Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 10 Januari 2013

Novel Remaja; Yang Paling Diminati?

(Artikel dipetik dari blog Azmah Nordin)

Apakah anda seorang penulis yang baik? Bagaimana hendak menjadi penulis yang terbaik - termasuk untuk novel remaja? Sukar sangatkah? Perlu keluar banyak belanjakah untuk menghasilkannya?

Jom kita terokai bagaimana hendak mencari idea dan cara menghasilkan novel untuk remaja berusia 13 ke 15 tahun, dan apa yang paling menarik minat mereka untuk membaca.

Remaja belasan tahun lazimnya mahu membaca novel yang ada kaitan dengan perasaan mereka, dan mahu melihat protagonisnya mampu mengatasi masalahnya sendirian - tanpa bantuan orang dewasa, secara langsung; misalnya, masalah hubungan antara mereka dan ibu bapa, adik-beradik, masalah kekeluargaan, pencarian identiti dan jati diri, tekanan hidup; gangguan kaki buli dan sebagainya. Terutama sekali cerita-cerita yang mempunyai tema yang positif, mampu mencetuskan inspirasi, harapan dan dapat membantu pembaca mengatasi masalah peribadi mereka yang mungkin lebih kurang sama dengan masalah yang terpapar dalam novel tersebut.

Malah, cerita-cerita kembara dan fantasi juga mendapat tempat di hati para pembaca remaja. Mereka mencari watak utama (seperti manusia biasa di alam nyata) yang teguh semangatnya, yang sanggup berhadapan dengan apa jua rintangan yang mendatang; kerana ini mampu memberikan inspirasi kepada mereka untuk mengatasi masalah mereka sendiri. Jadi, bagaimana menghasilkannya? Apabila anda menghasilkan karya, sebenarnya anda membentuk sebuah perkongsian dengan pembaca. Bukan hanya sekadar perkongsian kewangan - anda tulis dan mereka bayar untuk membacanya, tetapi sesuatu yang jauh lebih dalam daripada itu. Ia seperti pertukaran suatu bentuk `tenaga'. Penulis terbaik, lazimnya, turut melibatkan emosi mereka semasa berkarya, dan pembaca akan mengutip perasaan yang disalurkan lewat karyanya.

Jadi, bagaimana anda tahu sama ada anda seorang penulis yang baik ataupun tidak? Sebenarnya, mana-mana penulis pun, sama ada yang sudah mampan atau yang baru berjinak-jinak dengan penulisan kreatif, boleh tahu dengan sendirinya bahawa mereka penulis yang baik atau sebaliknya. Anda hanya perlu tanya diri anda sendiri; benar, proses kreatif itu sendiri sangat memenatkan, tetapi apakah anda pernah berasa terhibur - hingga mungkin tercetus semangat juang, keinsafan, kasih sayang sesama insan, seronok dan sebagainya - semasa mengembangkan cetusan idea yang bergelojak dalam jiwa, membentuk pelbagai watak dan perwatakan yang meyakinkan/logik, menciptakan pelbagai bentuk emosi yang akan berubah-ubah dari semasa ke semasa, di sepanjang jalan cerita, plot demi plot yang mengejut-sentakkan perasaan dan mencabar minda, menggarap semuanya supaya kelihatan seperti menonton wayang secara minda, apabila dibaca kelak?

Dan, jika disuruh membaca karya itu sendiri, begitu terbit, apakah anda rasa anda tetap akan berasa terhibur juga - seperti yang reaksi yang anda harap daripada pembaca novel anda? Itu saja yang perlu anda tanya kepada diri anda sendiri. Jika jawapan anda `Ya', terbukti anda adalah seorang penulis yang baik. Betul-betul baik. Teramat sangat baiknya.

Permainan Penulisan

Terbukti sudah, hanya penulis yang mampu menghiburkan diri sendiri dengan karyanya setelah terbit sajalah, boleh dianggap sebagai penulis yang mampu menghiburkan pembacanya. Namun, jika penulis itu berkarya sekadar untuk memenuhi tugasan yang diberi bos, dan karyanya lebih bersifat permukaan semata-mata, mendatar (tidak hidup) tanpa sebarang dorongan semangat juang (sebab bukan datang dari hati sendiri), tanpa idea yang segar dan memberangsangkan diri (kerana tiada usaha untuk menjana idea yang bukan pun miliknya sedari awal lagi) dan tanpa terapan nilai-nilai murni (sebab memang pun ceritanya tidak diyakini dengan seluruh jiwa dan raga), dengan sendiri, dengan sendiri, penulis itu boleh tahu hasil karyanya akan lahir nanti bagaimana kesannya. Tidak baik. Sangat-sangat tidak baik. Teruk. Dahsyat!

Menjadikan Karya anda Teman Kepada Pembaca?

Bayangkan begini; seorang remaja masuk kedai buku. Antara ratusan atau ribuan buku, remaja itu akhirnya memilih buku anda untuk dibeli dan dibaca. Apa maknanya, di sebalik pemilihan itu, jika tidak bertujuan untuk berkomunikasi dengan anda, pengarangnya, secara tidak langsung? Semua pembaca novel pun sama; mencari karya yang boleh menghiburkan, sekali gus bijaksana, lucu, nakal dan boleh diperbahas-bincangkan secara matang sesama rakan pembaca. Dan, paling utama, mereka membaca karya anda untuk berhubungan dengan minda anda, lewat karya. Mereka akan berasa rapat dengan pengarang, biarpun mungkin mereka tidak pernah bersua muka secara peribadi.

Pengaliran Emosi atau Tenaga;

Okey, katakanlah anda menghasilkan karya suspens. Watak utamanya gadis remaja berusia 13 tahun, dia dan seorang penjaganya dalam perjalanan ke rumah keluarga angkat baharunya Wilayah Persekutuan Labuan. Pesawat yang ditumpanginya terhempas di tengah Laut Cina Selatan, dan hanya gadis itu seorang yang selamat, terapung-apung di permukaan laut, dilarikan arus laut. Ketika berpaut pada sesuatu yang terapung-apung di permukaan laut, gadis yang mungkin antara sedar dengan tidak itu, akan teringat kembali siapa yang paling rapat dengan dia, di mana dia membesar, kawan-kawan dia, dan apa yang dia boleh buat dalam keadaan sekarang.

Dan, sebagai penulis, anda seharusnya mengizinkan diri anda `masuk' ke dalam jiwa gadis itu, mengalami apa yang dialami, melihat segalanya melalui matanya, merasa gelojak perasaan yang dirasainya. Sepatutnya, sambil anda membina plot demi plot, latar demi latar dll, dada anda terus berdebar kencang, sekencang dada watak utama yang anda bentuk itu. Begitu watak utama anda menggelepar ketakutan apabila terlihat sirip ikan jerung, anda jugas seharusnya turut melonjak secara dalaman oleh ketakutan yang sama seperti gadis itu - jika tidak pun terlonjak dari kerusi yang anda duduki di hadapan skrin konmputer anda. Rasa takut yang anda rasai semasa menggarap-gambarkan senario dalam cerita ini, diterjemahkan dalam perkataan yang pelbagai rentak pada muka surat anda.

Jika anda dapat `masuk' ke dalam jiwa watak gadis itu, pembaca dengan mudah akan menangkap rasa takut anda, pada setiap butir perkataan yang anda susun sebegitu rupa - dah, nah dari situ, berlakulah suatu pengaliran emosi antara pengarang dan pembaca yang dipanggil `tenaga' yang disebut di atas tadi. Namun, jika anda tidak mengizinkan diri anda untuk turut merasai semua ketakutan suasana yang anda gambarkan dalam cerita anda, tidak mengizinkan daya khayal anda yang terlepas bebas untuk menerokai alam sekitarnya, secara tidak langsung anda sudah menghalang pengaliran `tenaga' daripada berlaku. Pembaca pasti berasa akan kekosongan atau kehilangan sesuatu daripada karya anda yang dibacanya (mungkin dibaca separuh jalan cuma). Berakibat daripada itu, mereka gagal menghubungkan diri mereka dengan karya anda. Secara tidak langsung, karya itu gagal.

Bebaskanlah Perasaan Anda Semasa Berkarya

Sebagai penulis, sewajarnyalah anda juga mampu mempunyai emosi seperti yang dimiliki oleh insan yang lain; misalnya, ketawa, menangis, riang, bimbang, takut, marah, berduka, kagum, terpegun kehairanan, jatuh cinta, benci, cemburu dan sebagainya. Semua perasaan ini penting, supaya anda boleh terapkan perasaan itu ke dalam jiwa watak-watak dalam karya yang cuba anda hidupkan kelak. Caranya mudah saja; bertindak secara spontan. Tulisan yang kaya dengan `tenaga/emosi' adalah apabila penulisnya mengizinkan perasaannya mengalir bebas semasa melaksanakan proses penulisan kreatif.

Perasaan cuma; tidak perlu wang juga bukan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan