BAB 1 SURI DI HATI
KAMI
Muiz yang memakai
jersi bernombor sepuluh itu berlari laju. Penuh aksi bagaikan ahli sukan
bertaraf antarabangsa, sambil membawa bola bujur berwarna coklat. Kemudian dia
menyepaknya sekuat hati, sehingga melepasi tiang gol berbentuk H. Sepantas itu,
sorakan bergema. Bendera sekolah dikibarkan dengan penuh rasa bangga.
“Syabas!”
kata ayah sambil mengukir senyuman penuh kagum dan bersyukur dengan kemenangan
ini.
Muiz
melebarkan senyumannya. “Muiz berjaya sebab adanya sokongan ayah dan ibu.”
Adik
bongsu yang turut menemani ayah itu, menarik-narik baju Muiz. Muiz segera
berpaling ke arahnya. Si adik tersenyum kecil sambil menggaru-garu kepalanya
yang tidak gatal.
“Ragbi
pun perlukan sepakan juga, ya? Rugilah Muaz jika tidak tahu hal ini,” soal Muaz
dengan wajah yang agak keliru dan ingin tahu.
Muiz
tersenyum lebar. Rupa-rupanya itu yang berlegar di fikiran Muaz. Muiz segera
membalas, “Inilah kelebihan ragbi. Selepas membuat try, secara automatik
pemain boleh melakukan conversion pula. Jadi, sudah untungkah sekarang?”
Muaz
terdiam sebentar. Seolah-olah cuba memahami penjelasan Muiz sebentar tadi. Muaz
mengerutkan keningnya. Dalam hati tertanya-tanya lagi. Bagaimanakah mata atau
jaringan gol bagi sukan ini dikira? Terasa aneh pula apabila dengan mudahnya,
sesebuah pasukan ragbi mendapat pungutan mata yang lebih banyak berbanding bola
sepak.
“Abang
Muiz, senyum!” Sapaan itu membuatkan Muiz dan Muaz segera berpaling. Klik! Si
manis dua belas tahun itu, menahan ketawa apabila meneliti semula gambar yang
baru dirakamkan itu.
Muaz
tersengih nakal. “Wah, untunglah Abang Muiz, comot-comot begini pun Kak Lili
masih sudi hendak rakam gambar dia.”
Muiz
tersenyum sendiri diusik begitu. Lili membetulkan kameranya dan merakamkan lagi
foto Muiz dan Muaz pula. Gaya Lili bagaikan jurufoto terlatih pula.
“Kak
Lili ambil gambar-gambar ini semua untuk ibu. Biar dia bangga, betapa hebatnya
Abang Muiz kita ini,” kata Lili sambil terus merakamkan foto Muiz, ayah dan
Muaz.
Kata-kata
Lili menghilangkan sedikit demi sedikit senyuman Muiz. Redup menutupi suasana
apabila nama ibu terucap di bibir. Kata-kata itu juga telah menyedarkan Muiz
akan ketiadaan ibu di sini.
Muaz
spontan membalas, “Oh … jika begitu, ibu lah yang rugi.”
Lili
tercengang dan segera memandang tepat wajah Muaz. Lili menyoal pantas, “Kenapa
pula? Bukankah Kak Lili sedang merakamkan semua peristiwa yang berlaku hari
ini?”
Lili
masih merenung wajah tenang Muaz. Muiz dan ayah turut sama memandang Muaz yang
kelihatan bersahaja itu.
Muaz
tersengih-sengih sendiri. “Kasihan ibu. Sudahlah kena rendam dan cuci jersi
Abang Muiz. Selepas itu, perlu kemas gambar-gambar Kak Lili ini pula.”
“Oh
… mengata Kak Lili, ya?” kata Lili lalu mengejar si adik yang mengusiknya itu.
Muaz
segera berlari anak dengan riangnya. Kejar-mengejar yang menceriakan suasana
ini membuatkan, Muiz dan ayah tertawa gembira. Sejurus itu, termengah-mengah
Lili dan Muaz setelah kembali di sisi ayah dan Muiz.
Ayah
melirik senyuman pendek dan berkata mendatar, “Rugi tenaga tidak mengapa. Asalkan
balasannya pahala. Buat dengan ikhlas, lagi lah Allah sayang. Ibu sentiasa
sayangkan kalian.”
Penghujung kata-kata ayah
menyedarkan Muiz, Lili dan Muaz. Biarpun ibu tiada di sisi, ibu tetap menyokong
mereka. Jika begitu, mengapa masih ada kelam dalam hati?
“Ayah
belanja makan hari ini. Namun, kita perlu tunggu ibu dahulu,” kata ayah lagi
dengan wajah yang tenang dan cerah.
Tepukan
gembira Lili dan Muaz menyambut kata-kata ayah. Sementara senyuman Muiz terus
mendap dan tenggelam. Mata Muiz meliar di sekitar padang sekolah yang semakin
lengang ini. Harap, ibu tidak terlewat lagi!
***
BAYU PETANG TERASA
kaku. Ada kekosongan yang tidak mungkin terisi. Lebih terasa, apabila ayah
menerima pesanan ringkas daripada ibu. Ayah meminta Muiz membacanya. Kemudian,
wajah teduh Muiz segera menunduk bumi. Prappp! Hatinya patah berderai!
Ayah
menyedari sikap Muiz yang membisu itu. Ayah cuba menghidupkan suasana. Ayah
berkata tenang, “Kali ini, ibu menghadiri bengkel di Seremban. Ibu akan pulang
lewat sedikit. Kita makan di luar dan bungkuskan makanan untuk ibu.”
Bersama
helaan yang berat Muiz membalas, “Setiap hujung minggu, ibu mengikuti bengkel
penulisan di sana-sini. Sudah agak lama juga ibu begini. Hasilnya tidak ada
juga.”
Wajah
ceria yang mengisi ruang seketika tadi, mula ditutupi awan suram. Tiada lagi
senyuman yang terlakar meniti hari. Hanya saling berpandangan di antara satu
sama lain.
“Ibu
masih belajar. Lama-lama esok, ibu pandailah,” balas ayah dengan nada tenang.
Namun amat berharap, Muiz dapat memahaminya.
Muiz
terdiam tanpa suara. Penantian demi penantian. Rasanya sudah terlalu lama, ibu
kosongkan tempat di tepi padang bagi menyaksikan perlawanan yang Muiz sertai.
Ayah
dapat meneka, ada garis luka yang semakin memanjang di setiap hati anak-anaknya
ini. Muiz pula tunduk membisu. Wajah Muiz sugul. Hati Muiz pedih sendiri. Ibu
yang dahulunya adalah pengucap tahniah yang pertama, setiap kali Muiz memenangi
perlawanan sebegini. Kini, sayang! Seribu kali sayang, saat-saat itu tidak
mungkin melewati musim perlawanan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Wajah
suram Muiz bagaikan menceritakan semua isi hatinya. Ayah memaut mesra bahu anak
sulungnya ini. “Ibu sedang menimba ilmu. Jika bukan kita yang memberikan
sokongan dan dorongan buat ibu, siapa lagi?”
Tiada
sahutan. Muiz segera beredar meninggalkan padang sekolah menengah ini, dengan
langkah yang laju. Lili dan Muaz saling berpandangan. Tanpa sepatah kata, Lili
dan Muaz juga menyaingi langkah Muiz.
Ayah
mengekori Muiz dan berjalan seiringan dengan si anak yang berwajah kian kelam
itu. Ayah berkata, “Senyumlah sedikit. Ibu sedang usahakan perkara yang dia
impikan. Penting sangat bagi ibu.”
Langkah
Muiz terhenti dan anak matanya tepat merenung wajah tenang ayah. “Jadi kami
tidak pentingkah?” Muiz mahu ayah tahu, betapa dalam luka yang terpahat ini.
Lili
dan Muaz juga berkecil hati dengan sikap ibu. Rasanya, ibu lebih mementingkan
mimpi-mimpi yang sedang ibu realitikan dengan kesungguhan. Rasanya, ibu juga
bagaikan sudah terlupa untuk kembali ke alam nyata. Ibu seolah-olah tidak sedar
lagi akan kewujudan mereka.
“Sudah
tentulah kalian perkara yang paling penting. Berikan ibu sedikit ruang untuk
diri sendiri. Gembiralah untuk ibu,” kata ayah lagi. Nadanya kedengaran penuh
harapan.
Muiz,
Muaz dan Lili saling berpandangan. Mereka sudah berikan ruangan itu buat ibu.
Cuma kini, ruangan itu bagaikan sedang menjadi sempadan. Sempadan waktu yang
mula merenggangkan perhubungan kekeluargaan di antara mereka. Gembira? Wajarkah
mereka bergembira setelah ibu menjauh dan semakin menjauh?
Wajah
Muiz lebih muram berbanding tadi. “Muiz lebih suka ibu yang dahulu,” sambut
Muiz seraya melangkah semula.
Ayah
terkaku. Tidak menyangka Muiz meluahkan kata-kata begitu. Impian, cita-cita dan
harapan si ibu, sedang melukakan sebahagian kegembiraan anak-anak mereka.
“Kami
pun,” kata Lili mewakili Muaz dengan wajah yang keruh.
Ayah
tergamam. Lidahnya kelu. Terkunci segala kata-kata di lidahnya. Langkah Lili
dan Muaz seiringan dengan Muiz yang menuju ke parkir kereta, di hadapan bangunan
sekolah menengah ini. Ayah menghela lesu. Ayah tidak mahu menjadi pemusnah
mimpi orang tercinta. Ayah juga tidak mahu menjadi perosak kebahagiaan milik
anak-anaknya. Ayah mesti lakukan sesuatu, tetapi bagaimana?
***
KERETA AYAH
BERGERAK perlahan meninggalkan pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Cahaya
Sakti ini, sekembalinya Muiz dari bilik persalinan. Wajah ayah tenang. Hati
ayah sedikit bergelora. Fikiran ayah ligat mencari jalan keluar terbaik, agar
hati anak-anak tidak terluka lagi.
“Adalah
lebih bagus, kita gunakan kebijaksanaan yang Allah beri, untuk menghasilkan
perkara yang baik-baik. Bukan menghukum dan menilai sesuatu perkara yang kita
tidak faham atau kurang tahu. Fikirlah jauh ke hadapan,” ayah berkata tenang
sambil memandu penuh cermat.
Muiz
tidak segera menjawab. Dia tahu, ayah cuba menjernihkan suasana yang sedang
keruh ini. Bukan niat Muiz mahu mengungkit mengenai perkara ini. Namun, semua
ini semakin hari semakin sukar buat Muiz dan adik-adik. Muiz berpaling ke arah
Lili dan Muaz di tempat duduk belakang. Wajah kedua-dua adiknya itu juga suram.
Redup mata mereka kian mendung. Bermaknakah lagi, ruang yang mereka beri untuk
ibu lakarkan impian dan cita-cita itu?
Helaan
Muiz tersusun rapi. Namun, tetap retak di hujungnya. “Muiz bukan menilai ibu.
Perkara ini sudah teranglah, ayah,” balas Muiz perlahan.
Ayah
tersenyum pendek. Luka di hati Muiz semakin berdarah. “Nampaknya, ayah yang
kurang terang dengan maksud kamu,” kata ayah lagi.
Ayah
tetap berusaha untuk memahami hati kecil anak-anak yang sudah terhiris itu.
Muiz terdiam. Lili dan Muaz juga hanya membisu. Mungkin, diam mereka selama
tempoh ini telah memberi satu tanggapan, yang segalanya berjalan dengan baik
sejak ibu menduduki kelas penulisan.
Sekarang
ini, kelas penulisan ibu bukan tertumpu di sekitar Kuala Lumpur sahaja. Malah,
ibu sanggup ke negeri atau bandar yang berhampiran demi menimba ilmu menulis
novel ini. Pendek kata, ibu tidak mahu terlepas satu peluang pun!
“Ibu
sudah berubah, ayah,” kata Lili perlahan sambil melepaskan pandangan suramnya
ke luar jendela kereta ayah yang sedang bergerak cermat.
Tanggapan
salah anak-anak semakin ketara. Ayah membalas pantas, “Sebab tidak dapat hadiri
perlawanan ini?”
Mereka
tiga beradik tidak segera menyahut. Lili dan Muiz saling berpandangan. Rasanya
mereka tidak perlu menjawab pertanyaan ayah itu.
Kereta
yang dipandu ayah berhenti di lampu isyarat merah. Ayah tenung wajah si anak
satu persatu. Ayah mahukan penjelasan yang lebih lanjut. Ayah tidak mahu ada
yang menyimpannya lagi dalam hati.
Muaz
mewakili abang dan kakaknya berkata perlahan, “Kami sedang kerugian, ayah.
Harap dapatlah untung di kemudian hari.”
Ayah
tersenyum sendiri. Rasanya ayah perlu tambahkan harapan yang semakin susut.
Ayah berkata penuh makna, “Ya, betul. Insya-Allah akan beruntung di kemudian
hari. Bersakit-sakit dahulu. Bersenang-senang kemudian. Sabar, ya.”
Muaz,
Muiz dan Lili saling membisu. Muiz mengangguk perlahan. Kebenaran kata-kata
ayah tidak dinafikan. Namun, hati kecil Muiz tetap berasa bimbang.
“Sekarang
ini, ibu hanya tidak hadir ke perlawanan ragbi Muiz. Sedikit waktu lagi, apa
pula?” soal Muiz lagi.
Jelas
sekali kebimbangan itu adalah suara hati yang paling dalam. Akhirnya, kereta
yang dipandu ayah, selamat tiba di salah sebuah restoran makanan segera yang agak
tersohor ini. Enjin dimatikan.
Ayah
tersenyum penuh harapan. “Baiklah. Ayah akan pastikan, ibu tetap ibu yang
paling baik buat kalian.”
Kata-kata
ayah membuka pintu harapan buat Muaz. Namun, itu hanyalah harapan palsu bagi
Lili dan Muiz.
“Rasanya, kami tidak bertuah,” kata Lili
sambil membuka pintu kereta.
Ayah
terdiam lagi. Ayah dan Muaz keluar dari kereta. Senyuman ayah masih terlekat di
bibir. Manis senyumannya mencari reaksi Lili yang kini bagaikan merajuk. Rela
ayah pujuk! Asalkan Lili, Muaz dan Muiz masih meletakkan ibu di tempat
tertinggi dalam hati mereka.
Ayah
tersenyum lagi. “Ayah akan usahakan sesuatu, agar perkara sebegini tidak
berlaku lagi.”
Lili
segera berpaling. Senyuman bermakna ayah menusuk ke dalam hati. Ayah terbitkan
kata-kata itu dengan penuh keikhlasan. Ayah mengangguk pasti.
Senyuman
Lili mekar semula. “Ayah lah yang terbaik,” kata Lili sambil memeluk ayah.
Matanya berair. Namun, wajahnya ceria. Cahaya kegembiraan mula menyuluh di
jiwanya.
Muaz
turut tersenyum. “Wah, beruntungnya kita. Muaz sayang ayah,” kata Muaz sambil
memeluk ayah juga.
Gelak
ketawa Lili dan Muaz mula kedengaran. Ada muzik riang. Ada lagu gembira.
Hanya
hati Muiz ditikam selumbar. Muiz mencerlung tidak senang ke arah Lili dan Muaz.
“Tidak perlulah gembira sangat. Perkara ini bukan semudah itulah!”
Ayah,
Lili dan Muaz tersentak. Wajah Muiz diselubungi warna gelap. Kata hati,
segalanya tidak mungkin akan kembali normal. Lili dan Muaz tidak berani
bersuara. Adakah itu bermakna, ibu akan terus merentasi sempadan tanpa menoleh
ke arah mereka lagi?
Ayah
pula terdiam tanpa kata sambil menyorot langkah Muiz yang menuju ke dalam
restoran itu, dengan wajah hampa. Mampukah ayah kembalikan suri di hati
ketiga-tiga cintanya itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan