedang difikirkan oleh Mia  itu.

            “Saya rasa elok kita kembali ke kelas dahulu. Waktu rehat pun sudah tamat,” cadang Mia tanpa mempedulikan wajah rakan-rakannya yang sedang membuat aksi muka comel, secomel kucing parsi belaannya di rumah.

            “Tetapi ... .”

            “Tidak ada tetapi lagi. Ayuh kita masuk sebelum kelas Cikgu Baskaran bermula,” demikian Mia mematikan ayat Luna. Mereka bertiga mengeluh serentak lantas dengan malas bangkit dari kerusi di kantin dan bergerak menuju ke kelas.

Semua orang tahu jika waktu Cikgu Baskaran mengajar, jangan memandai-mandai hendak masuk lewat sesuka hati. Berdiri di luar kelaslah padahnya!

            “Baiklah,” walaupun tidak berpuas hati, Luna terpaksa mengalah.

                                                           ***

TIADA SEORANG PUN yang berani bercakap sewaktu Cikgu Baskaran sedang mengajar dalam kelas. Jika ada pun, boleh dianggap sebagai pejuang berani mati! Apa tidaknya, jika Cikgu Baskaran menangkap sesiapa sahaja yang bercakap, dengan serta-merta dia akan disuruh menggantikan tempat cikgu mengajar di hadapan kelas.

            Kelakar?

            Memanglah kelakar jika orang lain yang kena. Cuba terkena pada batang hidung sendiri? Mesti pucat lesi, bukan?

            Luna pula lain halnya. Sejak kembali dari kantin sekolah, hatinya tidak sabar-sabar hendak tahu perkara yang sedang bermain dalam kepala Mia. Di dalam kelas, Luna yang duduk di hadapan sekali asyik tertoleh-toleh ke belakang hinggakan Mei Ling yang duduk bersebelahan dengan Yaya pun perasan dengan telatah gadis India itu. Dia mencuit hujung siku Yaya. Muncung bibirnya mengarah kepada tempat duduk Luna. “Hish!”

            Cikgu Baskaran yang sedang menulis pada papan hijau menoleh sekilas. Berderau darah mereka berdua. Luna pula sudah kembali berpura-pura sibuk menyalin apa yang cikgu arahkan.

            Hari itu, Cikgu Baskaran mengajar mereka tentang bagaimana hendak mengira perimeter sebuah segi empat sama. Semua formula kiraan sudah diterangkan bersama contoh soalan dan jawapan. Malangnya kata-kata guru matematik itu bagai tidak melekat dalam kepala Luna.

Gambar rajah segi empat sama yang dilukis pada papan hijau itu pun kelihatan seperti kepingan roti sahaja. Entah mengapa, ada bayangan sandwic yang timbul dari gambar rajah segi empat Cikgu Baskaran itu.

            “Alamak...” Luna mengetuk-ngetuk kepalanya dengan belakang pensel. Gambar rajah yang senget-benget dalam buku latihannya dipadam dengan rakus. Dalam pada itu, sempat lagi dia menjeling ke arah Mia yang duduk di belakang.

            Mia kelihatan sedang tekun menyalin nota tetapi sebenarnya ada beberapa perkara lain yang sedang mengganggu konsentrasinya. Perlukah dia memaklumkan kepada warga Kelas Enam Zuhal sebelum tamat waktu persekolahan hari ini? Patutkah dia menunggu pada waktu mesyuarat kelas yang bakal diadakan tidak lama nanti?

            Mia mendongak lalu pandangan matanya bertembung dengan anak mata Luna.

            Luna tidak membuang masa. Melalui isyarat tangan, dia cuba menyampaikan percakapannya.

Berkerut-kerut wajah Mia yang duduk di belakang cuba memahami maksud Luna itu. Tangan Luna digerakkan seperti bulatan kemudian dia menunjuk-nunjuk ke arah gambar rajah Cikgu Baskaran. Selepas itu, Luna membuat aksi seperti orang sedang menyuap makanan. Akhir sekali, dua batang jarinya bergesel-gesel seperti orang sedang mengira duit pula.

            Eh, memang pelik bahasa isyarat Si Luna ini!

            Beberapa orang murid lain turut menyedari telatah dua sahabat baik itu. Ada yang tersenyum. Ada juga yang buat-buat tidak nampak. Yalah, nanti tidak fasal-fasal dituduh sama membuat bising. Cuma Jason yang suka mengusik itu cuba meniru-niru aksi Luna. Ini menimbulkan sedikit rasa tidak senang hati murid India tersebut.

            Luna menjungkit keningnya sambil memuncungkan bibirnya. “Apa pandang-pandang?” kata bahasa isyarat Luna.

            Tangan Jason memberi isyarat menyudu makanan dan dijilat bibirnya seperti ingin makan. Dia menoleh ke arah Luna seperti bertanya “Awak lapar dan mahu makan?”

            Luna mencebikkan bibirnya seolah-olah berkata “Eh, apa awak kisah?”

            Jason tersengih macam kerang busuk. Dia menunjuk-nunjuk lagak seperti orang sedang menikmati makanan dengan mengusap-ngusap perutnya.

            Sedap! Jason menaikkan ibu jarinya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

            Luna mengetap bibir tanda geram. Dia sedang berkomunikasi dengan Mia di belakang, mengapa pula Jason yang duduk di tengah itu tumpang sibuk? Luna berpaling ke arah hadapan, kembali menghadap papan hijau.

Wah, banyaknya Cikgu Baskaran lukis! Patutlah semua orang sedang khusyuk menulis. Tentu penat tangannya hari ini hendak menyalin kesemuanya. Sebentar lagi waktu mata pelajaran matematik akan tamat. Tiba masanya Cikgu Saleha akan masuk dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

            Walaupun dia sangat suka subjek matematik, Luna lebih rela jika Cikgu Saleha yang sedang mengajar di hadapan sekarang ini.

            Jangan sibuklah! Demikian mimik wajah Luna. Jason yang nakal buat-buat tidak faham dan terus-menerus mengusik gadis itu.

            Apa hal budak-budak ini? Cikgu Baskaran menoleh buat kali kedua. Dia menangkap kelibat Luna dan Jason yang sedang bertukar-tukar isyarat. Tangan kiri Cikgu Baskaran sudah naik mencekak pinggang.

            “Luna! Jason!” Suara garau itu berdentum bagaikan halilintar. Semua warga Kelas Enam Zuhal serta-merta berhenti menulis. Perhatian dipusatkan kepada dua bintang utama yang sedang tercengang-cengang macam diserang hendap.

            Pucat lesi wajah Luna. Pucat lesi wajah Jason. Murid mana yang tidak takut kepada Cikgu Baskaran yang terkenal garang itu?

            Penyudahnya, mereka berdua terpaksa akur menerima hukuman.

            Kelas Enam Zuhal menjadi riuh-rendah dengan suara para murid. Wajah Jason menjadi kelat. Wajah Luna pula masam mencuka. Hendak tahu mengapa?

            Cikgu Baskaran telah mengarahkan mereka berdua duduk bersanding menghadap antara satu sama lain di hadapan kelas!

            Ya, dua buah kerusi yang disusun secara bertentangan tanpa meja menjadi singgahsana mereka berdua. Macam raja sehari pula lagaknya. Semua orang ketawa sampai sakit perut walaupun wajah Cikgu Baskaran nampak tegas dalam selamba.

            “Hah, cepat siapkan kerja kamu sekarang!” suara garau cikgu itu bergema lagi.

Luna dan Jason kelam-kabut menyalin semua nota yang tertulis pada papan hijau. Lebih cepat lebih bagus. Dapatlah mereka kembali semula ke tempat duduk masing-masing. Sebenarnya Cikgu Baskaran bukanlah seorang pemarah, dia suka berlakon sahaja supaya semua murid mendengar kata-katanya.

                                                           ***

“HAHAHA,” KETAWA MEI LING meledak keluar. Teruk juga Luna menahan malu sepanjang perjalanan menuju ke tempat letak basikal. Mujurlah waktu kelas Bahasa Melayu berakhir agak lewat sedikit daripada biasa. Kebanyakan murid-murid sudah pun berada di atas jalan raya.

            “Tolong jangan ketawakan saya lagi Mei Ling!” marah Luna.

            Mei Ling menekup mulutnya sambil menahan diri. Yaya menepuk-nepuk belakang bahu Luna. “Itulah, lain kali jangan cari fasal dalam kelas Cikgu Baskaran. Tidakkah awak tahu, dia memang pantang melihat orang bercakap. Bergerak sedikit pun akan disoal siasat,” nasihat Yaya.

            Luna mengangguk faham. Dikerlingnya Mia yang berjalan beriringan dengan mereka. “Ini semua fasal awak!” Dia menempelak.

            “Eh, mengapa saya pula?” celah Mia hairan.

            “Saya beri isyarat pada awak tetapi awak buat-buat tidak faham. Si Jason yang macam kerang busuk itu pula yang menjadi Pak Sibuk,” Luna melepaskan rasa geram.

            “Manalah saya faham apa yang awak buat, Luna,” kata Mia membela diri.

            Luna mendengus tidak puas hati. “Budak kecil pun faham apa yang saya cuba sampaikan.”

            “Masalahnya saya bukan budak kecil,” kata Mia lagi.

            “Sudahlah kawan-kawan. Tidak baik kita bertekak fasal benda kecil macam ini. Lebih elok jika kita bincangkan hal pesta jualan hari sukan sekolah. Saya memang teringin hendak ke Melaka akhir tahun nanti!” Yaya cuba mengalih perhatian.

            Mereka berempat terdiam sebentar. Luna yang sedari tadi menahan malu turut terpempan. Hilang terus ingatannya pada peristiwa yang memalukan sebentar tadi. Kini, mereka kelihatan bersungguh-sungguh berfikir mencari idea.

Hujung tahun lepas, murid-murid tahun enam dibawa berkhemah di tepi Pantai Sri Tanjung. Mereka seronok memasang khemah bersama-sama dan membuat unggun api. Bukan itu sahaja, Persatuan Ibu Bapa dan Guru bermurah hati membekalkan beberapa ekor ayam untuk mereka panggang. Cikgu pula membenarkan mereka tidur lewat dan bercerita kisah-kisah menarik sambil duduk beramai-ramai mengelilingi unggun api. Tahun ini, murid tahun enam turut diberi kebebasan membuat perancangan dengan guru kelas masing-masing.

            “Saya pun hendak ke Melaka. Saya belum pernah ke sana,” Luna memberitahu.

            “Saya pernah ke Melaka tetapi saya mahu ke sana lagi dengan kawan-kawan,” sampuk Mei Ling. “Lebih-lebih lagi dengan awak bertiga,” sambungnya.

            Sekali lagi mereka berempat terdiam berfikir. Masing-masing menyorong basikal tanpa suara. Idea pengetua supaya semua murid tahun enam mengambil bahagian dalam pesta jualan hari sukan disambut baik oleh kebanyakan murid. Bila lagi mereka hendak menunjukkan bakat berniaga?

            “Sebenarnya tadi, saya terfikirkan sandwic,” akui Luna.

            “Sandwic?” Mia, Yaya dan Mei Ling menjerit serentak.

            “Ya, bentuk rajah segi empat Cikgu Baskaran kelihatan seperti sekeping sandwiclah!” gelak Luna. Rakan-rakannya tersenyum sesama sendiri. Jika fasal makanan, serahkan sahaja kepada Luna. Pandai betul dia berimaginasi.

            “Saya rasa mahu jual sandwic,” kata Luna lagi.

            “Makanan seperti itu sudah terlalu biasa. Nanti murid lain berkata, sandwic di rumah ibunya lagi sedap!” potong Mei Ling yang bermata besar itu. Mereka yang lain tidak dapat menahan diri daripada tergelak.

            Tiba-tiba, Mia mencelah. “Saya rasa idea Luna itu ada logiknya. Benda yang paling senang laku dijual ialah makanan. Lebih-lebih lagi pada hari sukan. Mesti ramai orang yang datang.”

            “Mesti ramai orang yang kelaparan!” kata Yaya. Tiga orang rakannya mengangguk setuju.

            “Jadi? Kita jual apa?” soal Luna. Dia tidak sabar-sabar ingin tahu. Riak mukanya seperti hendak menelan Mia sahaja kerana terlampau ingin tahu.

            “Kita jual makanan,” jawab Mia seperti berahsia.

            “Jual makanan apa?” soal Mei Ling pula.

            Mia tersenyum meleret. “Yang itu serahkan kepada saya. Nanti semasa mesyuarat kelas, saya akan beri cadangan.”

            “Cakap sahajalah Mia!” suara Luna kedengaran tidak sabar.

            “Eh, nantilah Luna. Bawa bertenang. Saya perlu buat sedikit kajian sebelum mencadangkan idea ini,” balas Mia. Riak wajah Mia kelihatan tenang, sedikit pun tidak terusik dengan kegelisahan rakan-rakannya.

            Luna segera membuat wajah kelat. Yaya pula menegurnya. “Jangan suka buat muka macam itu, Luna. Nanti awak cepat tua. Lagi pun tentu tidak cantik jika terpaksa bersanding dengan Jason sekali lagi!”

            “Aargh!” Luna menjerit kuat-kuat.

            Mereka bertiga cepat-cepat menyorong basikal dan mengayuh laju-laju. Luna pula sudah ketinggalan jauh di belakang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan