BAB 2
“Abang, cuba abang baca artikel ni sekejap. Apa komen abang?” Lembut
suara Hanna sewaktu menyuakan majalah yang sedang dibacanya. Farhan yang sedang
menonton televisyen menoleh. Dia tersenyum memandang isterinya yang tampak
manis dengan baju tidur satin berwarna merah jambu itu. Ditariknya Hanna ke
sisi sambil menyambut majalah yang dimaksudkan.
“Artikel yang mana? Rumah Tangga Syurga?”
soal Farhan sambil mengintai-intai artikel yang dimaksudkan. Hanna mengangguk
manja lalu menyandarkan kepalanya ke bahu Farhan. Tanpa banyak soal, Farhan
terus membaca isi kandungan tulisan tersebut dengan suara yang perlahan. Antara
dengar dengan tidak sahaja.
“Semua orang impikan sebuah keluarga dan rumah tangga yang
bagaikan syurga. Melihat isteri, tenang hati kerana kesetiaannya. Melihat
suami, terasa senang hati kerana sifat bertanggungjawabnya. Melihat ibu dan
ayah terasa kenyang, jiwa yang kosong terasa terisi. Melihat anak-anak
terasa sejuk hati kerana mereka semua mendengar kata dan hormat pula kepada ibu
bapa sendiri. Di Rumah Tangga Syurga itu, tiada kata-kata nista, tiada
cakap-cakap yang menyakitkan hati, tiada tuduh-menuduh, dan tiada kata-mengata.
Yang ada di Rumah
Tangga Syurga itu, terserlah kebesaran Allah Taala. Mereka membesarkan Allah
melalui solat berjemaah, qiamulail, membaca Al-Quran, bertasbih, dan bertahmid
bersama-sama. Tidak lupa juga menganjurkan kuliah-kuliah agama untuk keluarga.
Mereka makan bersama, sentiasa ingat-mengingatkan antara satu sama lain dan
saling bekerjasama. Inilah rumah tangga Islam.”
Sampai perenggan kedua, Farhan berhenti. Dia
tidak pasti kenapa Hanna memintanya membaca artikel itu. Tidak ada yang menarik
minatnya. Majalah Inspirasi yang dipegangnya itu diletakkan sahaja di atas meja
kopi dan tangannya memaut bahu si isteri. Hanna yang terpaku seketika dengan
respon suaminya itu tiba-tiba terasa sakit hati. Tangan Farhan ditolak
perlahan.
“Abang ni, Hanna
minta abang tolong baca artikel tu dan bagi pendapat tetapi abang buat tak tahu
je. Sudahlah, kalau abang tak nak cakap apa-apa, Hanna nak masuk tidur.
Mengantuk!” Hanna cuba bangun, namun tangannya ditarik lembut serta-merta. Farhan tersenyum geli hati. Dia
memang sudah lali dengan kerenah isterinya yang mudah melenting itu.
Sikit-sikit nak marah. Sikit-sikit nak merajuk.
Namun Farhan tahu Hanna bukanlah marah sungguh-sungguh.
Farhan tahu kalau Hanna benar-benar marah, dia akan diam membatu. Buatlah apa-apa
pun, Hanna takkan bersuara. Kalau Hanna benar-benar marah, memang Farhan mati
kutu. Dia lebih rela mendengar Hanna membebel sepanjang hari daripada melihat
permata jiwanya itu murung dan hanya termenung. Kali ini pun begitu juga. Dia
tahu Hanna cuma berpura-pura merajuk. Farhan tersenyum nakal. Alah, bukan susah
sangat nak memujuk isterinya yang lembut hati itu! Ditariknya Hanna lebih erat
ke sisinya.
“Apa yang Ayang nak abang cakap tentang artikel ni? Rumah Tangga
Syurga? Mana ada rumah tangga seperti itu, sayang? Sedangkan
rumah tangga Rasullulah juga dilanda badai sekali-sekala, apatah lagi umatnya
yang punya seribu satu kelemahan seperti kita?”
Hanna tersenyum
mendengar Farhan yang sudah mula menyusun kata. Walaupun hanya mempunyai
kelulusan STPM sahaja, namun Hanna akui suaminya itu tidak pernah kering idea.
Kadangkala dia pula rasa tercabar. Nama sahaja ada ijazah sarjana dalam bidang
Pengajian Islam, namun dia sering gagal mematahkan hujah-hujah Farhan.
“Jadi maksud
abang, artikel ni hanya retorik dan penuh angan-angan sahajalah ya?” Sinis
sahaja bunyi soalan yang diutarakan Hanna. Farhan ketawa. Bukan itu yang
dimaksudkannya.
“Tajuk artikel
pun Rumah Tangga Syurga. Jadi, rumah tangga seperti itu hanya ada disyurgalah,
sayang! Bercakap memang senang, teori memang banyak. Tapi hakikatnya, mana ada rumah
tangga yang sebegitu sempurna di dunia ini? Suami isteri sama-sama penat mencari
nafkah. Anak-anak pula macam-macam kerenah. Terpekik-pekik bergaduh dan
menyepahkan rumah. Mak ayah pun apa lagi, cepatlah naik darah. Betul tak?”
Hanna tersenyum.
Memang itulah hakikat hidup berumah tangga termasuklah rumah tangga mereka
juga. Melayari kehidupan berumah tangga pada usia 30-an seperti ini sememangnya
detik yang paling mencabar. Pada usia ini, semua pasangan sibuk memantapkan
ekonomi keluarga masing-masing. Anak-anak pula masih kecil, masih perlu diasuh
dan belum pandai menguruskan diri sendiri. Itu belum termasuk ragam dan kerenah
mereka yang adakalanya cukup memeningkan kepala dan menyakitkan hati!
“Habis? Bagaimana
boleh timbul istilah Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku? Kalau melihat kepada realiti
seperti itu, sepertinya hasrat nak ada keluarga bahagia umpama mimpi dalam
mimpi sahaja, bukan? Jadi, bagaimanakah cara agar kita boleh wujudkan syurga di
rumah kita?” soal Hanna memancing hujah Farhan yang seterusnya.
“Mudah sahaja.
Jangan mengharap kesempurnaan. Kenalah terima hakikat bahawa setiap orang dan
setiap perkara pasti ada kekurangan. Hanya orang yang menyedari kekurangan
dirinya sahaja yang akan mudah bertolak ansur terhadap kekurangan orang
lain." Ujar Farhan sambil menarik nafas panjang. Harum pewangi kegemaran
isterinya itu menusuk masuk ke hidungnya dan terasa sungguh menenangkan.
“Maksud abang?
Bertolak ansur yang bagaimana? Cuba bagi sedikit contoh. Dah malam-malam begini,
Hanna rasa otak macam dah beku dan tak boleh nak berfikir.” Farhan ketawa geli
hati dengan alasan isterinya. Kalau otak sudah penat, kenapalah malam-malam
begini nak berbincang topik berat seperti ini? Getusnya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan