Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Jumaat, 31 Mei 2013

Apa itu KJ Method?

Kaedah KJ Method ini dikategori sebagai salah satu dalam tujuh kaedah pengurusan moden Jepun. Ia diperkenalkan sekitar tahun 1960-an oleh Kawakita Jiro. Kaedah KJ juga dikenali sebagai kaedah diagram afiniti.

Afiniti bermaksud tarikan yang sama oleh unsur-unsur yang sama. Kaedah KJ merupakan kaedah mengurus idea dan data dengan mengkategorikan unsur yang sama.

Memang sebelum ini saya pernah dengar KJ Method yang digunakan dalam penulisan buku. Walaupun begitu, saya masih keliru dan tidak pernah menggunakan kaedah ini untuk mengumpul idea atau bahan.

Pada 1 September 2012 yang lalu, sekali lagi saya diperkenalkan idea penulisan menggunakan KJ Method oleh Tuan Yusry. Alhamdulillah, saya semakin faham apa itu KJ Method. Beliau meminta saya mencari idea menggunakan kaedah ini dalam masa lima minit.

Hebat, kerana saya mampu mengumpul banyak bahan dan saya begitu teruja menggunakan kaedah ini bukan sahaja dalam penulisan, tetapi dalam urusan kerja dan lain-lain.

Bagaimana?

Apa yang mampu saya kongsikan ialah :

1) Sediakan kertas yang dipotong seperti kad kecil atau menggunakan kertas nota seperti dalam gambar di atas.

2) Tulis satu ISI dalam satu KAD. Contoh: Kita mahu mengumpul bahan tentang PELANCONGAN DI LANGKAWI. Kita tulis apa sahaja yang terlintas dalam fikiran berkaitan tajuk itu. Apa sahaja. Jangan pening-pening. Katakan tulis:

a) Bot
b) Lapangan terbang
c) Laut
d) Minyak gamat
e) Mahsuri
f) Motosikal
g) Pulau-pulau
h) Hotel
i) Kereta sewa
j) Chalet
k) Cenderamata
l) Aktiviti laut
m) Berenang
n) dan banyak lagi tentang pelancongan atau Pulau Langkawi.

3) Kita SUSUN semula semua IDEA atau ISI yang kita tulis itu ikut kategori. Contoh :

a) Kategori PENGANGKUTAN
b) Kategori PENGINAPAN
c) Kategori AKTIVITI LAUT
d) Kategori LOKASI MENARIK

Dan lain-lain lagi. Kemudian kategori ini boleh menjadi bab-bab dalam sesebuah buku, atau pun ia akan memudahkan kita untuk menguruskan satu percutian kita di Pulau Langkawi.

4) Membelah Buah Ceri. Ini bermaksud kita bermula dengan satu isi kita kupas dan kita kupas lagi dengan idea-idea baharu. Contoh: Pengangkutan --> Kereta Sewa --> Sewa di mana --> Berapa kos --> Bagaimana nak dapatkan perkhidmatan ini dan apa sahaja berkaitan tajuk kecil ini.

Apa RAHSIA kaedah ini?

FOKUS. Kita akan lebih fokus dan mampu menjana beribu-ribu idea yang sebelum ini kita belum terfikir.

Apa yang menarik?

Jika saya mahu menulis dengan kaedah ini, saya boleh mulakan di mana-mana kad. Ia tidak terhad dan bebas nak mulakan di mana-mana shaja.

Jika tidak mahu gunakan kertas. Kita boleh menggunakan perisian 'word' di komputer. Ia mungkin lebih menarik. Semoga perkongsian kecil ini mampu membantu tuan-tuan menggunakan kaedah KJ ini. Insya-Allah.

Khamis, 30 Mei 2013

Hilal Asyraf di konti IKIM.fm malam ini.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kepada anda yang ingin spiritual anda dibakar dan diadun supaya 'enjin nuklear' penulisan bergerak pantas malam ini ada jawapannya.

LIVE di IKIM.fm pada pukul 09.15 -09.45 malam ini akan membicarakan secara khusus perihal novel trilogi Takdir hasil penulisan beliau.



Selain itu, anda juga akan berkongsi cerita dan anda boleh hantar soalan di facebook rasmi IKIM.fm dan bertanyakan soalan kepada Tuan Hilal Asyraf.

Siapa tahu soalan disapa oleh penyampai radio dan dijawab pula oleh tuan punya badan. Semoga ilmu dan cerita daripada penulis dapat kita jadikan iktibar, amal dan sampaikan.

Jangan lupa janjitemu anda pada malam ini!

Nota: Kepada anda yang berkelapangan, boleh hadir ke Pesta Buku Selangor 2013 di Pusat Konvensyen Shah Alam untuk mendapatkan semua koleksi karya Tuan Hilal Asyraf dan dapatkan diskaun hebat. 



Aroma Antara Benua

GB0246 : Bukan Sekadar Resipi AROMA ANTARA BENUA

Penulis : ROZA ROSLAN
Tebal : 472 m/s
ISBN: 978-983-097-407-1
Harga : W/M RM 48.00, E/M RM 50.00

Buku ini bukan hanya untuk wanita. Bacalah wahai kaum lelaki untuk menyelami rasa halus hati seorang wanita. Mungkin beliau orang yang paling hampir dalam hidup kita! – Prof. Dr. Saadiah Mohamad

Buku ini bercerita tentang hati. Ia mempunyai makna mendalam. Menyediakan makanan untuk keluarga, tetamu atau sahabat handai bermula dari hati bersih. Ia bukan dengan kata semata-mata. Hati yang bersih menjadikan dapur sebagai ruang yang tidak bermasalah. – Prof. Dr. Abdul Khalil H. P. Shawkataly

Berasal dari Segamat, Johor, Roza Roslan atau nama sebenarnya Raudzah binti Roslan merupakan bekas pensyarah di UiTM. Kini berhijrah ke Madinah al-Munawwarah mengikut suami, Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku best-seller yang sekarang memikul tugas di Universiti Taibah Madinah.

 
Aroma Antara Benua, adalah kesinambungan daripada buku Bukan Sekadar Resipi yang terbit pada tahun 2012. Karya terbaharu beliau Aroma Antara Benua ini sentiasa dinanti-nanti oleh para pembaca dan peminat karya beliau.

Sentuhan feminin Roza Roslan dalam setiap karyanya mempunyai kekuatan tersendiri. Pada setiap ceritanya ada pengajaran yang wajar direnungkan bersama.

Selasa, 28 Mei 2013

BAGAIMANA ANDA BOLEH MEMENANGI IPAD MINI DI PESTA BUKU SELANGOR 2013?

SYARAT-SYARAT PENYERTAAN


1) Penyertaan dibuka dari 24 Mei 2013 hingga 3 Jun 2013
2) Cabutan bertuah setiap hari akan memenangi IPAD MINI
3) Jumlah pembelian mestilah bernilai sekurang-kurangnya RM 30 (lebih daripada satu resit atau resit dari hari yang berlainan adalah diterima)
4) Resit pembelian untuk penyertaan mestilah dari mana-mana gerai pempamer Pesta Buku Selangor 2013 yang sah.
5) Setiap resit pembelian layak digunakan untuk sekali penyertaan sahaja.
6) Borang penyertaan yang tidak diisi lengkap akan dianggap batal
7) Pemenang cabutan bertuah akan diumumkan pada jam 6:30 petang dan 8:30 malam. 
8) Hadiah hendaklah dituntut dalam masa 24 jam selepas nama pemenang diumumkan. Sekiranya tidak dituntut dalam masa tersebut, kemenangan akan dibatalkan dan cabutan baru akan dibuat untuk menggantikan pemenang tersebut.
9) Penyertaan yang dihantar selepas cabutan bertuah diumumkan akan dikira untuk cabutan pada keesokan harinya.
10) Keputusan cabutan bertuah adalah muktamad dan pihak urus setia berhak membuat sebarang pindaan tanpa pengumuman awal kepada peserta.




