Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 13 Disember 2012

Contoh Sinopsis Setiap Bab

Bab 1 Nuar sedang ketawa di dalam biliknya sambil membaca sebuah komik kegemarannya. Begitulah kebiasaannya setiap hari. Biliknya dipenuhi dengan komik yang bertimbun-timbun serta gambar adiwira kegemarannya. Tabiatnya itu menimbulkan kerisauan ibunya lantas dia telah ditegur. Kadangkala Nuar terbawa-bawa cerita komik ke dalam mimpinya.

Bab 2 Di sekolah, Nuar berkongsi minat dengan seorang lagi rakannya iaitu Hadri. Mereka saling bertukar-tukar komik yang dibeli. Nuar juga memanfaatkan bakat melukisnya untuk membuat nota berkomik yang mendapat pujian guru.

Bab 3 Selepas habis waktu persekolahan, Nuar dan Hadri akan menghabiskan masa di kedai buku. Mereka gemar membaca buku tanpa membayar. Perbuatan mereka itu telah ditegur dan mereka terpaksa mencari kedai lain. Akhirnya, mereka menjumpai sebuah kedai buku yang menawarkan bacaan tanpa membeli tetapi perlu membayar seringgit untuk setiap buku. Di situlah tempat mereka berdua menghabiskan masa sehingga petang.

Bab 4 Di rumah, Nuar akan memastikan setiap kartun yang tersiar di dalam akhbar akan menjadi keratan. Nuar akan melekatkan keratan itu di dalam buku skrap sebagai koleksi peribadi. Koleksi kartun itu dijadikan bahan bacaan pada masa lapang ketika di rumah dan juga di sekolah. Ayahnya juga memarahinya kerana Nuar telah menggunting akhbar tersebut tanpa sempat akhbar itu dibaca.

Bab 5 Koleksi komik yang dimiliki oleh Nuar menjadi semakin banyak. Duit belanja yang diberikan oleh ayahnya juga akan disimpan untuk membeli komik. Nuar sanggup mengikat perutnya demi untuk membaca komik. Apabila menyedari perbuatannya itu, Nuar telah dimarahi oleh bapanya. Sebagai hukuman, Nuar tidak lagi diberikan duit belanja sekolah oleh ayahnya.

Bab 6 Hukuman yang dikenakan oleh ayah Nuar menyebabkan Nuar tidak dapat membeli komik yang terbaharu di pasaran. Timbul idea di fikirannya untuk menjalankan perniagaan menyewa komik kepada rakan-rakan bagi menampung perbelanjaan hariannya. Rakan-rakan yang ingin membaca komiknya akan dikenakan bayaran. Hasil daripada perniagaannya itu, dia akan membeli komik baharu pada setiap bulan. Walaupun begitu, lama-kelamaan komiknya semakin susut kerana ada peminjam yang menghilangkannya.

Bab 7 Disebabkan kekecewaannya, Nuar mengurangkan pembelian komik. Nuar beralih arah untuk menghasilkan komik buatan sendiri. Dia menjadikan watak dan cerita daripada komik-komik yang dibacanya sebagai sumber inspirasi. Setiap hari, Nuar akan melukis di dalam buku komiknya. Apabila selesai sesebuah cerita, Nuar akan membuat salinan di kedai fotostat. Dia cuba menjual komik buatan sendiri. Semakin hari, Nuar mempunyai peminatnya yang tersendiri. Mereka sangat meminati komik yang dibuat oleh Nuar.

Bab 8 Aktiviti membuat dan menjual komik buatan sendiri telah sampai ke pengetahuan guru disiplin. Nuar telah disoal siasat dan dikenakan amaran untuk tidak meneruskan kegiatannya itu. Pada masa yang sama, prestasi pelajarannya turut merosot. Apabila ayahnya mengetahui, Nuar telah dimarahi. Ayahnya bertindak membakar semua komiknya. Nuar sangat sedih dan merajuk dengan ayahnya dan lari dari rumah. Nuar berjumpa dengan Zack secara tidak sengaja di sebuah masjid.

Bab 9 Bakat terpendam yang dimilikinya disedari oleh Cikgu Azlan, seorang guru pendidikan seni dan juga penaung sidang redaksi majalah sekolah setelah Nuar dikenakan tindakan kaunseling. Cikgu Azlan telah berbincang dengan Nuar untuk memanfaatkan bakatnya. Cikgu Azlan menyuruh Nuar menghantar karyanya kepada majalah sekolah untuk diterbitkan pada setiap bulan. Cikgu Azlan juga turut membimbing Nuar supaya menggunakan bakatnya ke arah yang lebih bermanfaat.

Bab 10 Hasil bimbingan Zack dan Cikgu Azlan, Nuar mula mengubah perilakunya. Dia juga mula menyedari kepentingan mengamalkan agama dengan sempurna, mentaati ibu bapa dan berusaha dalam pelajaran. Nuar mula berusaha untuk mengambil hati ibu dan ayahnya semula. Nuar telah meminta pertolongan Cikgu Azlan untuk memohon maaf kepada kedua-dua ibu bapanya. Akhirnya, ibu bapanya mula memahami situasi yang sebenar.

Bab 11 Satu pertandingan mencipta komik tarbiah remaja telah dianjurkan oleh sebuah syarikat penerbitan. Nuar menyertainya setelah dipujuk oleh beberapa orang rakannya. Rakan-rakannya juga turut menyumbangkan idea untuk menghasilkan komik itu. Hasilnya, dia telah dinobatkan sebagai juara dan mendapat sejumlah hadiah yang lumayan. Hadiah-hadiah itu diberikan kepada ibu dan bapanya. Dia juga ditawarkan menjadi kartunis sambilan untuk novel-novel tarbiah remaja yang diterbitkan oleh syarikat itu.

Bab 12 Pendapatan Nuar sebagai kartunis sambilan sangat memberangsangkan. Hasil titik peluhnya itu dimasukkan ke dalam akaun Tabung Haji milik ibu dan ayahnya. Ayah dan ibunya mula menyedari bakat yang ada pada Nuar. Berita kejayaannya itu telah menjadi buah mulut di sekolah dan menarik perhatian para guru. Di samping itu, Nuar juga berkesempatan bertemu dengan Encik Zack, seorang kartunis dan berpeluang menimba kemahiran dan berkongsi pengalaman dengannya.

Bab 13 Nuar mengorak langkah seterusnya dengan menerima cabaran daripada rakan-rakannya untuk mencipta komik sendiri. Dia dicabar untuk meneruskan impiannya yang terbantut akibat ditangkap oleh guru disiplin dahulu. Berbekalkan niat yang betul dan usaha yang gigih, akhirnya komik pertamanya dapat diterbitkan. Komik itu sangat laris di pasaran.

Bab 14 Peperiksaan SPM yang semakin hampir menyebabkan Nuar mula menumpukan perhatiannya kepada pelajaran. Dia bercita-cita untuk mencapai keputusan cemerlang bagi membolehkannya menyambung pengajian di universiti. Di hadapannya ada harapan daripada ibu dan ayah untuk melihat dia menjadi seorang insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan