BAB SATU: Geng Zuhal
“Aduhai!” Semangkuk
mi rebus diletakkan di atas meja.
“Bagaimana? Cikgu Saleha minta kita
beri keputusan sebelum hari Jumaat!”
Wajah Luna berkerut merenung mi
rebus dalam pinggan. Mei Ling yang duduk di sebelah turut menggaru kepala
sementara Yaya pula sedang asyik bermain-main dengan penyedut minuman dalam
gelas di hadapannya.
Keadaan kantin Sekolah Rendah
Kebangsaan Sri Tanjung hiruk-pikuk dengan para murid yang sedang sibuk membeli
makanan. Luna memandang ke arah Mia. Nampaknya Mia seperti tidak mendengar apa
yang sedang dia rungutkan. Mia menghembus bihun hailam yang disudunya sebelum
disuapkan ke dalam mulut. Sekali-sekala, matanya terpejam tanda nikmat.
“Mia!” Luna menolak lengan Mia yang
sedang enak menikmati bihun hailam.
Siku Mia terjatuh
dari sisi meja. Mujurlah wajahnya tidak turut tersembam ke dalam mangkuk bihun
hailam. Segera Luna meminta maaf tetapi Yaya dan Mei Ling pula sudah
terkekeh-kekeh ketawa.
“Kalau betul pun awak risau, tidak
perlulah sampai ke tahap hendak membunuh saya!” Mia menjeling tajam. Dia
mengesat kaca matanya yang berkabus menggunakan tudung sekolah. Luna hanya
tersengih. Dia tahu marah Mia tidak seteruk mana. Mereka berempat sudah menjadi
begitu akrab sejak hari pertama didaftarkan di sekolah itu. Sudah tahu hati
budi masing-masing.
“Cikgu Saleha!” Luna seperti
mengingatkan. Secara kebetulan, guru kelas mereka, Cikgu Saleha lalu
betul-betul di hadapan mata.
“Awak panggil saya, Luna?” tegur
Cikgu Saleha. Luna kelihatan tersipu-sipu malu.
Hari ini, Cikgu
Saleha nampak anggun dengan kebaya labuh warna merah hati dan kain batik corak
dedaun. Dipadankan pula dengan kasut berwarna coklat muda, gaya Cikgu Saleha
selalu sahaja menarik perhatian mereka berempat. Memang guru muda itu pandai
bergaya malahan tidak lokek menguntum senyuman.
Luna kembali tersengih dan
cepat-cepat menggeleng. “Tidak, cikgu.”
Cikgu Saleha hanya menjungkit
keningnya.
“Cikgu, sebenarnya kelas kami masih
belum dapat memikirkan hendak menjual apa pada hari sukan sekolah,” Yaya segera
menyampuk. Mereka yang lain terus mengambil kesempatan untuk mengiakan.
“Ingatkan masalah besar apa yang
kamu fikirkan tadi, seperti hendak runtuh dunia dibuatnya.” Mereka berempat
tergelak kecil. Cikgu Saleha tersenyum memandang anak-anak muridnya dan
menyambung bicara, “Juallah apa-apa yang kamu semua mahu. Asalkan ada yang
datang membeli. Ingat, kita perlu kumpul duit untuk membuat lawatan akhir tahun
nanti.”
Saranan Cikgu Saleha itu
mengingatkan mereka tentang cadangan lawatan sambil belajar ke Melaka.
Rancangan ini telah pun dipersetujui oleh seluruh warga Kelas Enam Zuhal.
Memandangkan ini adalah tahun terakhir mereka di Sekolah Rendah Kebangsaan Sri
Tanjung, pengetua amat menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam pesta
jualan hari sukan sekolah. Cikgu Saleha berpendapat, inilah peluang terbaik
bagi Enam Zuhal untuk memenuhkan tabung lawatan kelas mereka.
“Jual apa-apa pun boleh, cikgu?”
soal Luna, ingin memastikan.
“Apa-apa pun boleh Luna. Asalkan
tidak salah di sisi undang-undang,” seloroh Cikgu Saleha.
“Terima kasih, cikgu!” ujar Luna
kegirangan.
“Hah, sudah seronok nampaknya. Cikgu
beredar dahulu ya.” Sebaik sahaja mereka mengangguk dan bersalaman dengan Cikgu
Saleha, guru kelas mereka itu kemudiannya berlalu pergi.
Luna kembali menghadap tiga orang
sahabatnya. “Kawan-kawan, dengar? Apa-apa pun boleh, asalkan ada orang yang
datang membeli,” dia mengulangi saranan Cikgu Saleha tadi.
Mia kelihatan termenung. Ada sesuatu
yang sedang bermain dalam kepalanya sejak semalam. Tidak pula dia suarakan
kepada mereka bertiga. Melihat telatah Mia itu, tahulah Yaya, sahabatnya sedang
ligat berfikir. Yaya menolak siku Mei Ling di sebelahnya dan memberikan isyarat
jari menunjuk ke arah Mia. Mei Ling juga sedar dengan mimik muka Mia yang kelihatan
serius. Yaya kemudiannya, bersuara, “Awak seperti ada cadangan sahaja, Mia?”
Mia menoleh lalu tersengih. Tiga
orang sahabat menahan nafas. Lain benar cara Mia memandang mereka. Macam ada
apa-apa sahaja. Luna mula meletakkan tangan pada dahi Mia. “Eh, tidak demam
pun!”
“Macam-macamlah awak, Luna!” Mia
pantas mengelak. Yaya dan Mei Ling tersenyum melihat gelagat mereka berdua.
“Apalah yang awak fikirkan Mia? Cuba
kongsikan dengan kami,” pinta Mei Ling. Tidak sabar-sabar, dia ingin tahu apa
yang bermain dalam fikiran Mia.
“Mesti awak sedang fikirkan idea
untuk jual apa semasa pesta hari sukan,” teka Yaya pula. Mata Mia langsung
nampak bercahaya. Tahulah mereka apa yang sedang difikirkan oleh Mia itu.
“Saya rasa elok kita kembali ke
kelas dahulu. Waktu rehat pun sudah tamat,” cadang Mia tanpa mempedulikan wajah
rakan-rakannya yang sedang membuat aksi muka comel, secomel kucing parsi
belaannya di rumah.
“Tetapi ... .”
“Tidak ada tetapi lagi. Ayuh kita
masuk sebelum kelas Cikgu Baskaran bermula,” demikian Mia mematikan ayat Luna.
Mereka bertiga mengeluh serentak lantas dengan malas bangkit dari kerusi di
kantin dan bergerak menuju ke kelas.
Semua orang tahu
jika waktu Cikgu Baskaran mengajar, jangan memandai-mandai hendak masuk lewat
sesuka hati. Berdiri di luar kelaslah padahnya!
“Baiklah,” walaupun tidak berpuas
hati, Luna terpaksa mengalah.
***
TIADA SEORANG PUN
yang berani bercakap sewaktu Cikgu Baskaran sedang mengajar dalam kelas. Jika
ada pun, boleh dianggap sebagai pejuang berani mati! Apa tidaknya, jika Cikgu
Baskaran menangkap sesiapa sahaja yang bercakap, dengan serta-merta dia akan
disuruh menggantikan tempat cikgu mengajar di hadapan kelas.
Kelakar?
Memanglah kelakar jika orang lain
yang kena. Cuba terkena pada batang hidung sendiri? Mesti pucat lesi, bukan?
Luna pula lain halnya. Sejak kembali
dari kantin sekolah, hatinya tidak sabar-sabar hendak tahu perkara yang sedang
bermain dalam kepala Mia. Di dalam kelas, Luna yang duduk di hadapan sekali
asyik tertoleh-toleh ke belakang hinggakan Mei Ling yang duduk bersebelahan
dengan Yaya pun perasan dengan telatah gadis India itu. Dia mencuit hujung siku
Yaya. Muncung bibirnya mengarah kepada tempat duduk Luna. “Hish!”
Cikgu Baskaran yang sedang menulis
pada papan hijau menoleh sekilas. Berderau darah mereka berdua. Luna pula sudah
kembali berpura-pura sibuk menyalin apa yang cikgu arahkan.
Hari itu, Cikgu Baskaran mengajar
mereka tentang bagaimana hendak mengira perimeter sebuah segi empat sama. Semua
formula kiraan sudah diterangkan bersama contoh soalan dan jawapan. Malangnya
kata-kata guru matematik itu bagai tidak melekat dalam kepala Luna.
Gambar rajah segi
empat sama yang dilukis pada papan hijau itu pun kelihatan seperti kepingan
roti sahaja. Entah mengapa, ada bayangan sandwic yang timbul dari gambar rajah
segi empat Cikgu Baskaran itu.
“Alamak...” Luna mengetuk-ngetuk
kepalanya dengan belakang pensel. Gambar rajah yang senget-benget dalam buku
latihannya dipadam dengan rakus. Dalam pada itu, sempat lagi dia menjeling ke
arah Mia yang duduk di belakang.
Mia kelihatan sedang tekun menyalin
nota tetapi sebenarnya ada beberapa perkara lain yang sedang mengganggu
konsentrasinya. Perlukah dia memaklumkan kepada warga Kelas Enam Zuhal sebelum
tamat waktu persekolahan hari ini? Patutkah dia menunggu pada waktu mesyuarat
kelas yang bakal diadakan tidak lama nanti?
Mia mendongak lalu pandangan matanya
bertembung dengan anak mata Luna.
Luna tidak membuang masa. Melalui
isyarat tangan, dia cuba menyampaikan percakapannya.
Berkerut-kerut
wajah Mia yang duduk di belakang cuba memahami maksud Luna itu. Tangan Luna
digerakkan seperti bulatan kemudian dia menunjuk-nunjuk ke arah gambar rajah
Cikgu Baskaran. Selepas itu, Luna membuat aksi seperti orang sedang menyuap makanan.
Akhir sekali, dua batang jarinya bergesel-gesel seperti orang sedang mengira
duit pula.
Eh, memang pelik bahasa isyarat Si
Luna ini!
Beberapa orang murid lain turut
menyedari telatah dua sahabat baik itu. Ada yang tersenyum. Ada juga yang buat-buat
tidak nampak. Yalah, nanti tidak fasal-fasal dituduh sama membuat bising. Cuma
Jason yang suka mengusik itu cuba meniru-niru aksi Luna. Ini menimbulkan
sedikit rasa tidak senang hati murid India tersebut.
Luna menjungkit keningnya sambil
memuncungkan bibirnya. “Apa pandang-pandang?” kata bahasa isyarat Luna.
Tangan Jason memberi isyarat menyudu
makanan dan dijilat bibirnya seperti ingin makan. Dia menoleh ke arah Luna
seperti bertanya “Awak lapar dan mahu makan?”
Luna mencebikkan bibirnya seolah-olah
berkata “Eh, apa awak kisah?”
Jason tersengih macam kerang busuk.
Dia menunjuk-nunjuk lagak seperti orang sedang menikmati makanan dengan
mengusap-ngusap perutnya.
Sedap! Jason menaikkan ibu jarinya
sambil mengangguk-anggukkan kepala.
Luna mengetap bibir tanda geram. Dia
sedang berkomunikasi dengan Mia di belakang, mengapa pula Jason yang duduk di
tengah itu tumpang sibuk? Luna berpaling ke arah hadapan, kembali menghadap
papan hijau.
Wah, banyaknya
Cikgu Baskaran lukis! Patutlah semua orang sedang khusyuk menulis. Tentu penat
tangannya hari ini hendak menyalin kesemuanya. Sebentar lagi waktu mata
pelajaran matematik akan tamat. Tiba masanya Cikgu Saleha akan masuk dan
mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.
Walaupun dia sangat suka subjek matematik,
Luna lebih rela jika Cikgu Saleha yang sedang mengajar di hadapan sekarang ini.
Jangan sibuklah! Demikian mimik
wajah Luna. Jason yang nakal buat-buat tidak faham dan terus-menerus mengusik
gadis itu.
Apa hal budak-budak ini? Cikgu
Baskaran menoleh buat kali kedua. Dia menangkap kelibat Luna dan Jason yang
sedang bertukar-tukar isyarat. Tangan kiri Cikgu Baskaran sudah naik mencekak
pinggang.
“Luna! Jason!” Suara garau itu
berdentum bagaikan halilintar. Semua warga Kelas Enam Zuhal serta-merta berhenti
menulis. Perhatian dipusatkan kepada dua bintang utama yang sedang
tercengang-cengang macam diserang hendap.
Pucat lesi wajah Luna. Pucat lesi
wajah Jason. Murid mana yang tidak takut kepada Cikgu Baskaran yang terkenal
garang itu?
Penyudahnya, mereka berdua terpaksa
akur menerima hukuman.
Kelas Enam Zuhal menjadi riuh-rendah
dengan suara para murid. Wajah Jason menjadi kelat. Wajah Luna pula masam
mencuka. Hendak tahu mengapa?
Cikgu Baskaran telah mengarahkan
mereka berdua duduk bersanding menghadap antara satu sama lain di hadapan
kelas!
Ya, dua buah kerusi yang disusun
secara bertentangan tanpa meja menjadi singgahsana mereka berdua. Macam raja
sehari pula lagaknya. Semua orang ketawa sampai sakit perut walaupun wajah
Cikgu Baskaran nampak tegas dalam selamba.
“Hah, cepat siapkan kerja kamu
sekarang!” suara garau cikgu itu bergema lagi.
Luna dan Jason
kelam-kabut menyalin semua nota yang tertulis pada papan hijau. Lebih cepat
lebih bagus. Dapatlah mereka kembali semula ke tempat duduk masing-masing.
Sebenarnya Cikgu Baskaran bukanlah seorang pemarah, dia suka berlakon sahaja
supaya semua murid mendengar kata-katanya.
***
“HAHAHA,” KETAWA
MEI LING meledak keluar. Teruk juga Luna menahan malu sepanjang perjalanan
menuju ke tempat letak basikal. Mujurlah waktu kelas Bahasa Melayu berakhir
agak lewat sedikit daripada biasa. Kebanyakan murid-murid sudah pun berada di
atas jalan raya.
“Tolong jangan ketawakan saya lagi
Mei Ling!” marah Luna.
Mei Ling menekup mulutnya sambil menahan
diri. Yaya menepuk-nepuk belakang bahu Luna. “Itulah, lain kali jangan cari
fasal dalam kelas Cikgu Baskaran. Tidakkah awak tahu, dia memang pantang
melihat orang bercakap. Bergerak sedikit pun akan disoal siasat,” nasihat Yaya.
Luna mengangguk faham. Dikerlingnya
Mia yang berjalan beriringan dengan mereka. “Ini semua fasal awak!” Dia
menempelak.
“Eh, mengapa saya pula?” celah Mia
hairan.
“Saya beri isyarat pada awak tetapi
awak buat-buat tidak faham. Si Jason yang macam kerang busuk itu pula yang
menjadi Pak Sibuk,” Luna melepaskan rasa geram.
“Manalah saya faham apa yang awak
buat, Luna,” kata Mia membela diri.
Luna mendengus tidak puas hati.
“Budak kecil pun faham apa yang saya cuba sampaikan.”
“Masalahnya saya bukan budak kecil,”
kata Mia lagi.
“Sudahlah kawan-kawan. Tidak baik
kita bertekak fasal benda kecil macam ini. Lebih elok jika kita bincangkan hal
pesta jualan hari sukan sekolah. Saya memang teringin hendak ke Melaka akhir
tahun nanti!” Yaya cuba mengalih perhatian.
Mereka berempat terdiam sebentar.
Luna yang sedari tadi menahan malu turut terpempan. Hilang terus ingatannya
pada peristiwa yang memalukan sebentar tadi. Kini, mereka kelihatan
bersungguh-sungguh berfikir mencari idea.
Hujung tahun lepas,
murid-murid tahun enam dibawa berkhemah di tepi Pantai Sri Tanjung. Mereka
seronok memasang khemah bersama-sama dan membuat unggun api. Bukan itu sahaja,
Persatuan Ibu Bapa dan Guru bermurah hati membekalkan beberapa ekor ayam untuk
mereka panggang. Cikgu pula membenarkan mereka tidur lewat dan bercerita
kisah-kisah menarik sambil duduk beramai-ramai mengelilingi unggun api. Tahun
ini, murid tahun enam turut diberi kebebasan membuat perancangan dengan guru
kelas masing-masing.
“Saya pun hendak ke Melaka. Saya
belum pernah ke sana,” Luna memberitahu.
“Saya pernah ke Melaka tetapi saya
mahu ke sana lagi dengan kawan-kawan,” sampuk Mei Ling. “Lebih-lebih lagi
dengan awak bertiga,” sambungnya.
Sekali lagi mereka berempat terdiam
berfikir. Masing-masing menyorong basikal tanpa suara. Idea pengetua supaya
semua murid tahun enam mengambil bahagian dalam pesta jualan hari sukan
disambut baik oleh kebanyakan murid. Bila lagi mereka hendak menunjukkan bakat
berniaga?
“Sebenarnya tadi, saya terfikirkan
sandwic,” akui Luna.
“Sandwic?” Mia, Yaya dan Mei Ling
menjerit serentak.
“Ya, bentuk rajah segi empat Cikgu
Baskaran kelihatan seperti sekeping sandwiclah!” gelak Luna. Rakan-rakannya
tersenyum sesama sendiri. Jika fasal makanan, serahkan sahaja kepada Luna.
Pandai betul dia berimaginasi.
“Saya rasa mahu jual sandwic,” kata
Luna lagi.
“Makanan seperti itu sudah terlalu
biasa. Nanti murid lain berkata, sandwic di rumah ibunya lagi sedap!” potong
Mei Ling yang bermata besar itu. Mereka yang lain tidak dapat menahan diri
daripada tergelak.
Tiba-tiba, Mia mencelah. “Saya rasa
idea Luna itu ada logiknya. Benda yang paling senang laku dijual ialah makanan.
Lebih-lebih lagi pada hari sukan. Mesti ramai orang yang datang.”
“Mesti ramai orang yang kelaparan!”
kata Yaya. Tiga orang rakannya mengangguk setuju.
“Jadi? Kita jual apa?” soal Luna.
Dia tidak sabar-sabar ingin tahu. Riak mukanya seperti hendak menelan Mia
sahaja kerana terlampau ingin tahu.
“Kita jual makanan,” jawab Mia
seperti berahsia.
“Jual makanan apa?” soal Mei Ling pula.
Mia tersenyum meleret. “Yang itu
serahkan kepada saya. Nanti semasa mesyuarat kelas, saya akan beri cadangan.”
“Cakap sahajalah Mia!” suara Luna
kedengaran tidak sabar.
“Eh, nantilah Luna. Bawa bertenang.
Saya perlu buat sedikit kajian sebelum mencadangkan idea ini,” balas Mia. Riak
wajah Mia kelihatan tenang, sedikit pun tidak terusik dengan kegelisahan
rakan-rakannya.
Luna segera membuat wajah kelat.
Yaya pula menegurnya. “Jangan suka buat muka macam itu, Luna. Nanti awak cepat
tua. Lagi pun tentu tidak cantik jika terpaksa bersanding dengan Jason sekali
lagi!”
“Aargh!” Luna menjerit kuat-kuat.
Mereka bertiga cepat-cepat menyorong
basikal dan mengayuh laju-laju. Luna pula sudah ketinggalan jauh di belakang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan