Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 21 Februari 2013

Bermula Dengan Dingin Salju Indiana

KOSMO 11/2/2013
Oleh NIZHA PERIASWAMY
Nizha.periaswamy@kosmo.com.my

            Seorang penulis yang banyak mendekati masyarakat melalui tulisannya pasti mempunyai ramai peminat dan kenangan. Lebih-lebih lagi pada zaman informasi teknologi apabila perkongsian identiti diri dalam laman sosial membuka peluang yang lebih untuk saling berhubung.

            Begitu juga kisahnya dengan penulis Nurolshamshi Saidin, 41, yang berasal dari Pulau Pinang. Minat terhadap bidang penulisan berputik sejak berumur 11 tahun lagi. Ketika itu beliau banyak membaca karya Enid Blyton.

            Dia kemudian berusaha menulis beberapa buku pengembaraan kanak-kanak meniru penulisan seperti itu.

            Cetusan keinginan menulis datang dari niat untuk menyampaikan mesej dakwah dan motivasi kepada semua.

            “Ramai remaja yang tidak berminat membaca bahan ilmiah, motivasi, bahan saintifik dan dakwah. Jadi mesej ini boleh disampaikan kepada mereka melalui penulisan novel kreatif,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Nurol.

            Beliau menghasilkan novel pertamanya bertajuk Dingin Salju Indiana, pada tahun 1998 kerana mahu menyertai pertandingan Hadiah Sako. Namun, Nurol hanya mendapat tempat 10 terbaik. Pada tahun 2009 adik beliau, Zauyiah Nurul Amin menaip semula karya itu dan menghantar kepada pengarang perolehan Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Tuan Haji Zakaria Sungib.

            “Alhamdulillah, ia diterima dan dibukukan. Pada tahun 2011 novel ini dicadang untuk didramakan dalam slot Zehra di saluran TV3 dan ditukar kepada tajuk Dingin Lavenda,” katanya.

            Buku pertama beliau itu kemudian mengukir satu lagi kenangan indah yang tidak dapat dilupakan Nurol. Ketika itu seorang pembaca novel Dingin Salju Indiana, Nor Amalina Ayob, yang kebetulan mengikut suaminya ke Universiti Indiana di Bloomington, Amerika Syarikat menghubungi Nurol menerusi Facebook untuk berkongsi pengalaman di sana.

            “Beliau sangat teruja dan cuba mencari semula tempat-tempat menarik yang menjadi latar dalam novel tersebut,” cerita Nurol.

            Kesempatan itu Nurol gunakan untuk meminta bantuan Nor Amalina untuk membantu mencari sahabat Nurol yang tidak pernah pulang dari Bloomington sejak tahun 1995.

            “Lalu Nor Amalina dan suami mula menjadi detektif sehingga mereka dapat mengesan sahabat lama saya itu. Itu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” ujar Nurol lagi.
 

MENULIS 10 JAM SEHARI.

            Beliau turut berkongsi pengalaman ketika ditugaskan menyiapkan novel bertajuk Hani dengan tarikh ajal tugasan hanya sebulan pada tahun 2011.

            Novel  itu diadaptasi daripada drama Hani karya penulis skrip Zabidi Mohamed yang disiarkan di TV3 slot Lestary.

            “Saya telah menulis selama sepuluh jam sehari demi mengejar tarikh ajal. Pada saat-saat terakhir penulisan, komputer saya rosak dan saya terpaksa menggunakan komputer lain. Waktu itu, penyunting novel tersebut Nurul Aini Ahmad dan Tuan Amir Abdul Hamid banyak membantu,” kongsinya.

            Beliau yang pernah mengikuti pengajian di Universiti Indiana, Bloomington, Indiana, Amerika Syarikat berkata buku tersebut serta novel terbahrau beliau, Dingin Salju Wisconsin terhasil selepas melihat masalah dan keperitan hidup pelajar di luar negara. “Saya menulisnya supaya pelajar baharu dan ibu bapa mereka mendapat panduan sebelum melangkah ke negara luar,” ujarnya lagi.

            Berterima kasih dengan sokongan dari saudara mara, suami dan anak-anak yang sudah remaja, Nurol memberitahu, mereka banyak membantu beliau meringankan bebanan tugas rumah dengan kemampuan mereka untuk berdikari dan kurang memberi masalah.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan