Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Selasa, 20 November 2012

Lentera Cinta Albaicin

ISBN: 978-983-097-266- 4/ Mazny MR /512ms/RM21/GB0111
Muhammad Salehuddin menjejaki bumi Granada kerana dua tujuan. Pertama, untuk mengotai janji kepada sahabat baiknya Abdul Hakeem; seandainya peluang pekerjaan yang sengit di Malaysia tidak menjanjikan apa-apa, dia akan mencuba nasib di sana. Keduanya, dia harus melunasi ikrar jihad yang sudah terpateri bersama beberapa orang rafik. Sallehuddin akan membantu mereka untuk memastikan cahaya dari obor Islam terus menerangi lorong-lorong suram di tanah al-Andalus itu.
            Adat orang berdagang, pelbagai pengalaman pahit manis yang terpaksa ditempuhinya. Pandangan sinis masyarakat barat yang menganggap agama Islam sebagai agama yang mengekang hak-hak asasi individu dan keghairahan mereka melabelkan Islam sebagai agama teroris dan agama orthodoks yang memundurkan peradaban, membuatkan semangat Salehuddin berkobar-kobar untuk memerdekakan pemikiran orang-orang yang skeptikal terhadap Islam, baik dari pihak luar mahu pun dari kalangan orang-orang Islam Granada sendiri.
            Salehuddin sedar, dia bukan seorang graduan dari Timur Tengah. Juga bukan seorang ustaz yang layak bersyarah. Namun nur hidayah yang diperoleh hasil acuan keluarga membuatkan dirinya menjadi seorang yang berani dan istiqamah dalam bermujahadah. Dia ingin berkongsi cahaya itu dengan orang-orang di sekelilingnya. Itulah antara sebab mengapa Abdul Hakeem memilih Salehuddin. Akhlak dan budinya menambat hati. Islam itu bukan sekadar menghiasi sepotong nama atau terukir di dada segulung ijazah tetapi dijiwai dan menjadi amalan yang membenteng diri!
            Namun tidaklah ada seorang pun di dunia ini yang beriman tanpa diuji. Janji-janji Allah kadang kala penuh teka-teki. Kemunculan watak-watak insani seperti Siham yang pendiam, Majeed yang kacak, Mourad yang agresif dan Imam Habib Kassem yang penuh wawasan memeriahkan hari-hari Salehuddin di Lembah Albaicin.
            Anehnya, kehadiran Leyla Zulaikha yang pantas menjadi pesona Albaicin hampir-hampir mengundang satu tragedi!
            Berjayakah Salehuddin menggaul semua rempah ratus permasalahan Albaicin untuk memasakkan sebuah ukhuwah Islami?
            Dan siapa pula Raden Nur Karmila yang namanya kian terukir indah di persada hati?
            Terlalu panjang untuk dirungkaikan, namun segala-galanya bisa terjawab dalam LENTERA CINTA ALBAICIN.

*Sekali baca persis Ayat-ayat Cinta dek watak Salehuddin ibarat Fahri, Karmilla bak Aisyah dan Marcella umpama Maria. Namun cerita ini lebih berkisar menegakkan syiar Islam dalam aspek pendidikan, fungsi organisasi masjid dan silap faham orang asing terhadap Islam.

Sungguh, perincian dalam novel ini pernah dijadikan sebagai tour guide kepada salah seorang pembacanya sewaktu bersafar di bumi Sepanyol. Ironinya, penulis belum pernah menjejak kaki ke Granada, rujukan beliau turut banyak dibuat berdasarkan maklumat seorang teman yang tinggal di sana.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum.

    Secara peribadi saya sangat suka Lentera Cinta Albaicin. Latarnya hidup dan membacanya membuatkan saya seakan mahu terbang ke sana. Tambahan, ini cerita perjuangan watak yang mana cinta bukan subjek utama. :) 4 bintang untuk Lentera Cinta Albaicin.

    BalasPadam
  2. Waalaikummussalam,

    Terima kasih kepada Cik Puan Jamilah Norddin.

    Teruskan menulis bersama Galeri Ilmu.

    Bila buku baru akan siap ke tangan saya?

    Salam.

    BalasPadam