KLIK SINI |
PROLOG
“Assalamualaikum, ustazah. Boleh saya jumpa sekejap?”
Satu suara yang sangat dikenalinya menyapa. Hanna menoleh. Pintu bonet belakang
keretanya ditutup perlahan.
“Waalaikumussalam.
Ya Rafiq? Ada apa?” balas Hanna sambil tersenyum tawar. Patutlah Rafiq tidak
mahu bertemunya di dewan kuliah tadi. Rupa-rupanya mahu berjumpa secara
peribadi.
“Ustazah
tiba-tiba tarik diri daripada mengajar kami, adakah saya puncanya? Ustazah
memang sengaja nak jauhkan diri dari saya bukan?” Rafiq terus mengutarakan persoalan
yang mengganggu fikirannya dari tadi.
Hanna
tunduk. Soalan itu sebenarnya menuntut jawapan yang terlalu bersifat peribadi.
Dia tidak mahu menjawabnya, tetapi dia tahu Rafiq akan terus bertanya selagi
tidak mendapat jawapan yang dapat memuaskan hati. Lama juga Hanna terdiam,
mencari-cari penjelasan yang sesuai.
“Tak.
Bukan sebab awak, Rafiq. Tapi sebab Allah.” Akhirnya terkeluar juga
kalimah-kalimah hakiki daripada mulut kaunselor muda itu.
“Sebab
Allah? Saya tak faham.” Seperti dijangka, Rafiq terus menyoal. Hanna tersenyum
lagi.
“Lepas
apa yang dah berlaku, saya rasa lebih baik kalau saya jauhkan diri dari awak.
Bukan sebab benci. Tapi itulah keputusan yang sebaik-baiknya. Kalau betul awak
jatuh cinta, saya akan cuba bantu awak lupakan saya,” ulas Hanna cuba berterus terang.
Namun hanya dia yang tahu, jarak yang cuba dibinanya itu bukan untuk Rafiq
sahaja, malah untuk membenteng perasaan dan dirinya juga. Dia tidak mahu lebih
jauh terlibat. Dia tidak mahu hatinya terjerat! Kekeliruan perasaan yang
mengganggunya ini membuatkan dia sangat penat!
“Lupakan
ustazah? Tak akan! Mustahil saya boleh lupa pada satu-satunya wanita yang
berjaya buat saya jatuh cinta!” Ketegasan Rafiq sewaktu menuturkan kata-kata
itu membuatkan Hanna terasa semakin tertekan. Dia tidak mahu lagi membicarakan
sebarang soal yang melibatkan hati dan perasaan.
“Boleh
tak awak berhenti mengarut, Rafiq? Saya tak suka nak dengar! Saya tak berminat
dengan semua ni! Awak faham tak?” bentak Hanna dengan suara yang tinggi.
“Saya tak
mengarut. Saya cuma beritahu apa yang saya rasa. Saya jujur pada diri saya
sendiri. Ustazah yang cuba putar belit keadaan. Cuba nak sembunyikan apa yang ustazah
rasa. Betul bukan? Ustazah pun cintakan saya? Selalu teringatkan saya? Saya
boleh rasakannya!” Kata-kata Rafiq itu membuatkan Hanna tersentak. Dia tidak
sangka Rafiq berani menuturkan kata-kata seperti itu.
“Astaghfirullahal
‘azim. Awak memang sakit, Rafiq! Awak dah gila tahu, tak? Saya ini ustazah
awak! Kalau awak tak ada rasa malu pada saya, awak perlu malu pada Allah! Awak
orang baik-baik. Orang ada ilmu. Awak tahu semua hukum-hakam. Kenapa nak cakap
yang bukan-bukan macam ini? Ingat Allah, Rafiq! Mengucap banyak-banyak!” ujar
Hanna dengan nada suara yang sangat tegas.
Rafiq terdiam
seketika mendengar nama Allah disebut. Pandangannya ditundukkan. Tidak sanggup
rasanya ingin bertentang mata dengan Hanna. Dia tiba-tiba terasa malu dengan
tindakan dan kata-katanya tadi. Barangkali dia terlalu takut kehilangan Hanna
hinggakan dia gagal mengawal emosinya sendiri. Ya Allah! Apa dah jadi? Kenapa
hatinya begitu berkecamuk seperti ini? Rafiq meraup rambutnya berkali-kali.
Resah benar dia.
“Boleh
tak awak ke tepi sikit. Saya nak masuk ni. This conversation is over!”
Sekali lagi Hanna cuba berlagak tegas meminta Rafiq beredar daripada bersandar
pada pintu keretanya. Mendengar permintaan Hanna yang agak keras itu, Rafiq
mengangkat semula kepalanya lalu memandang tepat ke wajah Hanna. Pandangan
mereka bertakup beberapa ketika.
“Ustazah
bencikan saya?” soalnya. Hanna menarik nafas lagi. Dia cuba bertegas untuk
mendepani situasi ini namun nada suara Rafiq yang sayu itu benar-benar
menyentuh hati wanitanya. Hanna berasa serba salah pula.
“Rafiq,
saya kenal awak hampir dua tahun. Saya tahu awak baik orangnya, dan ya, saya
mengaku yang saya sayangkan awak. Cuma awak perlu ingat, sayang saya tak lebih
daripada seorang guru pada muridnya, seperti sayang seorang Muslim kepada rakan
seperjuangannya. Cuma setakat itu, Rafiq! Saya harap awak cukup jelas
sekarang.” Rafiq memejamkan mata. Tidak lebih daripada seorang guru pada
muridnya? Jawapan Hanna itu umpama kaca yang merobek hatinya. Namun dia tahu
itulah kebenaran yang terpaksa dia telan.
“Kalau
betul ustazah tak ada perasaan istimewa pada saya, kenapa perlu jauhkan diri?
Kenapa sampai perlu tarik diri daripada mengajar kuliah. Kalau Ustazah tak suka
saya, janganlah sampai kawan-kawan yang lain pun turut sama menjadi mangsa,” protes
Rafiq. Dia masih berharap Hanna akan mengubah keputusannya. Dia masih berharap
agar pensyarah berwibawa itu masih sudi mengajar mereka. Jika tidak kerana
mulutnya yang terlalu lancang meluahkan isi hati, tentu Hanna masih ingin
mengajar mereka lagi. Namun sekarang, dia terpaksa akur pada kesilapannya
sendiri. Nasi sudah menjadi bubur. Silap dia kerana terburu-buru cuba mencatur.
“Rafiq,
awak tahu tak? Kita tak akan lemas jika terjatuh ke air yang dalam, tapi kita
akan lemas kalau terus berada di dalamnya. Awak faham apa maksudnya? Ia umpama
pesanan Nabi agar menjaga pandangan. Terlihat yang haram untuk kali pertama
adalah satu kesilapan yang dimaafkan. Namun mengulangi kesilapan yang sama adalah
dianggap sengaja mengundang kemurkaan Tuhan.
“Memang betul,
Rafiq. Rasa kasih, rasa sayang, rasa cinta semuanya daripada Allah. Namun ujian
perasaan sangat mudah terjatuh ke dalam tipu daya syaitan. Jika kita tahu di
situ sudah ada bahaya yang menanti, jangan terlalu yakin pada kemampuan kita
sendiri. Kita harus cuba untuk lari daripada situasi yang boleh menjerat diri
kita sendiri. Malu jadi orang berilmu kalau nak lulus ujian macam ni pun kita
tak mampu!” tegas Hanna lagi. Dia lihat Rafiq mengerutkan keningnya. Seperti
ada rasa tidak puas hati yang mahu diluahkan oleh lelaki itu.
“Saya
faham, ustazah! Saya dah cuba sedaya upaya saya untuk buang perasaan ni. Tapi
makin saya cuba lupa, makin teringat. Makin saya cuba menjauh, terasa makin
dekat. Saya buntu, ustazah!” luah Rafiq lagi.
“Masya-Allah,
letihnya saya nak bercakap tentang perkara ni! Listen to me, Rafiq! I’m
married, okay? Saya ada suami yang sangat baik dan cintakan saya. Saya juga
ada anak-anak yang sangat memerlukan ibu bapanya. Kalau pun awak betul-betul
sukakan saya, dan saya pun betul-betul sukakan awak, lalu apa? Awak nak kita
bercinta? Awak nak suruh saya bercerai dengan suami saya? Atau awak nak saya
diam-diam curang terhadap dia? Tell me, Rafiq! Apa yang awak harap
sebenarnya?”
Tinggi nada suara
Hanna menyindir lelaki yang sedang tercegat di hadapannya. Hanna tidak mahu
berbincang panjang lebar tentang perkara itu lagi. Dia mahu meletakkan tanda
noktah sahaja pada perasaan Rafiq, sekali gus menjadi noktah juga pada perasaan
keliru yang sedang membelenggunya. Bukan Rafiq sahaja terpaksa bertarung dengan
ujian ini, malah dia juga sudah terlibat sama. Hanna tidak sanggup meneruskannya
lagi.
“Sudahlah Rafiq!
Jangan keruhkan lagi keadaan. Saya cuma ingin buat perkara yang betul dan saya
harap awak boleh bantu saya. Saya bukan benci awak. Sungguh, saya betul-betul
sayangkan awak, Rafiq. Tapi sayang saya sekadar sayang seorang sahabat
seperjuangan yang sama-sama mahu berjuang untuk dakwah. Saya sayangkan awak
kerana Allah. Kalau betul awak sayangkan saya, jangan jadikan saya isteri yang
derhaka. Kalau betul awak cintakan saya, jangan hantar saya ke pintu neraka.
Tolonglah!” Hanna hampir menangis sewaktu menuturkan kata-kata itu. Dia dan
Rafiq tidak pernah bercinta namun rasa sakit yang dirasainya ketika itu seperti
seseorang yang baru sahaja putus cinta. Masya-Allah! Betapa peritnya!
“Hanna … .” Lemah
sahaja suara Rafiq memanggil wanita yang sedang bertakhta di hatinya itu.
Melihat wajah Hanna yang sudah pun merah menahan tangis itu membuatkan dia
gagal meneruskan kata-katanya. Jauh di sudut hati, dia harus mengakui kebenaran
yang diketengahkan oleh Hanna. Kebenaran yang sudah diketahuinya selama ini
namun sengaja dia butakan hati gara-gara hanyut melayan perasaan sendiri. Dia
benci apabila Maria curang terhadapnya, tapi rupa-rupanya tanpa sedar, dia
sendiri sedang cuba menjuruskan Hanna pula ke jalan yang sama. Betapa jahatnya
dia! Astaghfirullahal ‘azim. Rafiq mengeluh perlahan. Hatinya terbuku dengan
sikap dan kebodohannya sendiri.
“Maafkan saya,
Rafiq. Saya terpaksa pergi sekarang. Cubalah pujuk hati awak agar lupakan saya.
Cuba sibukkan diri. Dekatkan diri pada Allah. Mungkin sekarang, hati awak rasa
terseksa, tapi awak perlu yakin satu perkara. Setiap ujian ada tempoh tamatnya,
Rafiq. Semua ni akan berlalu juga. Kuatkan hati awak. Saya doakan satu hari
nanti hubungan antara kita akan kembali normal dan formal macam biasa. Saya
harap awak akan kembali memandang saya macam seorang cikgu yang berkongsi ilmu.
Tak lebih daripada itu. Take your time, Rafiq! Time is all you need.”
Hanna menyuarakan
hasratnya perlahan. Nada suara yang sinis dan tegas sebelum ini sudah bertukar
menjadi lebih lembut dan memujuk. Seboleh mungkin dia cuba menyeimbangkan
suasana. Dia perlu membuat Rafiq faham dan mengikut keputusannya, namun dalam
masa yang sama, dia cuba untuk tidak berkasar pula. Dia tidak mahu hati Rafiq
kian terluka dengan kata-katanya. Kasihan lelaki sebaik itu.
“Saya faham, Hanna.
Saya minta maaf sebab jauh sangat saya libatkan awak dengan perasaan saya.
Betul cakap awak. Memang tidak ada pilihan lain. Inilah yang terbaik untuk
saya. Semoga Allah redha.” Suara sayu Rafiq mengakhiri pertemuan mereka. Tanpa
diminta, lelaki itu mula melangkah meninggalkan Hanna di sisi keretanya. Air mata
Hanna mengalir laju mengiringi pemergian Rafiq. Entah kenapa, dia begitu
terkesan dengan perpisahan itu. Hatinya diselubungi rasa sebak yang teramat
sangat. Di dalam kereta, Hanna mula menangis teresak-esak.
Rasulullah SAW
telah bersabda, mafhumnya:
Sesiapa yang
menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mencari keredhaan manusia, Allah akan
memurkainya dan Allah akan menjadikan setiap yang diredhainya itu benci
terhadapnya.
Dan orang
yang mencari keredhaan Allah, walaupun dibenci oleh manusia nescaya Allah akan
meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu redha terhadapnya
sehingga keredhaan Allah itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya,
nescaya ia mendapat perhatian Allah.
(Riwayat at-Tabrani)
Assalamualaikum, singgah sini jap. Tahniah kerana karya saudari telah pun dibukukan. Kalau ada masa, bacalah novel Gadis Hotel di laman ilham karangkraf, masih dalam pembikinan.
BalasPadam