Sumbangkan buku anda di dalam kotak ini

Beli buku berjumlah RM30 ke atas

Jangan lupa ke booth Galeri Ilmu

Isnin, 27 Mei 2013

Tip Penerbit - Apakah Faktor Buku Terjual?

Klik di sini
Setiap kali pesta buku berlangsung penerbit akan memilih-milih buku mana yang laku dijual. Memilih buku yang laku tidak susah. Penerbit hanya perlu melihat database buku yang laris dan bertanya kepada pengedar buku mana yang laku keras.

Namun semasa di pesta buku tidak semestinya buku yang laku dijual oleh pengedar, laku dijual di pesta buku. Ini kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pembeli semasa mereka hadir ke pesta buku.

Faktor inilah yang menjadi faktor penentu untuk penerbit. Antara faktor yang perlu diambil kira adalah faktor promosi sebelum pesta buku berlangsung, faktor susunan buku, faktor penulis dan 1001 faktor yang perlu diambil berat oleh setiap penerbit.

Khamis, 23 Mei 2013

INDAHNYA POLITIK CARA ISLAM

Adakah amalan berpolitik kini menepati apa yang digariskan dalam Islam? Adakah Islam menerima ideologi pemerintahan yang meletakkan penilaian keadilan, baik dan buruk kepada logik akal semata-mata. Ketahui persoalan di atas dengan mendapatkan buku terbaharu daripada Dr. Zaharuddin di Pesta Buku Selangor 2013 dengan diskaun sehingga 15%.

Apabila Novel Perang Berkata-kata

Klik di sini
Insya-Allah, pembaca wanita ini memberikan 4.75 bintang dari 5 untuk novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain. Ini komen beliau.
 
TAJUK : ALEXANDER AGUNG – Hijab Raja Zulqarnain
PENULIS : WEB SUTERA
KETEBALAN: 458 MS
BINTANG : 4.75
 
Salah sebuah novel sejarah yang diolah bagaikan sebuah novel perang yang patut dimiliki oleh para pembaca. Saya mengambil masa selama 7 hari untuk menghabiskan novel ini memandangkan kesibukan yang tiada batasan. 

Mengisahkan liku-liku perjalanan & pengembaraan Alexander dari Macadonia merentasi benua sehingga menghampiri ke India. Baginda membawa misi pembebasan terutama daripada cengkaman diktaktor Kerajaan Parsi.

Novel ini digarap melalui rentasan dua dimensi dunia yang berbeza di mana Zamri, seorang pelajar Universiti perlu menyiapkan tugasan tokoh tentang Alexander / Raja Zulkarnain ini. Memilik susur galur yang misteri tentang Tok Janggut yang dikatakan hilang begitu sahaja. Saat memulakan tesis, Zamri bagaikan terdampar ke zaman Alexander di mana pada zaman tersebut beliau merupakan penulis diraja. Justeru, beliau merakam perkembangan, peperangan dan setiap apa yang berlaku sepanjang pengembaraannya bersama Raja Macadonia itu melalui penulisan. Sesekali Tok Janggut hadir menemani tanpa ada yang dapat melihat.

Akhlak dan adab yang dipamerkan oleh seorang raja yang hebat ini amat mengharukan. Gemblengan tenaga bersama para sahabat, angkatan tentera dan kepercayaannya pada yang Esa membawa kemenangan demi kemenangan. Berbagai-bagai kisah menarik dan ajaib diceritakan sepanjang pengembaraan mereka.

Selain akhlak dan keperibadian raja agung ini, persahabatan juga adalah tonggak utama penceritaan dalam novel ini. Ya, persahabatan itu sangat penting … .

Fakta sejarah tentang pertelingkahan siapakah Alexander sebenarnya telah terjawab. Adakah Alexander ini Raja Zulkarnain sepertimana yang disebutkan dalam al-Quran atau sebaliknya? Kupasan dan penceritaan yang diolah dalam bentuk novel ini sangat-sangat membantu memandangkan kebanyakan buku yang ada mengenai Alexander adalah berupa fakta dan huraian.

Tahniah untuk Tuan Web! 4.75* gemerlapan kuberikan. Bagaimanapun ada sedikit kekeliruan dalam novel ini ... tak apa Tuan Web ... sediakan perisai sebelum peluru menjunam ... .

Baca: 10 Mei 2013 – 16 Mei 2013, jam 9.30 am.

-- Cikpuan Hazliana Zahar, dari grup BukuTigaLima.

Bengkel Realiti Penulisan Bersama Hilal Asyraf


Ayuh ramai-ramai menyertainya.

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami, 2 hari 1 malam di De Palma Hotel, Shah Alam

Peluang untuk mereka yang benar-benar berminat menghasilkan karya kreatif sebagai medium dakwah telah muncul!

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami selama 2 hari 1 malam ini dianjurkan oleh LangitIlahi Consultancy dan Galeri Ilmu Media Group, untuk memberikan peluang kepada mereka yang ingin menceburkan diri ke medan penulisan, atau mahu mengasahkan lagi mata pena agar mampu meningkatkan lagi kualiti penulisan anda yang sedia ada.

Dengan barisan penyampai seperti Ummu Hani Abu Hassan, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, disertai barisan editor Galeri Ilmu Media Grup seperti Haji Zakaria Sungib, Tuan Nasri Nasir, dan Tuan Amir Abd Hamid, ini nyatanya sebuah Bengkel Intensif yang dinanti-nanti ramai!

Selain penyampaian panel, para peserta juga diberi peluang membentangkan sinopsis novel mereka kepada para editor untuk dinilai. Jika berjaya, maka usai sahaja Bengkel Intensif ini, anda akan terpilih menjadi penulis untuk Syarikat Galeri Ilmu!

*peserta mestilah membawa sinopsis karya mereka (sinopsis penuh, bab demi bab) ke bengkel.

Bengkel ini akan diadakan pada 22hb-23hb Jun 2013, di De Palma Hotel, Shah Alam.

Yuran hanya RM750, sekali dengan makan dan penginapan (diwajibkan bermalam).
Pendaftaran boleh dilakukan dengan menghubungi Cik Suriyati di talian 03- 6142 1614.

Seat terhad hanya untuk 30 peserta sahaja. Jangan lepaskan peluang!

TENTATIF -
------------------------------------
Hari Pertama, 22hb Jun 2013
------------------------------------
8.00 am – 8.45 am: Pendaftaran Peserta.
 
8.45 am – 9.00 am: Majlis Pembukaan.
 
9.00 am – 10.15 am: Slot 1 - Niat dan Disiplin, Kuasa Penulisan - Hilal Asyraf.
 
10.15 am – 10.30 am: minum pagi.
 
10.30 am – 11.15 am: Slot 2 - LDK: Merangka Sinopsis Novel Secara Berkumpulan - Editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.
 
11.15 am – 11.45 am: Slot 3 - Mind Your Language - Editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.
 
11.45 am – 1.00 pm: Slot 4 - Menajamkan Pena Seorang Da'ie - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
 
1.00 pm – 2.00 pm: Solat Zuhur dan Makan Tengah hari.
 
2.00 pm – 3.15 pm: Slot 5 - Interaksi Di Medan Siber - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil + Hilal Asyraf.
 
3.15 pm – 4.30 pm: Slot 6 - Proses Berkarya: Dari Sinopsis Kepada Manuskrip - Ummu Hani Binti Abu Hassan.
 
4.30 pm – 5.00 pm: Solat Asar dan Minum Petang.
 
