Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com
Memaparkan catatan dengan label Tip Penerbit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tip Penerbit. Papar semua catatan

Jumaat, 8 November 2013

Saya Tunggu Awak Bukan Sekadar Kisah Yang Seronok Dibaca

Semalam sewaktu temuramah di radio IKIM, editor perolehan Galeri Ilmu, Tuan Resha Hamzah berkata novel Saya Tunggu Awak bukan sekadar kisah yang seronok dibaca, malah sangat sesuai untuk dijadikan panduan. Pelbagai permasalahan yang diketengahkan dilengkapi penyelesaian.

Kata beliau lagi, sebagai seorang yang baru berumahtangga, novel ini dijadikan panduan untuk beliau berdepan dengan sebarang kemungkinan. Jika berlaku begini, apa yang perlu dilakukan? Jika berlaku begitu, bagaimana pula mahu keluar dari kemelut perasaan?

Sungguh. Di dalam hidup ini, kita umpama berada di tengah-tengah lautan. Saat dihempas gelombang besar, kita lelah menahan perasaan. Bila gelombangnya reda, kita kembali menarik nafas lega. Namun, mampukah kita tersenyum setiap masa? Mustahil. Kita perlu peka dan sentiasa berjaga-jaga kerana gelombang yang lain akan menyerang pula.

Begitulah yang dijanjikan oleh Tuhan. Adakah manusia boleh melangkah selamba ke syurga tanpa bertarung dengan ujian? Tak mungkin. Janjinya sudah pasti. Kita akan terus diuji.. lagi dan lagi.. Justeru, bersedialah dengan segala kemungkinan. Ujian akan sentiasa datang dan pergi. Ujian kecil dan besar akan singgah silih berganti. Justeru, lengkapi diri kita dengan pelbagai persiapan. Ilmu, dan perkongsian pengalaman adalah sesuatu yang amat kita perlukan.

Enjoy the trailer! Saya Tunggu Awak!

Kredit: Bonda Nor


Bengkel Penulisan Novel Bermula Esok

 Tuan Khairi Tajudin menulis.....

Insya-Allah ... malam ni saya akan naik bas dari Changlun dan turun di Puduraya untuk mengendalikan bengkel ini pada esok pagi.

Minggu lepas dah turun KL ( untuk bengkel short filem dengan Tuan Zabidi Mohamed) , minggu ini turun (untuk bengkel penulisan dengan Tuan Web Sutera dan Tuan Resha Hamzah) dan minggu depan turun lagi (untuk tujuan lain)

~From Changlun with Love~

Sehingga ke hari ini masih ada yang berminat. Alhamdulillah. Apa-apa hal boleh SMS terus 019-4702839

Kepada peserta-peserta dari negeri lain, insya-Allah, kita jumpa tahun depan!

Jom sama-sama jadi penulis

Khamis, 7 November 2013

Tip Penerbit - Buku Cantik vs Buku Selesa

 Puan Suraiya Pauzi editor buku motivasi Galeri Ilmu menulis.....

Pagi tadi saya kami berbincang tentang reka letak sebuah judul buku. Designer meletakkan permulaan bab di sebelah halaman kanan dan ilustrasi di kiri. Saya diajukan soalan, "Bolehkah begitu?" Saya menjawab, "Tidak boleh."

Designer melihatnya dari sudut 'cantik' dan saya pula melihat dari sudut 'selesa'.

Memulakan bab di halaman kanan (recto) sudah tepat. Namun, meletakkan gambar/ilustrasi dan seumpamanya di sebelah halaman kiri (verso) sangat tidak betul. Apatah lagi jika ia diiringi dengan teks.

Jika demikian, maka reka letak perlu diubah suai menjadi reka letak majalah (spread page). Permulaan bab di verso dan ilustrasi di recto.

Analoginya mudah. Katakan kita hendak membuat baju. Ada tatacara mengambil ukuran, memotong kain dan kemudian, menyambung, menjahit dan mencantum keratan juga ada cara yang tersendiri. Tidak mungkin kita meletak kolar di pinggang, lengan di leher dan poket di ketiak.

Begitulah juga dalam proses 'membentuk' buku. Ia perlu selesa dan mesra di mata pembaca bukan cantik semata-mata. Ya, cantik itu penting, tapi pada waktu yang sama ia mestilah selesa.

Tidak guna baju yang cantik tapi sangat tidak selesa apabila dipakai!

Buku ini memang 'selesa' untuk pasangan suami isteri



Kredit: Puan Suraiya Pauzi

Saya Tunggu Awak Sudah Ada Tiga Video Rasmi

Alhamdulillah, novel Saya Tunggu Awak telah ada 3 video rasmi di YouTube. Pertama, trailer yang menceritakan sinopsis novel ini. Ia dibuat oleh saya sendiri dengan bantuan sahabat saya Nurul Syafiqah.

Kedua adalah satu shortfilm bermesej yang tidak ada kena mengena dengan jalan cerita novel, tetapi mempromosikan novel ini secara tidak langsung. Shortfilm ini dihasilkan hasil kerjasama penulis-penulis yang bernaung di bawah Galeri Ilmu Media Social Group atau GIMEG di mana saya sendiri telah menulis skrip dan mengarahkannya.

Video ketiga adalah video klip ini. Ia merupakan satu 'surprise' yang saya terima daripada Tuan Sifu Zabidi Mohamed yang juga merupakan presiden GIMEG. Sebagai video klip, ia lebih menekankan 'character of pain' yang terdapat di dalam konflik utama novel ini. Saya cukup terharu menontonnya dan sangat suka kepada lirik lagu yang dipilih oleh beliau iaitu AKU MEMILIH SETIA. Bait-bait lagu ini sangat bertepatan dengan dilema yang diharungi oleh Ustazah Hanna Mardhiah, wanita solehah yang menerima tawaran cinta dari seorang lelaki soleh yang punya banyak kelebihan di saat dia terpaksa berhadapan dengan begitu banyak kelemahan suaminya.

Sungguh! Novel ini ditulis bukan dengan niat mengetengahkan permasalahan cinta. Namun, saya tahu tanpa unsur2 romantik dan dramatik di dalam sesuatu novel, amat sukar untuk menyampaikan pelbagai ilmu dan nilai2 tarbiah kepada khalayak pembaca yang pada masa ini rata2nya begitu tertarik dengan novel2 cinta. Maka inilah sedikit usaha kecil dari saya. Melahirkan novel cinta yang dicari pembaca namun tanpa sedar berjaya memasukkan begitu banyak ilmu2 agama ke dalam jiwa mereka.

Jom tonton video klip yang saya terima sebagai 'surprise' ini.. Terima kasih tidak terhingga kepada pembikinnya.. Tuan Zabidi Mohamed.. Moga Allah murahkan rezeki Tuan.

                                           

Kredit: Bonda Nor

Tip Penulis Skrip - Bagaimana Mahu Melahirkan Karya-Karya Tarbiah Yang Berkualiti?

Pagi ini, saya tertarik dengan status rakan FB yang saya kasihi, Puan Raja Sarinah Aziz tentang luahan rasa tidak puas hatinya dengan kualiti drama-drama Melayu. Jujur, saya sebenarnya sudah lama tidak menonton drama, bukan sahaja drama Melayu..malah segala jenis drama.. Cina, Korea, Thailand dan sebagainya.

Walau bagaimana pun, sambil mengadap komputer, saya tetap menjeling kaca televisyen untuk memantau setiap rancangan yang ditonton oleh anak2 saya. Justeru, saya biasa juga melihat promo drama-drama yang bakal disiarkan. Apatah lagi, anak2 saya sering bertanya.. "Mama, boleh tak nanti nak tengok cerita ni?" .Di situlah saya menghadapi kesukaran untuk mengangguk atau menggeleng.

Benar, masih banyak drama-drama berkualiti yang mempunyai mesej yang boleh diambil pengajaran dan baik untuk ditonton seperti drama2 yang dilahirkan karya penulis seperti Zabidi Mohamed dan MamaBella Novelis (sekadar menyebut beberapa nama). Namun, lambakan cerita2 'cinta keras' mungkin masih mendominasi masyarakat kita.

Penonton mula merungut. Kesilapan dituding pada pengkarya. Jawab pengkarya, mereka terpaksa mengikut kehendak stesen TV. Jawab stesen TV, mereka mengikut selera penonton. Rating penonton tinggi kalau ceritanya berkisar tentang cinta. Rating rendah kalau nilai tarbiah menjadi fokus utama. Maka lagu bangau oh bangau pun mula memekakkan telinga...

Sungguh, saya tidaklah berbakat dan berminat dalam menulis. Namun, entah macam mana umpama satu desakan yang cukup kuat, saya akhirnya terlibat juga. Sekadar menyahut panggilan fardhu kifayah.. untuk menambahbanyak karya-karya tarbiah. Mula2 novel, dan kini skrip drama. Niat saya masih satu.. mahu berkongsi ilmu.

Alhamdulillah, drama pertama saya 'Akhirnya Aku Mengerti' telah diluluskan oleh TV Al-Hijrah dan kini sedang dalam proses penggambaran. Insya-Allah selepas ini akan menyusul lagi karya yang berikutnya, mudah-mudahan. Ya, saya sudah nekad mahu menyumbang sedikit idea dan tenaga dalam bidang ini.. namun saya mohon... bantu saya untuk mencari satu solusi...

Bagaimana mahu melahirkan karya2 tarbiah yang berkualiti, yang mampu menarik perhatian penonton dan stesen TV? Cerita jenis apakah yang para sahabat semua mahu? Dari merungut tidak tentu hala, mengapa tidak kita sama-masa menyumbangkan idea? Luahkannya..

*Sudah terlibat dalam bidang ini.. baru tahu - its easier to criticize than to improvise..

Kredit: Bonda Nor

Bonda Nor bersama Tuan Zabidi dan tim drama      







Isnin, 4 November 2013

BENGKEL PENULISAN NOVEL: PELUANG UNTUK ANDA MENJADI NOVELIS


Jumpa saya pada tarikh tertera
 Anda mungkin mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsikan dengan orang lain. Mengapa tidak anda novelkan pengalaman anda itu?

Anda mungkin mempunyai minat menulis tetapi tidak tahu bagaimana untuk menerbitkan novel. Mengapa anda tidak dapatkan jawapannya daripada bengkel yang akan kami anjurkan nanti?

Ya, kami sedia membantu anda merealisasikan impian anda untuk menjadi seorang novelis.

APAKAH KELEBIHAN MENJADI NOVELIS?


Bengkel Short Film Patuh Syariah Tuan Zabidi Mohamed

 Saksikan short film untuk peserta daripada Tuan Zabidi Mohamed

 Pada sabtu 02 November 2013 yang lalu, tim Novel Dakwah sempat mengikuti bengkel short film patuh syariah kendalian Tuan Zabidi Mohamed yang merupakan pengarah drama terkenal di Malaysia.

Berikut adalah ulasan beliau yang saya ambil daripada halama facebook GALERI ILMU SDN BHD.

Selepas bengkel short film patuh syariah kendalian saya di BERNAMA semalam, para penulis novel di bawah naungan Galeri Ilmu Sdn Bhd telah bergabung tenaga berlakon dalam menghasilkan short film pertama mereka. Short film ini adalah berdasarkan novel SAYA TUNGGU AWAK tulisan Bonda Nor . Malah untuk short film ini skripnya telah ditulis oleh Bonda Nor sendiri. Malah dia juga yang telah menjadi Pengarahnya. Latif Eidrusi dari Singapura bertindak sebagai DOP dan akan diedit oleh Iwan Reaz Ridzuan Ghazali.

Hari ini mereka sambung shooting di Tasik Titiwangsa.

Tahniah pada semua novelist Galeri Ilmu Sdn Bhd yang telah bergotong royong dalam usaha penghasilan short film SAYA TUNGGU AWAK ini.

Bonda Nor dan penulis Galeri Ilmu

Bersama peserta lelaki

Semua bersemangat menghasilkan short film selepas ini

Selasa, 29 Oktober 2013

People 'mostly' do judge a book by it's cover.

Antara cabaran membangunkan novel Islami yang terbesar bagi kami adalah dalam usaha supaya novel itu dipegang (bukan dibeli lagi, diulang: ditoleh pandang lalu dipegang!) oleh mereka yang belum punya fikrah. Orang biasa-biasa, tetapi suka membaca novel.

Antara usaha yang giat diperjuangkan sekarang adalah, meneliti aspek menghakimi buku daripada kulit depan (judge a book by it's cover).

Apa itu aspek kulit depan buku? Bolehlah disenaraikan kepada tiga yang utama seperti berikut:
1. Judul buku
2. Konsep cover (imej, warna dan layout)
3. Nama penulis

Penulis semestinya sudah ada idea sendiri berkenaan perkara-perkara ini. Namun jarang benar penulis yang meneliti buku-buku laku keras di pasaran. Selalu terjadi dalam memberi judul dan nama pena, penulis meletak diri sebagai pembaca sasaran, jarang benar yang keluar dari zon selesa.

Justeru ilham diberi-Nya memilih judul seperti Saya Tunggu Awak; konsep cover Takdir 2; Gadis Ungu, Bertukar! dan cover yang sedang diusahakan ialah Revolusi Beruk (sasaran indie) dan Jangan Benci Hujan (sasaran pembaca novel popular).

Semua novel Islami isinya bagus-bagus, tetapi sayang tidak disebar luas sepatutnya. Antara penyebab utama, dialog pembaca keramaian, "I 'do' judge a book by it's cover. Sorry to say, that novel's not suit with me."

Cabaran mewajahkan semula novel Islami agar tidak terlalu berat, bukan ringan kosong, tetapi masih punya nilai tarbiah. Dakwah itu halus, mudahkanlah.





 

Khamis, 17 Oktober 2013

NILAI DAN KUALITI SESEBUAH BUKU ATAU NOVEL ADALAH PADA ISINYA

1. Menulis adalah satu kemahiran menyampaikan isi. Setiap penulis akan cuba untuk menyampaikan sesuatu yang berisi. Tanpa isi, tulisan akan menjadi seperti hampas. Jadi, sebelum menulis, fikirkan dahulu, apakah isi-isi penting yang kita mahu tulis. Kemudian, barulah kita fikirkan apakah gaya penulisan dan bahasa yang kita mahu gunakan.

2. Penulis perlu menjadi pemikir masyarakat, bukan perosak masyarakat. Ini bermakna, setiap isi yang disampaikan, perlu mengandungi unsur-unsur yang boleh memperbaiki masyarakat. Tidak patut bagi seorang penulis cuba ‘menegakkan benang yang basah’. Contohnya, cuba memaparkan isi hati pasangan pengkid (lesbian) seolah-olah menyokong aktiviti LGBT atas nama kebebasan. Contoh lain, mengangkat isu percintaan yang tidak mendapat restu ibu bapa sehingga mempengaruhi pembaca supaya menderhakai ibu bapa semata-mata mempertahankan cinta (terpengaruh dengan filem Hindustan). Perlu diingat, SETIAP PENULIS BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA YANG DITULIS.

3. Setiap ayat yang ditulis mesti jelas isinya. Jangan terlalu leka membuai perasaan pembaca sehingga tidak tahu, apakah mesej yang hendak disampaikan. Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Jasad yang tiada roh, namanya ialah mayat atau jenazah. Jika jasad atau tulisan itu mengandungi unsur-unsur hasutan atau budaya yang tidak sihat, ia layak dipanggil ‘bangkai.’

4. Novel bukan sekadar cerita. Novel ialah satu medium untuk menyampaikan isi melalui cerita. Isi yang bermanfaat dan berguna kepada pembaca akan menaikkan kualiti sesebuah novel. Secara tidak langsung, pembaca akan lebih menghargai novel-novel kita kerana kita berkongsi dengan mereka sesuatu yang bermakna. Ini tidak bermakna, novel kita itu harus sarat dengan FAKTA atau TIPS atau KHUTBAH dan sebagainya. Penulis perlu bijak menyelitkan isi-isi yang baik dalam tulisannya dan kemahiran ini memakan masa untuk dikuasai. Bersabarlah dan teruskan menulis!

5. Penulis bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

6. Untuk menambahkan ‘hikmah’ dalam novel, penulis juga tidak boleh lari daripada tuntutan menambah ilmu dan hikmah dalam dirinya. Ilmu dan hikmah inilah yang memberikan nyawa kepada novel. Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan. Jadi, jangan tersalah memilih perspektif. Perspektif penulis akan menggambarkan kewibawaan penulis. Jangan sampai pembaca menganggap, penulis ini jahil kerana tidak tahu halal dan haram. Sekarang ini pun, sudah ada penulis yang cuba membawa doktrin Syiah, Wahabi, Liberalisme, Pluralisme dan lain-lain aliran sesat dalam karya-karya mereka. Jaga-jaga.


Selasa, 20 Ogos 2013

Bonda Nor Meluahkan Perasaan Kepada Galeri Ilmu

Sudah ramai yang bertanya saya, bila novel saya akan berada di pasaran. Alhamdulillah, semalam saya terima update daripada editor Tuan Resha Hamzah. Insya-Allah dalam masa terdekat, novel Saya Tunggu Awak akan berada di rak-rak buku. Namun, bukan berita gembira itu yang ingin saya kongsikan hari ini. Ada sesuatu pengajaran berharga yang saya sempat kutip ketika proses penerbitan karya ini. 
 
Ini cover buku yang diberikan kepada saya. Sebenarnya, ini bukan tajuk dan cover yang saya cadangkan kepada pihak penerbit. Lain ... sangat lain! Jauh benar larinya! 
 
Sewaktu menerima cadangan daripada mereka tentang tajuk dan cover ini, saya menangis! Hati saya cukup memberontak! Saya hampir-hampir membatalkan sahaja perjanjian saya untuk menerbitkan buku bersama mereka. Sungguh, itulah yang saya rasa. Rasa marah, kecewa, rasa tidak dihormati, rasa diketepi. 
 
Saat ini saya rasa teruji dengan ilmu sendiri. Alhamdulillah, ilmu banyak memandu saya mengendalikan emosi. Saya tidak meluahkan kekecewaan saya kepada sesiapa ... saya hanya meminta pendapat rakan-rakan yang setia mengikuti perkembangan novel ini sejak ia mula ditulis lagi. Rata-rata mereka turut meluahkan kecewa. Mereka juga mahukan konsep asal reka bentuk dan seperti yang dijangka mereka tidak bersetuju dengan tajuk! 
 
Sekali lagi saya gelisah. Walaupun ini bukan hasil penulisan pertama saya, saya anggap ianya cukup istimewa kerana saya menulis novel ini tanpa pernah menghadiri sebarang kursus penulisan novel, tanpa pernah minat membaca novel apatah lagi untuk menghasilkan sebuah novel! Ianya cukup mustahil untuk dilakukan oleh saya.
 
Namun sungguh! Ia umpama satu tuntutan luar biasa. Umpama menerima satu arahan, saya tetap menghasilkannya sambil meriba bayi yang masih perlu disusukan. Hampir setiap malam jam tiga pagi, saya akan terjaga sendiri untuk menaip dan menghasilkan satu persatu perkataan hingga akhirnya terhasil novel setebal 640 muka surat ini! Sesuatu yang saya tahu saya tidak mampu buat tanpa ada 'kuasa' membantu yang Maha Hebat. Sebab itu saya terlalu sayangkan novel ini kerana menganggapnya anugerah dan amanah daripada Allah. 
 
Apabila berlaku konflik tajuk dan reka bentuk, tentu sahaja saya kecewa. Selepas puas menangis untuk melegakan hati, saya menghubungi editor dan cuba berunding lagi. Okey, jika tidak mahu tajuk asal saya, apa kata pilih salah satu daripada senarai tajuk-tajuk ini. Bla ... bla ... bla ... berderet-deret tajuk yang saya cadangkan. Saya anggap itu usaha terakhir saya. Namun, saya tetap memujuk hati saya. Saya solat Istikharah memohon bantuan pilihan daripada Allah. Benar, saya ada pilihan saya sendiri tetapi jika Allah sudah tentukan apa yang terbaik buat saya ... saya redha dan akan menerimanya dengan senang hati. 
 
Sewaktu menerima e-mel daripada editor, saya tersenyum membacanya. Dengan gaya bahasa yang cukup sopan dan menyenangkan hati, dia memaklumkan kepada saya bahawa keputusan musyawarah pihak penerbit sekali lagi 'berdegil' memilih tajuk yang sama. SAYA TUNGGU AWAK. Itu juga yang dipilih oleh mereka. Namun reaksi saya kali ini sungguh berbeza dengan penerimaan saya pada kali pertama. Secebis pun tidak ada lagi rasa kecewa. Saya malah bersyukur walaupun kesemua cadangan saya tidak diterima!
 
Aneh! Tiba-tiba saya jatuh cinta kepada tajuk ini, tiba-tiba saya rasa suka kepada reka bentuk cover novel yang diberi. Malah dalam hati, saya penuh yakin bahawa mereka lebih berpengalaman dengan apa yang mereka sudah biasa kendalikan. Subhanallah, betapa anehnya mainan perasaan. Sungguh, saya tiba-tiba bangga dengan keputusan mereka meskipun saya membantah pada awalnya.
 
Sahabat-sahabatku yang baik, 

Dalam hidup kita, akan ada saatnya di mana kita akan di uji dengan perkara-perkara yang kita anggap menyakitkan dan tidak memuaskan hati. Bersabarlah. Bukan semua yang baik pada pandangan kita, baik juga pada pandangan Allah. Dia lebih tahu. Ambil sedikit masa untuk menenangkan hati kita. Dari mana sebenarnya datang kekuatan untuk memujuk hati? Minta juga daripada Allah. Dia yang pegang hati kita. Jangan minta Dia bantu kita supaya kita menang, tetapi minta bantuan-Nya agar beri yang terbaik supaya apa pun yang berlaku selepas itu akan buat hati kita lebih tenang. 
 
Percayalah. Saya sudah melaluinya. 
 

Sumber: Bonda Nor

Sabtu, 17 Ogos 2013

Rumah Terbuka Prof. Kamil Ibrahim Meraikan Penerbit dan Media

Alhamdulillah pada petang tadi kami ke rumah Prof. Kamil Ibrahim untuk menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan beliau dan keluarga.

Menurut facebook Prof. Kamil, tetamu yang hadir kebanyakan daripada penerbit Galeri Ilmu Sdn Bhd, Wartawan Kosmo, Krew TV3, TV9 dan karyawan TV Al-Hijrah serta beberapa tetamu lain.

Tulisan di bawah saya petik daripada facebook beliau.

*************************************

Kami menerima hampir 100 tetamu. Majoriti tetamu adalah yang membantu memberi sokongan dakwah yang sedang kami usahakan.

Alhamdulillah, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Wartawan KOSMO, krew TV3, TV9 dan karyawan TV Al-Hijrah serta beberapa tetamu yang lain.

Chef Aroma antara Benua - Raudzah Roslan- menghidangkan (menghabiskan stok dapur) pelbagai jenis masakan daripada Nasi Kabuli, Daging Briyani, Hummus, Tabuleh ..... banyak!

Terima kasih atas sokongan.

Prof. Kamil dan isterinya juga editor-editor Galeri Ilmu serta tetamu

Berbincang isu penting bersama Pengarah Urusan Galeri Ilmu, Cikgu Abu Hassan Morad

Bersama orang kuat Galeri Ilmu

Senyuman siapa lebih menawan?

Jumaat, 2 Ogos 2013

Terbit Buku Sendiri Atau Terbit Dengan Penerbit

Terbit buku sendiri merupakan idaman ramai penulis. Mereka sangka dengan menerbitkan buku sendiri, mereka bebas berkarya, bebas memilih dan bebas menjual.

Namun berapakah jumlah modal untuk menerbitkan buku sendiri? Ramai yang menyangka terbit buku sendiri semudah dengan siapkan karya dan hantar pada kilang cetak!

Semakin mudah terbit buku sendiri semakin cepat mereka berwang. Ini tanggapan salah yang perlu dibuang jauh-jauh.

Bisnes terbit buku sendiri adalah bisnes yang memerlukan modal yang besar. Ianya tidak mudah, berisiko dan memerlukan kemahiran-kemahiran yang pelbagai.

Lihat pasaran, berapa ramai antara penulis yang menerbitkan buku mereka sendiri. Berapa yang berjaya? Berapa yang gagal?

Mulakan terbit buku dengan penerbit yang berkredibiliti. Anda hanya 'tuang idea' dan modalnya zero!

Sebagai contoh anda boleh terbitkan buku anda bersama Galeri Ilmu, PTS, Must Read, Karangkraf dan sebagainya.

Beli e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor' di sini.

Puan Mawar terbitkan karya suami beliau bersama Galeri Ilmu

Diari Seorang Diplomat: Hikmah Yang Tersirat

Biar penerbit bantu terbit buku anda

Jumaat, 12 Julai 2013

Penulis Perlu Promosi Karya Mereka di Facebook

Promosi adalah alat bantu yang perlu dikuasai.

Terdapat pelbagai cara penulis boleh mempromosi buku mereka sendiri. Sebagai contoh, cara paling mudah adalah dengan menggunakan facebook.

Di mana-mana pun sudah banyak penulis yang mempromosi karya mereka di facebook.

Facebook adalah alat promosi yang mesra, cepat dan mudah.

Pelbagai cara promosi yang boleh dilakukan di facebook:

1. Ulang siar kandungan buku di status facebook.

2. Beri 'banner' bermanfaat secara percuma.

3. Buat halaman peminat (fanpage) untuk kumpul komuniti.

4. Promosi di komuniti grup facebook.

5. Jual buku anda di facebook.

6. Mulakan promosi karya anda di facebook.

Kini tiada lagi alasan buku anda (penulis) kurang mendapat sambutan.

Bahkan kadangkala hasil promosi sendiri oleh penulis boleh mengalahkan hasil promosi penerbit.

Bina komuniti anda hari ini kerana facebook masih PERCUMA.

Nota: Penerbit dan penulis sama-sama memainkan peranan penting dalam mempromosi jualan buku-buku yang diterbitkan.

Jual karya anda di facebook untuk bantu diri sendiri dan penerbit

Jumaat, 28 Jun 2013

Tip Editor - Guru Perlu Menjadi Novelis

Banyak sebab bermain serentak apabila tim pemasaran Galeri Ilmu dan editor kreatif Galeri Ilmu hadir ke sekolah-sekolah:

1. Membawa motivator iaitu Tuan Mohd Asyraf Azehar merangkap eksekutif pemasaran Galeri Ilmu untuk mengadakan program motivasi UPSR kepada pelajar tahun enam.

2. Mengadakan bengkel penulisan asas menulis kepada guru-guru yang berminat untuk menjadi novelis Galeri Ilmu.

3. Memperkenalkan buku-buku dan majalah keluaran Galeri Ilmu kepada pelajar dan guru.

4. Menjual produk buku dan majalah kepada pelajar dan guru sama ada dengan kaedah langganan, retail dan sebagainya.

Sebab nombor 2 adalah faktor penting mengapa editor perlu hadir ke sekolah dan mengambil peluang untuk memberi latihan kepada guru-guru untuk menulis.

Walaupun tempohnya sekejap tetap bermakna.

Ramai guru menyangka bahawa mereka tiada peluang berkarya kerana mereka sibuk dan tiada masa. Mereka percaya mereka ada bakat tetapi mereka tidak percaya mereka juga mampu menghasilkan buku.

Justeru, peluang untuk bertemu guru adalah landasan terbaik untuk berjumpa, beramah mesra dan meneroka fikiran guru untuk cerna idea berkenaan buku yang mereka boleh tulis.

Sambil tim pemasaran sibuk memberi motivasi dan menjual buku, editor buku juga perlu sibuk untuk mencungkil bakat penulis.

Sebab itulah saya akan terus ke sekolah-sekolah seterusnya untuk mencari guru-guru yang berbakat dalam bidang penulisan.

Semakin banyak guru menulis semakin mudah untuk menjual karya mereka kepada pelajar-pelajar.

Kepada sekolah-sekolah yang ingin menjemput tim pemasaran Galeri Ilmu untuk mengadakan program motivasi percuma kepada pelajar tahun enam hubungi Cik Suriati 013-6697992.


Tuan Mohd Asyraf Azehar menyampaikan motivasi pelajar kepada pelajar tahun enam


Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya Puan Habsah Hj Taib (kanan) berminat menjadi penulis Galeri Ilmu

Mencungkil bakat penulisan guru

Tim pemasaran melakukan jualan buku dan majalah

Rabu, 26 Jun 2013

Surat Tawaran Terbit Buku

Rujukan kami: _________
Tarikh: _______________
Kepada:_______________
 
Assalamualaikum wr. wb.

______,

PER : ______________________________
 
Sukacita saya merujuk perkara di atas.       

Kami dengan rendah hati menawarkan kesediaan untuk menerbitkan novel ______________.

Kami mencadangkan tarikh: _____________

sebagai tarikh akhir untuk dikirimkan manuskrip lengkap ini, insya-Allah.

Satu perjanjian akan disediakan untuk ditandatangani bersama apabila manuskrip lengkap buku ini siap diproses untuk dicetak nanti. Berikut adalah terma-terma umum perjanjian:

1. Bayaran kepada penulis akan dibuat berdasarkan perkiraan royalti iaitu __% daripada harga kulit bagi setiap unit buku yang terjual.

2. Kiraan royalti akan dibuat sekali setahun iaitu setelah melewati 31 Disember, selepas DUA BELAS bulan buku diterbitkan, dan bayaran royalti akan dibuat dalam tempoh tiga bulan berikutnya berdasarkan kutipan jualan setakat tarikh itu.

3. Perjanjian antara penulis dan penerbit untuk judul buku adalah untuk tempoh tiga (3) tahun dan akan diperbaharui dari semasa ke semasa.

4. Penulis akan ditawarkan diskaun __% untuk membeli bukunya yang diterbitkan, di samping ditawarkan membeli buku-buku lain terbitan kami dengan kadar diskaun yang sama.

Sekian, semoga Allah memberkati usaha kita untuk memberi sumbangan ilmu dan kefahaman kepada umat. Wassalam.

“BUKU KITA HARTA KITA”

Yang benar,

 

AMIR ABD HAMID
Editor perolehan
Jabatan Penerbitan Buku

Isnin, 27 Mei 2013

Tip Penerbit - Apakah Faktor Buku Terjual?

Klik di sini
Setiap kali pesta buku berlangsung penerbit akan memilih-milih buku mana yang laku dijual. Memilih buku yang laku tidak susah. Penerbit hanya perlu melihat database buku yang laris dan bertanya kepada pengedar buku mana yang laku keras.

Namun semasa di pesta buku tidak semestinya buku yang laku dijual oleh pengedar, laku dijual di pesta buku. Ini kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pembeli semasa mereka hadir ke pesta buku.

Faktor inilah yang menjadi faktor penentu untuk penerbit. Antara faktor yang perlu diambil kira adalah faktor promosi sebelum pesta buku berlangsung, faktor susunan buku, faktor penulis dan 1001 faktor yang perlu diambil berat oleh setiap penerbit.

Jumaat, 8 Februari 2013

Kepentingan Call Card

Maksud asal téstimoni ialah pernyataan rasmi oleh saksi kepada mahkamah undang-undang untuk membuktikan kebenaran sesuatu.

Dalam konteks novel, testimoni amat bagus untuk penulis-penulis baharu agar penulisannya diakui dapat memberi kesan positif kepada pembaca, juga bukti karya mereka berbaloi untuk dibeli.

Kami di GIMG menggalakkan kepada para penulis yang aktif mempromosikan karya masing-masing agar mempunyai call card atau business card bagi memudahkan mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan nasihat, perkongsian pengalaman atau kerjasama dengan penulis terbabit.
 
Contoh call card – DISSA AZMIN
 
Testimoni ‘Dia, Sahabatku’ - “Dia, Sahabatku, menekankan nilai persahabatan. Bagaimana seorang sahabat dapat mengubah sahabatnya ke jalan kebenaran atas jalinan persahabatan yang tulus. Lumrah berkasih dalam persahabatan membakar api cemburu tetapi dapat ditungkas sekali lagi dengan siraman sayang sejati. Seburuk mana sahabat dapat diterima jika hasrat ingin berubah. Pengorbanan yang tidak ternilai dari sahabat untuk sahabat.” – Siti Aifa Halisa, UIAM, Gombak.
 
Testimoni ‘Terima Kasih Adik-adikku!’- “Novel Terima Kasih Adik-adikku, sarat dengan mesej berguna bagi anak-anak remaja supaya belajar berdikari dan bertolak ansur disamping belajar memikul tanggungjawab sebagai seorang remaja, anak dan pembimbing kepada adik-adik dibawahnya. Saya tidak sedar saya menangis semasa membaca novel ini.” – Noriza Setapa, Admins Executive, Subang 2, Shah Alam,  Selangor.
 
Testimoni ‘Nota Untuk Nurlissa’- Nota Untuk Nurlissa merupakan novel yang menarik dan bermanfaat untuk dibaca oleh remaja masa kini. Novel ini berjaya memaparkan permasalahan dan dugaan yang dihadapi sesetengah remaja dalam pergaulan di alam persekolahan. Watak yang ditonjolkan dalam novel ini sangat menarik dan novel ini sarat dengan kata-kata peransang yang boleh dijadikan panduan dan renungan kepada remaja dalam mengharungi kehidupan seharian.” – Dr Sah-Hadiyatan Ismail (PhD Sejarah Diplomatik), Pensyarah Bidang Sejarah, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
 
Testimoni ‘Natrah Fantasia’ – Novel ini adalah buku pertama yang saya teruja untuk habiskan – Aisyah Ellysia, 10 tahun Sk Seksyen 6 Kota Damansara.
 
http://tamanpenglipurlara.blogspot.com/
https://www.facebook.com/DissaAzmin

Selasa, 29 Januari 2013

Kategori Kreatif GIMG

Alhamdulillah, menyedari keperluan rohani yang memerlukan pengisian berbentuk tarbiah Islami menerusi pembacaan, kami terjun ke dunia penerbitan dengan menerbitkan majalah berkala pada peringkat awal penglibatan. Kemudian, buku agama dan motivasi pula berjaya menembusi pasaran. Bagi mereka yang mahukan bacaan yang lebih ringan tetapi sarat dengan mesej bersulamkan nasihat-nasihat agama, kami hadir dengan buah tangan yang mungkin membantu para pembaca di luar sana membina ummah yang berjiwa da'i, insya-Allah.
 
Berikut merupakan buku-buku terbitan Galeri Ilmu Media Group di bawah seksyen kreatif hingga setakat ini (perhatikan perubahan logo di sudut atas cover). Diharapkan dapat memudahkan pencarian para pembaca sekalian, bi iznillah:
 
1. Novel awal remaja (sasaran pembaca: sekolah rendah)
 
2. Novel remaja (sasaran pembaca: sekolah menengah)
 
3. Novel dewasa (sasaran pembaca: umum)
 
4. Novel sirah (sasaran pembaca: umum)
 
5. Novel sejarah (sasaran pembaca: umum)
 
6. Kumpulan cerpen (sasaran pembaca: remaja/ dewasa)
 
7. Kisah teladan (sasaran pembaca: kanak-kanak)
 
 
8. Komik (sasaran pembaca: kanak-kanak)
 
9. Umum (sasaran pembaca: kanak-kanak)
 
10. Novelet (sasaran pembaca: umum)