Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Jumaat, 23 Ogos 2013

Saya Tunggu Awak: Bab 1


Saya Tunggu Awak (Bonda Nor)

BAB 1


“Ada apa-apa soalan lagi?” kata-katanya terhenti seketika sambil matanya meliar memandang seisi kuliah. Tiada respons. “Baiklah. Kalau tak ada apa-apa, kita berhenti di sini. See you all next week, Insya-Allah. Assalamualaikum.”

Sebaik sahaja Hanna menamatkan kuliahnya pagi itu, serentak kedengaran bunyi hingar-bingar pelajar-pelajar bangun dari kerusi masing-masing. Ada yang terus menderu ke pintu keluar. Ada pula yang bergegas ke pentas mengerumuni Hanna, bertanyakan pelbagai persoalan yang segan hendak ditanyakan di khalayak ramai tadi.



“Ustazah, tentang projek kursus semester ni, AJK program dah berbincang. Kami bercadang nak anjurkan satu seminar. Kita buat pengajian sistem pondok macam zaman dulu. Tapi kita buat jangka pendeklah. Mungkin dalam seminggu dua. Maknanya, peserta cuba menghabiskan pemahaman daripada sesuatu kitab sepanjang tempoh seminar tu. Apa pendapat Ustazah?”

Rafiq, ketua kursus Pengajian Islam Eksekutif, yang dianjurkan oleh Universiti Al-Quran Malaysia atau UAM yang dijalankan secara separuh masa itu mula bersuara. Tatkala itu, pelajar-pelajar lain semakin beransur-ansur meninggalkan meja Hanna. Suasana bilik kuliah mulai tenang. Kini hanya tinggal Hanna dan tiga orang AJK kuliah itu sahaja. Rafiq adalah ketuanya, manakala Safiah dan Amir adalah timbalan bersama.

 “Pengajian sistem pondok? Maksud awak bagaimana? Saya tak berapa jelas lagi dengan idea ni.” Hanna mengerutkan keningnya. Wajah seorang demi seorang pelajar kuliah eksekutif yang berada di hadapannya itu direnungnya sekilas. Dia menjangkakan mereka mungkin lebih berusia daripadanya atau setidak-tidaknya mungkin sebaya. Maklumlah pelajar separuh masa, rata-ratanya sudah mempunyai kerjaya masing-masing. Kebanyakan pelajarnya sekadar mengikuti program ini untuk menambah kelayakan akademik untuk tujuan kenaikan pangkat atau mungkin menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik.

“Begini, Ustazah. Dalam sistem pengajian pondok zaman dulu, biasanya mereka mengaji menggunakan kitab khusus. Tok guru akan mengajar satu kitab sampai habis, barulah disambung kitab yang lain pula. Kadang-kadang sampai bertahun-tahun. Maklumlah, sekali perjumpaan biasanya belajar sekadar satu atau dua jam sahaja. Itu pun mungkin seminggu atau sebulan sekali. Tapi menerusi program yang nak kita buat ni, kalau belajar lima hingga enam jam sehari macam waktu pejabat, mungkin tempoh masa pengajian dapat disingkatkan. Silap-silap mungkin seminggu saja dah selesai mutalaah ilmu daripada sesuatu kitab tu,” sampuk Safiah menerangkannya dengan panjang lebar.

Hanna mengangguk perlahan. Hatinya tertarik dengan cadangan mereka. Okey, dia sudah dapat menangkap ideanya. Pengajian kilat atau kuliah ekspres? Hmm..betul juga. Zaman sekarang, semua orang mahu cepat. Dalam kesibukan dengan kerjaya, sebenarnya masih ramai orang awam di luar sana yang mahu menambah ilmu agama. Namun, kebanyakan mereka menghadapi masalah kekangan masa. Jika diatur dengan baik, mungkin mereka boleh memohon cuti untuk memberi tumpuan pada pengisian jiwa sekali-sekala. Boleh tahan juga cadangan pelajar-pelajarnya.

“Secara ringkasnya, cadangan kami begini, Ustazah. Kita pilih satu kitab yang popular. Kemudian, kita jemput seorang penceramah yang berpengalaman mengajar kitab itu hingga tamat,” tambah Amir, sekadar mengulang apa-apa yang dikatakan oleh Safiah tetapi disampaikan penuh semangat. Hanna tersenyum melihat keterujaannya.

“Okey, saya setuju! Cadangan yang bernas. Tahun lepas, pelajar saya ada membuat persembahan teater Islam tentang perjuangan Rasullullah. Tahun ini, kalau kita anjurkan seminar dengan konsep yang awak semua cadangkan, bermakna ada kelainannya dan mungkin lebih banyak manfaatnya. Sangat menarik! Oh, ya Rafiq! Sudahkah awak semua berbincang nak buat seminar pengajian tentang kitab apa?”

Hanna menghalakan pandangannya kepada Rafiq, ketua kuliah itu. Walaupun dia yakin dari segi umur, Rafiq sebenarnya lebih tua beberapa tahun daripadanya. Namun seperti biasa tiada gelaran hormat seperti abang, encik atau tuan yang digunakan untuk memanggil pelajar-pelajarnya. Hanna lebih selesa memanggil nama mereka sahaja. Selaras.

“Kitab Bidayatul Hidayah, karangan Imam al-Ghazali. Ustazah rasa bagaimana? Sesuai tak? Kitabnya pun tak tebal, bukan? Kalau kita fokus pengajian lebih kurang enam jam sehari, saya menjangkakan bahawa lima hari pun boleh tamat pengajiannya,” jawab Rafiq penuh yakin.

Hanna tersentak mendengar cadangan tersebut. Bidayatul Hidayah? Masya-Allah! Ah, kebetulan pula! Baru sahaja pagi semalam dia mendapat tugasan untuk menghuraikan kitab ini sebagai isi tambahan kepada tesis PhD yang sedang diikutinya. Subhanallah. Ini suatu peluang yang sangat baik. Kalau seminar ini diadakan, Hanna yakin dia boleh menyiapkan tesisnya dengan lebih berkualiti dan terperinci.

“Bagaimana Ustazah? Setujukah kalau kita pilih untuk mutalaah kitab tu?” Pertanyaan Safiah memutuskan lamunan Hanna.

“Eh, saya setuju sangat! Bidayatul Hidayah adalah satu kitab yang sangat bagus pengisiannya. Kitab ini disebut-sebut sebagai rumusan kepada kitab terulung Imam Al-Ghazali yang bernama Ihya’ Ulumiddin. Hebat kitab ni! Jadi rujukan ulama terdahulu dan terkemudian. Oh, ya! Untuk pemilihan penceramah, saya cadangkan awak cuba dapatkan Sheikh Shirazi al-Banjari. Dia memang pakar dalam huraian kitab ini dan pernah menulis terjemahannya ke dalam Bahasa Malaysia. Saya rasa, bagus juga kalau kita jadikan kitab terjemahannya sebagai rujukan khas sepanjang seminar tu nanti. Kalau tak silap saya, kitab terjemahan tersebut diterbitkan oleh Syurga Ilmu Publishing.” Lebar senyuman Hanna tatkala menuturkan kata-kata tersebut.

“Syurga Ilmu Publishing? Subhanallah! Itu syarikat kawan saya, Ustazah. Nanti, saya hubungi dia. Wah, senang nampaknya kerja kita!” sampuk Rafiq sambil ketawa.

“Insya-Allah, Rafiq. Kerja baik pasti Allah tolong. Cuma kena ingat, walaupun jalan bermula dah nampak, matlamat pun sudah jelas, tapi liku-likunya pasti ada. Pesan Hanna cuba mengendurkan sedikit keterujaan mereka. Dia mahu mereka lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal melanda projek mereka itu.

“Insya-Allah, Ustazah. Kami akan harungi dengan penuh semangat. Ustazah doa-doakanlah ya! Doa Ustazah lebih mustajab daripada doa kami,” usik Safiah nakal sambil disambut gelak ketawa mereka.

“Semoga masin mulut awak, Safiah! Okeylah. Kalau tak ada apa-apa lagi, kita bersurai di sini. Rafiq, tolong maklumkan kepada saya sebarang perkembangan, ya. Awak semua ada masa sebulan sahaja dari sekarang untuk tempoh perlaksanaan projek. Jadi, jangan leka. Kalau teruk presentation awak nanti, silap-silap satu kelas dapat D!” ugut Hanna sambil bergurau.

“Jangan risau, Ustazah. Confirm A! Tengoklah siapa ketua projek yang kami pilih. Segak, hebat lagi berwibawa! High class leader!” Amir menepuk kuat belakang Rafiq menyebabkan tubuhnya terdorong sedikit ke hadapan. Hampir sahaja tubuhnya melanggar Hanna.

“Masya-Allah! Maaf Ustazah, maaf.” Rafiq mengangkat kedua-dua tangannya seperti orang menyerah diri. Dia sendiri agak panik kerana tidak menjangka tindakan Amir yang tiba-tiba sahaja menolaknya ke arah Hanna. Rafiq segera melangkah beberapa tapak ke belakang.

“Awak ni Amir! Lain kali jangan bergurau macam tu! Adab dengan guru kena sentiasa dijaga, okey! Apatah lagi gurunya perempuan. Batas-batas syariat masih tetap ada.” Merah padam muka Hanna dibuatnya. Mujurlah Rafiq tidak terlanggarnya. Hanya beberapa inci sahaja lagi wajahnya hampir bertemu dengan wajah Rafiq tadi. Dia menggeleng-geleng. Kesal.

“Maaf, Ustazah. Saya pun tak tahulah sama ada saya tolak hero kita ni terlalu kuat atau dia ni sebenarnya yang lembik sangat.” Amir masih sempat berseloroh meskipun jauh di sudut hatinya berasa sangat bersalah dan malu apabila ditegur seperti itu.

“Lembik? Huh, pandailah kau! Baling batu sembunyi tangan!” Bentak Rafiq tidak berpuas hati sambil menumbuk bahunya perlahan. Amir dan Safiah ketawa geli hati melihat perlakuan Rafiq yang keanak-anakan itu. Hanna juga kembali tersenyum.

Okey, jumpa lagi semua. All the best with your project! Semoga berjaya.” Hanna mula mengangkat buku-bukunya dan menyandang beg tangan hitam miliknya, sedia untuk meninggalkan dewan kuliah. Safiah pantas menghulurkan tangan untuk bersalam lalu disambut mesra oleh Hanna.

Syukran kathira, Ustazah. Assalamualaikum.” Hampir serentak ketiga-tiga pelajarnya itu bersuara mengiringi langkah Hanna yang meninggalkan mereka.

“Waalaikumussalam,” balas Hanna perlahan, sekadar didengari oleh dirinya sendiri. Dia sebenarnya masih terasa malu dengan insiden yang berlaku antara dia dengan Rafiq sebentar tadi. Namun sejurus teringat tentang Seminar Bidayatul Hidayah yang bakal dianjurkan, hatinya berbunga riang. Seminar ini dianggap peluang dan ruang yang diberi Allah untuknya. Peluang untuk dia menambah ilmu dan iman di dada. Ruang untuknya mengembangkan potensi dirinya. Hanna tersenyum-senyum sendiri.
"Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Muhammad: 47: 5 - 7)

1 ulasan:

  1. Masya Allah, hebat pengisiannya. Sampai ke dalam hati ni!

    BalasPadam