Saya mengalu-alukan cadangan karya penulis baharu dan berpengalaman. E-melkan sinopsis novel anda ke amir@galeriilmu.com

Rabu, 22 Januari 2014

PENULISAN SEBAGAI MEDAN DAKWAH DAN KERJA

Setiap apa yang kita tulis menggambarkan apa yang terbuku dalam hati dan fikiran kita. Pembaca akan menilai seseorang penulis berdasarkan apa yang dia tulis.

Jika seseorang penulis itu suka menulis perkara-perkara yang humor, pembaca boleh mengagak bahawa penulis itu seorang yang humor. Jika dia menulis perkara yang bersifat Islami, pembaca boleh mengagak bahawa penulis itu mungkin berjiwa Islami. Begitu juga, jika sesebuah novel itu menceritakan mengenai adegan-adegan cinta yang tidak halal, agak-agak, apakah yang pembaca akan katakan terhadap penulis itu?

Maka, berhati-hatilah dalam setiap perkataan, frasa mahupun ayat yang kita tulis. Adakah kita suka para pembaca melabelkan kita sebagai penulis novel cabul?

Penulis perlu mempunyai sifat bertanggungjawab dalam setiap isi tulisannya. Jika penulisan boleh mempengaruhi pembaca untuk menyerap nilai-nilai yang murni, mengapa kita harus memilih untuk menulis nilai yang merosakkan?

Ramai penulis tersalah faham maksud dakwah dalam penulisan. Sebagai contoh, dia berkeinginan untuk menyedarkan pembaca bahawa pergaulan bebas dan hubungan cinta luar nikah boleh membawa kepada kemudaratan. Maka, dia pun menulis adegan-adegan, babak-babak ghairah dan akibat-akibat yang berlaku akibat pergaulan bebas dan hubungan yang terlarang itu. Secara tidak langsung atau tidak dia sedari, sebenarnya, dia bukan MENYEDARKAN pembaca tetapi MEMPROMOSIKAN cara hidup yang tidak sihat itu. Meskipun dia tegas berkata, “Saya hanya mahu sedarkan pembaca!” tetapi hakikatnya, pembaca tidak SEDAR bahkan semakin ghairah. Jadi, tekniknya tersilap.

“Jika kamu mahu menghentikan kemungkaran, maka tutuplah kemungkaran itu. Jika kemungkaran itu disebarkan, kemungkaran akan semakin tersebar!”

Begitu juga yang berlaku dalam akhbar-akhbar yang memaparkan kisah-kisah sensasi sebegini setiap hari untuk tatapan pembaca. Apa kesannya kepada pembaca? Adakah setelah kita membaca berita-berita LUCAH seperti itu, kita akan semakin menjauhi kelucahan? Atau pun pembaca semakin terangsang?

Untuk menjadi penulis yang IKHLAS, kita perlu tahu, apa kehendak ALLAH. Jangan salah faham maksud IKHLAS. IKHLAS bukan bermakna kita menulis apa sahaja yang terbuku dalam hati dan berkata, “Aku tidak mahu hipokrit. Aku ikhlas menulis kisah ini supaya pembaca mengambil iktibar.”

Sebelum ini, mungkin anda telah membaca artikel saya berkenaan, “MEMBETULKAN NIAT SEMASA MENULIS”. Niat perlu selari dengan tindakan. Meskipun niat kita baik, tetapi ia tidak menghalalkan cara.

INGAT! NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA!

Jadi, untuk mempromosikan kehidupan yang murni, penulis perlu menulis sisi bersih masyarakat dan meminimumkan sisi gelap dalam masyarakat. Masih ada banyak lagi isu yang boleh kita ketengahkan. Mengapa asyik isu CINTA sahaja yang penulis mampu ketengahkan?

Pembaca sekarang semakin bijak menilai kualiti. Fikirlah sendiri. Kita mendidik pembaca ke arah kebaikan atau sekadar menjamu nafsu mereka?

