Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti Penulis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti Penulis. Papar semua catatan

Rabu, 24 Disember 2014

Forum Bersama Editor & Penulis

Pagi Ahad yang lengang. Pagi muram mungkin bagi sang harimau. Tahniah buat gajah. Ya, kami kalah bermaruah. Bukan ayat penyedap perasaan, lebih kepada ucapan terima kasih atas kesungguhan yang ditunjukkan. Kembali pada jadual asal, silap tengok waktu forum, mengubah rancangan bermotosikal kepada berkereta. Disangka jam 9 rupanya jam 8. Baru perasan ketika jam 7, dengan lokasi yang tak pernah dituju, lantas kunci kereta dicapai menuju ke destinasi forum.

Alhamdulillah, nah.
Allah bagi mudah, tepat jam 8 sampai ke dewan yang dicari. FBMK. Akronim Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Mengingatkan memori sewaktu mengaji di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media sesi 2004-2009 dulu.

Kelihatan ramai pelajar berbanding orang luar. Kehadiran yang lebih ke arah memenuhi tuntutan fakulti. Terasa sayang tidak ramai orang industri buku yang mengambil manfaat melihat para panel yang hadir bukan calang-calang. Justeru, pendekkan masa, maaf didahulu jika khilaf sini sana, berikut secuil perkongsian yang mungkin ada manfaatnya daripada sesi yang pertama:

Dr. Mawar Safie

Bagaimana saya menulis? Who said being writer was easy?
Idea-Ilham-Inspirasi-Cerita diperlukan untuk menghasilkan novel/puisi/drama/cerpen.

Cari keyword dalam karya yang mahu dihasilkan, kemudian kembangkan dalam bentuk peta minda.
Penulis perlu ada sensitiviti terhadap persekitaran. Kebiasaannya, penulis itu bersifat pemalu di depan khalayak, sering berkonflik dengan fikiran separa sedarnya.

Antara sumber untuk mendapat idea penulisan:
1. Al-Quran
2. Memories & Fears
3. Solitude & Dreams
4. Germination

Pn. Siti Jasmina Ibrahim

Sebuah cerita yang baik, selalunya sekitar watak utama yang kuat, "Ini kisah saya, mari terokainya bersama saya." Dunia realiti adalah cermin kepada visual penulis, meski mungkin tidak sama, tetap terasa macam sama.

Cabaran penulis skrip drama/filem, mereka hanya ada sekitar 30, 60, 90 minit untuk mengikat penonton menyaksikan karyanya. Sebaliknya cerpen dan novel terpulang kepada pembaca menghabiskan bacaan dalam tempoh masing-masing.

Lebih-lebih lagi bilamana ditonton di TV, kesetiaan penonton terpaku dengan filem tersebut disaingi hebat dengan saluran yang beriklan, bunyi sekeliling yang pelbagai dan lain-lain gangguan yang mengakibatkan penonton mungkin menukar siaran atau buat kerja lain yang lebih penting. Sebab itu jugalah penghasilan filem berbeza dengan drama dari sudi shot-nya, sound effect dan CGI yang memang sengaja dibuat untuk lebih puas dihayati dengan kelengkapan di panggung.

Justeru amat penting elemen hook dalam drama sebelum iklan ditayangkan. Elak manjakan penonton. Apabila mereka seakan boleh duga jalan cerita, buat twist yang berlawanan dengan sangkaan mereka. Hasil akhir drama/filem juga berpunca daripada kolaborasi penulis skrip dan pengarah yang kuat. Penulis skrip berperanan penting pada awal karya, pengarah pula mencantikkan visual penulis skrip itu tadi. Kedua-duanya layak diberi kredit setara.

Penulis karya kreatif yang baik, memegang lantas menjiwai watak yang ditulisnya:
1. Letakkan diri sebagai pembaca sasaran, gunakan istilah yang bersesuaian dengan tahap kefahaman mereka.
2. Dialog wajib hidup, lagi-lagi jika ditulis untuk skrip drama.
3. Kelonggaran penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam dialog perlu bijak dipilih penulis. Tuan Bahruddin Bekri antara penulis yang baik dalam menggunakan BMT tanpa mengganggu mood dialog watak-watak dalam karyanya.

Kelebihan menjadi penulis, antaranya:
1. boleh jadi sesiapa :)
2. kenal ramai orang daripada pelbagai latar belakang, bagi tujuan penulisan agar nampak lebih hidup
3. tidak menghukum orang lain, sebaliknya lebih memahami kenapa mereka bertindak sedemikian (orang tak gila, mesti bersebab bertindak sekian-sekian, keadaan memaksa mungkin?)

Terdapat lebih daripada 100 buah syarikat produksi di Malaysia, berikut cara selamat menghantar skrip drama, daripada diciplak:
1. hantar proposal/sinopsis cerita sahaja, bukan skrip drama penuh
2. sertakan satu surat yang menulis ayat,
dihantar oleh:
diterima oleh:
nama dan tandatangan:
sebagai hitam putih jika berlaku sebarang perkara berbangkit kemudian.

Q & A sesi 1

Apakah sebabnya adaptasi filem kebiasaannya berbeza dengan buku?
Antara sebabnya, ada kekangan dan perbezaan waktu persembahan. Waktu ditonton dan dibaca berbeza. Justeru perkara penting yang dititikberatkan dalam adaptasi adalah pengkarya mampu menyampaikan perasaan yang sama dalam buku, dapat dirasakan dalam filem, oleh audiens. Audiens harus faham, adaptasi bukan mengambil sebiji-sebiji jalan cerita dalam buku, sebaliknya penyampaian mesej cerita yang lebih utama.

Rating vs nilai
Novel pop mendapat rating yang tinggi walau jalan ceritanya mudah dijangka dan berulang-ulang (contoh: isu kahwin paksa-rating 4K penonton drama adaptasi novel sebegini). Begitu juga dengan drama sinetron, boleh sampai beratus episod dek penyampaian cerita yang meleret-leret. Tidak semua rating tontonan berpunca daripada mereka yang meminatinya, sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang tidak minat karya tersebut, tetapi tetap juga beli/tonton. Justeru apabila rating naik, penerbit terus lompat kepada kesimpulan iaitu permintaan terhadap karya sebeginilah yang dimahukan masyarakat. Lalu situasi ini terus berulang.

Tuan Zabidi Mohamed contoh penulis skrip drama popular yang baik dalam penghasilan karya yang ratingnya tinggi tanpa mengabaikan faktor nilai positif dalam karya-karyanya.

Selasa, 18 Februari 2014

BEDAH BUKU REVOLUSI


Mengapa orang revolusi mesti kreatif, berani, dan kritis?

Mahu tahu lebih lanjut? Jom dengarkan kupasan daripada penulis buku ini, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Tarikh: 20 Februari 2014 (Khamis)
Tempat: Perpustakaan MSU

Masuk adalah percuma.

Isnin, 10 Februari 2014

Bengkel Penulisan Novel Tarbiah

MENGEKALKAN MOMENTUM MENULIS

Mengekalkan momentum penulisan sangat penting supaya semangat untuk menulis tidak menjadi seperti hangat-hangat tahi ayam. Justeru, jangan biarkan idea-idea anda hilang sebegitu sahaja bagaikan hampas yang ditiup angin nan lalu … .

Apabila ada idea, terus catatkan dalam buku idea. Setiap penulis perlu memiliki buku idea atau floating file sama ada menggunakan hard copy atau soft copy. Zaman sekarang, mudah sahaja, guna i-Pad, i-Phone dan sebagainya.

Setelah anda mengikuti bengkel penulisan, sudah sampai rumah, terus tulis idea anda itu. Selain itu, cuba ikuti tip-tip di bawah ini:

1. Jadikan kerja menulis sebagai salah satu agenda besar dalam hidup. Apabila kerja menulis dianggap besar, penulis akan mampu mengatasi halangan yang mendatang. Namun apabila kerja menulis dianggap kerja kecil atau kurang penting, halangan yang biasa-biasa saja pun akan mengganggu dan menghentikan momentum atau semangat untuk menulis. Misalnya, tarikan sebuah rancangan TV saja pun boleh mengganggu momentum untuk menulis!

2. Buat sasaran dalam menulis. Misalnya, sasarkan untuk menyiapkan sebuah buku dalam tempoh enam bulan. Sasaran mesti realistik. Dengan membuat sasaran yang realistik, penulis dapat merancang gerak kerja yang juga realistik untuk mencapai sasaran itu.

3. Bergaul dengan sesama penulis atau yang sama-sama mahu serius menulis. Dengan kata lain, masuk ke dalam komuniti penulis. Seorang pelajar akan bersemangat untuk belajar apabila bergaul dengan sesama pelajar yang serius mahu belajar. Begitu juga penulis, dia akan bersemangat untuk menulis apabila bergaul dengan orang yang sama-sama serius mahu menulis.

4. Baca buku-buku atau makalah yang memuatkan ilmu-ilmu penulisan dan hadiri mana-mana bengkel atau kursus penulisan. (Bengkel dan kursus penulisan juga adalah tempat yang baik untuk bertemu dengan sesama penulis atau calon penulis.)

5. Cari mentor daripada kalangan penulis atau pembimbing penulis yang boleh membimbing dan memberi motivasi untuk terus menulis.

BERITA BAIK!

Sertai kami pada 22.2.2014 di Wangsa Melawati, 9pg-4ptg untuk lebih banyak perkongsian ilmu dan pengalaman.

Jika berminat, sila PM nama dan no fon atau SMS/ whats app +6019 470 2839

Yuran RM150.00
Maybank: 1520-6895-6752 (Mohd Khairi Tajudin)
Emel: khairitajudin@gmail.com

dibawakan oleh KHAIRY TAJUDIN RESOURCES
.
 
Sumber: FB Khairy Tahudin

Rabu, 22 Januari 2014

PENULISAN SEBAGAI MEDAN DAKWAH DAN KERJA

Setiap apa yang kita tulis menggambarkan apa yang terbuku dalam hati dan fikiran kita. Pembaca akan menilai seseorang penulis berdasarkan apa yang dia tulis.

Jika seseorang penulis itu suka menulis perkara-perkara yang humor, pembaca boleh mengagak bahawa penulis itu seorang yang humor. Jika dia menulis perkara yang bersifat Islami, pembaca boleh mengagak bahawa penulis itu mungkin berjiwa Islami. Begitu juga, jika sesebuah novel itu menceritakan mengenai adegan-adegan cinta yang tidak halal, agak-agak, apakah yang pembaca akan katakan terhadap penulis itu?

Maka, berhati-hatilah dalam setiap perkataan, frasa mahupun ayat yang kita tulis. Adakah kita suka para pembaca melabelkan kita sebagai penulis novel cabul?

Penulis perlu mempunyai sifat bertanggungjawab dalam setiap isi tulisannya. Jika penulisan boleh mempengaruhi pembaca untuk menyerap nilai-nilai yang murni, mengapa kita harus memilih untuk menulis nilai yang merosakkan?

Ramai penulis tersalah faham maksud dakwah dalam penulisan. Sebagai contoh, dia berkeinginan untuk menyedarkan pembaca bahawa pergaulan bebas dan hubungan cinta luar nikah boleh membawa kepada kemudaratan. Maka, dia pun menulis adegan-adegan, babak-babak ghairah dan akibat-akibat yang berlaku akibat pergaulan bebas dan hubungan yang terlarang itu. Secara tidak langsung atau tidak dia sedari, sebenarnya, dia bukan MENYEDARKAN pembaca tetapi MEMPROMOSIKAN cara hidup yang tidak sihat itu. Meskipun dia tegas berkata, “Saya hanya mahu sedarkan pembaca!” tetapi hakikatnya, pembaca tidak SEDAR bahkan semakin ghairah. Jadi, tekniknya tersilap.

“Jika kamu mahu menghentikan kemungkaran, maka tutuplah kemungkaran itu. Jika kemungkaran itu disebarkan, kemungkaran akan semakin tersebar!”

Begitu juga yang berlaku dalam akhbar-akhbar yang memaparkan kisah-kisah sensasi sebegini setiap hari untuk tatapan pembaca. Apa kesannya kepada pembaca? Adakah setelah kita membaca berita-berita LUCAH seperti itu, kita akan semakin menjauhi kelucahan? Atau pun pembaca semakin terangsang?

Untuk menjadi penulis yang IKHLAS, kita perlu tahu, apa kehendak ALLAH. Jangan salah faham maksud IKHLAS. IKHLAS bukan bermakna kita menulis apa sahaja yang terbuku dalam hati dan berkata, “Aku tidak mahu hipokrit. Aku ikhlas menulis kisah ini supaya pembaca mengambil iktibar.”

Sebelum ini, mungkin anda telah membaca artikel saya berkenaan, “MEMBETULKAN NIAT SEMASA MENULIS”. Niat perlu selari dengan tindakan. Meskipun niat kita baik, tetapi ia tidak menghalalkan cara.

INGAT! NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA!

Jadi, untuk mempromosikan kehidupan yang murni, penulis perlu menulis sisi bersih masyarakat dan meminimumkan sisi gelap dalam masyarakat. Masih ada banyak lagi isu yang boleh kita ketengahkan. Mengapa asyik isu CINTA sahaja yang penulis mampu ketengahkan?

Pembaca sekarang semakin bijak menilai kualiti. Fikirlah sendiri. Kita mendidik pembaca ke arah kebaikan atau sekadar menjamu nafsu mereka?

SERTAI KAMI

BENGKEL PENULISAN NOVEL ISLAMI (ZON PANTAI TIMUR)

Insya-Allah. Jom sertai kami untuk lebih banyak perbincangan, tip, teknik, pengalaman bersama:

1. Khairy Tajudin (Novelis, Kolumnis, Penyunting)
2. Amir Abdul Hamid (Editor Perolehan Galeri Ilmu)
3. Bonda Nor (Novelis 'Saya Tunggu Awak')

Cara Pendaftaran untuk Bengkel Penulisan Novel di Kuala Terengganu, sila lakukan langkah-langkah berikut:

1. Bank in yuran RM 150 ke Maybank 1520-6895-6752 (Mohd Khairi Tajudin)

2. Lampirkan bukti pembayaran berserta nama penuh, IC dan no. telefon.

Sebarang pertanyaan: 019-4702839

BONUS:
Makan, minum, sijil penyertaan

Bagi peminat dari negeri-negeri lain, anda juga boleh turut berikan nama di bawah. Insya-Allah, kami akan hubungi semula jika kami turun ke kawasan anda.

Antara pengisian ceramah:

BAB 1: ADAKAH ANDA LAYAK MENJADI PENULIS?
- Apakah keistimewaan menjadi penulis?
- Apakah sifat yang perlu ada pada seorang penulis?

BAB 2: MENGENALI DUNIA BUKU
- Mengenali dunia buku: Fiksyen dan Non-Fiksyen
- Bagaimanakah cara untuk memulakan penulisan?
- Proses sebelum menulis
- Tips mendapatkan idea

BAB 3: MENYEDIAKAN PROPOSAL
- Kenapa perlu proposal?
- Apakah yang perlu ada dalam sesebuah proposal?
- Kepentingan Bab 1 dan 2
- Contoh proposal

BAB 4: MEMBINA WATAK DAN PERWATAKAN

BAB 5: PERANCANGAN PENULISAN
- Plot dan sub-plot
- Teknik bercerita
- Konflik
- Klimaks
- Gaya bahasa
- Membina ayat
- Latar belakang
- Nilai Murni dan Agama

BAB 6: TIP KETIKA MENULIS

BAB 7: TIP MENGUATKAN OLAHAN CERITA

BAB 8: TIP MENYEMAK MANUSKRIP SELEPAS MENULIS

BAB 9: CHECKLIST
- Ciri-ciri Manuskrip yang Disukai Editor

BAB 10: FORMULA BEST SELLER
- Ciri-ciri Novel yang Diminati oleh Pembaca
- Mengenali Kelemahan dalam novel

  ~Rajin-rajinlah tekan butang SHARE. Mungkin ada rakan anda yang berminat~

Selepas Kuala Terengganu, insya-Allah kami akan ke Kuala Lumpur semula (22.2.2014) di tempat yang sama. Boleh daftar sekarang.


BONUS:

- Rahsia manuskrip diterima editor
- Bagaimana menjadikan novel sebagai drama atau filem

dan banyak lagi.

kredit: Facebook Khairy Tajudin

Jumaat, 8 November 2013

Saya Tunggu Awak Bukan Sekadar Kisah Yang Seronok Dibaca

Semalam sewaktu temuramah di radio IKIM, editor perolehan Galeri Ilmu, Tuan Resha Hamzah berkata novel Saya Tunggu Awak bukan sekadar kisah yang seronok dibaca, malah sangat sesuai untuk dijadikan panduan. Pelbagai permasalahan yang diketengahkan dilengkapi penyelesaian.

Kata beliau lagi, sebagai seorang yang baru berumahtangga, novel ini dijadikan panduan untuk beliau berdepan dengan sebarang kemungkinan. Jika berlaku begini, apa yang perlu dilakukan? Jika berlaku begitu, bagaimana pula mahu keluar dari kemelut perasaan?

Sungguh. Di dalam hidup ini, kita umpama berada di tengah-tengah lautan. Saat dihempas gelombang besar, kita lelah menahan perasaan. Bila gelombangnya reda, kita kembali menarik nafas lega. Namun, mampukah kita tersenyum setiap masa? Mustahil. Kita perlu peka dan sentiasa berjaga-jaga kerana gelombang yang lain akan menyerang pula.

Begitulah yang dijanjikan oleh Tuhan. Adakah manusia boleh melangkah selamba ke syurga tanpa bertarung dengan ujian? Tak mungkin. Janjinya sudah pasti. Kita akan terus diuji.. lagi dan lagi.. Justeru, bersedialah dengan segala kemungkinan. Ujian akan sentiasa datang dan pergi. Ujian kecil dan besar akan singgah silih berganti. Justeru, lengkapi diri kita dengan pelbagai persiapan. Ilmu, dan perkongsian pengalaman adalah sesuatu yang amat kita perlukan.

Enjoy the trailer! Saya Tunggu Awak!

Kredit: Bonda Nor


Bengkel Penulisan Novel Bermula Esok

 Tuan Khairi Tajudin menulis.....

Insya-Allah ... malam ni saya akan naik bas dari Changlun dan turun di Puduraya untuk mengendalikan bengkel ini pada esok pagi.

Minggu lepas dah turun KL ( untuk bengkel short filem dengan Tuan Zabidi Mohamed) , minggu ini turun (untuk bengkel penulisan dengan Tuan Web Sutera dan Tuan Resha Hamzah) dan minggu depan turun lagi (untuk tujuan lain)

~From Changlun with Love~

Sehingga ke hari ini masih ada yang berminat. Alhamdulillah. Apa-apa hal boleh SMS terus 019-4702839

Kepada peserta-peserta dari negeri lain, insya-Allah, kita jumpa tahun depan!

Jom sama-sama jadi penulis

Khamis, 7 November 2013

Saya Tunggu Awak Sudah Ada Tiga Video Rasmi

Alhamdulillah, novel Saya Tunggu Awak telah ada 3 video rasmi di YouTube. Pertama, trailer yang menceritakan sinopsis novel ini. Ia dibuat oleh saya sendiri dengan bantuan sahabat saya Nurul Syafiqah.

Kedua adalah satu shortfilm bermesej yang tidak ada kena mengena dengan jalan cerita novel, tetapi mempromosikan novel ini secara tidak langsung. Shortfilm ini dihasilkan hasil kerjasama penulis-penulis yang bernaung di bawah Galeri Ilmu Media Social Group atau GIMEG di mana saya sendiri telah menulis skrip dan mengarahkannya.

Video ketiga adalah video klip ini. Ia merupakan satu 'surprise' yang saya terima daripada Tuan Sifu Zabidi Mohamed yang juga merupakan presiden GIMEG. Sebagai video klip, ia lebih menekankan 'character of pain' yang terdapat di dalam konflik utama novel ini. Saya cukup terharu menontonnya dan sangat suka kepada lirik lagu yang dipilih oleh beliau iaitu AKU MEMILIH SETIA. Bait-bait lagu ini sangat bertepatan dengan dilema yang diharungi oleh Ustazah Hanna Mardhiah, wanita solehah yang menerima tawaran cinta dari seorang lelaki soleh yang punya banyak kelebihan di saat dia terpaksa berhadapan dengan begitu banyak kelemahan suaminya.

Sungguh! Novel ini ditulis bukan dengan niat mengetengahkan permasalahan cinta. Namun, saya tahu tanpa unsur2 romantik dan dramatik di dalam sesuatu novel, amat sukar untuk menyampaikan pelbagai ilmu dan nilai2 tarbiah kepada khalayak pembaca yang pada masa ini rata2nya begitu tertarik dengan novel2 cinta. Maka inilah sedikit usaha kecil dari saya. Melahirkan novel cinta yang dicari pembaca namun tanpa sedar berjaya memasukkan begitu banyak ilmu2 agama ke dalam jiwa mereka.

Jom tonton video klip yang saya terima sebagai 'surprise' ini.. Terima kasih tidak terhingga kepada pembikinnya.. Tuan Zabidi Mohamed.. Moga Allah murahkan rezeki Tuan.

                                           

Kredit: Bonda Nor

Isnin, 4 November 2013

Bengkel Short Film Patuh Syariah Tuan Zabidi Mohamed

 Saksikan short film untuk peserta daripada Tuan Zabidi Mohamed

 Pada sabtu 02 November 2013 yang lalu, tim Novel Dakwah sempat mengikuti bengkel short film patuh syariah kendalian Tuan Zabidi Mohamed yang merupakan pengarah drama terkenal di Malaysia.

Berikut adalah ulasan beliau yang saya ambil daripada halama facebook GALERI ILMU SDN BHD.

Selepas bengkel short film patuh syariah kendalian saya di BERNAMA semalam, para penulis novel di bawah naungan Galeri Ilmu Sdn Bhd telah bergabung tenaga berlakon dalam menghasilkan short film pertama mereka. Short film ini adalah berdasarkan novel SAYA TUNGGU AWAK tulisan Bonda Nor . Malah untuk short film ini skripnya telah ditulis oleh Bonda Nor sendiri. Malah dia juga yang telah menjadi Pengarahnya. Latif Eidrusi dari Singapura bertindak sebagai DOP dan akan diedit oleh Iwan Reaz Ridzuan Ghazali.

Hari ini mereka sambung shooting di Tasik Titiwangsa.

Tahniah pada semua novelist Galeri Ilmu Sdn Bhd yang telah bergotong royong dalam usaha penghasilan short film SAYA TUNGGU AWAK ini.

Bonda Nor dan penulis Galeri Ilmu

Bersama peserta lelaki

Semua bersemangat menghasilkan short film selepas ini

Khamis, 17 Oktober 2013

NILAI DAN KUALITI SESEBUAH BUKU ATAU NOVEL ADALAH PADA ISINYA

1. Menulis adalah satu kemahiran menyampaikan isi. Setiap penulis akan cuba untuk menyampaikan sesuatu yang berisi. Tanpa isi, tulisan akan menjadi seperti hampas. Jadi, sebelum menulis, fikirkan dahulu, apakah isi-isi penting yang kita mahu tulis. Kemudian, barulah kita fikirkan apakah gaya penulisan dan bahasa yang kita mahu gunakan.

2. Penulis perlu menjadi pemikir masyarakat, bukan perosak masyarakat. Ini bermakna, setiap isi yang disampaikan, perlu mengandungi unsur-unsur yang boleh memperbaiki masyarakat. Tidak patut bagi seorang penulis cuba ‘menegakkan benang yang basah’. Contohnya, cuba memaparkan isi hati pasangan pengkid (lesbian) seolah-olah menyokong aktiviti LGBT atas nama kebebasan. Contoh lain, mengangkat isu percintaan yang tidak mendapat restu ibu bapa sehingga mempengaruhi pembaca supaya menderhakai ibu bapa semata-mata mempertahankan cinta (terpengaruh dengan filem Hindustan). Perlu diingat, SETIAP PENULIS BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA YANG DITULIS.

3. Setiap ayat yang ditulis mesti jelas isinya. Jangan terlalu leka membuai perasaan pembaca sehingga tidak tahu, apakah mesej yang hendak disampaikan. Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Jasad yang tiada roh, namanya ialah mayat atau jenazah. Jika jasad atau tulisan itu mengandungi unsur-unsur hasutan atau budaya yang tidak sihat, ia layak dipanggil ‘bangkai.’

4. Novel bukan sekadar cerita. Novel ialah satu medium untuk menyampaikan isi melalui cerita. Isi yang bermanfaat dan berguna kepada pembaca akan menaikkan kualiti sesebuah novel. Secara tidak langsung, pembaca akan lebih menghargai novel-novel kita kerana kita berkongsi dengan mereka sesuatu yang bermakna. Ini tidak bermakna, novel kita itu harus sarat dengan FAKTA atau TIPS atau KHUTBAH dan sebagainya. Penulis perlu bijak menyelitkan isi-isi yang baik dalam tulisannya dan kemahiran ini memakan masa untuk dikuasai. Bersabarlah dan teruskan menulis!

5. Penulis bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

6. Untuk menambahkan ‘hikmah’ dalam novel, penulis juga tidak boleh lari daripada tuntutan menambah ilmu dan hikmah dalam dirinya. Ilmu dan hikmah inilah yang memberikan nyawa kepada novel. Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan. Jadi, jangan tersalah memilih perspektif. Perspektif penulis akan menggambarkan kewibawaan penulis. Jangan sampai pembaca menganggap, penulis ini jahil kerana tidak tahu halal dan haram. Sekarang ini pun, sudah ada penulis yang cuba membawa doktrin Syiah, Wahabi, Liberalisme, Pluralisme dan lain-lain aliran sesat dalam karya-karya mereka. Jaga-jaga.


Isnin, 7 Oktober 2013

'Saya Tunggu Awak' Di Ekspo Buku Islam Negeri Pahang

Saya Tunggu Awak

5 Oktober 2013. Alhamdulillah. Selesai program Bicara Buku untuk novel Saya Tunggu Awak yang berlangsung sempena Ekspo Buku Islami Peringkat Negeri Pahang. Walau pun saya sudah biasa terlibat sebagai penceramah seminar, namun inilah kali pertama kali saya terpaksa bercakap di pentas kompleks membeli belah. Aduhai, memang ketar lutut juga dibuatnya! Dap..dup..dap..dup.. Namun, alhamdulillah, dengan bantuan moderator, Tuan Shahrul Zaman Lukman yang tampak 'cool' dan bijak menguasai suasana, akhirnya program bual bicara selama 1 jam itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang 'kecederaan minda dan jiwa'.. 

Semasa slot ini, pihak penganjur sempat menayangkan trailer Saya Tunggu Awak, dan ada juga sesi soal jawab bersama penonton. Yang menariknya, tatkala tuan moderator memanggil 3 orang penonton untuk melakonkan watak-watak utama dalam novel ini iaitu Ustazah Hanna, Farhan dan juga Rafiq. 

Saya sebenarnya agak terkedu sebab penonton pertama yang melangkah yakin ke pentas adalah seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan usia sekolah rendah. Dalam hati saya tertanya2 juga.. 'budak ni, biar betul? Beraninya dia!' Namun sungguh! Adik bernama Azni yang merupakan anak orang asli di Tasik Chini ini Memang berani! Dia bukan sahaja telah membaca dialog dengan begitu berintonasi, malah saya lihat dia juga cuba untuk melakonkannya sekali! Siap dengan ekspresi muka! Alahai.. comelnya!  

Lebih membuatkan saya teruja bila orang nombor 1 Majlis Guru PASTI Pahang, yang juga merupakan orang no 2 Majlis Guru PASTI Malaysia iaitu Puan Fadzilah Hamid setia mengikuti sesi ini dari awal hingga akhir. Malah, beliau dengan begitu sporting sekali sudi naik ke pentas untuk melakonkan watak Ustazah Hanna. Allahu akbar. Kagum saya dengan peribadi mesranya. Tahniah! 

Sebenarnya, turut serta di Ekspo Buku ketika itu ialah YB Tuan Syed Ibrahim Syed Ahmad Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah negeri Pahang. Alhamdulillah, Ustaz Shahrul Zaman sempat menyampaikan cenderamata dari Galeri Ilmu Media Group untuk beliau. Selesai sesi bual bicara pagi itu, saya berkesempatan beramah mesra dengan para tetamu dari Pahang yang mengunjungi ekspo tersebut dan menandatangani novel Saya Tunggu Awak dengan signature saya yang sebesar dunia itu..  

Petangnya sempat juga saya menyaksikan Ustaz Rohidzir Rais 'beraksi' dalam slot bual bicara beliau. Terus terang, saya kagum dengan penyampaian bertenaganya yang sanggup turun ke pentas 'memaksa' penonton menjawab soalan-soalannya. (Alamak.. Saya terpaksa menyorok sebab takut kena soal.. huhuhu). Apa pun, petang itu, kami sempat saling menghadiahi kedua2 karya yang 'masih segar dari kilang' iaitu novel Saya Tunggu Awak dan buku Inspirasi Khutbah Rasulullah. Semoga Allah menyampaikan tarbiah yang terkandung dalam kedua2 novel ini kepada masyarakat dalam usaha mendidik jiwa mereka dan penulisnya juga. Amin. Amin. Amin. 

Kepada Tim Galeri Ilmu, antaranya Ustaz Sharulzaman, Ustaz Abdul Wahab, Tuan Mohd Nor Rafuzi dan lain2, terima kasih kerana membantu saya sepanjang program Bicara Buku di Kuantan Parade ini. Moga dengan bertambahnya ilmu dan pengalaman ini, semakin saya mampu menyebar kebaikan.. untuk orang lain.. dan untuk diri sendiri. Doakan ya..

Kredit artikel : Bonda Nor

Ahad, 29 September 2013

Bedah buku Andalusia, Here We Come!

Alhamdulillah, semalam selesai sesi bedah buku di SACC Mall bersama penulis, Cik Lisa Nurisha bersempena Pesta Buku MPH. Pesta buku ini bakal berakhir hari ini insya-Allah.
Ini ialah pengalaman pertama saya terlibat dengan slot bedah buku bersama penulis. Konsep yang kami bawa, bedah buku dari sudut editor, bukan sekadar perspektif penulis. Insya-Allah pendekatan yang sama akan dibawa dalam program bedah buku Saya Tunggu Awak minggu depan di Kuantan dalam Ekspo Buku Islam bersama Bonda Nor.
Antara soalan yang diajukan moderator, Ustaz Shahrul Zaman:
1. Permulaan ini, boleh Lisa kongsi sedikit latar belakang diri dan apa profesyen sekarang?
2. Menyentuh rutin Cik Lisa yang sedang menunggu untuk mulakan tugas sebagai pensyarah, bilakah waktu Lisa menulis? Apa yang menguatkan untuk menulis? Bagaimana Cik Lisa menyusun masa menulis dengan tugasan yang lain?
3.      Bagaimana Lisa mendapat idea dan rangsangan untuk menulis buku ini? Apakah cabaran dalam menghasilkan Andalusia, Here We Come?
4.      Boleh ceritakan jalan cerita buku ini? Kisah berkenaan apa, siapakah watak dan apa isu yang melingkari penceritaan novel ini?
5.      Andalusia, Here We Come mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bagaimanakah Cik Lisa mengaitkan sebuah cerita travelog dengan kehidupan seharian kanak-kanak dalam buku ini?
6.   Boleh cerita sikit tentang projek buku baharu Lisa? Selain buku baharu, mungkin juga ada aktiviti yang akan berlangsung yang sedang dirancangkan.
7.      Apa cabaran utama dalam usaha Lisa melahirkan karya-karya Islami?
8.      Apa harapan daripada buku ini? Dan apa nasihat kepada pembaca?

Alhamdulillah, banyak perkara perlu ditingkatkan, dan saya melihat pentingnya sokongan daripada kumpulan pembaca bagi menjayakan program sebegini. Insya-Allah saya akan wujudkan kumpulan di Facebook dalam kalangan penyokong halaman Novel Dakwah untuk menjadi kumpulan sokongan kepada para novelis Galeri Ilmu. Sama-sama kita bersinergi ya!
Selepas selesai acara pentas dan sesi bergambar, kami minum santai berbual dengan rakan penulis yang bertanggungjawab membawa beliau ke dalam bidang ini. Antara perkara yang dibualkan berkenaan situasi semasa buku dalam pasaran pembaca kita. Jom kita saling menyokong buku-buku tarbiah!

Sabtu, 28 September 2013

BEDAH BUKU bersama Lisa Nurisha novelis buku Andalusia, Here We Come!


BEDAH BUKU bersama Lisa Nurisha novelis buku Andalusia, Here We Comedi PESTA BUKU MPH SACC Mall, Shah Alam
Sabtu, 28 September 2013 
Jam 11.00 - 12.00 tengah hari

SEMUA JEMPUT HADIR!
 — dengan Diari Galeri Ilmu dan Novel Dakwah.

Khamis, 12 September 2013

Aku Seorang Guru - Khairy Tajudin

Tuan Khairy Tajudin merupakan seorang guru yang aktif menulis
Sedar atau tidak, sudah lebih satu dekad aku meninggalkan alam persekolahan. Sekolah yang telah mengajarku membaca, menulis, mengira dan mentaakul. Sejak dari zaman pra- sekolah hingga ke sekolah menengah, guru-guru telah mendidikku menjadi insan yang kamil. Hampir separuh daripada usia remajaku dihabiskan di dalam kelas. Sudah habis berbatang-batang pen serta pensel dan juga berbuah-buah buku aku gunakan untuk menulis. Sudah banyak buah buku teks yang telah aku khatam.

Sekarang aku kembali ke alam persekolahan semula. Bukan untuk menjadi pelajar tetapi sebagai pengajar. Bermula pagi hingga ke tengah hari aku mendidik manusia kecil supaya menjadi manusia yang berhati besar. Sebelah petang aku mendidik anak-anak ayam dan itik supaya pandai mencari makan untuk cepat membesar. Begitulah rutin manusia mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Teringat kata-kata seorang pelakon dalam filem tahun enam puluhan, “selagi belum tutup mata, kerja,kerja,kerja!”.

Dahulu, apabila guru masuk ke kelas, pastinya aku dan rakan-rakan akan mengucapkan “selamat pagi, cikgu!” atau “good morning, teacher!”. Sekarang, apabila aku melangkah masuk ke kelas, murid-murid akan mengucapkan “assalamualaikum, ustaz!”. Walaupun aku bukan ustaz, tetapi gelaran ustaz itu ditujukan untuk semua guru lelaki yang mengajar di sekolah agama rakyat.

Rutin separuh hari dikelilingi murid-murid membuatkan kenangan zaman persekolahan aku kembali segar. Guru tidak segan-segan untuk menghadiahkan aku sebatang rotan seandainya tidak menyiapkan kerja rumah dan aku tidak pula berdendam dengan mereka. Zaman sekarang, jika amalan itu dipraktikkan, mungkin mengakibatkan tayar kereta guru itu dibocorkan atau guru itu diheret ke mahkamah. Budak-budak jika dimanja-manja itulah padahnya!.

Suatu hari, tatkala aku melayari sebuah laman sosial popular atas talian, aku terbaca coretan seorang rakanku berkenaan kenangan di alam sekolah rendah. Bersama-sama coretan itu, dia memuat naik sekeping gambar rakan-rakan sekelas sewaktu darjah empat yang diambil bersama guru kelas. Tergelak aku tatkala merenung wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Lagi-lagi aku tergelak apabila melihat wajahku sendiri!.

“Wajah kecil yang dahulunya nakal, sekarang membesar menjadi manusia berguna kepada masyarakat. Terima kasih cikgu! Jasa kalian tidak terbalas,” itulah antara bait-bait coretan rakanku di ruangan tersebut.

Memori yang sudah bertahun-tahun lamanya tersimpan di dalam cakera keras otakku mula aku rungkai satu per satu. Memori seawal zaman sekolah tadika mula bertandang perlahan-lahan. Masih terbayang sebuah bangunan dua tingkat, di atasnya surau, di bawahnya tadika walaupun sekarang ini strukturnya telah diubah.

Setiap pagi emak akan menghantar aku ke sekolah itu yang terletak seratus meter dari rumah datukku. Lama-kelamaan, emak membenarkan aku untuk pergi seorang diri dengan berjalan sahaja kerana aku belum mempunyai basikal. Oleh sebab murid-murid sampai lebih awal daripada guru, aku dan beberapa orang rakan mula memikirkan sesuatu.

“Man, macam mana kita nak masuk? Cikgu Azizah belum sampai lagi.” tanya aku kepada Abdul Rahman.

“Aku ada satu idea!,” kata Abdul Rahman.

“Idea apa?” tanyaku pula.

Abdul Rahman belum menjawab soalanku. Dia bergerak menghala ke sebuah tingkap yang tidak ada cermin, yang tinggal hanya besi. Melalui celahan besi itu, dia berjaya meloloskan diri lantas membuka pintu dari sebelah dalam.

“Hore! Boleh masuk!” jerit kami.

Setelah Cikgu Azizah sampai, dia tidak memarahi kami. Mungkin dia sudah faham perangai kanak-kanak seperti kami.

“Okay murid-murid, hari ini cikgu akan ajar kamu mengenal huruf. Ikut cikgu ya!” kata Cikgu Azizah.

“Ae (A) … bi (B) … si (C)…” kami menyebut beramai-ramai ketika Cikgu Azizah menunjukkan huruf-huruf itu.

Selepas satu huruf berganti huruf yang lain. Selepas satu nombor berganti nombor yang lain. Guru juga mengajar untuk mengenali sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar makhluk ciptaan Allah.

Terima kasih cikgu!

Rabu, 11 September 2013

Setiap Penulis Akan Mati, Tulisannya Kekal Abadi


Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki (tengah)

Hampir setiap hari saya menerima mesej dan pertanyaan dari sahabat-sahabat FB. Ramai yang mahu belajar ilmu penulisan daripada saya. Serius, saya bukan tidak mahu berkongsi, tetapi saya sendiri masih baharu dan bukanlah bagus mana. Tambahan pula saya juga sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita.

Seperti yang diceritakan sebelum ini, saya sebenarnya bukan seorang peminat novel, apatah lagi berangan-angan untuk menghasilkan sebuah novel. Saya memulakan penulisan novel ini tanpa mengikuti sebarang kursus penulisan dan tanpa sebarang novel di dalam simpanan untuk dijadikan rujukan. Jadi, saya tidak biasa dengan lenggok bahasa yang berbunga-bunga untuk menarik minat pembaca. Sungguh, dari mula mengarangnya, saya hanya tahu menterjemah ilham di kepala ke skrin monitor. 

Namun tentu sahaja ia tidak berlaku sekelip mata. Ada proses-prosesnya. Pertama, proses mengumpul bahan cerita. Alhamdulillah, pelbagai perkongsian kisah dan masalah daripada orang-orang di sekeliling menjadi bahan berguna buat saya. Kemudian saya terfikir betapa ruginya andai saya mati dan kisah-kisah seperti itu turut terkubur seiring dengan reputnya jasad saya nanti. Andai ditulis, mungkin banyak pihak yang boleh mendapat manfaat daripadanya. 

Namun, untuk mula menulis adalah satu masalah besar bagi saya. Sebenarnya, jangan katakan novel, menulis cerpen pun saya tidak pernah. Jadi, saya agak 'takut-takut' untuk bermula. Namun, entah bagaimana, pada suatu hari, saya dapat kekuatan untuk cuba mengarang satu bab cerita. Saya berikan kepada kawan baik saya untuk membacanya. Hanya suka-suka. 

Maklum balas yang saya terima daripada dia membuatkan saya begitu gembira. Katanya, saya mampu menggambarkan situasi dengan begitu terperinci. Sesuai sangat dengan penulisan novel yang boleh membantu pembaca menghayati sesebuah cerita. Dia juga kata tulisan saya santai dan seronok dibaca. Dalam menghayati cerita, ada ilmu yang boleh dikongsi. Lalu, sahabat tadi minta saya terus menulis lagi. 

Galakannya membuatkan saya tiba-tiba menjadi lebih serius untuk mula mereka-reka watak dan jalan cerita. Seperti ada satu desakan yang cukup kuat, saya mula mengarang lagi, dari satu muka surat kepada satu lagi muka surat. Sepanjang proses mengarang, sebenarnya saya telah membuat satu group di facebook dan menjemput beberapa orang sahabat yang kaki novel untuk membacanya. 

Setiap kali selesai satu bab, saya akan pos ke group tersebut. Selain mengharapkan komen mereka, saya juga pernah berpesan kepada mereka agar meneruskan karya novel ini andai sahaja saya meninggal dunia pada bila-bila masa. Tentulah sayang jika karya sudah separuh jalan tetapi terhenti di pertengahan. Sungguh, saya benar-benar mengharapkan pahala berterusan atas usaha yang sedang saya lakukan. 

Sebenarnya, idea dari satu bab ke satu bab muncul dari semasa ke semasa. Ada beberapa jalan cerita yang berubah seiring dengan idea-idea baharu yang saya terima. Walaupun sibuk dan agak penat dengan pelbagai komitmen, saya bersyukur kerana Allah beri ruang dan kekuatan untuk saya terus menulis pada setiap hari. Biasanya selepas Isyak saya sudah tidur dan terjaga semula untuk mula menghadap komputer pada jam 3.00 pagi. Apa pun, alhamdulillah, dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, saya selesai menyiapkan jalan ceritanya secara keseluruhan. 

Dalam masa yang sama, saya juga telah menghantar beberapa contoh bab novel melalui e-mel kepada Tuan Haji Zakaria Sungib, di syarikat penerbitan Galeri Ilmu. Kebetulan saya memang mengenali beliau kerana pernah berurusan untuk beberapa hal berkaitan penerbitan buku saya yang terdahulu. 

Maklum balas beliau semakin menaikkan semangat saya. Katanya, tulisan saya sangat sesuai untuk diterbitkan dan meminta saya membuat proposal jalan cerita untuk dikemukakan di dalam mesyuarat. Dipendekkan cerita, proposal tersebut diterima. Maka saya mula mengemas kini manuskrip novel setebal 640 muka surat ini untuk diserahkan kepada mereka. 

Dalam masa yang sama, saya juga melakukan proses tashih isi kandungan novel untuk memastikannya tidak bersalahan dengan ilmu agama. Cuma ada satu cabaran lagi, proses menerbitkan novel ini memang mengambil masa yang cukup lama. Oleh kerana saya pernah menerbitkan buku sebelum ini, saya juga hampir-hampir sahaja mengambil keputusan untuk menerbitkan novel ini sendiri. 

Walau bagaimanapun, Allah memujuk saya untuk bersabar dengan menemukan sebuah poster di Facebook yang berbunyi:
  
IF YOU WANT TO GO FAST, GO ALONE.
IF YOU WANT TO GO FAR, GO TOGETHER. 

Saat membaca kata-kata inspirasi ini, saya diberi hidayah untuk memahami keadaan dan menerima kebenarannya. Saya tahu sebuah syarikat penerbitan yang besar seperti Galeri Ilmu mempunyai pelbagai komitmen dan senarai karya yang masih berbaris menunggu untuk diuruskan. Jadi, saya memilih untuk terus bersabar. Saya memilih peluang kerja berjemaah untuk mendapatkan impak yang lebih besar. Syukur, kerjasama bersama mereka memang benar-benar berbaloi buat saya. Banyak yang dapat saya pelajari. Banyak jalinan ukhuwah yang terjalin akrab sesama kami. 

Akhirnya, penantian saya sampai ke hujung jalan. Manuskrip saya siap disunting, diikuti pula dengan selesainya proses pemilihan tajuk dan reka bentuk. Saya kemudiannya sudah boleh menarik nafas lega tatkala editor memaklumkan bahawa ia sedang melalui proses terakhir, iaitu tunggu selesai dicetak sahaja. Ketika menerima berita gembira daripadanya, saya cuma mampu tersenyum dan berkata, "Ya Allah, aku sudah selesai menggalas satu amanah." Allahu Akbar. Lega. Sungguh lega! 

Begitulah kisahnya. Kisah penghasilan novel tarbiah saya yang pertama. Sungguh, ianya tidaklah begitu terancang. Walaupun tidak berlaku sekelip mata, bagi saya its just happened! Jadi kepada para sahabat yang bertanya, maaf kerana tidak mampu menerangkan secara terperinci bagaimana saya merangka watak-watak dan plot cerita, aspek pemilihan bahasa, jadual penulisan saya secara berkala dan sebagainya.. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya. 

Kisah ini saya kongsikan demi menjawab pertanyaan rakan-rakan yang bertanya. Bagi saya, idea, ilham, ruang dan peluang untuk menulis semuanya daripada Allah. Untuk yang berbakat menulis, tulislah, kerana bakat adalah satu amanah. Untuk yang berhajat menulis, mintalah ilham dan idea daripada Allah. Hanya Dia yang berkuasa menunaikan segala permintaan kita sebagai hamba-Nya. 

Insya-Allah ... jika ada kelapangan, pada sesi perkongsian yang akan datang, saya akan kongsi bagaimana cara dan teknik menulis novel yang saya pelajari dalam beberapa kursus yang telah saya hadiri. Ilmu-ilmu ini hanya saya dapat setelah selesai menulis novel saya yang pertama saya ini.

Apa pun, tulislah sesuatu. Setiap penulis akan mati. Hanya tulisannya yang akan kekal abadi. Maka tulislah sesuatu yang dapat membahagiakan kita di akhirat nanti. Moga dipermudahkan.

Sabtu, 17 Ogos 2013

Rumah Terbuka Prof. Kamil Ibrahim Meraikan Penerbit dan Media

Alhamdulillah pada petang tadi kami ke rumah Prof. Kamil Ibrahim untuk menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan beliau dan keluarga.

Menurut facebook Prof. Kamil, tetamu yang hadir kebanyakan daripada penerbit Galeri Ilmu Sdn Bhd, Wartawan Kosmo, Krew TV3, TV9 dan karyawan TV Al-Hijrah serta beberapa tetamu lain.

Tulisan di bawah saya petik daripada facebook beliau.

*************************************

Kami menerima hampir 100 tetamu. Majoriti tetamu adalah yang membantu memberi sokongan dakwah yang sedang kami usahakan.

Alhamdulillah, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Wartawan KOSMO, krew TV3, TV9 dan karyawan TV Al-Hijrah serta beberapa tetamu yang lain.

Chef Aroma antara Benua - Raudzah Roslan- menghidangkan (menghabiskan stok dapur) pelbagai jenis masakan daripada Nasi Kabuli, Daging Briyani, Hummus, Tabuleh ..... banyak!

Terima kasih atas sokongan.

Prof. Kamil dan isterinya juga editor-editor Galeri Ilmu serta tetamu

Berbincang isu penting bersama Pengarah Urusan Galeri Ilmu, Cikgu Abu Hassan Morad

Bersama orang kuat Galeri Ilmu

Senyuman siapa lebih menawan?

Jumaat, 16 Ogos 2013

Penulis Buku Ilmu Kehidupan di SACC Mall Ahad Ini

Dapatkan di kedai buku berhampiran

Bicara Buku Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan

Tarikh: 18 Ogos 2013 Ahad
Masa: 2pm - 4pm
Tempat: SACC Mall

Bersama barisan penulis :
1. Prof. Muhd Kamil Ibrahim
2. Pn. Roza Roslan
3. Tn. Mohd Zaini Ariff
4. Tn. Sabtu M Ali
5. Pn. Noor Azma Mohamad Khassim

"ILMU KEHIDUPAN: Ringkas tapi Signifikan"

Ditulis oleh lima orang penulis, dan terbahagi kepada tujuh bahagian:
1. Mereka yang Hampir
2. Usahawan Akhirat
3. Di Hujung Senja
4. Hadis dan Amalan
5. Allah Maha Esa
6. Hidup Itu Indah

Sebuah buku yang ringkas namun pengisiannya memang signifikan. Membawa pembaca untuk merenung diri; bagaimana kita menjalani dan menghabiskan hayat di dunia ini untuk menempuh alam akhirat nanti.

Nota: 100% hasil royalti buku ini akan didermakan kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah. Dengan membeli buku ini, anda bukan sahaja mendapat ilmu di dalamnya, tetapi juga mendapat saham akhirat (membeli sambil beramal), insya-Allah.

Rabu, 24 Julai 2013

Penulis Perlu Mempunyai Prinsip

Boleh Tuan Web Sutera kongsikan 4 prinsip yang diamalkan semasa berkarya?

Jawapan:

(a) Ikhlaskan niat untuk menggapai redha Allah.

(b) Betulkan apa yang salah ambil / difahami oleh masyarakat atau khalayak pembaca. Kongsikan ilmu yang diilhamkan. Lestarikan menjadi buku atau novel yang bermanfaat.

(c) Buntu? Minta pandangan dari orang-orang atau sahabat yang boleh dipercayai. Kongsi, debat dan lestarikan. Saya ulang, ikhlaskan niat kerana Allah.

(d) Buntu lagi? Amalkan doa-doa mustajab, atau minta dengan Allah secara terus dalam bahasa dan gaya sendiri. Solat sunat agar Allah mudahkan segala usaha

Membelek karya yang bakal meletup di pasaran

Layari blog beliau di sini

Beliau terus menulis dan menulis


Jumaat, 12 Julai 2013

Prof. Muhd Kamil Ibrahim Teruskan Usaha Dakwah @ GIMG


Antara isi tazkirah beliau yang saya ingat, insya-Allah:

1. Usahakan solat malam, ambil peluang waktu sahur, sepertiga malam itulah waktu doa mustajab.
2. Teruskan puasa Nabi Daud selepas Ramadan.
3. Baca dan tahu makna bacaan al-Quran setiap hari.
4. Solat Duha, 10 minit saja.
5. Bersihkan hati, jangan jaki, maafkan 1 orang, insya-Allah 10 orang akan maafkan kita.

Lain-lain:

1. Perempuan tutuplah aurat seperti ketika umrah atau solat. Pakailah stokin.
2. Lelaki hidupkanlah majlis bacaan hadis di rumah bersama keluarga, 1 hari 1 hadis, barulah wujud taman syurga, baiti jannati.
3. Lelaki solat fardu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak di masjid. Perempuan hendak ke masjid tidak dilarang.
4. Perempuan selamat di dapur, ketika masak zikirlah, "Ya Allah, kau jadikanlah makanan yang aku masak ini sebagai pengikat kasih sayang antara diriku dan suamiku."- contoh ayat pengasih dalam nada gurau MKI

Bersyukur Saat Diuji

Hadiah untuk isteri, Puan Nazirah Mohd Saleh

Selasa, 25 Jun 2013

Bengkel Realiti Penulisan Novel Islami Bersama Hilal Asyraf

Alhamdulillah pada 22-23 Jun 2013 berlangsungnya Bengkel Realiti Penulisan Novel Islami Bersama Hilal Asyraf  dengan kerjasama antara Galeri Ilmu Sdn Bhd dan LangitIlahi Consultancy yang diadakan di De Palma Hotel Shah Alam.

Mereka dinilai berdasarkan pembentangan sinopsis yang mereka lakukan dan jalan cerita yang menepati garis panduan Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Apa yang saya lihat pada bengkel kali ini banyak peserta berbakat yang boleh menjadi jenama besar dalam industri buku Islami. Di hujung bengkel, para peserta akan diberi surat salah satu daripada surat berikut:

1. Surat Tawaran Terbit

2. Surat Tawaran Terbit Bersyarat

3. Surat Pemulangan Proposal

Pos berikutnya akan bercerita lanjut mengenai para peserta yang menerima surat-surat tersebut insya-Allah.

15 peserta bersama tokoh penulis, Ustaz Hasrizal, Hilal Asyraf dan Ummu Hani

Salah seorang peserta berdiskusi bersama Ustaz Hasrizal

Apakah karya yang diterima editor?

Isnin, 24 Jun 2013

Aku Peduli Apa?

"Sebelum ni saya pernah bekerja sebagai wartawan politik. Tapi lepas tu saya berhenti. Tak sanggup rasanya nak terus melaporkan B sedangkan yang berlaku sebenarnya A. Saya terfikir2 tentang halal dan haram rezeki saya." 

Ringkas mukadimah pengenalan diri yang diberi oleh seorang peserta Bengkel Penulisan yang baru saya hadiri. MasyaAllah. Menitik airmata saya. Memang benarlah. Allah hanya memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki sahaja.

Saya tidak mahu mengulas tentang wartawan. Benar atau tidak laporan mereka. Halal atau haram rezeki mereka. Kita semua mungkin punya persepsi tersendiri dan mungkin ada yang terus berkata.. Aku peduli apa?

Fokus saya tentang hidayah Allah. Dia yang memberi ilham kepada hamba-Nya untuk berfikir dan bermuhasabah. Tentang apa yang kita buat selama ini, betul atau tidak? Tentang rezeki yang kita terima halal atau tidak? Tentang tanggungjawab yang kita galas, berjaya atau tidak kita laksanakannya? Adakah kita terpilih untuk menjadi seorang pemikir yang mula berhati-hati dan cuba memperbaiki diri dari masa ke semasa atau kita seorang yang dilupakan Allah hingga terus berkata.. Aku peduli apa?!!

Bercakap soal rezeki, saya terkenang seorang sahabat yang punya tempat hebat di sebuah bank terkemuka. Tersentak saya bila dikhabarkan bahawa dia akhirnya memilih untuk berhenti kerja dan menjadi 'petani' berjaya. Laman rumahnya yang sekangkang kera mula dipenuhi dengan tanaman hidroponik.. Itulah dunia barunya dan dia tampak tenang dan bahagia.

Kenapa berhenti? Kan pangkat sudah besar dan gaji sudah tinggi? Dia kata.. Fikirannya runsing memikirkan soal riba yang terpaksa diuruskan setiap hari. Di mana keberkatan hidupnya kalau setiap hari Allah mengisytiharkan perang? Mustahil dia boleh menang!! Allahu akbar! Terkedu saya.

Betapa ramai orang yang terus bergelumang dengan riba dan menimba rezeki dengan kerjaya sepertinya, namun Allah memilihnya untuk diselamatkan. Rasa bersalah, rasa bimbang yang menyesakkan fikirannya menjadi asbab untuk dia keluar dari 'syurga dunia' dan bermujahadah mengejar syurga yang sebenarnya. Indahnya hidayah Allah.

Lihat diri kita juga. Adakah kita juga terpilih untuk terus berhati2 dalam setiap urusan yang kita hadapi atau kita seorang yang terus dan terus berkata.. Aku peduli apa?!!

"Dan Kami tutup mereka dari melihat (kebenaran). Sama sahaja bagi mereka, apakah kamu memberi peringatan atau kamu tidak memberi peringatan, mereka tidak akan beriman. Kamu hanya memberi peringatan kepada orang yang mahu mengikut peringatan yang takut kepada Tuan Yang Maha Pemurah walau dia tidak melihat-Nya. Maka berilah khabar gembira kepadanya dengan keampunan Allah. "
(Surah Yaasin. Ayat 11)


Sumber: Bonda Nor (Alumni Bengkel Realiti Penulisan Novel Islami Bersama Hilal Asyraf)


Puan Bonda Nor menyampaikan pembentangan sinopsis novelnya


Tuan Ashraf Alayas menyampaikan sinopsis novel bisnes beliau