Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Selasa, 8 Januari 2013

sambungan Roh Islami Dalam Novel Dakwah

2.      Mencipta watak-watak yang suka buat amal soleh atau menimbulkan adegan-adegan amal soleh

Amal-amal soleh yang lebih menyentuh adalah amal-amal yang dianggap kecil tetapi tinggi di sisi Allah. Misalnya, dicipta watak yang setiap kali membayar tol dia akan bayarkan untuk kenderaan di belakangnya. Ada watak yang setiap kali dapat gaji, dia akan cium duit gaji sebagai tanda syukur dan asingkan terus bahagian untuk sedekah. Ada pula watak yang suka memudahkan orang lain. Apabila membaca berkenaan orang beramal soleh, mudah-mudahan pembaca akan terangsang untuk beramal soleh.

3.      Mencipta watak antagonis yang fungsinya untuk menampakkan kepada pembaca akan hinanya sesuatu perbuatan, sifat dan akhlak buruk.

Bagaimanapun, perlukisan watak ini tidak berlebih-lebihan, iaitu sekadar untuk membawa fungsi tadi, bukan sampai merangsang pembaca seronok atau jadi lali dengan perkara buruk. Apabila membaca kisah orang jahat, orang yang buat mungkar dan orang yang rendah akhlak yang dilukiskan dengan ‘dos’ yang wajar itu, mudah-mudahan pembaca akan rasa jijik dan terangsang untuk menjauhi perbuatan dan sifat buruk itu.

4.      Melukiskan kejadian alam atau kejadian makhluk bernyawa dengan mengaitkannya dengan Allah.

Misalnya ketika melukiskan embun di hujung daun maka ia dikaitkan dengan waktu pagi yang Allah jadikan sebagai sempadan antara malam dan siang dengan maksud untuk memudahkan kehidupan manusia. Apabila membaca gambaran tentang kejadian ciptaan Allah sama ada kejadian alam atau kejadian makhluk bernyawa, mudah-mudahan pembaca akan rasa di hatinya betapa hebatnya Allah, luar biasanya kekuasaan Allah, bijaksananya Allah, sempurnanya Allah, maha kayanya Allah, adilnya Allah, dsb, hingga terangsang untuk menyucikan dan membesarkan Allah.

5.      Menggambarkan Islam yang indah dalam aspek-aspek yang dirasakan sesuai dengan perkembangan plot dan perkembangan watak.

Islam yang indah itu digambarkan sedemikian rupa hingga keindahan itu dapat dipindahkan ke hati pembaca. Misalnya, keindahan adab melayan tetamu, syariat berpakaian yang dikaitkan dengan soal aurat, keindahan cara bergaul, keindahan bersifat pemaaf, keindahan bersifat penyayang, keindahan taat, keindahan solat, keindahan bersilaturrahim, keindahan adab berjiran, keindahan peraturan berniaga dsb. Apabila membaca berkenaan keindahan Islam, mudah-mudahan pembaca akan turut rasai keindahan itu – keindahan syariat, keindahan adab dan keindahan akhlak Islam – lantas terangsang untuk menyucikan Islam dan menyucikan Nabi SAW.

6.      Menerapkan adab-adab Islam melalui watak-watak novelnya.

Misalnya melalui watak seorang anak yang mungkin nakal tetapi sangat baik adabnya dengan ibunya – dia akan berdiri apabila ibunya yang sedang berdiri mengajak bercakap, dia akan duduk di lantai jika ibunya duduk di kerusi, dia akan serta-merta merendahkan suara apabila datang ibunya. Atau, melalui watak remaja perempuan yang bersifat pemalu – tidak ketawa terbahak-bahak, tahu menjaga nada suara di depan lelaki, sangat tertib waktu makan. Apabila membaca berkaitan adab Islam ini, mudah-mudahan pembaca akan terangsang untuk menyucikan Islam dan mengamalkannya.

7.      Menulis dialog-dialog yang sopan dan manis di dalam novelnya.

Hatta dalam adegan bertegang leher antara watak-watak sekalipun, penulis wajar mengekalkan dialog yang masih dikira sopan, bukan dialog yang kasar dan membawa konotasi rendah akhlak. Mudah-mudahan apabila membaca kata-kata sopan melalui dialog watak-watak, pembaca akan terasa indahnya menuturkan kata-kata yang sopan dan akan terbiasa dengan kata-kata sopan itu.

8.      Menyelitkan adegan berdoa dan bermunajat yang boleh menyentuh emosi pembaca.

Doa itu mungkin doa satu watak yang dimohonkan untuk kebaikan satu watak yang lain. Misalnya, doa seorang rakan untuk rakannya, doa suami untuk isterinya, doa majikan untuk kakitangannya, doa ahli perniagaan kepada rakan niaganya. Apabila membaca ayat doa yang diungkapkan oleh watak, mudah-mudahan pembaca akan terasa indahnya hubungan hamba dengan Tuhan melalui doa, tersentuh dengan kandungan doa itu dan ingatannya terus kepada Allah yang dihadapkan doa itu.

NOTA: Untuk menyuntikkan roh atau nafas Islam itu, ia bukan sekadar memastikan aspek shariah compliant atau menepati syariat. Sebaliknya, ia memerlukan penulis memindahkan ke dalam karyanya apa yang dia sendiri sudah jadikan nafas kehidupannya. Oleh itu, mahu atau tidak mahu, penulis mestilah sudah menghayati Islam di dalam kehidupannya sendiri, ke arah 'cakap serupa bikin' insya-Allah. 

Disediakan oleh: Zakaria Sungib GALERI ILMU SD. BHD. (2009) Amir Abd Hamid (2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan