BAB 1
“Ada apa-apa soalan lagi?”
kata-katanya terhenti seketika sambil matanya meliar memandang seisi kuliah.
Tiada respons. “Baiklah. Kalau tak ada apa-apa, kita berhenti di sini. See
you all next week, Insya-Allah. Assalamualaikum.”
Sebaik sahaja
Hanna menamatkan kuliahnya pagi itu, serentak kedengaran bunyi hingar-bingar
pelajar-pelajar bangun dari kerusi masing-masing. Ada yang terus menderu ke
pintu keluar. Ada pula yang bergegas ke pentas mengerumuni Hanna, bertanyakan
pelbagai persoalan yang segan hendak ditanyakan di khalayak ramai tadi.
“Ustazah,
tentang projek kursus semester ni, AJK program dah berbincang. Kami bercadang
nak anjurkan satu seminar. Kita buat pengajian sistem pondok macam zaman dulu.
Tapi kita buat jangka pendeklah. Mungkin dalam seminggu dua. Maknanya, peserta
cuba menghabiskan pemahaman daripada sesuatu kitab sepanjang tempoh seminar tu.
Apa pendapat Ustazah?”
Rafiq, ketua
kursus Pengajian Islam Eksekutif, yang dianjurkan oleh Universiti Al-Quran
Malaysia atau UAM yang dijalankan secara separuh masa itu mula bersuara.
Tatkala itu, pelajar-pelajar lain semakin beransur-ansur meninggalkan meja
Hanna. Suasana bilik kuliah mulai tenang. Kini hanya tinggal Hanna dan tiga
orang AJK kuliah itu sahaja. Rafiq adalah ketuanya, manakala Safiah dan Amir
adalah timbalan bersama.
“Pengajian sistem pondok? Maksud awak
bagaimana? Saya tak berapa jelas lagi dengan idea ni.” Hanna mengerutkan
keningnya. Wajah seorang demi seorang pelajar kuliah eksekutif yang berada di
hadapannya itu direnungnya sekilas. Dia menjangkakan mereka mungkin lebih
berusia daripadanya atau setidak-tidaknya mungkin sebaya. Maklumlah pelajar
separuh masa, rata-ratanya sudah mempunyai kerjaya masing-masing. Kebanyakan
pelajarnya sekadar mengikuti program ini untuk menambah kelayakan akademik untuk
tujuan kenaikan pangkat atau mungkin menjadikannya sebagai batu loncatan untuk
mendapatkan kerjaya yang lebih baik.
“Begini,
Ustazah. Dalam sistem pengajian pondok zaman dulu, biasanya mereka mengaji
menggunakan kitab khusus. Tok guru akan mengajar satu kitab sampai habis,
barulah disambung kitab yang lain pula. Kadang-kadang sampai bertahun-tahun.
Maklumlah, sekali perjumpaan biasanya belajar sekadar satu atau dua jam sahaja.
Itu pun mungkin seminggu atau sebulan sekali. Tapi menerusi program yang nak kita
buat ni, kalau belajar lima hingga enam jam sehari macam waktu pejabat, mungkin
tempoh masa pengajian dapat disingkatkan. Silap-silap mungkin seminggu saja dah
selesai mutalaah ilmu daripada sesuatu kitab tu,” sampuk Safiah menerangkannya
dengan panjang lebar.
Hanna mengangguk
perlahan. Hatinya tertarik dengan cadangan mereka. Okey, dia sudah dapat
menangkap ideanya. Pengajian kilat atau kuliah ekspres? Hmm..betul juga. Zaman
sekarang, semua orang mahu cepat. Dalam kesibukan dengan kerjaya, sebenarnya masih
ramai orang awam di luar sana yang mahu menambah ilmu agama. Namun, kebanyakan
mereka menghadapi masalah kekangan masa. Jika diatur dengan baik, mungkin
mereka boleh memohon cuti untuk memberi tumpuan pada pengisian jiwa
sekali-sekala. Boleh tahan juga cadangan pelajar-pelajarnya.
“Secara
ringkasnya, cadangan kami begini, Ustazah. Kita pilih satu kitab yang popular.
Kemudian, kita jemput seorang penceramah yang berpengalaman mengajar kitab itu
hingga tamat,” tambah Amir, sekadar mengulang apa-apa yang dikatakan oleh
Safiah tetapi disampaikan penuh semangat. Hanna tersenyum melihat
keterujaannya.
“Okey, saya
setuju! Cadangan yang bernas. Tahun lepas, pelajar saya ada membuat persembahan
teater Islam tentang perjuangan Rasullullah. Tahun ini, kalau kita anjurkan
seminar dengan konsep yang awak semua cadangkan, bermakna ada kelainannya dan
mungkin lebih banyak manfaatnya. Sangat menarik! Oh, ya Rafiq! Sudahkah
awak semua berbincang nak buat seminar pengajian tentang kitab apa?”
Hanna
menghalakan pandangannya kepada Rafiq, ketua kuliah itu. Walaupun dia yakin
dari segi umur, Rafiq sebenarnya lebih tua beberapa tahun daripadanya. Namun
seperti biasa tiada gelaran hormat seperti abang, encik atau tuan yang
digunakan untuk memanggil pelajar-pelajarnya. Hanna lebih selesa memanggil nama
mereka sahaja. Selaras.
“Kitab Bidayatul
Hidayah, karangan Imam al-Ghazali. Ustazah rasa bagaimana? Sesuai tak? Kitabnya
pun tak tebal, bukan? Kalau kita fokus pengajian lebih kurang enam jam sehari,
saya menjangkakan bahawa lima hari pun boleh tamat pengajiannya,” jawab Rafiq
penuh yakin.
Hanna tersentak
mendengar cadangan tersebut. Bidayatul Hidayah? Masya-Allah! Ah,
kebetulan pula! Baru sahaja pagi semalam dia mendapat tugasan untuk
menghuraikan kitab ini sebagai isi tambahan kepada tesis PhD yang sedang
diikutinya. Subhanallah. Ini suatu peluang yang sangat baik. Kalau
seminar ini diadakan, Hanna yakin dia boleh menyiapkan tesisnya dengan lebih
berkualiti dan terperinci.
“Bagaimana
Ustazah? Setujukah kalau kita pilih untuk mutalaah kitab tu?” Pertanyaan Safiah
memutuskan lamunan Hanna.
“Eh, saya setuju
sangat! Bidayatul Hidayah adalah satu kitab yang sangat bagus pengisiannya.
Kitab ini disebut-sebut sebagai rumusan kepada kitab terulung Imam Al-Ghazali
yang bernama Ihya’ Ulumiddin. Hebat kitab ni! Jadi rujukan ulama terdahulu dan
terkemudian. Oh, ya! Untuk pemilihan penceramah, saya cadangkan awak cuba
dapatkan Sheikh Shirazi al-Banjari. Dia memang pakar dalam huraian kitab ini
dan pernah menulis terjemahannya ke dalam Bahasa Malaysia. Saya rasa, bagus
juga kalau kita jadikan kitab terjemahannya sebagai rujukan khas sepanjang
seminar tu nanti. Kalau tak silap saya, kitab terjemahan tersebut diterbitkan
oleh Syurga Ilmu Publishing.” Lebar senyuman Hanna tatkala menuturkan kata-kata
tersebut.
“Syurga Ilmu
Publishing? Subhanallah! Itu syarikat kawan saya, Ustazah. Nanti, saya hubungi
dia. Wah, senang nampaknya kerja kita!” sampuk Rafiq sambil ketawa.
“Insya-Allah,
Rafiq. Kerja baik pasti Allah tolong. Cuma kena ingat, walaupun jalan bermula
dah nampak, matlamat pun sudah jelas, tapi liku-likunya pasti ada.”
Pesan Hanna cuba mengendurkan sedikit keterujaan mereka. Dia mahu mereka lebih
bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal melanda projek mereka itu.
“Insya-Allah,
Ustazah. Kami akan harungi dengan penuh semangat. Ustazah doa-doakanlah ya! Doa
Ustazah lebih mustajab daripada doa kami,” usik Safiah nakal sambil disambut
gelak ketawa mereka.
“Semoga masin
mulut awak, Safiah! Okeylah. Kalau tak ada apa-apa lagi, kita bersurai di sini.
Rafiq, tolong maklumkan kepada saya sebarang perkembangan, ya. Awak semua ada
masa sebulan sahaja dari sekarang untuk tempoh perlaksanaan projek. Jadi,
jangan leka. Kalau teruk presentation awak nanti, silap-silap satu kelas
dapat D!” ugut Hanna sambil bergurau.
“Jangan risau,
Ustazah. Confirm A! Tengoklah siapa ketua projek yang kami pilih. Segak,
hebat lagi berwibawa! High class leader!” Amir menepuk kuat belakang
Rafiq menyebabkan tubuhnya terdorong sedikit ke hadapan. Hampir sahaja tubuhnya
melanggar Hanna.
“Masya-Allah!
Maaf Ustazah, maaf.” Rafiq mengangkat kedua-dua tangannya seperti orang
menyerah diri. Dia sendiri agak panik kerana tidak menjangka tindakan Amir yang
tiba-tiba sahaja menolaknya ke arah Hanna. Rafiq segera melangkah beberapa
tapak ke belakang.
“Awak ni Amir!
Lain kali jangan bergurau macam tu! Adab dengan guru kena sentiasa dijaga,
okey! Apatah lagi gurunya perempuan. Batas-batas syariat masih tetap ada.”
Merah padam muka Hanna dibuatnya. Mujurlah Rafiq tidak terlanggarnya. Hanya
beberapa inci sahaja lagi wajahnya hampir bertemu dengan wajah Rafiq tadi. Dia
menggeleng-geleng. Kesal.
“Maaf, Ustazah.
Saya pun tak tahulah sama ada saya tolak hero kita ni terlalu kuat atau dia ni
sebenarnya yang lembik sangat.” Amir masih sempat berseloroh meskipun jauh di
sudut hatinya berasa sangat bersalah dan malu apabila ditegur seperti itu.
“Lembik? Huh,
pandailah kau! Baling batu sembunyi tangan!” Bentak Rafiq tidak berpuas hati
sambil menumbuk bahunya perlahan. Amir dan Safiah ketawa geli hati melihat
perlakuan Rafiq yang keanak-anakan itu. Hanna juga kembali tersenyum.
“Okey,
jumpa lagi semua. All the best with your project! Semoga berjaya.” Hanna
mula mengangkat buku-bukunya dan menyandang beg tangan hitam miliknya, sedia
untuk meninggalkan dewan kuliah. Safiah pantas menghulurkan tangan untuk
bersalam lalu disambut mesra oleh Hanna.
“Syukran
kathira, Ustazah. Assalamualaikum.” Hampir serentak ketiga-tiga pelajarnya
itu bersuara mengiringi langkah Hanna yang meninggalkan mereka.
“Waalaikumussalam,”
balas Hanna perlahan, sekadar didengari oleh dirinya sendiri. Dia sebenarnya
masih terasa malu dengan insiden yang berlaku antara dia dengan Rafiq sebentar
tadi. Namun sejurus teringat tentang Seminar Bidayatul Hidayah yang bakal
dianjurkan, hatinya berbunga riang. Seminar ini dianggap peluang dan ruang yang
diberi Allah untuknya. Peluang untuk dia menambah ilmu dan iman di dada. Ruang
untuknya mengembangkan potensi dirinya. Hanna tersenyum-senyum sendiri.
"Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan
memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah
diperkenalkan-Nya kepada mereka. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu
menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan
kedudukanmu."
(Muhammad: 47: 5 - 7)
(Muhammad: 47: 5 - 7)
Masya Allah, hebat pengisiannya. Sampai ke dalam hati ni!
BalasPadam