7.00 pm – 8.00 pm: Makan Malam, Solat Maghrib, Tazkirah Ringkas.
 
8.15 pm – 9.15 pm: Slot 7 - Karya Yang Diterima Editor - Tuan Amir Abd Hamid (Editor Novel Galeri Ilmu Sdn Bhd)
 
9.30 pm – 12.00 pm: Slot 8 - Pembentangan Sinopsis (1) - Editor-editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.

 
-----------------------------------
Hari Kedua, 23hb Jun 2013
-----------------------------------
 
6.00 am: Solat Subuh Berjemaah, Pengurusan Diri.
 
7.00 am – 8.00 am: Slot 9 - Karya Yang Menarik Pembaca - Hilal Asyraf.
 
8.00 am – 8.30 am: Sarapan.
 
8.30 am – 10.00 am: Slot 10 - Pembentangan Sinopsis (2) - Editor-editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.
 
10.00 am – 11.00 am: Slot 11 - Mengatasi 10 Halangan Penulis - Encik Zakaria Sungib (Ketua Editor Galeri Ilmu)

11.00 am – 11.30 am: Minum Pagi.
 
11.30 am – 12.30 pm: Slot 12 - Teknik Menulis Bab Pertama - Encik Zakaria Sungib (Ketua Editor Galeri Ilmu) 
 
12.30 pm – 1.00 pm: Slot 13 - Latihan Menulis Bab Pertama.
 
1.00 pm – 2.00 pm: Makan Tengah hari dan Solat Zuhur.
 
2.00 pm – 3.00 pm: Sesi Penilaian dan Pemilihan Sinopsis oleh Editor.
 
3.00 pm – 4.00 pm: Majlis Penutup dan minum petang, bersurai.

Rabu, 22 Mei 2013

Hilal Asyraf - 'Mencetak Manusia Menjadi Hamba Allah'

Sewaktu sesi mesyuarat minggu lepas, saya berada sama di bilik mesyuarat bersama  pihak pengurusan Galeri Ilmu dan Tuan Hilal Asyraf untuk membincangkan dua isu.


Klik di sini

Pertama adalah isu untuk menterjemahkan novel Tuan Hilal Asyraf, VT ke dalam bahasa Inggeris dan kedua ialah cadangan Tuan Hilal Asyraf untuk mengadakan Bengkel Realiti Penulisan Islami dengan kerjasama antara LangitiIlahi dan Galeri Ilmu.

Kedua-dua isu ini menarik dan cadangan untuk menterjemahkan novel VT ini akan menjadi kenyataan suatu masa nanti. Namun apa yang menarik minat saya adalah bengkel penulisan. Pada saya ilmu adalah alat bantu untuk terus membentuk legasi dan empayar pahala yang besar.

“Semoga bengkel penulisan yang diadakan nanti mampu menjadi saluran kepada penulis baharu untuk menghantar karya dan mengenali editor buku Galeri Ilmu," kata Tuan Hilal Asyraf semasa membentang proposal Bengkel Realiti Penulisan novel Islami di pejabat Galeri Ilmu.

Selain daripada usaha untuk memberi panduan dan saluran yang betul untuk peserta, Tuan Hilal Asyraf juga berharap supaya lebih banyak penulis muda yang memasuki pasaran dakwah terutama dalam bidang penulisan Islami. Tambahnya pasaran untuk penulis muda sentiasa terbuka dan mereka perlu mengambil peluang ini.

Menurut Tuan Zakaria Sungib, Pengarah Jabatan Buku Galeri Ilmu, antara faktor yang boleh memperbanyakkan penulis adalah dengan mengadakan bengkel secara intensif dan berfokus. Kata beliau lagi, bengkel yang diadakan nanti samalah seperti bengkel yang pernah diadakan di Masjid Ghufran dahulu.

“Apabila ada ruang dan masa untuk trainer dan peserta berdiskusi lebih banyak idea dan rasa yang dapat dikongsi,” katanya yang gembira apabila peserta terdahulu berjaya menyiapkan karya mereka dan menjadi penulis.

“Jika mereka ada idea dan proposal yang bagus maka penerbit boleh terus fokus untuk membina jenama penulis ini. Apa yang penting adalah kesinambungan untuk menerbitkan karya-karya yang boleh mencetak manusia menjadi hamba Allah,” kata Tuan Hilal.

Semoga bengkel yang akan datang ini menjadi titik mula kepada penulis baharu untuk membina empayar pahala mereka.

Wassalam.




Selasa, 21 Mei 2013

'Sepanjang Menulis Jangan Lupa Bangun Solat Malam' - Prof Kamil

Klik di sini
Sebagai bakal penulis dan penulis tentunya kita mahukan nasihat dan panduan yang baik daripada mentor penulisan. 

Tidak kira mentor penulisan yang kita selalu hubungi ataupun 'mentor senyap' yang sentiasa membakar api perjuangan untuk terus terang dalam arena penulisan.

Faktor utama kita memerlukan nasihat adalah kerana untuk mengekalkan momentum penulisan supaya dapat terus menghasilkan buku-buku berkualiti dan memandaikan bangsa.

Saya suka sekali petikan kata daripada Prof. Kamil di dalam surat khabar Kosmo yang mengatakan, “Pertama, menulislah kerana Allah. Kedua, mohonlah kepada-Nya supaya diberi ilham dalam menghasilkan penulisan yang baik.

“Sepanjang kita menulis jangan lupa bangun solat malam, bertahajud dan bermunajat agar apa yang ditulis adalah berdasarkan ilham yang benar. Selain itu, sentiasa berdoa supaya khalayak dapat memahami apa yang kita persembahkan. Ilmu itu anugerah Allah. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kita hanyalah bala tenteranya,” ungkap beliau penuh berhemah.
 
Mengulas mengenai perkembangan buku-buku dan novel berkonsep Islamik di Malaysia, Muhd. Kamil mempunyai pandangan tersendiri.

“Jika ia dilakukan semata-mata kerana Allah, insya-Allah, ia akan menyerap ke hati sekali gus menjadi alat dakwah yang berkesan. Jika tidak, ia hanya satu jenama seumpama produk-produk lain di pasaran.

“Penulis yang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, pembaca akan membaca sebagai satu tabiat mengisi masa lapang dan lebih parah ia hanya tebuk-tebuk di sana sini. Malah, ada jalan ceritanya tidak memenuhi syariah. Ia hanya label di kulit buku sebagai alat mencapai keuntungan.

“Bagaimanapun, kami berdoa agar ia benar-benar membawa mereka yang terlibat sama ada penulis mahupun pembaca hampir kepada-Nya,” tutur beliau.

Sebagai editor, saya mengingatkan diri saya dan bakal penulis di luar sana supaya kita membetulkan niat kita menulis.

Lihat niat kita supaya objektif penulisan kita tercapai dan sentiasa evergreen hingga kita menutup usia.

Wassalam.

Jumaat, 17 Mei 2013

Pesta Buku Selangor 2013 Bakal Menemui Anda

Klik di sini
Pesta Buku Selangor 2013 akan muncul pada 24 Mei hingga 03 Jun nanti. Kepada anda yang terlepas untuk hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 ini adalah peluang terbaik untuk anda.

Saya pasti ramai yang terlepas untuk hadir ke pesta buku yang lalu.

Bercerita mengenai kehadiran, saya pasti ada di antara kita yang akan hadir kerana tinggal di sekitar Selangor.

Kepada mereka yang tinggal di luar Selangor, anda boleh hadir dengan anak anda kerana mereka sedang bercuti sekolah.

Jika tidak dapat hadir, anda boleh membeli secara dalam talian di laman sesawang Galeri Ilmu iaitu www.galeriilmu.com.

Justeru saya menjemput anda untuk hadir ke Pesta Buku Selangor 2013 untuk mendapatkan buku-buku berkualiti keluaran Galeri Ilmu.

Jumpa anda di sana insya-Allah!




Isnin, 13 Mei 2013

Review Buku: Sinergi Hilal Asyraf



Assalamualaikum.


Apabila semua dihubungkan dengan keimanan, maka ia akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Sinergi. Aku baru sahaja habis baca buku yang dipinjam daripada Nabilah Idris. Thanks ^_^ Aku lupalah pula bagaimana aku boleh tahu nama Hilal Asyraf (penulis).

Serius! Buku ini memang buku ilmiah. Buku agama. Cerita tentang pelajar-pelajar perubatan, multimedia & agama di Jordan. Hanya ada satu perkataan yang ditekan dalam buku ni iaitu IMAN. Watak utama, Asid yang rapat dengan Irfan hingga dipanggil dengan gelaran kembar Irbid.

Sinergi mengenai hubungan antara manusia dengan Allah, antara manusia dengan manusia. Bagaimana Irfan & Asid hadapi dugaan. Banyak watak yang seimbang terutama Disaster Five. Disaster Five tersangatlah 'disaster' , tapi yang best-nya, kelima-lima mereka insaf akhirnya. Bagus!

Dalam hubungan aku dengan manusia lain, itu adalah tanggungjawab aku kepada Allah. Allah arahkan orang yang beriman supaya tidak berantakan, supaya bersatu, supaya berkenalan sesama sendiri, supaya menjaga hak, supaya tidak zalim, supaya tidak khianat. -Irfan

Sinergi berkisar mengenai cara sebenar dakwah dilakukan oleh para remaja dan pelajar. Aku syorkan sangat-sangat novel ini.

Dipetik dan disunting dari:

Jumaat, 10 Mei 2013

Tip Penulis - Penerbit Bukan Tuhan

Penulis adalah agen promosi

Semakin kuat mempromosi buku semakin banyak jualan buku. Ini logik yang jelas. Tidak mungkin buku akan laku keras jika penulisnya tidak mempromosikan bukunya sendiri.

Ibaratnya buku Budak U atau Back To Campus tidak akan laku jika penulisnya Tuan Khairy Tajudin hanya duduk diam termangu di rumah. Lebih buruk jika beliau hanya merenung buku itu.

Namun beliau aktif menulis di status facebook, blog, facebook groups dan sebagainya.

Faktor pertama yang membantu melariskan buku adalah penulisnya sendiri.

Penulis sudah matang. Mereka tahu bahawa jika mereka mengharapkan penerbit sahaja tidak akan cukup. Penerbit mempunyai limitasi promosinya sendiri. Dengan limitasi itu mereka memilih-milih penulis dan buku mana yang menjanjikan pulangan sesuai dengan limitasi bajet yang dilaburkan.

Mana mungkin penerbit mengeluarkan limitasi kemudian rugi. Ini mustahil. Jika ada, penerbit ini mungkin sudah hilang arah pedoman lalu termasuk dalam sindrom paranoid terlalu 'mengejar keuntungan'.

Penerbit dan penulis mempunyai peranan masing-masing dalam mempromosikan buku mereka. Peranan paling penting penulis adalah mempromosikan buku mereka secara halus tetapi kesannya luar biasa.

Penerbit bukan Tuhan yang boleh melakukan segala-galanya.

Khamis, 9 Mei 2013

Tip Penulis- Besarkan Jenama Diri Anda

Ustaz Hasrizal penulis bestseller 'Aku Terima Nikahnya'.
Sebagai bakal penulis anda perlu berfikir bagaimana untuk branding atau jenamakan diri anda sebagai sebuah entiti yang kuat.

Sebagai contoh, Ain Maisarah dilihat sebagai penulis yang mempunyai jenama di mata pelajar sekolah, ibu bapa dan sebagainya.

Mengapa? Ada dua faktor yang saya mahu jelaskan.

1. Memahami genre atau pasaran 

Sebagai penulis Ain Maisarah bijak menjenamakan diri beliau sebagai penulis yang memasuki genre atau pasaran remaja. Semua buku top atau bestseller beliau adalah berkenaan remaja.

Ini bermakna beliau benar-benar faham apakah itu genre remaja dan apakah yang dimahukan remaja dalam setiap karya yang mereka beli. Remaja mahukan cerita santai, sensasi, humor, ceria dan menyentuh emosi mereka sesuai dengan jiwa mereka yang segar, ceria dan gembira.

Jadi sebagai bakal penulis bestseller dan mempunyai jenama diri yang besar anda perlu benar-benar menguasai genre yang anda mahu tulis. Katakanlah anda mahu brandingkan diri anda sebagai penulis motivasi ketuhanan, jadi anda perlu faham apakah itu genre motivasi ketuhanan? Apakah yang dimahukan pembaca dalam genre itu?

2. Tulis secara bersiri

Sebagai pembaca, mereka kenal penulis apabila penulis banyak menghasilkan buku. Sebagai contoh, Ramlee Awang Murshid dikenali pembaca kerana beliau fokus pada genre triler. Beliau dikenali sebagai penulis pakar triler kerana kesemua buku atau novel beliau berkisar tentang itu. Malah setiap bulan ada sahaja buku terbaharu beliau di pasaran.

Jadi untuk menjadi penulis yang dikenali, fokus kepada genre yang anda minati. Jika anda suka tulis berkaitan cerita kanak-kanak maka jelmakan jenama anda sebagai penulis pakar kanak-kanak dan seterusnya.

Apa yang terjadi kepada kebanyakan penulis mereka terperangkap dalam situasi kepelbagaian genre. Semua genre mahu ditulis kerana faktor itu dirasakan mampu menaikkan jenama mereka sebagai penulis serba boleh. Jika sindrom ini ada dalam diri anda sila buang jauh-jauh.

Untuk lebih menyenangkan nama anda dikenali penulis, lebih baik menulis buku secara bersiri. Tulis buku secara siri bagus kerana pembaca mudah mengenali diri anda. Katakanlah anda menulis siri Geng Amir: Balik Kampung. Kemudian pada bulan seterusnya anda boleh pula menghasilkan Geng Amir: Memancing Ikan di Sawah dan seterusnya.

Cukup sampai di sini dahulu. Ada masa kita jumpa lagi. Jangan lupa teruskan membaca untuk menghasilkan buku anda sendiri suatu masa nanti.

Rabu, 8 Mei 2013

Tip Penulis- Menjadi Penulis Muda

Antara salah satu strategi untuk bergelar penulis pada usia muda adalah semasa di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013.

Jika anda ke pesta buku, lakukan taktik ini:

1. Bertanya kepada petugas booth di mana boleh berjumpa editor

2. Mohon kad bisnes editor

3. Tunjukkan yang anda bersemangat untuk menghasilkan buku

4. Selang seminggu terus hantar manuskrip kepada editor

Anda tanya editor jawab

Tahniah Kepada Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 telah menamatkan acaranya. Kepada anda yang hadir dan membeli bahan bacaan yang bermanfaat di PBAKL tersebut saya ucapkan tahniah.

Lebih gembiranya saya apabila anda yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa 2013 singgah ke booth Galeri Ilmu untuk mencari bahan ilmu.

Ramai betul hadir.

Dengan kehadiran ramai manusia yang cintakan bahan bacaan maka kita boleh simpulkan bahawa himpunan rakyat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tersebut mencerminkan bahawa rakyat kita suka membaca sekali gus menafikan omong-omong yang mengatakan rakyat Malaysia tidak suka membaca.

Tahniah kepada anda yang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013. Jumpa lagi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014. Insya-Allah.

Jangan lupakan sayur


Ramainya pencinta ilmu

Kebangkitan ilmu

Ledakan manusia di booth Galeri Ilmu