SERTAI KAMI

BENGKEL PENULISAN NOVEL ISLAMI (ZON PANTAI TIMUR)

Insya-Allah. Jom sertai kami untuk lebih banyak perbincangan, tip, teknik, pengalaman bersama:

1. Khairy Tajudin (Novelis, Kolumnis, Penyunting)
2. Amir Abdul Hamid (Editor Perolehan Galeri Ilmu)
3. Bonda Nor (Novelis 'Saya Tunggu Awak')

Cara Pendaftaran untuk Bengkel Penulisan Novel di Kuala Terengganu, sila lakukan langkah-langkah berikut:

1. Bank in yuran RM 150 ke Maybank 1520-6895-6752 (Mohd Khairi Tajudin)

2. Lampirkan bukti pembayaran berserta nama penuh, IC dan no. telefon.

Sebarang pertanyaan: 019-4702839

BONUS:
Makan, minum, sijil penyertaan

Bagi peminat dari negeri-negeri lain, anda juga boleh turut berikan nama di bawah. Insya-Allah, kami akan hubungi semula jika kami turun ke kawasan anda.

Antara pengisian ceramah:

BAB 1: ADAKAH ANDA LAYAK MENJADI PENULIS?
- Apakah keistimewaan menjadi penulis?
- Apakah sifat yang perlu ada pada seorang penulis?

BAB 2: MENGENALI DUNIA BUKU
- Mengenali dunia buku: Fiksyen dan Non-Fiksyen
- Bagaimanakah cara untuk memulakan penulisan?
- Proses sebelum menulis
- Tips mendapatkan idea

BAB 3: MENYEDIAKAN PROPOSAL
- Kenapa perlu proposal?
- Apakah yang perlu ada dalam sesebuah proposal?
- Kepentingan Bab 1 dan 2
- Contoh proposal

BAB 4: MEMBINA WATAK DAN PERWATAKAN

BAB 5: PERANCANGAN PENULISAN
- Plot dan sub-plot
- Teknik bercerita
- Konflik
- Klimaks
- Gaya bahasa
- Membina ayat
- Latar belakang
- Nilai Murni dan Agama

BAB 6: TIP KETIKA MENULIS

BAB 7: TIP MENGUATKAN OLAHAN CERITA

BAB 8: TIP MENYEMAK MANUSKRIP SELEPAS MENULIS

BAB 9: CHECKLIST
- Ciri-ciri Manuskrip yang Disukai Editor

BAB 10: FORMULA BEST SELLER
- Ciri-ciri Novel yang Diminati oleh Pembaca
- Mengenali Kelemahan dalam novel

  ~Rajin-rajinlah tekan butang SHARE. Mungkin ada rakan anda yang berminat~

Selepas Kuala Terengganu, insya-Allah kami akan ke Kuala Lumpur semula (22.2.2014) di tempat yang sama. Boleh daftar sekarang.


BONUS:

- Rahsia manuskrip diterima editor
- Bagaimana menjadikan novel sebagai drama atau filem

dan banyak lagi.

kredit: Facebook Khairy Tajudin

Jumaat, 15 November 2013

Tip UPSR- Terima Kesilapan Anak, Terima Kemampuan Mereka

Dari semalam, wall saya penuh dengan cerita2 tentang result UPSR. Alhamdulilah, saya tumpang seronok melihat rakan2 mempamerkan kejayaan anak2 mereka. Bukankah Allah menyuruh kita mempamerkan nikmat yang dipinjamkan kepada kita sebagai petanda sifat Maha Pemurah-Nya? Namun, bagi yang dilanda kecewa, berpada-padalah melayan rasa. Jangan sesekali berputus asa..

Saya sudah terlibat dengan pendidikan kanak-kanak berbelas-belas tahun lamanya. Sebagai pengusaha 'swasta', anak-anak sendiri adalah testimoni saya. Bagaimana nak yakinkan orang untuk ambil perkhidmatan saya kalau anak-anak saya sendiri 'tak kemana'? Itulah yang saya fikirkan dulu. Kononnya.

Semasa anak sulung saya mengambil result UPSR, saya yang berdebar. Dia tidak seperti adik-adiknya yang lain. Saya tahu dia seorang yang sangat tidak konsisten prestasinya. Kejap turun kejap naik. Kejap dia buat saya gembira, kejap dia buat saya kecewa. Aduhai... Namun akhirnya detik yang dinantikan tiba juga. Terkedu saya seketika apabila memegang slip keputusannya. Hanya 1A sahaja?! Ya, hanya 1A! Di saat anak-anak murid saya yang lain meraikan kejayaan mereka, anak saya pula..... ?? Allah.. Allah..

Saya sibuk memerhatikan reaksi anak saya. Berubah benar airmukanya. Ketara sungguh rasa kecewanya.. Namun, yang lebih berat menanggung 'azabnya' tentulah saya! Bolehkah sahabat2 semua membayangkan 'character of pain' yang terpaksa saya bawa? Saya ajar anak orang lain hingga kebanyakan mereka begitu cemerlang, namun anak saya sendiri kecundang! Allahu Akbar!

Balik ke rumah, saya memanggilnya. Hanya dia dan saya. Saya keluarkan slip itu dan tanya apa perasaannya. Dia diam sahaja. Saya sampaikan pada dia.. pesanan nabi bahawa man jadda wajada. Siapa berusaha, dia berjaya. Kalau keputusannya begitu, memang itulah yang dia layak dapat atas usahanya yang tak seberapa. Anak saya menangis. Jarang saya lihat dia menangis. Namun, saya tidak pula pujuk dia sebab ini memang salahnya. Dia yang sambil lewa dengan pelajarannya. Dia tak boleh berangan nak jadi orang berjaya kalau usahanya tak seberapa.

Selepas dia pergi, saya muhasabah diri sendiri. Saya tahu..sebenarnya, bukan dia sahaja yang tidak berusaha, saya juga terasa yang saya gagal memainkan peranan saya. Kalau ada kawan2 yang bertanya sejak bila saya mula prihatin dan bertegas dengan soal pendidikan anak-anak saya, itulah titik mulanya. Kegagalan UPSR yang memberi saya pengajaran yang cukup besar.

Sejak itulah kehidupan anak2 mula berjadual. Mereka mula solat berjemaah, mula mengaji dan bertadarus bersama-sama di rumah. Saya mula kawal apa yang dia main, apa yang dia tonton dan apa yang dia baca. Saya mula 'lorat' memerhatikan dengan siapa dia berkawan, dan saya mula 'seronok' melatih mereka dengan tanggungjawab menguruskan sendiri keperluan. Gosok baju sendiri, sidai baju dan menyapu.. Malah asas memasak juga saya mahu mereka tahu. Ya, selain cemerlang di sekolah, itulah nilai pendidikan yang sepatutnya diberikan nilai tambah. Itulah nilai pendidikan anak-anak yang sebenarnya, mengikut kacamata saya.

Sahabat-sahabatku yang baik, kita tidak mampu menentukan takdir hidup anak-anak kita. Namun, kita boleh berusaha untuk membantu mereka memahami hakikat hidup yang sebenarnya. Kalau akademik itu yang patut menjadi fokus utama manusia, mustahil Allah boleh tergamak membiarkan Nabi terus buta huruf hingga ke akhir hayat baginda. Namun kata-Nya, tidak kami utuskan Muhammad melainkan untuk menjadi teladan yang baik kepada manusia.

Justeru, usahakanlah pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Bukan keputusan akademik yang patut membenak di dalam kepala kita, namun akhlak dan sakhsiah mereka. Itulah yang lebih utama. Semoga kita berjaya menjadi ibubapa yang berjaya dalam memainkan peranan kita.. sehingga 'saat perpisahan' itu tiba... Terima kesilapan anak2 kita .. terima kemampuan mereka seadanya.. Wallahu a'lam.

Kredit: Bonda Nor

Jumaat, 8 November 2013

Saya Tunggu Awak Bukan Sekadar Kisah Yang Seronok Dibaca

Semalam sewaktu temuramah di radio IKIM, editor perolehan Galeri Ilmu, Tuan Resha Hamzah berkata novel Saya Tunggu Awak bukan sekadar kisah yang seronok dibaca, malah sangat sesuai untuk dijadikan panduan. Pelbagai permasalahan yang diketengahkan dilengkapi penyelesaian.

Kata beliau lagi, sebagai seorang yang baru berumahtangga, novel ini dijadikan panduan untuk beliau berdepan dengan sebarang kemungkinan. Jika berlaku begini, apa yang perlu dilakukan? Jika berlaku begitu, bagaimana pula mahu keluar dari kemelut perasaan?

Sungguh. Di dalam hidup ini, kita umpama berada di tengah-tengah lautan. Saat dihempas gelombang besar, kita lelah menahan perasaan. Bila gelombangnya reda, kita kembali menarik nafas lega. Namun, mampukah kita tersenyum setiap masa? Mustahil. Kita perlu peka dan sentiasa berjaga-jaga kerana gelombang yang lain akan menyerang pula.

Begitulah yang dijanjikan oleh Tuhan. Adakah manusia boleh melangkah selamba ke syurga tanpa bertarung dengan ujian? Tak mungkin. Janjinya sudah pasti. Kita akan terus diuji.. lagi dan lagi.. Justeru, bersedialah dengan segala kemungkinan. Ujian akan sentiasa datang dan pergi. Ujian kecil dan besar akan singgah silih berganti. Justeru, lengkapi diri kita dengan pelbagai persiapan. Ilmu, dan perkongsian pengalaman adalah sesuatu yang amat kita perlukan.

Enjoy the trailer! Saya Tunggu Awak!

Kredit: Bonda Nor


Bengkel Penulisan Novel Bermula Esok

 Tuan Khairi Tajudin menulis.....

Insya-Allah ... malam ni saya akan naik bas dari Changlun dan turun di Puduraya untuk mengendalikan bengkel ini pada esok pagi.

Minggu lepas dah turun KL ( untuk bengkel short filem dengan Tuan Zabidi Mohamed) , minggu ini turun (untuk bengkel penulisan dengan Tuan Web Sutera dan Tuan Resha Hamzah) dan minggu depan turun lagi (untuk tujuan lain)

~From Changlun with Love~

Sehingga ke hari ini masih ada yang berminat. Alhamdulillah. Apa-apa hal boleh SMS terus 019-4702839

Kepada peserta-peserta dari negeri lain, insya-Allah, kita jumpa tahun depan!

Jom sama-sama jadi penulis

Khamis, 7 November 2013

Tip Penerbit - Buku Cantik vs Buku Selesa

 Puan Suraiya Pauzi editor buku motivasi Galeri Ilmu menulis.....

Pagi tadi saya kami berbincang tentang reka letak sebuah judul buku. Designer meletakkan permulaan bab di sebelah halaman kanan dan ilustrasi di kiri. Saya diajukan soalan, "Bolehkah begitu?" Saya menjawab, "Tidak boleh."

Designer melihatnya dari sudut 'cantik' dan saya pula melihat dari sudut 'selesa'.

Memulakan bab di halaman kanan (recto) sudah tepat. Namun, meletakkan gambar/ilustrasi dan seumpamanya di sebelah halaman kiri (verso) sangat tidak betul. Apatah lagi jika ia diiringi dengan teks.

Jika demikian, maka reka letak perlu diubah suai menjadi reka letak majalah (spread page). Permulaan bab di verso dan ilustrasi di recto.

Analoginya mudah. Katakan kita hendak membuat baju. Ada tatacara mengambil ukuran, memotong kain dan kemudian, menyambung, menjahit dan mencantum keratan juga ada cara yang tersendiri. Tidak mungkin kita meletak kolar di pinggang, lengan di leher dan poket di ketiak.

Begitulah juga dalam proses 'membentuk' buku. Ia perlu selesa dan mesra di mata pembaca bukan cantik semata-mata. Ya, cantik itu penting, tapi pada waktu yang sama ia mestilah selesa.

Tidak guna baju yang cantik tapi sangat tidak selesa apabila dipakai!

Buku ini memang 'selesa' untuk pasangan suami isteri



Kredit: Puan Suraiya Pauzi

Saya Tunggu Awak Sudah Ada Tiga Video Rasmi

Alhamdulillah, novel Saya Tunggu Awak telah ada 3 video rasmi di YouTube. Pertama, trailer yang menceritakan sinopsis novel ini. Ia dibuat oleh saya sendiri dengan bantuan sahabat saya Nurul Syafiqah.

Kedua adalah satu shortfilm bermesej yang tidak ada kena mengena dengan jalan cerita novel, tetapi mempromosikan novel ini secara tidak langsung. Shortfilm ini dihasilkan hasil kerjasama penulis-penulis yang bernaung di bawah Galeri Ilmu Media Social Group atau GIMEG di mana saya sendiri telah menulis skrip dan mengarahkannya.

Video ketiga adalah video klip ini. Ia merupakan satu 'surprise' yang saya terima daripada Tuan Sifu Zabidi Mohamed yang juga merupakan presiden GIMEG. Sebagai video klip, ia lebih menekankan 'character of pain' yang terdapat di dalam konflik utama novel ini. Saya cukup terharu menontonnya dan sangat suka kepada lirik lagu yang dipilih oleh beliau iaitu AKU MEMILIH SETIA. Bait-bait lagu ini sangat bertepatan dengan dilema yang diharungi oleh Ustazah Hanna Mardhiah, wanita solehah yang menerima tawaran cinta dari seorang lelaki soleh yang punya banyak kelebihan di saat dia terpaksa berhadapan dengan begitu banyak kelemahan suaminya.

Sungguh! Novel ini ditulis bukan dengan niat mengetengahkan permasalahan cinta. Namun, saya tahu tanpa unsur2 romantik dan dramatik di dalam sesuatu novel, amat sukar untuk menyampaikan pelbagai ilmu dan nilai2 tarbiah kepada khalayak pembaca yang pada masa ini rata2nya begitu tertarik dengan novel2 cinta. Maka inilah sedikit usaha kecil dari saya. Melahirkan novel cinta yang dicari pembaca namun tanpa sedar berjaya memasukkan begitu banyak ilmu2 agama ke dalam jiwa mereka.

Jom tonton video klip yang saya terima sebagai 'surprise' ini.. Terima kasih tidak terhingga kepada pembikinnya.. Tuan Zabidi Mohamed.. Moga Allah murahkan rezeki Tuan.

                                           

Kredit: Bonda Nor

Tip Penulis Skrip - Bagaimana Mahu Melahirkan Karya-Karya Tarbiah Yang Berkualiti?

Pagi ini, saya tertarik dengan status rakan FB yang saya kasihi, Puan Raja Sarinah Aziz tentang luahan rasa tidak puas hatinya dengan kualiti drama-drama Melayu. Jujur, saya sebenarnya sudah lama tidak menonton drama, bukan sahaja drama Melayu..malah segala jenis drama.. Cina, Korea, Thailand dan sebagainya.

Walau bagaimana pun, sambil mengadap komputer, saya tetap menjeling kaca televisyen untuk memantau setiap rancangan yang ditonton oleh anak2 saya. Justeru, saya biasa juga melihat promo drama-drama yang bakal disiarkan. Apatah lagi, anak2 saya sering bertanya.. "Mama, boleh tak nanti nak tengok cerita ni?" .Di situlah saya menghadapi kesukaran untuk mengangguk atau menggeleng.

Benar, masih banyak drama-drama berkualiti yang mempunyai mesej yang boleh diambil pengajaran dan baik untuk ditonton seperti drama2 yang dilahirkan karya penulis seperti Zabidi Mohamed dan MamaBella Novelis (sekadar menyebut beberapa nama). Namun, lambakan cerita2 'cinta keras' mungkin masih mendominasi masyarakat kita.

Penonton mula merungut. Kesilapan dituding pada pengkarya. Jawab pengkarya, mereka terpaksa mengikut kehendak stesen TV. Jawab stesen TV, mereka mengikut selera penonton. Rating penonton tinggi kalau ceritanya berkisar tentang cinta. Rating rendah kalau nilai tarbiah menjadi fokus utama. Maka lagu bangau oh bangau pun mula memekakkan telinga...

Sungguh, saya tidaklah berbakat dan berminat dalam menulis. Namun, entah macam mana umpama satu desakan yang cukup kuat, saya akhirnya terlibat juga. Sekadar menyahut panggilan fardhu kifayah.. untuk menambahbanyak karya-karya tarbiah. Mula2 novel, dan kini skrip drama. Niat saya masih satu.. mahu berkongsi ilmu.

Alhamdulillah, drama pertama saya 'Akhirnya Aku Mengerti' telah diluluskan oleh TV Al-Hijrah dan kini sedang dalam proses penggambaran. Insya-Allah selepas ini akan menyusul lagi karya yang berikutnya, mudah-mudahan. Ya, saya sudah nekad mahu menyumbang sedikit idea dan tenaga dalam bidang ini.. namun saya mohon... bantu saya untuk mencari satu solusi...

Bagaimana mahu melahirkan karya2 tarbiah yang berkualiti, yang mampu menarik perhatian penonton dan stesen TV? Cerita jenis apakah yang para sahabat semua mahu? Dari merungut tidak tentu hala, mengapa tidak kita sama-masa menyumbangkan idea? Luahkannya..

*Sudah terlibat dalam bidang ini.. baru tahu - its easier to criticize than to improvise..

Kredit: Bonda Nor

Bonda Nor bersama Tuan Zabidi dan tim drama