Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Khamis, 12 September 2013

Aku Seorang Guru - Khairy Tajudin

Tuan Khairy Tajudin merupakan seorang guru yang aktif menulis
Sedar atau tidak, sudah lebih satu dekad aku meninggalkan alam persekolahan. Sekolah yang telah mengajarku membaca, menulis, mengira dan mentaakul. Sejak dari zaman pra- sekolah hingga ke sekolah menengah, guru-guru telah mendidikku menjadi insan yang kamil. Hampir separuh daripada usia remajaku dihabiskan di dalam kelas. Sudah habis berbatang-batang pen serta pensel dan juga berbuah-buah buku aku gunakan untuk menulis. Sudah banyak buah buku teks yang telah aku khatam.

Sekarang aku kembali ke alam persekolahan semula. Bukan untuk menjadi pelajar tetapi sebagai pengajar. Bermula pagi hingga ke tengah hari aku mendidik manusia kecil supaya menjadi manusia yang berhati besar. Sebelah petang aku mendidik anak-anak ayam dan itik supaya pandai mencari makan untuk cepat membesar. Begitulah rutin manusia mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Teringat kata-kata seorang pelakon dalam filem tahun enam puluhan, “selagi belum tutup mata, kerja,kerja,kerja!”.

Dahulu, apabila guru masuk ke kelas, pastinya aku dan rakan-rakan akan mengucapkan “selamat pagi, cikgu!” atau “good morning, teacher!”. Sekarang, apabila aku melangkah masuk ke kelas, murid-murid akan mengucapkan “assalamualaikum, ustaz!”. Walaupun aku bukan ustaz, tetapi gelaran ustaz itu ditujukan untuk semua guru lelaki yang mengajar di sekolah agama rakyat.

Rutin separuh hari dikelilingi murid-murid membuatkan kenangan zaman persekolahan aku kembali segar. Guru tidak segan-segan untuk menghadiahkan aku sebatang rotan seandainya tidak menyiapkan kerja rumah dan aku tidak pula berdendam dengan mereka. Zaman sekarang, jika amalan itu dipraktikkan, mungkin mengakibatkan tayar kereta guru itu dibocorkan atau guru itu diheret ke mahkamah. Budak-budak jika dimanja-manja itulah padahnya!.

Suatu hari, tatkala aku melayari sebuah laman sosial popular atas talian, aku terbaca coretan seorang rakanku berkenaan kenangan di alam sekolah rendah. Bersama-sama coretan itu, dia memuat naik sekeping gambar rakan-rakan sekelas sewaktu darjah empat yang diambil bersama guru kelas. Tergelak aku tatkala merenung wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Lagi-lagi aku tergelak apabila melihat wajahku sendiri!.

“Wajah kecil yang dahulunya nakal, sekarang membesar menjadi manusia berguna kepada masyarakat. Terima kasih cikgu! Jasa kalian tidak terbalas,” itulah antara bait-bait coretan rakanku di ruangan tersebut.

Memori yang sudah bertahun-tahun lamanya tersimpan di dalam cakera keras otakku mula aku rungkai satu per satu. Memori seawal zaman sekolah tadika mula bertandang perlahan-lahan. Masih terbayang sebuah bangunan dua tingkat, di atasnya surau, di bawahnya tadika walaupun sekarang ini strukturnya telah diubah.

Setiap pagi emak akan menghantar aku ke sekolah itu yang terletak seratus meter dari rumah datukku. Lama-kelamaan, emak membenarkan aku untuk pergi seorang diri dengan berjalan sahaja kerana aku belum mempunyai basikal. Oleh sebab murid-murid sampai lebih awal daripada guru, aku dan beberapa orang rakan mula memikirkan sesuatu.

“Man, macam mana kita nak masuk? Cikgu Azizah belum sampai lagi.” tanya aku kepada Abdul Rahman.

“Aku ada satu idea!,” kata Abdul Rahman.

“Idea apa?” tanyaku pula.

Abdul Rahman belum menjawab soalanku. Dia bergerak menghala ke sebuah tingkap yang tidak ada cermin, yang tinggal hanya besi. Melalui celahan besi itu, dia berjaya meloloskan diri lantas membuka pintu dari sebelah dalam.

“Hore! Boleh masuk!” jerit kami.

Setelah Cikgu Azizah sampai, dia tidak memarahi kami. Mungkin dia sudah faham perangai kanak-kanak seperti kami.

“Okay murid-murid, hari ini cikgu akan ajar kamu mengenal huruf. Ikut cikgu ya!” kata Cikgu Azizah.

“Ae (A) … bi (B) … si (C)…” kami menyebut beramai-ramai ketika Cikgu Azizah menunjukkan huruf-huruf itu.

Selepas satu huruf berganti huruf yang lain. Selepas satu nombor berganti nombor yang lain. Guru juga mengajar untuk mengenali sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar makhluk ciptaan Allah.

Terima kasih cikgu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan