Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Isnin, 15 Oktober 2012

Menjawab Soalan Mengenai Novel Islami

Bismillahir Rahmanir Rahim.
1) Di waktu syarikat penerbitan lain mengakui jualan novel Islami semakin menurun, bagaimana dengan novel islami Galeri Ilmu?
Sebenarnya novel Islami dalam konteks ini merujuk kepada novel cinta Islami atau novel untuk bacaan dewasa, kerana bukan semua novel Islami mengalami situasi yang sama. Sejak kira-kira tiga tahun komited dalam penerbitan novel Islami, kami telah menerbitkan 63 judul novel yang sebahagian besarnya terus mendapat sambutan di pasaran. Malah dua tiga judul novel Islami untuk bacaan dewasa terbitan Galeri Ilmu mendapat sambutan yang sangat baik disebabkan oleh tiga faktor:
i. novel yang diadaptasi menjadi drama bersiri iaitu novel Stanza Cinta (karya Nurull Halawati).
ii. novel yang diilhamkan daripada drama bersiri (Hani karya Nurulsham Saidin dan Zabidi Mohamed).
iii. novel yang ditulis oleh penulis popular yang mempunyai pengikut di blog dan banyak mengendalikan program motivasi (Cinta High Class karya Fatimah Syarha dan Farhan Hadi).
Novel untuk bacaan dewasa yang selain daripada itu, diakui agak menurun jualannya.
Walau bagaimanapun, bagi novel Islami untuk kategori remaja dan kanak-kanak, jualannya masih menggalakkan, lebih-lebih lagi sewaktu musim cuti sekolah.
Dapatkan buku ini di sini
2) Adakah trend kemerosotan ini disebabkan ia bermula sebagai ikut-ikutan dari novel Indonesia?
Saya tidak pasti dengan penerbit-penerbit yang lain, tetapi bagi Galeri Ilmu sendiri, kami komited menerbitkan novel-novel Islami kerana ia memang selari dengan dasar penerbitan kami. Tidak dinafikan, novel Islami mendapat tempat di pasaran Malaysia kerana tempias daripada fenomena novel Ayat-ayat Cinta. Namun, kita juga mempunyai penulis-penulis yang sebelum itu lagi sudah menerapkan unsur Islami dalam novel mereka seperti Tuan Zaid Akhtar, Ustazah Fatimah Syarha dll.
Novel-novel Habiburrahman El-Shirazy terus melonjak jualannya setelah diadaptasi menjadi filem. Di sini, impak filem kepada industri novel sangat besar. Menurut seorang novelis Galeri Ilmu yang baru pulang dari Amerika selepas tamat pengajiannya di sana, novel dewasa yang mendapat tempat di AS kebanyakannya bergenre cinta paranormal, seperti siri novel Twilight yang turut difilemkan. Justeru, bilamana novel Ombak Rindu diadaptasi menjadi filem, sambutan terhadap novel-novel cinta yang lain turut kembali meningkat.
Lawati blog penulis
3) Bagi pihak Galeri Ilmu, apa strategi terbaik bagi memastikan kedudukan novel Islami kekal relevan di pasaran?
Alhamdulillah, pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu di PWTC, novelet Cinta High Class mencatat jualan terlaris. Dalam tempoh tiga bulan, ia telah diulang cetak. Boleh saya katakan, antara faktor buku ini diulang cetak adalah:
i. penulisnya, pasangan Fatimah Syarha dan Dr Farhan Hadi, aktif menulis buku dan artikel. Di samping mengadakan program yang berkaitan, Fatimah Syarha juga aktif di blog.
ii. isinya yang kuat (cinta selepas kahwin).
iii. konsep buku yang menampilkan dua novelet dalam 1 buku (memberi lebih kepuasan dan input yang banyak kepada pembaca).
Selain itu, sambutan pembaca terhadap novel bercorak sejarah tamadun Islam turut menggalakkan. Buku pertama untuk siri ini terbitan Galeri Ilmu ialah Macedonia: Alexander Agung tulisan Tuan Web Sutera. Buku kedua yang sedang ditulis beliau ialah novel sejarah berkaitan Konstantinopel.
Kami juga akan terus mengadaptasi mana-mana novel yang sesuai kepada drama bagi meningkatkan jualan novel Islami, insya-Allah. Ini dapat direalisasikan melalui syarikat bersekutu Galeri Ilmu iaitu Layar Consult Sdn. Bhd.
Novelis sendiri berperanan untuk mengangkat martabat novel Islami dengan aktif di blog dan mempunyai inisiatif sendiri untuk mempromosi serta mengedarkan novel mereka tanpa terlalu bergantung kepada penerbit.
Seperkara yang perlu diberi perhatian, penulis sendiri perlu meningkatkan kualiti diri seiring dengan penulisan Islami yang dihasilkan.
Klik di sini
4) Berdasarkan pengalaman Galeri Ilmu dalam menerbitkan novel, genre bagaimanakah yang lebih mendapat tempat di hati pembaca?
Kami sememangnya menerbitkan novel Islami yang menyentuh pelbagai aspek, daripada isu harian yang biasa, hinggalah isu yang berkaitan dengan soal jawab agama. Mungkin jika ditanya soalan berkaitan kategori, novel kanak-kanak dan remaja lebih mudah dijual berbanding novel bacaan dewasa kerana tidak timbul isu nama besar.
Ibu bapa lebih melihat isi yang disampaikan dalam novel Islami. Jika isinya bagus, mereka akan beli untuk anak-anak mereka. Kanak-kanak pula lebih mudah menilai buku dari segi luarannya. Jika kulitnya cantik dan tajuknya mengundang rasa ingin tahu, insya-Allah buku itu akan laku.
Novel kanak-kanak yang lebih mendapat tempat di hati pembaca setakat ini adalah novel penyiasatan, persahabatan dan motivasi sukan. Dengan sentuhan nilai didikan (tarbiah), novel-novel ini mampu memberi impak tersendiri, insya-Allah.
http://renungalam.blogspot.com/search/label/es
Wallahu a'lam. Wassalam.
sastera, BH
Disediakan oleh:
Amir Abd. Hamid
Editor Perolehan Seksyen Kreatif
Jabatan Penerbitan
Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan