Bab 1
MATAHARI
belum pun sampai sejengkal tinggi. Sebuah kereta Proton Satria berwarna hitam metallic tiba di hadapan Jeti Kuala
Perlis lalu memarkir di hadapan kaunter tiket. Fadhly muncul dari pintu
belakang bersama beg galas dan bagasi tarik bersaiz sederhana. Seorang lelaki
dan wanita 50-an juga muncul dari pintu hadapan. Fadhly bersalaman dengan
kedua-duanya dan menguncup lembut tangan mereka, sebelum kedua-duamnya masuk
semula ke dalam kenderaan dan berlalu meninggalkan jeti.
Fadhly membelek not berwarna merah di dalam dompet. Dia
cuma memerlukan RM 15.00 untuk membayar tambang feri dengan harga pelajar.
“Fadhly!” Satu suara menempik. Fadhly kenal benar
dengan pemilik suara jantan yang garau itu.
Syed Hadi, teman sekelas berlari-lari anak ke
arahnya dari jauh.
“Awalnya nak balik ke maktab. Selalunya orang yang
tinggal hanya di seberang laut ni balik waktu petang. Kau awal-awal pagi dah
ada di sini.” Syed Hadi begitu teruja menemui Fadhly. Mereka saling berpelukan.
Hampir dua minggu menghabiskan masa di rumah sempena cuti pertengahan tahun
menguntumkan kelopak rindu di hati masing-masing. Lelah di minda Syed Hadi
setelah berkelana semalaman menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Perlis hilang
begitu sahaja.
“Balik awal senang sedikit. Petang nanti ramai orang.
Esok dah nak mula sekolah dan kerja.”
“Betul juga.” Syed Hadi tidak berniat mempertikaikan
fakta tersebut.
Mereka berdua membeli tiket secepat mungkin. Feri
akan bertolak dalam masa lima minit. Jika terlepas, mereka terpaksa berkampung
di jeti ini selama satu jam bagi menanti khidmat feri yang seterusnya ke Pulau
Langkawi.
Syed Hadi menguap dengan mulut terlopong luas. Matanya
mula berair.
“Ish, tutup mulut tu! Tak senonoh sungguh.”
“Haha maaflah. Aku memang betul-betul mengantuk.”
“Biar aku teka. Tengok bola semalam? Liverpool lawan
apa?” Fadhly sedia maklum Syed Hadi sangat fanatik menyokong Liverpool dalam
Liga Perdana Inggeris dan Brazil kalau di peringkat Piala Dunia.
“Mana ada bola hari Jumaat, Fad.”
“Habis?”
“Aku siapkan latihan Matematik Tambahan lah. Cikgu
Basil suruh buat latihan dari buku Pelangi – dari bab function sampai integration.
Banyak sangat. Er, jangan cakap kau lupa?”
Fadhly dan Syed Hadi mendaratkan tubuh di kerusi
bilik menunggu. Barisan untuk masuk ke dalam feri masih panjang.
“Oh yang itu!”
“Jadi kau tak buat langsung? Walau satu soalan?”
“Aku dah siapkan. Masa awal cuti.” Fadhly memang
tidak suka menangguh kerja. Dia kerap menyiapkan tugasan pada awal waktu. Tambahan
pada waktu cuti, dia banyak menghabiskan masa dengan abang saudaranya, Haziq di
Kuala Lumpur.
Syed Hadi menghela nafas lega. Jika Fadhly terlupa,
pastinya waktu kelas prep malam nanti
akan kalut untuk menyiapkan berpuluh-puluh soalan mencabar minda itu. Lagipun kelas
Cikgu Basil adalah yang pertama pada hari Ahad.
Suasana ruang menunggu bertambah sesak dengan
penumpang. Kebanyakannya adalah warga Langkawi yang mahu pulang ke kediaman
masing-masing. Disebabkan Langkawi berada dalam negeri Kedah, maka hari Ahad
merupakan hari kerja dan persekolahan.
“Kenapa kembung semacam beg kau?” Syed Hadi perasan
seperti ada sesuatu yang keras di dalam beg galas Fadhly. Disentuhnya dan
ditekannya perlahan-lahan. Keras. “Tupperware?
Bekas kuih raya?”
“Bukanlah.”
“Habis kalau dah keras macam ni?”
“Penumpang feri 9.00 pagi boleh
masuk sekarang!” Tempikan penjaga pintu jeti bergema dalam ruang menunggu yang
semakin kosong itu. Kebanyakan penumpang telah masuk ke dalam perut feri. Mereka
berdua lekas ke pintu pelepasan dan melintas papan kayu yang menghubungkan
pintu feri dan tebing jeti. Seorang pengawal feri mengarahkan mereka ke
bahagian hadapan feri setelah membaca nombor tempat duduk di tiket.
“Okay sekarang ceritakan, apa benda tu?”
Fadhly terkerising. Terasa kelakar melihat Syed Hadi
yang begitu ingin mengetahui apa sebenarnya kandungan beg galasnya.
“Bekas CD? Ha aku tahu, baldi baru!” Syed Hadi
semakin melalut meneka.
Enjin feri dihidupkan pemandu. Bila-bila masa sahaja
perjalanan satu jam dari Kuala Perlis ke Kuah, Langkawi akan bermula.
Fadhly tak habis-habis menampakkan gigi. Kelakar
amat dengan tekaan Syed Hadi yang begitu menyimpang.
“Kau memang kuat imaginasi. Takkanlah aku nak bawa
baldi dalam beg?”
“Tak payah nak sembunyi sangat. Cepatlah cakap.”
Fadhly membuka zip beg galasnya perlahan-lahan. Dua
keping piring plastik dikeluarkan. Satu berwarna putih dan satu lagi jingga
terang. Di atas setiap satu ada lukisan singa, seperti lambang sesuatu
kumpulan.
“Pinggan plastik kau bawa. Dewan Selera kan dah ada
pinggan?” Syed Hadi menggaru kepala yang tidak gatal.
“Ini bukan pinggan plastiklah. Ini disc Ultimate Frisbee.”
Syed Hadi terus mengerutkan dahi. “Fris..Frisbee? Itu
bukan jenama makanan kucing kah?”
Tawa Fadhly meletus lagi. Dikawalnya agar tidak
terlalu kuat dan menganggu penumpang lain.
“Ultimate Frisbee. Suatu permainan yang popular di negara-negara
seperti Amerika dan United Kingdom. Di Malaysia masih baru lagi.”
“Ooo. Macam mana mainnya? Yang aku tahu piring
plastik orang buat main dengan anjing. Baling piring ni kemudian anjing kutip,
gonggong dan bawa semula kepada kita. Macam kita tengok Mat Salleh main di
Pantai Cenang semasa kem Sejarah tahun lepas.”
Tali feri yang diikat pada tiang jeti dilepaskan
oleh anak kapal. Perlahan-lahan feri menjarakkan diri dari jeti sebelum
menambah kelajuan enjin.
“Nantilah aku ajar kau. Takkan nak lempar disc dalam feri ni.” Fadhly tidak tahu
bagaimana untuk menjelaskan cara permainan tersebut sekarang.
Feri teroleng-oleng dek ombak kuat setelah sebuah
feri jenis Katamaran dari arah Langkawi melalui di sebelah.
“Apa-apa sajalah. Mujur latihan Matematik Tambahan
dah siap. Petang ni bolehlah kita cuba di padang maktab.” Syed Hadi menunjukkan
minat. Dia menguap seluas-luasnya sambil telapak tangan cepat-cepat menutup
mulut. Dia diserang kantuk yang amat.
“Aku tidur sekejap. Nanti gerakkan aku, okay?”
Fadhly mengangguk. Disc Ultimate Frisbee disimpan semula ke dalam beg dan dikeluarkan
buku rujukan subjek Sejarah yang bersaiz setengah A4. Dibukanya pada bab awal
tingkatan lima berkaitan nasionalisme di Asia Tenggara.
“Eh, sempat lagi kau study? Dalam feri macam ni?” Syed Hadi yang baru hendak melelapkan
mata bangkit dari cubaan untuk lena.
Fadhly membalas dengan senyum kecil.
“Ada masa lebih kurang 45 minit lagi nak sampai. Daripada tak tahu nak buat
apa, baik selak satu dua muka surat. Sekurang-kurangnya dapat juga habis topik nasionalisme
ni.” Dia mengangkat halaman muka surat yang dibacanya lalu ditunjuk kepada Syed
Hadi.
Syed Hadi tersentak. Dia menyedari peperiksaan
percubaan SPM akan menjelang dalam masa dua bulan sahaja lagi. Dengan cepat dia
menonyoh-nonyoh mata dengan jari telunjuk.
“Aik, kata nak tidur?”
“Tak jadilah.” Syed Hadi cekatan mengeluarkan
sehelai kertas A4 berwarna jingga dengan judul ‘Cell Structure’ tercatat di
tengah halaman. Dia tidak mahu ketinggalan untuk mengikut jejak langkah Fadhly
sebagai pelajar tingkatan empat terbaik Maktab Sains Langkawi tahun lepas.
Dalam usaha memahami makna sistem Encomienda dan
tugas-tugas Encomiendero, fikiran Fadhly menerawang. Kenangan dia mempelajari
permainan Ultimate Frisbee bersama abang Haziq sepanjang cuti pertengahan tahun
mengunjungi ingatan. Kata abang saudaranya itu, permainan ini sangat baru di
Malaysia tambahan lagi di peringkat sekolah.
“Mampukah aku membawa usul untuk menubuhkan Kelab Ultimate
Frisbee di Maktab Sains Langkawi? Adakah akan ada ahli yang mencukupi?
Bagaimana penerimaan rakan-rakan dengan permainan baru ini?” Minda Fadhly
bercampuk aduk dengan fakta sejarah dan mainan perasaan. Dia akui, cabaran
besar sedang menantinya di maktab. Bukan mudah untuk memperkenalkan suatu
permainan asing kepada warga maktab. Tambahan bagi seorang pelajar sepertinya
yang sudah dilabel sebagai ‘ulat buku maktab’.
Apa pula kata Hazman dan kawan-kawannya? Fadhly
teringatkan sikap Hazman yang tidak menyenangi sejak di tingkatan empat lagi. Dia
segera lenyapkan segala kemungkinan. Matanya kembali tunak ke halaman buku teks
- menghafal dan memahami sistem birokrasi barat yang diamalkan di Asia Tenggara
semasa zaman penjajahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan