NATRAH FANTASIA (DISSA AZMIN)
BAB 1 SEMANIS-MANIS GULA
Udara pagi
yang segar memenuhi ruang tamu flat di tingkat lima ini. Natrah, Nurul dan
Nabil kini bersedia dengan beg di bahu masing-masing. Mak tersenyum sambil
menghulurkan wang saku buat anak-anak kesayangannya. Nurul dan Nabil segera
menuju ke muka pintu untuk mengenakan kasut sekolah. Sementara Natrah masih di
sisi mak, di sofa berbentuk L.
Mak mengusap lembut wajah anak bongsunya ini. “Adik guna duit ini
baik-baik, ya. Beli makanan yang kurang manis. Ingat, gigi adik masih sakit.”
Natrah tersenyum manja. Hatinya berbunga riang kerana kini dia sudah
mempunyai duit belanja sendiri, biarpun hanya sekeping wang kertas berwarna
biru. Mak turut tersenyum.
Natrah mengangguk patuh. “Baik, mak.”
Mereka tiga beradik, mula menapak ke sekolah yang jaraknya lebih kurang
lima belas minit perjalanan dari rumah mereka. Wajah girang Natrah seindah
suria pagi. Dia sudah mula berkira-kira sendiri wang baki membeli makanan di
kantin yang akan dia simpan untuk membeli makanan kegemarannya, sepulang dari
sekolah tengah hari nanti.
Nurul tersenyum sendiri melihat wajah si adik. “Jangan hendak berangan. Ingat
pesan mak, faham? Ada makhluk asing yang sedang membuat sarang di dalam gigi
adik yang sakit itu. Faham!” Kata-kata tegas Nurul mematikan reaksi ceria
Natrah sebentar tadi.
Teduh wajah Natrah ditutupi awan mendung. Dia meletakkan telapak
tangannya pada pipi kanannya. Terasa panas. Gusinya berdenyut-denyut semula.
Makhluk asing? Benarkah? Akhirnya, Natrah tersenyum pendek. Ada-ada saja
kakaknya ini.
Pipi Natrah terasa kebas, sebaik tiba di kelasnya. Sesi pembelajaran sudah
bermula. Denyutan ngilu di dalam giginya itu, sekejap membesar dan sekejap
mengecil. Sekejap ada. Sekejap menghilang. Kepalanya mula terasa pening. Apakah
ini? Oh! Tidak!
“Natrah, kamu jawab soalan yang ini pula,” kata guru kelasnya yang
bercermin mata itu sambil memandang tepat ke wajah Natrah.
Natrah bangun dengan perlahan. Reaksinya seperti pesalah yang bakal
menerima hukuman yang berat sekali.
“Saya … saya ... tidak faham, cikgu.” Sebaris ayat itu terasa begitu
panjang bagi Natrah kerana gigi Natrah bagaikan sudah mahu tercabut. Dia juga
berasa mahu muntah.
Guru perempuan itu menghela panjang. “Bahagian mana yang kamu tidak
faham? Cikgu hanya mahu kamu menyusun ayat ini menjadi ayat yang betul. Masih
tidak faham?”
Natrah tidak berkelip memandang papan hijau yang tertera ayat yang salah
susunannya. Natrah cuba memahami semuanya, biarpun segalanya bagaikan sudah
berpusing-pusing. Gigi Natrah pula kian terasa seperti dicucuk-cucuk benda
tajam.
Guru itu menjeling tajam. “Sudahlah! Berdiri di situ sampai tamat kelas
saya.”
Natrah menunduk wajah. Air matanya hampir jatuh di pipi. Kesan sampingan
sakit gigi ini memang buruk sekali. Hilang tumpuan. Hilang ilmu yang sepatutnya
dia perolehi. Akhirnya, dia dihukum bagi kesalahan yang remeh.
Wajah muram Natrah tidak lagi kelihatan setelah loceng terakhir
berbunyi. Natrah seiringan dengan teman sekelasnya yang berbadan agak gempal
itu, menuju ke pintu pagar sekolah. Di hadapan sekolah ini, terdapat deretan
gerai yang menjual pelbagai jenis makanan ringan, gula-gula dan coklat.
Terdapat juga gerai yang menjual kuih-muih dan pisang goreng.
“Saya mahu gula-gula. Mimi pula
bagaimana?” kata Natrah seraya berpaling ke arah Mimi yang masih kelihatan
berfikir-fikir sebelum membuat pilihan.
Mimi yang berkulit putih dan gebu
itu tersenyum kecil. “Saya mahu coklat. Saya suka coklat.” Senyuman Mimi
mengecil apabila teringatkan sesuatu. “Eh! Gigi awak sudah tidak sakit lagi,
ya?”
Natrah mengangguk sambil tersenyum riang. “Semuanya sudah baik. Awak
janganlah risau.”
Mimi tersenyum lagi. “Wah, cepatnya baik! Baguslah begitu. Bolehlah kita
makan coklat banyak-banyak.”
Kata-kata Mimi membuatkan Natrah tertawa kecil. Natrah menyambung laju,
“Saya pun suka coklat juga. Ayuh! Cepatlah! Beberapa minit lagi, loceng untuk
murid tahun empat, lima dan enam akan berbunyi. Jika Kak Nuyun dan Anchik
nampak kita di sini, nahaslah kita.”
Wajah serius Nabil dan Nurul terbayang di mata mereka. Mimi dan Natrah
segera mencapai kepingan coklat yang berharga dua puluh sen itu sebanyak dua
keping seorang. Setelah itu, mereka kembali ke tempat duduk di ruangan menunggu
di dalam pagar sekolah. Mujurlah Nabil dan Nurul masih belum kelihatan.
Natrah tersenyum lega. “Sedapkan?”
Mimi mengangguk laju sambil menikmati kepingan coklat tersebut dengan
begitu berselera sekali. Biarpun coklat itu bukan jenama terkenal, ia tetap
enak dimakan. Natrah berasa gembira dapat berkongsi kegemaran yang sama dengan
teman baiknya ini. Natrah membuka balutan kepingan coklat di tangannya itu.
“Adik masih makan coklat? Berapa kali hendak kami ingatkan? Kamu pun
tidak mahu mendengar kata juga ya, Mimi?” Suara Nabil jelas kedengaran di
telinga Natrah.
Natrah dan Mimi serentak mendongak. Nabil dan Nurul sudah pun berdiri di
hadapan mereka. Jelas sekali, wajah mereka lebih serius berbanding hari-hari
sebelumnya.
Natrah menunduk wajah. Tidak sampai hati mahu membuang coklat yang sudah
bersedia untuk diratah itu. Natrah mendongak dan berkata, “Lain kali, kami akan
lebih beringat. Adik janji. Lagipun gigi adik sudah tidak sakit lagi.”
Huh! Ikutkan hati marah si abang, mahu sahaja dia merampas kepingan
coklat itu dari tangan si adik yang belajar di tahun satu ini. “Rasanya, lebih
baik adik simpan dahulu coklat itu. Adik boleh makan coklat itu semula apabila
gigi adik sudah pulih sepenuhnya.”
Natrah tidak menyahut. Berat sekali untuk akur pada permintaan si abang.
Direnung lama kepingan coklat di tangannya itu. Makin tidak sampai hati!
Nurul menggeleng. “Apabila berjanji,
mestilah dipatuhi. Selalu sahaja buat-buat lupa. Kamu pun sama juga, Mimi,”
ujar Nurul pula penuh kesal di atas tindakan Natrah dan Mimi yang selalu
menganggap nasihatnya dan nasihat Nabil, perkara kecil.
Mimi tersipu-sipu ditegur Nabil dan
Nurul sekali lagi. Mimi membalas perlahan, “Mimi tidak akan buat lagi.”
Nabil dan Nurul merenung Mimi dengan
lama sekali. Mimi menunduk wajah sambil menghabiskan baki coklat di tangannya
itu. Kecut perutnya direnung begitu.
Nurul mengalih renungannya ke arah Natrah pula. Nurul berkata perlahan,
“Allah lebih mengasihi mereka yang mendengar kata ibu bapa. Bukankah mak sudah
pesan, gunakan duit itu untuk membeli makanan berkhasiat?”
Huh!
Natrah menjeling Nurul. Tidak puas hati dengan nasihat Nurul yang seolah-olah
menghalangnya daripada menggunakan wang saku yang mak berikan. “Ini duit poket
adik. Suka hati adiklah!” balas Natrah spontan dan bersahaja.
Nurul menjegilkan bola matanya. “Oh?
Maksudnya, apabila gigi adik sudah tidak sakit lagi, adik boleh buat sesuka
hatilah! Begitu?”
Jika diturutkan hati Nurul yang sedang baran ini, mahu sahaja dia mengheret
Natrah pulang. Namun, apabila terpandang wajah mulus Natrah, tidak tergamak
pula rasanya untuk buat begitu.
Nabil menghela lesu. “Dengarlah nasihat kami. Ini untuk kebaikan adik
juga.”
Natrah tidak menyahut. Dia tetap tenang memakan kepingan coklat yang
masih berbaki di tangannya itu. Kata-kata Nabil dibiarkan begitu sahaja.
Nurul menyambung, “Betul kata Anchik itu. Asyik makan makanan begini
tidak baik untuk kesihatan gigi. Jika sakit gigi lagi, adik juga yang merana.”
Natrah tersenyum lucu apabila mendengar kata-kata si kakak. “Wah, Kak
Nuyun ini seperti doktor gigilah! Ada gaya! Apabila dewasa nanti, tidak usahlah
menjadi penulis tersohor, jadi doktor gigi saja.”
Mendengar kata-kata itu, Nurul dan Nabil tersenyum-senyum sendiri. Natrah
dan Mimi pula tertawa kecil. Natrah berharap, suasana begini akan berpanjangan.
Biar hidupnya aman dan tenteram. Benarkah sebegitu tenang?
***
SAKIT GIGI
NATRAH kembali menyerang. Nampak gayanya, si makhluk asing yang bermaharajalela
di dalam gigi Natrah tidak mahu berundur, biarpun dia telah memberus giginya
berkali-kali. Rasa ngilunya tetap tidak berubah.
“Bubur nasi lagi?” kata Natrah sambil memandang lesu bubur nasi yang mak
masak khas untuknya berperisa ikan bilis. Mahu tidak mahu, Natrah terpaksa
menelannya bagi mengisi perutnya yang kosong. Hatinya pedih melihat gulai ayam
masak lemak cili api dan lauk kegemarannya yang terhidang di atas meja makan
ini.
“Wah, ayam goreng ini sedaplah!” kata Nabil sambil tersenyum lebar.
Nabil mencapai paha ayam goreng tersebut dan mengunyahnya dengan bersungguh-sungguh
sambil menjeling Natrah yang menjeruk rasa. Hampir jatuh air liurnya melihat
Nabil meratah ayam goreng bersama nasi putih.
Nurul tersenyum-senyum sendiri melihat reaksi Nabil yang sengaja menunjuk-nunjuk
itu. “Air sirap ini pun sedap juga. Rasanya lebih manis dari biasalah.”
Nurul meneguk perlahan air sirap yang mak sediakan sewaktu makan tengah
hari ini. Natrah menelan liur. Terasa sejuknya air sirap yang Nurul minum itu
di kerongkongnya. Natrah mengalih pandangan layunya ke arah air kosong yang
terisi di dalam gelas. Namun, Natrah tidak mahu menyuramkan harinya yang
dipenuhi dengan peristiwa yang kurang menggembirakan ini.
Natrah berkata perlahan dan mendatar bunyinya, “Bubur nasi yang mak masak
ini pun sedap juga. Mak masak dengan penuh kasih sayang.”
Nabil dan Nurul saling tersenyum. Mereka sudah habiskan makanan
masing-masing dan menutup lauk- pauk itu dengan tudung saji.
Setelah Nabil mencuci tangannya di sinki, dia berkata, “Sedapkah makan
bubur nasi setiap hari? Tidak seperti ayam goreng yang enak itu. Semakin hari
dimakan, semakin dekat di hati. Bukankah begitu, Nuyun?”
Nurul mengangguk sambil tersenyum lebar. Dia mengemas ruang dapur itu
agar kekal bersih. “Betul Anchik! Nuyun sokong sangat. Rasa manis air sirap
tadi terlekat di tekak Nuyun.”
Natrah mencerlung tajam. Natrah tersinggung mendengar kata-kata si kakak
dan si abang. Rasanya, mereka berdua sengaja mahu menyakiti hati Natrah yang
sedang membengkak itu. Natrah bingkas bangun. Mak yang baru keluar dari dalam
bilik setelah solat Zuhur terlihat reaksi Natrah itu.
“Mengapa tinggalkan makanan begitu sahaja? Itu rezekilah, adik,” tegur
mak sambil memandang wajah masam si bongsunya itu.
“Mak tengoklah Anchik dan Kak Nuyun itu, asyik sakitkan hati adik
sahaja. Sengaja menyeksa pemandangan mata dan perut adik,” kata Natrah sambil
menunding jari telunjuknya ke arah Nabil dan Nurul.
Renungan lembut mak beralih ke arah Nabil dan Nurul yang berpura-pura
tidak mendengar aduan Natrah mengenai mereka.
Mak menggeleng. Mak menyambung lagi, “Tidak baik buat begitu. Jagalah
sedikit hati orang yang sedang kesakitan.”
Nabil berpaling. Dia memandang wajah teduh mak. Tidak sampai hati untuk
membantah. Namun, Nabil lakukan semua ini bersebab. “Anchik mahu adik lebih
beringat, dan lain kali jangan degil lagi.”
Natrah tidak dapat menerima dengan rela hati alasan Nabil yang dirasakan
keterlaluan. “Semua orang tidak sayangkan adik! Kak Nuyun dan Anchik ini,
memang suka buli adik. Jika Along ada, tentu dia akan sokong adik.”
Nabil dan Nurul tercengang mendengar tuduhan balas Natrah yang tidak
benar sama sekali. Nabil mengerling seketika dengan ekor matanya ke arah
Natrah. “Jangan libatkan Along dalam hal ini! Kami bukan seperti yang adik
fikirkan!”
Natrah menjeling tajam. “Yalah! Memang betul, Along lebih sayangkan
adik! Biarpun Along tinggal di asrama dan sibuk dengan latihan kereta kecil
itu, dia tetap lebih mengasihi adik berbanding Kak Nuyun dan Anchik!”
Nabil menghela lesu. Nubhan bagaikan kubu pertahanan yang tidak dapat
diruntuhkan oleh dia dan Nurul. Namun, Nabil tidak mahu Natrah beranggapan dia
dan Nurul tidak menyayangi Natrah sepenuh hati.
“Teguran kami untuk kebaikan adik. Jangan sesekali fikir, kami tidak
sayangkan adik,” balas Nurul pula dengan nada yang lebih lembut.
Huh! Natrah tidak mahu mengalah. “Apa-apalah!”
Nabil dan Nurul tercengang sendiri. Sikap Natrah di luar jangkaan
mereka. Amarah Natrah semakin menyala pula.
“Cukup!” kata mak dengan tegas. Mak menggeleng. Kesal air mukanya, jelas
kelihatan dek sikap kurang matang anak-anaknya. Mak merenung lembut wajah kelat
Natrah. Biar Natrah mengerti, pengalaman ini adalah suatu pengajaran buat
dirinya.
Nabil dan Nurul saling berpandangan lalu menundukkan wajah. Mereka tahu
kesalahan diri. Cuma berharap, si adik lebih memahami. Huh! Natrah tetap
berdengus tidak senang!
Mak mengukir senyuman sekelumit. “Orang sakit gigi memang begini. Selalu
cepat marah dan hilang kawalan diri. Sering menganggap kesalahan kecil itu amat
besar dan perlu dihukum. Mak tidak sokong perbuatan Anchik atau Kak Nuyun. Mak
cuma lebih gembira jika adik cepat sembuh dan mendengar nasihat. Boleh adik
lakukan begitu?”
Natrah terkaku tanpa suara. Benarkah dia bersikap seperti itu? Natrah
tertunduk kesal. Kata-kata mak benar belaka. Malah kata-kata itu melenyapkan
sedikit demi sedikit rasa marah yang menguasai dirinya sepanjang tempoh ini.
Kini, Natrah berasa sudah penat kerana asyik membuat kesalahan yang tidak
sepatutnya dibuat. Marahkan Nabil. Marahkan Nurul. Padahal dirinya sendiri yang
bersalah. Lebih bersalah kerana Natrah gagal mematuhi pesanan dan nasihat mak.
Wahai gigi, cepatlah baik. Adik mahu makan ayam goreng. Adik mahu minum air
sirap yang manis itu!
***
KESAKITAN
SEMALAM SUDAH berakhir. Natrah tersenyum menyambut hari baharu. Suasana pagi di
hujung minggu terasa indah sekali. Lebih-lebih lagi esok, Nubhan akan pulang
bercuti. Natrah duduk senang di sofa sambil menonton televisyen. Hatinya
gembira menghitung detik demi detik sambil mengunyah gula-gula berperisa strawberi.
“Makan gula-gula lagi? Tidak ingat, sakit gigi kelmarin? Adik memang
tidak pernah belajar daripada pengalaman yang lepas. Jika makhluk asing yang
bersarang dalam gigi adik itu bertukar menjadi gergasi, baru padan muka adik!”
tegur Nurul dari arah meja belajar sambil meletakkan buku-buku latihannya di
atas meja tersebut.
Natrah yang tergamam kini berasa agak kecut perut juga, apabila Nurul
sudah berdiri tegap di hadapannya ketika ini. Natrah menatap lama beberapa biji
gula-gula yang masih berbaki di dalam genggamannya. “Adik sudah beli gula-gula
ini, takkan mahu membuangnya pula? Membazirlah nanti. Membazir itu amalan
syaitan.”
Nurul menghulur tangannya sambil merenung Natrah dengan tajam. “Beri
pada Kak Nuyun. Biar Kak Nuyun simpan sehingga kesihatan gigi adik betul-betul
terjamin.”
Natrah tersengih kecil. Kurang percaya akan kata-kata si kakak yang
dianggap mempunyai muslihat. “Oh! Ya? Terima kasih sahaja. Adik boleh simpan
sendiri.”
Nurul berlabuh di sisi adiknya yang comel itu. “Degil, ya? Jika sakit
gigi lagi, siapa yang tidak dapat makan ayam goreng? Beri pada Kak Nuyun!”
Nurul bertegas.
Natrah menggenggam erat gula-gula tersebut sambil pantas menyorokkan
tangan kanannya itu di belakangnya, biarpun ayam goreng dijadikan umpan. “Tidak
mahu! Adik punya!”
Nurul cuba merampas gula-gula itu daripada tangan Natrah. Natrah tidak
mahu mengalah. Natrah bingkas bangun. “Tidak! Ini adik punya!”
Natrah berlari laju meninggalkan ruang tamu itu. Nurul pantas mengekori
Natrah.
“Adik! Adik! Adik!” Panggilan Nurul tidak diendahkan Natrah.
Natrah segera menutup pintu bilik. Huh! Nurul mengetap bibir di luar
pintu. Nurul menghela panjang. Dia hanya ingin membantu. Dia berasa kasihan
apabila melihat Natrah sakit gigi. Dia berharap Natrah mengerti niat baiknya
ini.
Tirai malam mula berlabuh. Mak lincah menghidangkan menu makan malam.
Dia dibantu oleh Nurul dan Nabil. Mak mengeluh penuh bimbang, apabila melihat
Natrah yang masih menahan kesakitan sejak petang tadi lagi.
Mak mendapatkan Natrah yang sedang baring di sofa L itu. “Masih sakit?
Sudah gosok gigi? Hendak berkumur dengan air garam?”
Natrah mengangguk lesu. “Tidak mahulah, mak. Gusi adik makin berdenyut
dibuatnya. Gigi adik sakitlah, mak. Sakit sangat,” kata Natrah perlahan.
Matanya mula berkaca. Ada air mata yang ingin tumpah.
Kasihan! Kasihan sungguh mak melihatnya. Sakit gigi Natrah sekali ini,
benar-benar memerlukan rawatan. Mak memandang ke wajah tenang ayah yang
menemani Natrah seusai solat Maghrib tadi.
Ayah tersenyum tenang. “Jika begitu, ayah bawa adik berjumpa doktor
gigi. Rasanya, makhluk asing yang bersarang di dalam gigi adik itu semakin
membesar. Tengok, pipi adik pun sudah bengkak.”
Oh! Ayah pun berkata begitu juga. Habislah sekali ini! Namun, Natrah
tidak mahu berjumpa doktor gigi. Khabarnya, peralatan di klinik pergigian
sungguh berbeza dengan klinik kesihatan. Peralatannya yang bercangkuk di hujung
benar-benar menggerunkan. Paling menakutkan ialah peralatannya yang berwayar
panjang itu, berfungsi untuk membuang karang gigi. Aduh! Tentu rasanya sangat
sakit!
Natrah menggeleng lesu sambil menyeka air matanya yang mula berlinangan.
“Tidak mengapalah. Biar adik berehat dahulu. Mungkin, sakit gigi adik ini akan
cepat baik seperti selalu.”
Natrah ingin tidur. Dia mahu kesakitan ini segera bertemu titik noktah.
Air mata Natrah menitis laju. Rasanya, pipinya ini seperti sudah mahu terpisah
dari wajahnya. Giginya pula terasa seperti sedang digerudi dengan laju. Oh!
Natrah tidak sanggup lagi menahannya.
Ketika mak, ayah, Nurul dan Nabil enak menikmati makan malam, Natrah
pula lena dalam kesakitan. Dia berharap sakit giginya akan pulih selepas
bangkit dari tidur. Mungkinkah begitu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan