![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh6YapZNq38wyuoNUoE-VYMslyvx-RT8tEvZMoU0GChujTKgHPV_rLxbnEQanXY3CcsDKkgMfz2KGlri5_GtOVcSJEqCXZsz4yKlT12-Rh0mroykV8rLUplr8TDbfk1nh43ttsDG216dr_y/s400/tls.jpg)
Tuhan Lebih Saintifik (Dr. Farhan Hadi)
Prolog
I
Manusia
Daripada Beruk?
“Jika manusia daripada beruk, siapa
yang cipta beruk?”
“Kamu
fikir, siapa?”
“Tentu
sekali Tuhan.”
“Jadi?”
“Teori
evolusi menyatakan manusia berasal daripada beruk. Kalau ia benar sekalipun, ia
masih tidak dapat menyangkal kewujudan Tuhan. Bukankah beruk juga daripada Tuhan?”
Zulkarnain nampak begitu yakin.
Semangat pemuda dalam dirinya menyala-nyala.
Dr.
Donald tersenyum sinis. Hujung bibir kanannya lebih tinggi daripada sebelah kiri.
Jawapan itu sudah cukup untuk menggambarkan sedalam mana ilmu pelajar
di hadapannya. Pelajar itu bukanlah lawan yang sepadan untuknya. Pelajar itu
tidak tahu apa-apa tentang teori evolusi. Dia hanya tahu teori ini menceritakan
manusia dan beruk, tidak lebih daripada itu.
Pengetahuan
seperti itu hanya berlegar di mulut orang-orang kampung yang tidak ada
pendidikan. Bagi mereka yang cetek ilmunya, itulah jawapan yang akan keluar
dari mulut mereka. Sebut sahaja teori evolusi, mulut mereka hanya menyebut manusia
daripada beruk dan beruk jadi manusia.
“Apa
yang awak tahu tentang teori evolusi?” Dr. Donald mendekatkan wajahnya dengan
wajah Faiz. Dia menjegilkan sedikit matanya sambil merenung wajah pelajar
perubatan tahun satu itu.
“Teori
ini mengatakan bahawa manusia berevolusi daripada beruk,” jawab Zulkarnain. Dia
masih cuba bertahan dengan ayat yang sama. Dia mengulangi semula ayat yang
disebutnya tadi, “Bukankah beruk juga daripada Tuhan?”
“Itu
sahaja! Lagi, boleh ceritakan sikit tentang teori evolusi?” pinta Dr. Donald.
“Ia
diasaskan oleh Charles Darwin dan … mmm … ,” Zulkarnain mula termenung. Otaknya
ligat memerah idea.
“Lagi!”
“Bagimana beruk
boleh berubah menjadi manusia?” soal Dr. Donald lagi.
“Err ... melaui
proses evolusi,” Zulkarnain menggaru kepalanya yang tidak gatal. Raut wajahnya
yang pada awalnya begitu yakin mula berubah. Dia sememangnya tidak tahu. Dia
hanya mengisar jawapan dalam ruang lingkup yang sama. Obor semangatnya yang
menyala-nyala dalam dirinya tadi kian pudar. Ia seolah-olah pelita yang
kehabisan minyak. Minyak tersebut ialah ilmu. Ilmu di dadanya tidak cukup untuk
memastikan obor itu terus menyala.
“Evolusi, beruk
dan manusia. Apa lagi yang kamu tahu?” Dr. Donald masih merenung wajah
Zulkarnain. Dia mula memberi sedikit tekanan kepada pelajar itu. Dia ingin
melihat sejauh manakah pelajar itu mampu bertahan.
“Evolusi ialah …
emm,” Zulkarnain menggumam mulutnya. Dia mula mati akal.
“Ya … memanglah
proses evolusi. Tapi bagaimana proses awalnya? Bagaimana ia bermula?” Dr.
Donald menambahkan lagi sedikit tekanan.
Zulkarnain mula
cemas dan gugup. Meskipun tidak tahu, sekurang-kurangnya dia masih boleh
berfikir dan memberi sedikit idea. Namun apabila mendapat tekanan sebegitu, ia
cukup untuk mematikan sisa-sia ideanya. Dia cuba menjawab, namun lidah mula
terasa kelu. Suaranya hanya bergema di halkum, kemudian masuk semula ke kerongkongnya.
Dia terlalu memandang rendah akan teori Barat itu.
Dia seharusnya
sedar meskipun teori itu agak tidak masuk akal bagi orang yang beragama, ia
dihasilkan oleh seorang intelek yang bijaksana. Tidak mungkin seorang intelek
menghasilkan satu teori sedalam pengetahuan orang kampung yang tidak
berpelajaran. Jika ia hanya sebuah teori yang dangkal, mana mungkin ia mampu
memberi pengaruh kepada jutaan manusia di seluruh dunia khususnya golongan yang
berpendidikan tinggi.
“Adakah
teori ini menyatakan seekor beruk tiba-tiba … pling!!! Ia berubah menjadi
manusia di akhir hayatnya dengan sekelip mata? Atau seekor beruk mengalami satu
proses perubahan yang panjang sehingga bertukar menjadi manusia?” Dr. Donald
terus mengasak pelajar tahun satu itu.
“Err … teori itu
menyebut ia berubah dalam satu tempoh yang panjang. Lama-lama ia menjadi
manusia,” Zulkarnain hanya menjawab pilihan yang ada. “Tapi saya tak percaya
teori itu.”
“Ok, baiklah.
Soalan seterusnya, sebelum beruk, makhluk apa?” soal Dr. Donald lagi.
Zulkarnain tidak dapat berfikir secara
rasional lagi apabila ditekan dengan pelbagai soalan. Sukar untuk dia melontar
idea atas sesuatu yang langsung tidak diketahuinya. Jika tersilap memberi
jawapan pasti ia akan disusuli dengan soalan yang lebih hebat. Jika langsung
tidak menjawab, lagi aib. Dia hanya menggeleng sedikit sebagai
isyarat tidak tahu jawapan tersebut.
“Teori
evolusi bukan hanya menyatakan manusia berasal daripada beruk. Ia jauh lebih
daripada itu. Charles Darwin dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species yang diterbitkan pada tahun 1859 memberi
gambaran bagaimana proses perubahan satu sel menjadi satu makhluk awal yang
kemudiannya berevolusi menjadi pelbagai cabang spesis termasuklah dari susur
galur beruk dan manusia. Ada banyak proses-proses yang begitu kompleks dan
penuh santifik sehingga terbentuknya manusia dan juga makhluk-makhluk lain,”
jelas Dr. Donald secara padat dan ringkas. Zulkarnain kelihatan terpegun
seketika. Tidak disangka teori ini agak rumit. Tidak hanya berkisar pada beruk
dan manusia.
“Awak
seorang bakal doktor. Awak ada asas kuat tentang ilmu sains dan biologi.
Sekarang saya hendak awak fikir dan guna logik akal dengan bimbingan ilmu
sains. Mana satukah yang lebih senang diterima akal tentang asal usul manusia,
kisah dongeng tentang sepasang manusia diturunkan dari langit kerana sebiji
buah, atau satu sel berevolusi menjadi menjadi spesis-spesis tertentu dengan
penuh hujah saintifik?” ujar Dr. Donald. Dia mula menyuntik racun fahaman tidak
percayakan 'Pencipta' kepada pelajarnya.
“Kami
orang Islam kami percaya manusia berasal daripada Nabi Adam yang diturunkan dari
syurga,” Zulkarnain tegas mempertahankan akidahnya. Perbincangan ini
bersangkaut paut dengan akidahnya. Tidak ada toleransi dalam soal akidah. Dia
tidak akan membiarkan akidahnya dipermain-mainkan sesuka hati.
“Bukankah
itu seakan-akan kisah dongeng. Langsung tiada hujah santifik di sebaliknya. Ia
tidak lebih daripada sebuah cerita yang mesti dipercayai kerana malas berfikir
dan mengkaji,” balas Dr. Donald.
Zulkarnain
terdiam sejenak. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh mematahkan hujah Dr.
Donald. Ilmu di dadanya kurang. Dia sedar dia langsung tidak berupaya untuk
berhadapan dengan seseorang yang sarat dengan ilmu, meskipun orang itu di pihak
yang salah.
Dia
kemudian memegang bahu pelajar itu seolah-olah ingin memujuknya setelah
mengasak bertubi-tubi, “Saya hendak awak fikir betul-betul. Orang yang malas
berfikir dan mengkaji akan membuat cerita manusia terbang dari langit lalu
beranak pinak di bumi. Namun orang yang cerdik pandai akan cuba mengkaji dengan
sedalam-dalamnya bagaimana manusia terbentuk secara saintifik. Awak berada di
pihak mana?” Dr. Donald terus menambah dos racun dalam suntikannya.
Setelah diasak
dengan beberapa soalan lagi dari Dr. Donald, Zulkarnanin mula meminta diri. Dia
meninggalkan bilik pensyarahnya dengan perasaan yang agak kecewa. Kekecewaan
itu bukan kerana tidak dapat menjawab soalan, tetapi kerana ilmunya sangat
cetek. Bagaimana dia ingin berdepan dengan seorang pensyarah yang pandai
berhujah dan pernah menerima pendidikan dari barat? Tidak lain dan tidak bukan
dia perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan.
Pada
awalnya dia ke bilik pensyarah untuk menghantar tugasan menggantikan ketua
kuliah. Tugasan itu selalunya dilakukan oleh rakannya, Faiz selaku ketua
kuliah. Faiz meminta pertolongannya kerana dia ada hal yang mustahak. Faiz
telah berpesan kepadanya agar berhati-hati dengan pensyarah anatomi yang baharu.
Dia suka memberikan soalan-soalan yang berbentuk provokasi mengenai kewujudan Tuhan.
Pensyarah keturunan India kacukan Portugis itu seolah-olah ingin menyebarkan
pemikiran beracun agar fikiran manusia bebas dari belenggu agama.
“Kalau
dia tanya apa-apa pasal agama, kau cuma jawab nanti saya fikirkan jawapannya. Saya
jawab kemudian,” pesan Faiz sebaik sebelum mereka berpisah tadi.
“Ah,
jangan risau! Senang saja untuk patahkan hujah orang-orang yang tidak percayakan
Tuhan. Mereka disebut apa … ateis. Aku akan buatkan dia termenung panjang jika
dia berani membuka mulut,” Zulkarnanin menggenggam tangan kanannya, seolah-olah
pemain badminton yang berjaya mengutip satu mata penting. Dia nampak begitu
yakin.
“Bagaimana?
Kau nak jawab apa nanti?” Faiz ragu-ragu dengan keupayaan Zulkarnain. Dia tidak
mahu rakannya memandang rendah ilmu pengetahuan Dr. Donald. Dia juga tahu
tabiat Zulkarnain yang suka bercakap besar meskipun kebolehannya hanya
sejengkal kail.
“Kita
bagi soalan-soalan berantai, tentu sekali dia akan terlopong. Contohnya, jika
manusia daripada beruk, beruk daripada apa? Kalau dia cakap beruk daripada kera,
kera daripada apa? Tentu sekali jawapannya daripada Tuhan, bukankah begitu?”
Matanya bersinar-sinar dengan keyakinannya. “Lama-kelamaan Tuhan juga
jawapannya dan dia mesti percaya pada Tuhan.”
Namun
kini dia sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan. Dia terpukul oleh
soalan-soalan yang biasa daripada Dr. Donald. Soalan-soalan itu hanya berstatus
tadika bagi pensyarah anatomi itu, namun tinggi melangit bagi orang yang tiada
ilmu. Dia yakin rakannya Faiz yang dilantik menjadi ketua kelas pastinya setelah
diuji soalan-soalan begitu setiap kali berkunjung ke bilik pejabat pensyarah
itu. Mereka yang tidak mempunyai keyakinan agama yang teguh pasti akan
terpengaruh dengan virus-virus ateis yang disuntik oleh pensyarah itu.
Kehadiran
pensyarah anatomi yang baru sahaja tiga bulan bertugas mula menjadi buah mulut
dalam kalangan pelajar, baik yang beragama Islam mahupun yang tidak beragama
Islam. Kuliah-kuliahnya sering berencahkan fahaman yang menafikan kewujudan
tuhan. Beberapa orang pelajar yang berkunjung ke bilik pejabatnya mendapat
beberapa soalan yang menguji iman dan akal.
Ada
desas-desus yang mengatakan beberapa orang pelajar bukan Islam sudah mula
terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dibawanya. Bahkan ada segelintir
pensyarah juga turut menerima panah beracun yang sama. Hujah-hujah santifiknya
agak mantap. Ia mampu mematahkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh para
pensyarah yang lain. Dia seolah-olah sudah dilatih dan dilengkapi dengan ilmu
untuk berdebat dengan orang yang beragama bagi menolak kewujudan Tuhan.
Apabila
Jiwa Kosong
Ng
Boon Seng melangkah longlai. Hatinya masih berbelah bahagi untuk memilih
“hendak” atau “tidak.” Dia telah berfikir semahunya selama beberapa hari.
Akhirnya dia nekad untuk memilih “hendak.” Langkahnya begitu bersemangat pada
mulanya, namun mula longlai apabila tidak jauh dari destinasinya. Perasaan
bersalah dan ragu-ragu mula menyelinap masuk ke dalam hatinya.
Semakin dekat,
semakin longlai langkahnya. Apabila bilik Dr. Donald sudah kelihatan, dia
berhenti seketika untuk melayan perasaan. Sekali lagi dia membuat pertimbangan.
Nak?
Tak nak?
Setelah berfikir
seketika, dia mengetap bibirnya. Ayunan langkahnya dikuatkan ke destinasi. Kini
tinggal selangkah sahaja untuk sampai ke tempat yang dituju. Hanya pintu di hadapannya
menjadi pemisah. Di balik pintu itu tempat yang akan memberi impak perubahan
besar kepadanya. Kali ini dia betul-betul berada di hadapan muka pintu.
Perasaan berbelah bahagi itu muncul kembali.
‘Bukankah aku
sudah fikir panjang? Bukankah aku telah buat keputusan? Kenapa aku masih
ragu-ragu?’ hatinya menyuntik semangat.
Dia melipatkan
jari telunjuk kanannya, lalu mengetuk pintu di hadapannya sebanyak tiga kali.
Kemudian dia memasang telinga untuk mendengar sebarang respons dari dalam bilik.
Tidak kedengaran apa-apa. Sekali lagi dia melipat jari telunjuk dan bersedia
untuk mengetuk pintu itu dengan lebih kuat.
“Masuk!”
kedengaran suara dari dalam bilik sebelum sempat pintu diketuk.
“Dr., saya berminat dengan cara Dr. berfikir,”
luah si pelajar.
“Saya bangga
jika dapat mengajar kamu lebih dalam,” ujar Dr. Donald.
Hari itu menjadi
sejarah penting buat pelajar Cina itu. Di situlah menjadi titik perubahan
kepada tunjang kepercayaannya. Dia menyerahkan jiwanya untuk diproses oleh
pensyarah yang tidak percayakan Tuhan. Keyakinannya mula goyah terhadap agama
turun-temurun yang dianuti oleh keluarganya. Dia lebih tertarik kepada “agama
sains.” Dia mengira pemahaman itu lebih sesuai pada zaman moden.
Ng Boon Seng
keluar dengan jiwa baharu.
“Eh, kau buat
apa di sini?” tanya Zulkarnain.
Mereka
bertembung di luar bilik Dr. Donald.
“Aku sukakan
pemikiran Dr. Donald,” jawab Ng Boon Seng.
“Kau dah tak
percayakan Tuhan?” tanya Zulkarnain sambil melangkah menjauhi bilik itu.
“Sains lebih
hebat daripada Tuhan,” kata Ng. Boon Seng. Tapaknya mengikut jejak Zulkarnain.
“Aku
rasa, bertahun jiwa kau kosong. Apa-apa sahaja fahaman pasti senang memenuhi
jiwa kau tu,” kata Zulkarnain.
“Ya, aku
serahkan jiwa yang kosong ni untuk diisi,” akui Ng. Boon Seng.
“Sesenang tu?
Jika pak cik mana-mana mengaku sebagai maharaja langit sekalipun, kau mungkin
mudah percaya. Kau umpama gelas kosong yang akan menerima apa sahaja yang
dituang ke dalamnya, sekalipun raksa yang beracun,” sindir Zulkarnain.
“Hey, aku
makhluk yang berfikir!” marah Ng. Boon Seng kemudian memisahkan langkahnya.
“Alamak, makin
laju gerakan Dr. Donald ni,” keluh Zulkarnain. Tangan kanannya menampar
dinding.
“Bukan dia yang
laju, kita yang lembab,” sampuk suatu suara.
“Faiz!”
***
Ng.
Boon Seng mengadap wajah Dr. Donald. Ini pertemuan kedua. Pertemuan pertama
minggu lalu telah melenyapkan sebahagian besar kepercayaannya kepada Tuhan. Dia
telah mendengar hujah-hujah Dr. Donald yang menafikan kewujudan Tuhan.
Pertemuan kali ini melantah luluhkan sisa-sisa kepercayaannya kepada Tuhan. Dia
berazam untuk mempelajari sesuatu yang baharu, iaitu untuk memahami konsep ateis,
golongan yang menolak kewujudan Tuhan.
“Saya
dilahirkan dalam keluarga Buddha. Namun, saya bukanlah seorang penganut Buddha
yang baik. Saya tidak suka buat apa yang saya tidak faham,” cerita Ng. Boon
Seng.
“Kamu cuba
mendalaminya?” tanya Dr. Donald.
Ng. Boon Seng menggeleng.
“Saya pernah
mendengar sesetengah orang menyebut bahawa agama Budha hanyalah agama falsafah
untuk membentuk nilai-nilai moral manusia, bukan untuk konsep ketuhanan,” kata
Dr. Donald.
“Sebahagian
rakan saya telah pun beralih kepada agama lain khususnya Kristian. Ada juga yang
bertukar kepada agama Islam, namun tidak ramai. Dua orang kakak saya telah
memeluk agama Kristian semasa menuntut di kampus,” dedah Ng. Boon Seng.
“Pilihan kamu
lebih bijak daripada mereka semua,” kata Dr. Donald.
Setelah
mendengar beberapa siri kuliah Dr. Donald yang menyelitkan kepercayaan ateis,
dia mula tertarik dengan fahaman itu. Dia merasakan kekosongannya terisi.
Kegersangan jiwanya diairi oleh arus-arus yang membawa dakyah ateis.
Dakyah-dakyah itu menyimbah masuk ke dalam jiwanya untuk menyuburkan
benih-benih kebencian kepada Tuhan.
“Fahaman ateis
ialah satu fahaman yang tidak percayakan kewujudan Tuhan, dewa-dewi atau
sebarang kuasa seumpamanya. Fahaman inilah yang lebih rasional dan logik pada
masa sekarang,” ujar Dr. Donald. Ng Boon Seng mengangguk sekali setengah.
“Orang dahulu
kala, mereka percayakan Tuhan kerana masa itu ilmu sains belum maju. Mereka
tidak ada penjelasan untuk alam ini. Mereka juga tidak ada penjelasan untuk
kewujudan manusia serta haiwan-haiwan. Sekarang sains telah menjelaskan
segala-galanya. Kepercayaan kepada Tuhan mula boleh ditolak ke tepi. Orang yang
berpendidikan lama kelamaan akan membebaskan pemikiran mereka dari belenggu
agama,” hujah Dr. Donald.
“Biasanya
manusia akan mengikut agama ibu bapa mereka. Jika dilahirkan di dalam Islam,
maka dia akan jadi Islam. Jika ibu bapa Kristian, maka dia juga akan menjadi
seorang Kristian. Adalah tidak adil untuk melabelkan seseorang itu berdasarkan
agama ibu bapa mereka. Anak itu suci, tidak patut pemikiran mereka dikotori
dengan fahaman-fahaman agama yang tidak berasas,” ujar Dr. Donald.
Ng Boon Seng khusyuk.
Mendengar dan mencatat.
“Kami
tidak mempercayai Tuhan kerana tidak ada satu teori pun yang dapat membuktikan
kewujudan Tuhan. Untuk membuktikan kewujudan sesuatu mestilah ada kajian dan
hipotesis. Kajian itu dilakukan untuk membuktikan hipotesis tersebut. Jadi,
untuk membuktikan Tuhan itu ada, kajian apa yang boleh kita lakukan?” Dr.
Donald terus memberi pengisian jiwa kepada pelajarnya.
“Boleh
saya tahu bagaimana doktor menjadi seorang ateis?” soal Ng Boon Seng setelah
kira-kira setengah jam dia menyerahkan telinga untuk disumbat oleh apa saja
hujah Dr. Donald.
“Oh.
Satu soalan yang baik. Kedua ibu bapa saya adalah Kristian, dan saya juga
Kristian pada peringkat awal.” Dr. Donald menjeling bingkai wajah ibu bapanya di
atas meja.
“Apabila usia
saya meningkat, saya mula menggunakan akal untuk menilai agama yang saya
anuti,” kata Dr. Donald lagi.
“Banyak kepincangan
dan ketaksuban?” sampuk Ng. Boon Seng.
“Ya. Saya tidak
suka percaya secara membuta tuli. Dengan akal dan ilmu sains yang saya
pelajari, akhirnya saya merumuskan bahawa Tuhan itu tidak wujud. Kejadian alam
dan semua spesis boleh dijelaskan mengikut teori sains tanpa memerlukan teori ketuhanan,”
jawab Dr. Donald.
“Terima
kasih atas tunjuk ajar yang doktor berikan. Saya ada kuliah fisiologi selepas
ini. Saya akan datang lagi untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada tuan,” ujar
Ng Boon Seng.
Mereka
bersalaman.
“Oh, saya ada
sesuatu untuk awak,” ujar Dr. Donald sambil membongkokkan badannya dan membuka
laci mejanya. Selepas mencari sesuatu di dalam laci pertama, dia membelek-belek
fail dan kertas yang bertimbun di sudut kanan mejanya.
“Tadi
baru ada di sini … ,” Dr. Donald mengeluh kecil sambil tangannya bagai lipas
kudung membelek satu persatu fail yang bertimbun.
“Doktor
cari apa? Susahkan doktor pula. Nanti saya datang ambil bila ada kelapangan,” lirik
mata Ng Boon Seng mengintai jam tangan yang dipakai. Dia mengagak kuliahnya
akan bermula sekejap lagi.
“Sekejap …
sekejap … ,” Dr. Donald membuka semula laci mejanya. Tangannya sekali lagi
membelek-belek helian kertas dan fail, namun kali ini dengan lebih teliti.
“Oh …
dekat sini rupanya,” Dr. Donald mengambil sebuah buku yang terselit di celahan
timbunan kertas di dalam laci mejanya.
“Buku ini saya
ingin pinjamkan kamu untuk kamu baca,” ujar Dr. Donald sambil menghulurkan
sebuah buku berwarna hitam dan di tengahnya terdapat gambar seperti matahari
dengan cahaya merah pekat.
Ng Boon Seng
menyambut buku tersebut dan membaca tajuknya.
'THE
GOD DELUSION, Richard Dawkins.'
“Saya
perolehi buku ini daripada England. Harap kamu jaga dengan baik kerana saya
ada satu naskah sahaja. Saya sekarang dalam proses untuk menterjemahkan
buku ini ke dalam bahasa Malaysia. Buku ini sangat bagus untuk membina asas
yang kuat bagi membebaskan fikiran kamu,” ujar Dr. Donald.
“Terima
kasih doktor. Saya akan baca dan kaji buku ini dengan bersungguh-sungguh,” ucap
Ng Boon Seng dengan nada teruja. Matanya bersinar-sinar kegembiraan.
Dr.
Donald tersenyum bangga. Dia sudah mula nampak sinar kejayaan dalam membina
empayar fahaman tersebut. Setakat ini dia berjaya menarik hampir 10 orang untuk
mengikut kepercayaannya.
“Usaha
dan terus berusaha,” azamnya.
Dia tahu sudah
ada sebilangan rakyat di negara ini memiliki kefahaman tersebut. Namun ia masih
baharu dan tersembunyi. Jumlahnya masih kecil, sebab itulah mereka tidak
mendedahkan identiti mereka secara terbuka.
Kebanyakan
mereka ialah golongan profesional yang pernah mendapat pendidikan daripada
Barat. Terdapat juga golongan yang masih tercari-cari fahaman sebenar akibat
tidak yakin dengan agama yang mereka anuti. Golongan ini lebih ramai jumlahnya.
Mereka ini mempunyai potensi yang besar dalam usahanya untuk membina empayar
fahaman tersebut.
Dr. Donald
berazam untuk meneruskan perjuangannya dan menjadikan fahaman tersebut sebagai
satu perkara biasa yang boleh diterima di negara ini. Tidak ada cara lain
melainkan dengan membina empayarnya sendiri. Apabila jumlah mereka sudah ramai,
tentu sekali mereka ada kuasa untuk bersuara. Dia yakin pada zaman moden ini,
manusia semakin berpendidikan tinggi. Mereka yang tidak berlatar belakang
bidang bukan sains juga senang untuk memahami sains dengan perkembangan ilmu
sekarang.
TERIMA KASIH !!!!!!
BalasPadam