Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ulasan Buku. Papar semua catatan

Selasa, 18 Februari 2014

BEDAH BUKU REVOLUSI


Mengapa orang revolusi mesti kreatif, berani, dan kritis?

Mahu tahu lebih lanjut? Jom dengarkan kupasan daripada penulis buku ini, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Tarikh: 20 Februari 2014 (Khamis)
Tempat: Perpustakaan MSU

Masuk adalah percuma.

Khamis, 31 Oktober 2013

Rain Them

Judul: Jangan Benci Hujan
Penulis: Puan Zalila Isa (ITBM) 
kredit: imej Google
Ulasan: Kisah seorang penulis yang menjadikan hujan sebagai subjek penulisannya.. hujan sebenarnya tidak disenangi oleh watak utama iaitu penulis tersebut.. hujan seringkali juga berkait rapat dengan musibah bagi dirinya.. semasa hujanlah, ibu bapanya meninggal, dia dibuli, dia karam di laut, dll.. satu novel yang 'superb'. Tahniah puan penulis.
   Cerita novel ini juga tentang pembaca buku tegar a.k.a. penulis buku bertemakan hujan, ada babak bersama lanun dan latar penjara.. epik! Penulisnya orang puisi, banyak ayat 'power' yang boleh dijadikan 'quote'.
   Saya tidak tahu novel lain, tetapi saya yang pruf sedang bayangkan novel ini difilemkan, pelakon lagak layak kaliber Tom Hanks. Drama berat kisah benar berisi. Isu bahasa, budaya pembaca di Malaysia, dilema penerbit diadun secukup rasa. Jarang dapat naskhah begini. Alhamdulillah, satu kepuasan menjadi sebahagian dalam penerbitannya.
   Mungkin juga sebab ini karya pertama saya urus berkait rapat dengan dunia penerbitan itu sendiri. Penulis sinis dalam mengkritik budaya membaca orang kita. Falsafah hujan sebagai perkongsian, setuju atau sebaliknya itu terpulang atas pembaca.
   Simpul kata, novel ini sesuai untuk pembaca novel tegar, para editor, pejuang bahasa dan mereka yang terlibat dalam industri buku kreatif. Insya-Allah, tidak rugi baca novel sebegini. Gaya bahasanya sedap, plotnya laju, nilai tempatannya bagus untuk rujukan orang luar.
   Gaya bahasanya santai, tidak terlalu sastera. Namun isinya padu. Antara novel yang beri impak 'eureka moment' sewaktu menerimanya.

Khamis, 10 Oktober 2013

Tip Editor - Medan Dakwah Kita Luas


Silap faham rata-rata masyarakat pembaca buku, bilamana disebut novel Islami atau dakwah itu, harus berkisar topik langsung berkait akhirat tanpa kias, watak-wataknya berkopiah dan bertudung labuh, ayat al-Quran dan petikan hadis dalam setiap bab satu kemestian, serta perkara-perkara yang berbaur berat-berat sahaja.

Stigma mereka, novel Islami atau dakwah itu ialah novel berat. Ambillah pendekatan anjuran Nabi kita, mudahkan jangan susahkan. Medan dakwah kita luas, jannah-Nya tidak terbatas untuk golongan yang tersedia baik akhlaknya. Kita semua mahu gapai redha-Nya. Ajaklah dengan hikmah, bukan ajar dengan pendekatan menghukum.

Nah, amanah di tangan kita. Tulislah novel yang bersifat global. Tidak terjumud pada hukum ahkam. Banyak isu yang boleh diketengahkan. Novel dewasa, isu cinta sememangnya perisa. Novel remaja, tema persahabatan tunjang utama. Novel kanak-kanak, lagi luas subjeknya.

Ini satu contoh isu yang jarang diterima di meja editor, soal pemakanan anak-anak yang semakin membimbangkan dengan makanan segeranya ditambah pula kurangnya aktiviti di luar berbanding di hadapan tablet. Soalnya kini, isu apa kita mahu baiki dengan generasi yang sedang membesar ini? Itulah yang sepatutnya menjadi tema novel dakwah kita tanpa abai kaitan dengan bekalan akhirat.

Simpul kata, kata kuncinya semestinya: bijak sana.
:: novel dakwah 

Khamis, 22 Ogos 2013

Erti Hidup Pada Memberi



Erti Hidup Pada Memberi adalah himpunan ungkapan inspirasi terpilih daripada buku bestseller Ustaz Hasrizal Abdul Jamil; Edisi Istimewa Aku Terima Nikahnya.

Menghubungkan serangkaian cinta yang sebenar-benar CINTA iaitu cinta kepada Ilahi. Buku yang kecil ini dihiasi dengan 32 halaman berwarna-warni. Selepas beberapa buah buku yang dihasilkan beliau, kali ini beliau tampil dengan buku yang lebih ringan dan mudah dihadam. Ungkapan-ungkapan yang disingkap menjurus kepada pendidikan rohani dan teguran membina.

Boleh dikatakan buku ini adalah untaian kata-kata pengubat jiwa. Menyembuhkan hati yang terluka, merungkai minda yang kusut. Bait-bait yang ditulis memberi seribu pengertian tentang kehidupan. Elemen nasihat dalam kata-kata indah memberi ingatan. Berlapis tanda luhur budi dalam berbicara. Sarat dengan ingatan cinta suami dan isteri serta cinta Allah dan Rasul. Penulis berusaha menggarapkan untaian kata-kata dalam rangkap kata yang boleh menggamit kalbu.

“Sesungguhnya MAWADDAH itu ialah cinta yang tumbuh, terbina dan bertambah dari semasa ke semasa di sepanjang bahtera perkahwinan dilayari.Cinta bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah. Namun di situlah terselitnya RAHMAH.” - Hasrizal Abdul Jamil

TESTIMONI

“Seolah-olah rasa sedang berjalan dengan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan ustaz sedang bercakap-cakap di sebelah. Ungkapan-ungkapan ini boleh dikatakan sebagai nasihat lembut. Seperti dalam kuliah yang selalu ustaz berikan. Tidak terlalu berkias dan sangat senang faham. Kemas, cukup kemas.”
- Khairul Hakimin Muhammad

Sumber: Majalah Anis

Rabu, 21 Ogos 2013

Ulasan Cikgu Zayu Berkenaan E-book 7RKDE

7hb Ogos 2013

ALHAMDULILLAH dengan keizinan-Nya saya telah ulang baca e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor' ini sebanyak tiga kali. Nampaknya sentuhan saudara sahabat saya Tuan Amir Abd Hamid @ Resha Hamzah tidak mengecewakan saya.

Saya pernah membeli beberapa buah buku dan e-book panduan penulisan, dan e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor' ini memberikan pendekatan berbeza kerana ia ditulis oleh seorang editor. Malah beliau berpengalaman menerima pelbagai ragam 'proposal' dan manuskrip daripada penulis dan bakal penulis.

               Nak terima atau tolak?

               Persoalan yang sentiasa berlegar-legar di kepala seorang editor.

               Mungkin persoalan ini tidak bermain-main lagi di fikiran seorang editor apabila menerima 'proposal' dan manuskrip tuan-tuan yang membaca e-book ini.

               Sejujurnya saya mengesyorkan tuan-tuan yang berminat untuk menghantar hasil karya ke syarikat penerbitan, sila dapatkan e-book panduan ini kerana ia bakal memudahkan proses penulisan kita. Insya-Allah.

               Kebanyakan perkara-perkara yang selama ini kita tidak ambil tahu atau tidak tahu, ditulis di dalam e-book panduan ini.

               Terima kasih dan sekalung tahniah buat Tuan Amir yang berusaha keras menghasilkan e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor' ini.

               Semoga tuan-tuan juga peroleh manfaat.

               Jazakallahu khairan.

Yang Faqir

 Wan Zayuhisham Wan Yusoff @ Zayu Hisham

 29 Ramadan 1434H


ilhamwan.blogspot.com

Jumaat, 16 Ogos 2013

Testimonial: E-book 7 Rahsia Karya Diterima Editor.

Saya telah selesai membaca e-book ini. Isi kandungannya mudah dan jelas untuk difahami. Lagi pula, ia ditulis oleh seorang Editor Perolehan yang berpengalaman menerima proposal dan manuskrip daripada para penulis. Sudah tentu banyak pengalaman yang beliau kongsikan. Dan, saya juga sudah berurusan dengannya lebih dua tahun sehingga banyak buku saya berjaya diluluskan untuk penerbitan. Tentu ada rahsianya.

               Kepada mereka yang berminat untuk menjadi seorang penulis yang bagus, saya syorkan anda membaca e-book ini. Dalamnya menceritakan bagaimana anda dapat menghantar proposal dan manuskrip yang dapat menarik minat editor sehinggalah buku anda terbit di pasaran.

               Anda juga dapat mengetahui ciri-ciri buku yang mendapat perhatian tinggi daripada pihak penerbit dan juga pembaca. Buku-buku yang memiliki ciri-ciri inilah yang akan diterbitkan.

               Ramai orang mahu menjadi penulis tetapi mereka kecewa apabila manuskrip mereka ditolak. Puncanya, manuskrip mereka tidak menepati kehendak editor yang mewakili pihak penerbit. Dengan adanya e-book ini, insya-Allah, anda tidak akan kecewa lagi.
 


Mohd Khairi bin Tajudin dilahirkan pada 2 September 1983 di Hospital Besar Alor Setar, Kedah.

                Pada bulan Mac 2011, beliau menghadiri kursus penulisan novel Islami yang dikendalikan oleh Tuan Haji Zakaria Sungib, seorang editor senior di GISB. Habis kursus, beliau terus hantar sinopsis kepada editor perolehan, Tuan Amir Abdul Hamid. Setelah sinopsis dinilai, beliau diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkan manuskrip itu. Beliau tidak membuang masa. Dalam masa tidak lebih daripada 20 hari, beliau menyiapkan manuskrip pertama yang pada mulanya diberi nama GOL! Ia ialah sebuah novel berkenaan perjuangan anak-anak murid sekolah agama rakyat (SAR) memburu kejuaraan bola sepak tujuh sebelah. Beliau mendapat idea itu berdasarkan pengalaman beliau bekerja di SAR. Sekarang ini pun, beliau masih lagi di sekolah itu. Nama sekolah terpaksa dirahsiakan untuk mengelakkan sebarang implikasi.

                Maka, dalam masa tiga bulan selepas itu, terbitlah Tariq United yang menggantikan judul asalnya atas nasihat penyunting, Cik Liana Omar yang sangat berpengalaman. Selepas itu, beliau terus mengorak langkah menulis novel seterusnya iaitu Budak Komik dan Budak U. Ketiga-tiga novel tersebut sudah berada di pasaran!

                Selain menulis novel, beliau juga menulis buku Himpunan Kisah Para Sahabat r.hum. Banyak lagi idea-idea beliau yang belum beliau tumpahkan ke atas kertas. Beliau begitu teruja sekarang ini dan mahu terus menulis dan menulis! Anda semua, doakan kejayaan beliau.:-)

Khamis, 15 Ogos 2013

Ulasan E-book: 7 Rahsia Karya Diterima Editor

Ramai bakal penulis menghubungi saya dan sahabat-sahabat penulis lain lalu bertanyakan soalan-soalan sebegini:
 
            Bagaimana untuk mula menulis?
 
Apa persediaan yang perlu dilakukan?
 
Bagaimana mahu menulis?
 
Apa perlu ditulis?
 
Bagaimana kaedah dan tatacaranya?
 
Menerusi e-book ini, penerangan tentang asas penerbitan diterangkan dengan begitu baik. Bakal penulis bakal mengetahui apakah sebenarnya rahsia bagi membolehkan karya disukai dan diterima editor. Apa pula sebab-sebab karya ditolak? E-book ini akan merungkai segala kekusutan anda.
 
            Meskipun e-book ini ditulis oleh editor daripada syarikat Galeri Ilmu, tidak bermakna intipati ini tidak boleh digunakan untuk penerbit-penerbit lain. Beza antara penerbit hanya hala tuju dan jenis penerbitan dan tatacara/kaedah penerbitan rata-ratanya sama sahaja. Tidak ramai penulis baharu yang arif dengan hal tatacara ini menyebabkan mereka menyerbu editor sesuka hati lantas menyebabkan karya ditolak atas sebab format/fokus tidak sehaluan dengan penerbit atau lebih teruk, e-mel terus tidak diendahkan editor (bayangkan jika yang sampai itu hanya e-mel dengan attachment tanpa sebarang ayat rasmi. sudah pastinya akan dianggap sebagai SPAM!).
 
             Di samping itu, terdapat beberapa lampiran mengenai surat rasmi yang boleh diteliti oleh pembaca. Sangat membantu kepada mereka yang masih bertatih dalam bidang penulisan dan penerbitan ini.
 
            Saya mengharapkan akan ada sambungan kepada e-book ini kerana terasa tidak puas membacanya!
 
            Semoga pembacaan e-book ini bukan sekadar menjadikan anda penulis yang karyanya diterima editor, tetapi juga dihormati atas sebab tatacara yang betul dan sopan.
 
              Tahniah kepada penulis dan penerbit.
 
Shahkang
5 Ogos 2013

 (flickr.com) (google image)
Shahkang merupakan nama pena kepada Norshah Aizat bin Shuaib, iaitu seorang lulusan kejuruteraan mekanikal di University of Manchester. Seorang penulis kreatif yang menceburi bidang sajak, cerpen dan artikel. Aktif dalam persatuan penulis Malaysia seperti Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan PENA. Karya-karya pernah disiarkan di media arus perdana dan majalah bulanan seperti di Berita Minggu, Utusan Malaysia, Tunas Cipta dan Buletin Bicara UK-EIRE.

Selasa, 30 Julai 2013

Konstantinopel: Kibaran Panji Al Fateh

Genre : Novel Sejarah
Penulis : Web Sutera
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn.Bhd

Nabi Muhammad pernah bersabda, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya ialah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawahnya ialah yang sebaikbaik pasukan.” (Riwayat Ahmad bin Hanbal dalam al- Musnad).

Konstantinopel ialah sebuah kota yang menjadi rebutan. Sebuah kota bersejarah yang dibina kembali daripada puingpuing tinggalan koloni Greek yang membinanya dalam abad ke-7 Sebelum Masihi. Nama asalnya ialan Bizantium. Dimasyhurkan sebagai pusat kerajaan terbaharu Rom pada tahun 330 Masihi oleh Maharaja Rom bernama Canstantine Agung. Kota ini berfungsi sebagai pusat Empayar Bizantin untuk berabad lamanya. Ia juga dikenali sebagai Rom Timur atau Rom Baharu.

Kemegahan kota ini dicemburui pelbagai pihak, termasuk daripada Rom, Itali dan para penguasa yang memerintah kerajaan-kerajaan Eropah. Lokasinya sangat strategik. Buku ini menggarapkan antara lain misi menawan Kota Konstantinopel yang mempunyai rentetan kisah perjuangan yang sangat menarik untuk diketahui.

Teknik imbas kembali dan merentas masa serta dimensi turut diterapkan oleh penulis dalam misi memahami perencanaan Allah dalam bentuk novel. Hal ini antara lain boleh menyarankan kepada pembaca agar merasai gaya penceritaan yang terbentuk dalam ruang minda dengan aliran ilham daripada Allah , yang kemudiannya dilakar dengan susunan aksara menjadi sebuah perkisahan yang menarik dibaca.

Sumber teks: Majalah Q&A

Klik pada gambar untuk paparan jelas. Kredit gambar: Tuan Web Sutera
Sebuah novel sejarah untuk semua

Doakan beliau terus menghasilkan karya-karya sejarah untuk generasi



Diari Seorang Amil Zakat Mengubah Diri

Genre : Tarbiah Rohani
Penulis : Hamizul Abdul Hamid
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn.Bhd

AMIL bukan calang-calang jawatan. Ia diberikan oleh Allah kepada golongan tertentu, yang tidak diberikan kepada semua orang. Tidak pernah terlintas di benak penulis untuk menyandang jawatan yang mulia itu.

Namun beliau sentiasa siap siaga menggalas tugas sebagai amil dan tetap setia kepada- Nya, menjalin amanah dan tanggungjawab sehingga lahirlah catatan diari ini.

Buku ini ditulis dan digarap dengan begitu baik sekali sehingga apabila mula membacanya kita amat teruja mahu meneruskan dan masuk ke ruang ‘batas kerja dan tanggungjawab’ seorang amil. Memang amanahnya amat besar dan berat. Ia di luar jangkaan pengetahuan kotak pemikiran manusia biasa yang melihat amil sebagai kerjaya yang mudah dan biasa-biasa!

Sebenarnya ia tidak begitu. Amil dan zakat merupakan komponen kehidupan yang perlu diketahui dan difahami. Dengan daya kreativiti yang disampaikan melalui buku ini, boleh membawa khalayak merasa seronok menatap setiap bait catatan. Inilah antara kejayaan yang dapat dilakar oleh penulis Diari Seorang Amil Zakat Mengubah Diri!

Buku ini memaparkan kepada umum, bagaimana seorang manusia melaksanakan tugas dalam usaha menyempurnakan tanggungjawab melaksanakan rukun Islam yang keempat iaitu zakat. Memang banyak tacit knowledge (pengetahuan tidak formal yang dipelajari daripada pengalaman) dan amat baik untuk dimanfaatkan. Sehingga ia menjadi sebuah buku yang perlu dibaca oleh setiap Muslim.

Membaca catatan ‘diari amil’ ini, ada kalanya kita boleh tersenyum sinis. Malah dalam keadaan tertentu pembaca akan membisik kepada diri sendiri, `Eh! Macam aku aje ...’

Bacalah buku ini kerana melaluinya pembaca dapat merasakan bahawa kita sedang membuka atau menarik tirai pengetahuan mengenai zakat yang menjadi salah satu pasak dalam rukun Islam yang lima.

Kredit gambar: Ustaz Hamizul


Kepakaran bidang Ustaz Hamizul berkenaan bidang zakat

Dapatkan sekarang

Sumber teks : Majalah Q&A isu 20

Isnin, 1 Julai 2013

Lima Bintang untuk Novel Konstantinopel


Ada apa dengan novel sejarah setebal 885 muka surat ini? Saya bukan seorang yang gemar membaca buku-buku tebal sehabis zaman sekolah dan kolej, tetapi adalah sesuatu yang amat rugi jika tidak memiliki dan membaca buku ini. Merupakan buah tangan Tuan Web Sutera yang kedua saya perolehi dan yang pertama saya baca. Maaf jika reviu ini tidak sempurna.

Syabas penulis kerana telah menghasilkan karya sebegini dan memberi peluang pada kami untuk sama-sama mengembara dalam buku tuan ini. Novel sejarah yang sarat dengan ilmu dan pengajaran di dalamnya. Justeru banyak pengalaman dan ilmu-ilmu baharu yang saya perolehi.

KONSTANTINOPEL (nama asalnya Bizantium), sebuah kota bersejarah yang menjadi rebutan, dibina semula daripada puing-puing tinggalan koloni Greek yang membinanya pada abad ke-7 Sebelum Masihi. Kemegahan kota dicemburui pelbagai pihak (Rom, Itali, dan suku kaum yang memerintah kerajaan-kerajaan Eropah). Betapa pentingnya Konstantinopel dalam sejarah Islam dan Kristian hinggakan disebut oleh Rasululullah (SAW) semasa Perang Khandak, mafhumnya, “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawahnya ialah sebaik-baik pasukan.” (Riwayat Ahmad bin Hambal)

Ia juga memperlihatkan tanda-tanda kenabian Rasulullah (SAW) yang sering menceritakan kejadian yang akan terjadi pada masa hadapan. Bermula semasa Perang Khandak, hingga percubaan Sahabat-sahabat Nabi, maka akhirnya percubaan Sultan Muhamad Al-Fateh yang ketika itu baru berusia 21 tahun seterusnya merealisasikan kata-kata Rasulullah (SAW) serta impian umat Islam khususnya. Tentera-tentera Islam mendapat rintangan dan dugaan maha hebat demi sebuah Kota Idaman.

Ia juga menceritakan pentingnya jasa dan peranan Muawiyah bin Abu Sufiyan bersama-sama dengan seorang lagi Sahabat Rasulullah bernama Abu Ayub Al-Ansari yang digelar ‘orang suci’ oleh orang-orang Rom dan warga Konstantinopel. Abu Ayub juga berpesan apabila dia meninggal dunia dia mahu disemadikan di hadapan pintu gerbang kota tersebut supaya dia boleh mendengar derapan kaki kuda tentera Islam menawan ibu kota Bizantin itu.

Subhanallah. Lailllahaillallah. Allahu Akbar! Tersentuh hati dan rasa insaf apabila diberitahu bahawa tentera-tentera Islam pada waktu itu adalah daripada kalangan orang-orang yang tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak akil baligh lagi. Termasuk Sultan Muhammad Al-Fateh, pejuang yang agung, yang tidak pernah meninggalkan solat dan rajin bertahajud dan rawatib. Di sini terlihat elemen 'kebergantungan kepada Allah SWT' yang sangat jelas selain daripada semangat jihad yang tinggi, tidak mengaku kalah, tidak takut mati kerana Allah, serta strategi perang yang digunakan adalah sangat luar biasa membuatkan mereka berjaya akhirnya setelah beratus tahun wafatnya Rasulullah (SAW).

Cerita ini diteruskan lagi dengan watak-watak seperti Mohamad Nabil di Kuala Lumpur (masa sekarang), Grisham Gale , Sarah dan Mavi Mirza (di Turki, Istanbul sekitar tahun 1908), serta watak-watak yang paling menyentuh hati saya iatu Abdul Kudus dan anaknya Sutan Gunung (kaum jin) yang banyak menyentuh tentang perjuangan tentera Islam, khususnya Al-Fateh.

Maafkan saya jika reviu ini terlalu panjang. Ya, kerana buku ini terlalu banyak untuk diceritakan. Dan kerana itu jugalah buku saya ini bertukar menjadi ‘coloring book’ disebabkan begitu banyak isi penting yang saya highlight dan ingin kongsikan dengan rakan-rakan dan teman saya. Maka adalah disarankan supaya rakan semua dapatkanlah buku ini dan bacalah. TIDAK RUGI.

Sumber: http://www.goodreads.com/review/show/652279749

Khamis, 23 Mei 2013

Apabila Novel Perang Berkata-kata

Klik di sini
Insya-Allah, pembaca wanita ini memberikan 4.75 bintang dari 5 untuk novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain. Ini komen beliau.
 
TAJUK : ALEXANDER AGUNG – Hijab Raja Zulqarnain
PENULIS : WEB SUTERA
KETEBALAN: 458 MS
BINTANG : 4.75
 
Salah sebuah novel sejarah yang diolah bagaikan sebuah novel perang yang patut dimiliki oleh para pembaca. Saya mengambil masa selama 7 hari untuk menghabiskan novel ini memandangkan kesibukan yang tiada batasan. 

Mengisahkan liku-liku perjalanan & pengembaraan Alexander dari Macadonia merentasi benua sehingga menghampiri ke India. Baginda membawa misi pembebasan terutama daripada cengkaman diktaktor Kerajaan Parsi.

Novel ini digarap melalui rentasan dua dimensi dunia yang berbeza di mana Zamri, seorang pelajar Universiti perlu menyiapkan tugasan tokoh tentang Alexander / Raja Zulkarnain ini. Memilik susur galur yang misteri tentang Tok Janggut yang dikatakan hilang begitu sahaja. Saat memulakan tesis, Zamri bagaikan terdampar ke zaman Alexander di mana pada zaman tersebut beliau merupakan penulis diraja. Justeru, beliau merakam perkembangan, peperangan dan setiap apa yang berlaku sepanjang pengembaraannya bersama Raja Macadonia itu melalui penulisan. Sesekali Tok Janggut hadir menemani tanpa ada yang dapat melihat.

Akhlak dan adab yang dipamerkan oleh seorang raja yang hebat ini amat mengharukan. Gemblengan tenaga bersama para sahabat, angkatan tentera dan kepercayaannya pada yang Esa membawa kemenangan demi kemenangan. Berbagai-bagai kisah menarik dan ajaib diceritakan sepanjang pengembaraan mereka.

Selain akhlak dan keperibadian raja agung ini, persahabatan juga adalah tonggak utama penceritaan dalam novel ini. Ya, persahabatan itu sangat penting … .

Fakta sejarah tentang pertelingkahan siapakah Alexander sebenarnya telah terjawab. Adakah Alexander ini Raja Zulkarnain sepertimana yang disebutkan dalam al-Quran atau sebaliknya? Kupasan dan penceritaan yang diolah dalam bentuk novel ini sangat-sangat membantu memandangkan kebanyakan buku yang ada mengenai Alexander adalah berupa fakta dan huraian.

Tahniah untuk Tuan Web! 4.75* gemerlapan kuberikan. Bagaimanapun ada sedikit kekeliruan dalam novel ini ... tak apa Tuan Web ... sediakan perisai sebelum peluru menjunam ... .

Baca: 10 Mei 2013 – 16 Mei 2013, jam 9.30 am.

-- Cikpuan Hazliana Zahar, dari grup BukuTigaLima.

Isnin, 13 Mei 2013

Review Buku: Sinergi Hilal Asyraf



Assalamualaikum.


Apabila semua dihubungkan dengan keimanan, maka ia akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Sinergi. Aku baru sahaja habis baca buku yang dipinjam daripada Nabilah Idris. Thanks ^_^ Aku lupalah pula bagaimana aku boleh tahu nama Hilal Asyraf (penulis).

Serius! Buku ini memang buku ilmiah. Buku agama. Cerita tentang pelajar-pelajar perubatan, multimedia & agama di Jordan. Hanya ada satu perkataan yang ditekan dalam buku ni iaitu IMAN. Watak utama, Asid yang rapat dengan Irfan hingga dipanggil dengan gelaran kembar Irbid.

Sinergi mengenai hubungan antara manusia dengan Allah, antara manusia dengan manusia. Bagaimana Irfan & Asid hadapi dugaan. Banyak watak yang seimbang terutama Disaster Five. Disaster Five tersangatlah 'disaster' , tapi yang best-nya, kelima-lima mereka insaf akhirnya. Bagus!

Dalam hubungan aku dengan manusia lain, itu adalah tanggungjawab aku kepada Allah. Allah arahkan orang yang beriman supaya tidak berantakan, supaya bersatu, supaya berkenalan sesama sendiri, supaya menjaga hak, supaya tidak zalim, supaya tidak khianat. -Irfan

Sinergi berkisar mengenai cara sebenar dakwah dilakukan oleh para remaja dan pelajar. Aku syorkan sangat-sangat novel ini.

Dipetik dan disunting dari:

Rabu, 27 Mac 2013

Budak U Langkah Pertama - Sebuah Testimoni Pembaca


Budak U: Langkah Pertama karya Khairy Tajudin dengan ilustrator Faris Mohd Hazmin.  Aku mengenali Khairy Tajudin tidak lama. Stail pembacaan aku, perenggan pertama sangat kritikal.  Jika tidak cathcy, memang aku letak tepi.  Budak U, melepasi ujian pertama.

Baca keseluruhan cerita, jika pernah jadi budak U atau setidak-tidaknya menuntut di pusat pengajian tinggi yang sewaktu dengannya memang terasa menggamit memori.  Walaupun ceritanya tidak detail sangat, tetapi bagi yang sudah berpengalaman, akan dibantu dengan pengalaman. Bagi yang belum berpengalaman, boleh jadikan ia motivasi.

Biarpun aku ringkaskan novel ini novel dakwah untuk remaja - novel tarbiah terbitan Galeri Ilmu, Khairy masih mengekalkan mood pelajar, mood gila-gila dalam masa yang sama mengekalkan elemen tarbiah sama ada kalian yang baca sedar atau tidak.

Dari segi nawaitu, menulis untuk berdakwah, Khairy sudah mencapai tujuan itu. Cuma aku tercekik sikit apabila baca bab sejarah Tanah Melayu yang cuba diketengahkan. Boleh diperkemaskan lagi. Kadang-kadang sejarah juga boleh menjentik hati manusia untuk kembali ke jalan yang lurus.

Selepas epik kembara sufi milik Ramli Awang Murshid, ini novel dakwah yang bagus untuk remaja baca. Masih hunky panky tetapi tidak kesasar. Persahabatan, cinta, kasih sayang, terangkum dan diangkat dengan baik untuk teladan pembaca.

Di mata Affan, novel ni meleret-leret. Dia pula kurang rajin membaca, tetapi apabila tengok komik buah tangan Faris dengan lukisan kat belakang tu ... aku percaya sekejap lagi novel ni lunyai direbut dek mereka, empat beradik.

*Novel ni ada sambungannya. Aku pun tengah menunggu.  Jika kau orang berminat, boleh pm terus penulisnya. Cari list friend dalam timeline aku. Khairy Tajuddin penulisnya.

Artikel ini dipetik daripada blog: KLIK DI SINI

Selasa, 20 November 2012

Lentera Cinta Albaicin

ISBN: 978-983-097-266- 4/ Mazny MR /512ms/RM21/GB0111
Muhammad Salehuddin menjejaki bumi Granada kerana dua tujuan. Pertama, untuk mengotai janji kepada sahabat baiknya Abdul Hakeem; seandainya peluang pekerjaan yang sengit di Malaysia tidak menjanjikan apa-apa, dia akan mencuba nasib di sana. Keduanya, dia harus melunasi ikrar jihad yang sudah terpateri bersama beberapa orang rafik. Sallehuddin akan membantu mereka untuk memastikan cahaya dari obor Islam terus menerangi lorong-lorong suram di tanah al-Andalus itu.
            Adat orang berdagang, pelbagai pengalaman pahit manis yang terpaksa ditempuhinya. Pandangan sinis masyarakat barat yang menganggap agama Islam sebagai agama yang mengekang hak-hak asasi individu dan keghairahan mereka melabelkan Islam sebagai agama teroris dan agama orthodoks yang memundurkan peradaban, membuatkan semangat Salehuddin berkobar-kobar untuk memerdekakan pemikiran orang-orang yang skeptikal terhadap Islam, baik dari pihak luar mahu pun dari kalangan orang-orang Islam Granada sendiri.
            Salehuddin sedar, dia bukan seorang graduan dari Timur Tengah. Juga bukan seorang ustaz yang layak bersyarah. Namun nur hidayah yang diperoleh hasil acuan keluarga membuatkan dirinya menjadi seorang yang berani dan istiqamah dalam bermujahadah. Dia ingin berkongsi cahaya itu dengan orang-orang di sekelilingnya. Itulah antara sebab mengapa Abdul Hakeem memilih Salehuddin. Akhlak dan budinya menambat hati. Islam itu bukan sekadar menghiasi sepotong nama atau terukir di dada segulung ijazah tetapi dijiwai dan menjadi amalan yang membenteng diri!
            Namun tidaklah ada seorang pun di dunia ini yang beriman tanpa diuji. Janji-janji Allah kadang kala penuh teka-teki. Kemunculan watak-watak insani seperti Siham yang pendiam, Majeed yang kacak, Mourad yang agresif dan Imam Habib Kassem yang penuh wawasan memeriahkan hari-hari Salehuddin di Lembah Albaicin.
            Anehnya, kehadiran Leyla Zulaikha yang pantas menjadi pesona Albaicin hampir-hampir mengundang satu tragedi!
            Berjayakah Salehuddin menggaul semua rempah ratus permasalahan Albaicin untuk memasakkan sebuah ukhuwah Islami?
            Dan siapa pula Raden Nur Karmila yang namanya kian terukir indah di persada hati?
            Terlalu panjang untuk dirungkaikan, namun segala-galanya bisa terjawab dalam LENTERA CINTA ALBAICIN.

*Sekali baca persis Ayat-ayat Cinta dek watak Salehuddin ibarat Fahri, Karmilla bak Aisyah dan Marcella umpama Maria. Namun cerita ini lebih berkisar menegakkan syiar Islam dalam aspek pendidikan, fungsi organisasi masjid dan silap faham orang asing terhadap Islam.

Sungguh, perincian dalam novel ini pernah dijadikan sebagai tour guide kepada salah seorang pembacanya sewaktu bersafar di bumi Sepanyol. Ironinya, penulis belum pernah menjejak kaki ke Granada, rujukan beliau turut banyak dibuat berdasarkan maklumat seorang teman yang tinggal di sana.

Isnin, 19 November 2012

Terima Kasih Adik-adikku!

ISBN: 978-983-097-273-2 / Dissa Azmin/ 216 ms/RM14/GB0099
Sebagai anak sulung yang diletakkan harapan oleh mak dan ayahnya, Nubhan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Dalam masa yang sama, isu surat cinta Siti Kelly mengganggu hubungannya dengan rakan-rakan sekolah.

Pencapaian yang merudum dalam akademik menyekat peluangnya untuk bertarung di gelanggang go-kart. Sehinggalah satu ketika, keadaan memaksa Nubhan untuk mengambil alih teraju di rumah. Kerenah adik-adiknya pula cukup memeningkan kepala Nubhan.

Mampukah Nubhan berhadapan dengan situasi ini? Adakah dia dapat bertahan dengan ujian yang seakan mustahil untuk diatasi ini? Segalanya terjawab di dalam novel tarbiah remaja Terima Kasih Adik-adikku! karya sulung Dissa Azmin ini.
 
Terima Kasih Adik-adikku! ini merupakan karya sulung Dissa Azmin setelah sekian lama berkecimpung di dalam dunia penulisan. Beliau yang berasal dari negeri Kelantan ini bukanlah nama baru di arena penulisan tanah air. Menggunakan nama pena Dissa Che Wan di awal pembabitan, beliau tidak menoleh ke belakang lagi di dalam hobi dan bakatnya ini. Beliau berjaya menyelami dunia remaja untuk menghasilkan novel tarbiah yang menghiburkan dan sarat dengan mesej kasih sayang dan nilai-nilai kekeluargaan yang perlu dijadikan iktibar oleh para pembaca semua.

*Tidak tahu cara menghargai anak/abang sulung? Hadiahkan sahaja buku ini kepada mereka=)

Jumaat, 16 November 2012

Penukangan Cerita Gaya Hilal Asyraf

Bagi pembaca Novel Galeri Ilmu Sdn. Bhd., pasti tidak asing lagi dengan nama Hilal Asyraf. Beliau yang dimaksudkan merupakan seorang pelajar, penceramah dan juga penulis buku motivasi serta novelis tegar Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Bakatnya mula dihidu oleh Hj. Zakaria Sungib melalui penulisan blog beliau, langitilahi.blogspot.com yang kini sudah bertukar kepada laman sesawang langitilahi.com.
            Seorang blogger yang aktif melontar idea Islami melalui dunia maya ini, percaya bahawa bakat yang diberi Tuhan adalah aset untuk beliau berdakwah melalui penulisan.
            Bercakap mengenai gaya penulisan Hilal Asyraf di dalam novel, beliau selalunya mempunyai mesej tertentu untuk setiap novel yang ditulis. Bermula dengan mesej jelas yang ingin disampaikan, secara langsung memandu penulisan novel beliau tidak lari tajuk. Sebagai contoh, novel Sinergi membawa mesej berkenaan ukhuwah dalam Islam, novel Hero membawa mesej tanggungjawab manusia sebagai khalifah, manakala novel Takdir membawa mesej pergantungan hamba kepada Tuhan Yang Berkuasa atas segala-galanya.
            Di samping itu, beliau juga gemar mencedok idea-idea daripada karya yang sedia ada kemudian beliau sadurkan semula mengikut acuan Islami yang tersendiri. Sebagai contoh, novel Remaja Harapan persis cerita Karate Kid, novel Hero persis filem The Dark Knight, manakala novel Takdir, adalah cubaan pertama beliau menghasilkan novel tirlogi ala Lord Of The Rings.
            Seperkara yang pasti, statusnya sebagai seorang pelajar jurusan Usuluddin dan kefahaman agama yang beliau peroleh menerusi program usrah yang diikuti banyak membantu dalam nilai tambah dari aspek nilai tarbiah yang diterapkan dalam setiap novel beliau.
RM23.00

Rabu, 14 November 2012

Novel-novel Tarbiah Dewasa

RM23.00
HERO
Karya Hilal Asyraf
Mesej yang sebenarnya daripada Hero ini adalah, penulis hendak membawa diri kita bersama-sama melihat tanggungjawab kita sebagai Muslim-Mukmin di atas muka bumi ini. Kita semua punya tanggungjawab. Inilah yang penulis hajatkan daripada novel Hero ini. Bukan semata-mata keseronokan meneliti sebuah cerita aksi dan kisah cinta romantik, tetapi juga mendapat mesej yang sebenarnya di dalam kisah ini.
RM23.00
TAKDIR
Karya Hilal Asyraf
Penulis berhajat untuk menulis satu cerita trilogi yang mampu memberikan inspirasi dan kekuatan kepada mereka yang beriman kepada Allah SWT. Hilal Asyraf berkata, “Memang kadangkala kita terasa usaha kita sia-sia. Maka novel Takdir bukan fantasi kosong, agar jangan berputus harap kepada Allah SWT. Sesungguhnya, Dia tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya yang berjuang di atas jalan-Nya.”
RM17.00
SYAHADAH RINDU
Karya Nurin Hana
Penulis menyulam konflik sekitar hubungan kasih antara seorang pegawai wanita sebuah bank, dengan kerani di bank yang sama. 75% kisah dalam novel ini digarap daripada cerita sebenar. “Watak, senario serta luahan perasaan digambarkan bersepadan dengan kisah benar itu,” beritahu penulisnya. Di celah-celah kisah diselitkan gambaran situasi perbankan syariah, adab dan etika bekerja Islami dan nilai kekeluargaan sebagai panduan untuk pembaca.
RM21.00
Lentera Cinta Albaicin
Karya Mazny M.R.  
Kekuatan novel ini terletak pada watak utama dan latar Granada. Salehuddin, seorang hufaz profesional, begitu disenangi penduduk setempat. Membaca kembara Salehuddin bagaikan mendengar sendiri percikan air yang mengalir di sepanjang Sungai Darro di kaki perbukitan Alhambra. Kisah ini semakin menarik apabila Salehuddin diuji pesona cinta, sebagai tanda kasihnya Tuhan. Selamilah hati pemuda yang menjadi lentera cinta Albaicin.

Isnin, 12 November 2012

Hani: Daripada Drama Kepada Novel

Hasil kolaborasi novelis Nurulsham Saidin dan penulis skrip Zabidi Mohamed, Hani menjadi karya yang sedap dibaca sebagaimana ia sedap ditonton.
Novel adaptasi daripada drama bersiri popular TV3, Hani, adalah antara novel tarbiah dewasa terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) untuk pembaca berusia 18 tahun ke atas.

Novel Hani adalah karya Nurulsham Saidin hasil kolaborasi beliau dengan Zabidi Mohamed, penulis skrip Hani, drama 13 episod yang ditonton lebih dua juta penonton setiap minggu sewaktu ditayangkan di TV3 pada 2011. Enam karya Nurulsham yang lain ialah Dingin Salju Indiana, Di Sini Kami Berteduh, Andai Bavaria Takdirku, Rumah Di Kaki Bukit, Dingin Salju Wisconsin dan Rahsia Hutan Belantara.

Walaupun mengekalkan sebahagian besar jalan cerita asal drama Hani, Nurulsham menyuntik beberapa nilai tambah kepada novel ini dengan persetujuan penulis skrip asalnya. Kesudahan kisah novel ini lebih dramatik dan lebih meruntun emosi daripada kesudahan kisah versi drama. Hal ini kerana, ia lebih mirip kepada sebuah kisah benar yang menjadi sumber inspirasi Zabidi dalam menggarap drama Hani.

Jumaat, 9 November 2012

Buku Kanak-kanak

Anak kecil ibarat kain putih. Atas maksud inilah, bahan bacaan yang bernilai tarbiah dan tidak dicemari unsur yang tidak sihat diterbitkan di pasaran. Berikut disenaraikan antara bahan bacaan yang kami terbitkan ke arah melahirkan generasi pemimpin masa depan: